Malu


Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Anshari al-Badri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya sebahagian yang masih didapati umat manusia daripada perkataan Nabi yang terdahulu ialah, ‘Apabila engkau tidak malu, maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.’,”

Sifat malu merupakan pengukuran nilai akhlak dan perbuatan seseorang. Orang yang bersopan pastinya tidak mahu melakukan sesuatu yang memalukan atau mendatangkan kecelakaan.

Akan tetapi, dewasa ini sifat malu semakin luntur dari dalam diri masyarakat. Remaja kini tidak segan silu melakukan kemaksiatan secara terang-terangan. Mereka bukan sahaja tidak malu melakukan kemungkaran itu di hadapan Allah tetapi tidak endah terhadap persepsi masyarakat terhadap perbuatan mereka.

Lebih malang apabila perbuatan yang memalukan itu turut diterima dan diiktiraf oleh masyarakat. Lihat sahaja rancangan hiburan masa kini. Peluk, cium, berpakaian seksi bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat yang dikatakan bertamadun.

Bertamadun atau taklid terhadap budaya Barat? Ramai yang lupa bahawa malu itu adalah adab dan tatatertib hidup di dunia dan syariat para Nabi dan Rasul terdahulu.
Rasulullah SAW menegaskan, “Apabila engkau tidak malu, maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.”

Menurut ulama, perintah tersebut mengandungi dua makna iaitu:

i) Perintah itu merupakan satu ancaman dan bukannya suruhan. Ertinya, apabila engkau tidak malu, maka kerjakanlah apa sahaja yang engkau kehendaki dan Allah akan membalasnya. Firman Allah, “Kerjakanlah apa yang kamu kehendaki kerana sesungguhnya Ia melihat apa yang kamu kerjakan itu.”al-Fussilat ayat 40.

ii) Perintah tersebut adalah perintah suruhan. Hal ini bermakna, jika perbuatan yang hendak engkau kerjakan itu tidak memalukan sesiapa, sama ada bagi dirimu sendiri, bagi Allah dan manusia lainnya, maka hendaklah engkau kerjakan tanpa berasa malu sedikit pun.


Apakah yang dimaksudkan dengan malu? Malu ialah perasaan yang mendesak seseorang supaya meninggalkan segala perbuatan yang keji dan dimurkai Allah. Ia bertitik tolak dari hati dan jiwa yang sedar bahawa segala gerak gerinya diperhatikan Allah.
Hal ini menyebabkan dirinya sentiasa terpelihara zahir dan batin daripada perbuatan yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah. Malu inilah yang dikatakan sebagai malu kepada Allah.

Sewaktu pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin Khattab R.A., beliau telah memerintahkan supaya tidak seorang pun dibenarkan mencampurkan air ke dalam susu yang dijual. Suatu hari, tatkala meronda pada waktu malam untuk merisik keadaan rakyat jelata, beliau terdengar perbualan antara seorang ibu dengan anak gadisnya.

Si ibu menyuruh anaknya mencampurkan air ke dalam susu sebelum tiba waktu siang. Anak gadis tersebut enggan berbuat demikian malahan mengingatkan ibunya perihal perintah khalifah itu.

Ibu si gadis marah lantas menjawab bahawa khalifah tidak hadir dan tidak perlu takut kerana beliau tidak akan mengetahuinya. Lantas anak itu menjawab, “Ibu, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui walaupun khalifah tidak tahu tentangnya.”

Nah! Dapat kita lihat perihal insan yang malu kepada Allah. Sifat takwa itu bersemi dalam jiwanya. Ia sentiasa takut melakukan perkara mungkar meskipun orang lain tidak melihatnya. Ia yakin, Allah itu sentiasa ada memerhatikan setiap gerak lakunya.

Berbalik kepada persoalan malu, malu itu ada jua jenis yakni malu yang asli serta malu yang diusahakan. Malu yang asli merupakan malu yang telah menjadi tabiat dan perangai sejak ia dilahirkan. Manakala malu yang diusahakan pula diperoleh melalui pengajaran agama dengan cara mengenal Allah, menginsafi kebesaran-Nya serta yakin dengan ilmu-Nya.

Jadi, di manakah diri kita? Adakah telah luput perasaan malu dalam hati kita atau masih ada secubit rasa malu dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah serta meninggalkan larangan-Nya?

Sebenarnya, malu ini baik untuk keselamatan hidup. Ia mencerminkan akhlak terpuji yang menjadi kekuatan untuk mencegah sebarang kemungkaran. Ia amat penting dalam mengawasi perjalanan hidup dan membetulkan garisnya.
Ingatlah wahai teman, Nabi SAW pernah bersabda, “Malu itu adalah satu cabang daripada cabang-cabang iman.”

Teman… Sejauh manakah kita berasa malu dengan kemaksiatan yang kita lakukan terhadap Allah? Kita sering kali berasa malu terhadap perkara yang tidak patut dimalukan tetapi tidak malu dalam melakukan sesuatu yang jelas mengaibkan diri kita di hadapan Tuhan.

Tidak malukah kita melakukan kedurjanaan terhadap Tuan Punya yang memiliki alam ini? Segala apa yang kita peroleh, kita dapat secara percuma daripada-Nya tetapi masih ada hati untuk melanggar perintah Pemberi segala kenikmatan tersebut.

Setelah kita mengerjakan kemaksiatan yang dimurkai Pencipta, tidakkah kita berasa malu apabila kelak noda itu Allah pertontonkan di Padang Mahsyar? Bukan itu sahaja malahan kita mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah tetapi sejauh mana kita menghayati kalimah syahadah tersebut? Adakah cukup dengan pernyataan yang kita ungkapkan melalui kata-kata?

Tidak! Tidak sama sekali kerana kalimah syahadah itu bukan sekadar pernyataan (iqrar) dengan apa yang diyakini tetapi juga meliputi sumpah (qasam) dan perjanjian yang teguh (mitsaq).

Sumpah yang bermakna kita sanggup menerima akibat dan sebarang risiko dalam mengamalkan syahadah serta berjanji setia untuk taat dalam segala keadaan terhadap semua perintah Allah yang terkandung dalam kitabullah mahupun sunnah Rasul SAW.

Sabda Nabi SAW, “Apabila Allah mengkehendaki kebinasaan kepada seorang hamba, maka dicabut perasaan malu daripadanya. Dan tidak engkau dapati melainkan ia seorang yang benci lagi dibencikan. Setelah itu, dicabut pula perasaan amanah daripadanya. Dan tidak engkau dapati ia melainkan seorang khianat lagi mengkhianati, seorang yang telah kehilangan perasaan rahmat atau belas kasihan. Kemudian, jadilah ia seorang yang kasar lagi keras kelakuannya. Dicabut daripadanya ikatan iman dari tengkuknya. Akhirnya engkau memandang ia bukan lagi sebagai insan tetapi sebagai syaitan durjana. ”

Fikir-fikirkan… Renung-renungkan…
Labels: | edit post
0 Responses