Minyak, oh minyak

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Moga dirahmati ALLAH selalu. Muthiah... Alhamdulillah, sihat tetapi ada beberapa perkara yang bermain dalam fikiran. Moga ALLAH permudah jalan, insya-ALLAH. Amiin.

Jom 

  • santai...
  • fikir...
  • renung...
  • muhasabah...
  • perbaik untuk kesejahteraan diri...
Di bawah, Muthiah sertakan 3 gambar minyak masak. Persoalan yang perlu dijawab serta difikir, direnung, dimuhasabah dan diperbaik...
  • Mana satu pilihan anda setiap bulan? A atau B atau C?
  • Atau... anda beli minggu per minggu?
(A)


(B)


(C)



Ada satu lagi saiz (paling kecil Muthiah kira). Harganya dalam RM1.80. Muhasabah...

Banyak mana agaknya minyak masuk ke dalam tubuh kita sehari-hari? Tidak masuk gula, garam, MSG lagi. Jadi, apa yang boleh kita lakukan?

Okey. Selamat berfikir...
Labels: 0 comments | | edit post

Kembali


Hadiah hari jadi daripada JELITA ^_^

Cerpen : Kembali
Nama pena : Siti Muthiah
Majalah : Jelita 
Bulan : Mac 2013

Yuk dapatkan di pasaran. Ehe...

Di samping itu, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih Hanan kalungkan buat semua yang mengucapkan selamat serta mendoakan yang baik-baik pada hari ulang tahun kelahiran Hanan semalam.

Moga kita semua dirahmati ALLAH, diberi kesihatan yang baik oleh-NYA, dipermudah segala urusan, diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian-NYA serta berbahagia di dunia dan akhirat, insya-ALLAH, Amiin.

Salam sayang...

Bang, duduk rumah buruk pun tak apa...

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... 

Alhamdulillah. Masih diberi ruang dan peluang oleh ALLAH untuk menghirup udara-NYA yang segar lagi nyaman. 

Syukur... pada usia yang semakin meningkat ini... ALLAH kurniai Muthiah suami yang sangat baik dan penyayang... keluarga yang mengasihi Muthiah... sahabat-sahabat yang sentiasa membuatkan Muthiah tersenyum. Yes! Today is my birthday and I'm so happy to have all of you.

Jom kita selami kisah rumah tangga...



"Yah (bukan nama sebenar) tak minta rumah besar. Duduk rumah buruk pun tak apa asal duduk sendiri. Yah dah cakap dekat Abang tapi Abang buat tak dengar saja."

Teringat Muthiah pada keluhan seorang teman. Untuk pengetahuan, dia sekeluarga tinggal bersama mentua. Ada anak dua orang (atau sudah tiga?... Muthiah tidak pasti). Yang menjadi masalah ialah apabila sang suami kerja tidak kerja. Duit 'hilang' entah ke mana. Perokok tegar. Oleh sebab duduk satu bumbung dengan mentua, hendak tidak hendak... sang mentua terpaksa menambah barang basah, barang basuh dan macam-macam keperluan lain. Hendak marahkan si anak, tidak sampai hati. Maka, menantulah yang menjadi mangsa. Sekarang, sahabat Muthiah ini sudah pun berpisah dengan suaminya. Dengar cerita, sahabat Muthiah main kayu tiga. Oleh sebab Muthiah hanya mendengar dari sebelah pihak... maka tidaklah Muthiah menerima bulat-bulat. Apapun... moga mereka berbahagia di dunia dan akhirat( walau apa pun pilihan mereka).

Sumari permasalahan

  1. Satu keluarga duduk dengan mentua - Mungkin tidak akan menjadi masalah sekiranya semua orang menunaikan peranan masing-masing. Juga, sekiranya semua orang bersetuju untuk duduk di bawah satu bumbung. Iyalah. Ada orang, lebih sukakan privasi.
  2. Suami kerja tidak kerja - Dengan lain perkataan, tidak mempunyai pendapatan tetap. Ditambah dengan duduk dengan ibu ayah membuatkan dia merasakan diri berada di zon selesa. Berbeza keadaannya jika suami isteri itu duduk sendiri, sesuatu perlu dilakukan untuk kelangsungan kehidupan.
  3. Suami perokok tegar - Agak-agak, berapa RM-kah yang dihabiskan sehari untuk memenuhi keperluan (hisap rokok) ini?
  4. Suami tidak menyediakan keperluan rumah (hanya mengharapkan ibu dan ayah) - Sehari dua, mungkin masih tidak apa. Sebulan dua pun masih boleh menahan rasa. Kalau bertahun-tahun. Tambahan pula, ibu ayah masih punya tanggungan lain. Gaji pun tidaklah sebesar mana. Lainlah kalau ibu ayah berpendapatan tinggi, outstation pun bawa satu famili.
  5. Marahkan sang anak, menantu menjadi mangsa - Pernah dengar atau lalui keadaan ini? Kita marahkan anak kita yang membuat kita terasa hati tetapi menantu pula yang menerima tuduhan melulu kita?
  6. Sang isteri kecewa dengan sikap suami yang tidak nampak usaha mahu membina keluarga sendiri (dari kes di atas).
PERNAH MELALUINYA?

Okey. Lain waktu, Muthiah sambung ya. Sudah lewat 10 minit untuk masuk pejabat. Salam sayang buat semua :)

Adoi... badan berbaulah!

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Bersemangat untuk memulakan kerja? Muthiah... Alhamdulillah. Setelah hampir seminggu berada di kampung, terasa fresh. Seronok berjumpa dengan ibu ayah serta adik-beradik. Moga ALLAH mempermudah perjalanan dan perancangan Muthiah hari ini. Dalam masa yang sama, tanamkan dalam hati...

Kita merancang. ALLAH merancang dan DIA-lah sebaik-baik PERENCANA.

Okey...

Pagi tadi, sambil Muthiah menyediakan sarapan pagi buat suami, Muthiah turut mendengar tazkirah Tanyalah Ustaz di TV9. Ustaz tersebut bercakap tentang kebersihan


Foto : Sekadar gambar hiasan.

Ya. Pernah terdengar ungkapan ~ Kebersihan sebahagian daripada iman?

Justeru, hendak tidak hendak... mahu tidak mahu, kita hendaklah menitik beratkan kebersihan dalam diri dan hidup kita. Lagipun, sebagai umat Nabi Muhammad SAW, sewajarnya kita mencontohi segala sesuatu yang ditunjuki baginda. Nabi ALLAH Muhammad merupakan seorang pembersih. Menurut cerita Ustaz (dalam rancangan tersebut), sewaktu Nabi SAW wafat, Sayidina Ali R.A. hanya menemui 10 helai uban di kepala dan 7 helai uban pada janggut baginda. Hal ini menunjukkan Nabi SAW amat mengutamakan kebersihan. 

#Untuk kupasan lanjut, sila rujuk siaran ulangan (atau ada di Youtube?) Rancangan Tanyalah Ustaz TV9; 25 Februari 2013.

Bagaimana pula dengan diri kita?

Hari ini, Muthiah tidak mahu menyentuh terus tentang kebersihan. Namun, Muthiah ingin berbicara mengenai bau badan. Haaaa... boleh juga dikaitkan dengan kebersihan, bukan?




Pernah duduk di sebelah seseorang, dan hidung kita terasa 'sakit' dek kerana bau hapak yang disebarkannya? 

  • Situasi - sewaktu sedang makan. Akibat - hilang selera makan/ hendak muntah dll.
  • Situasi - sewaktu sedang solat berjemaah. Akibat - solat tidak/ kurang khusyuk dll.
  • Situasi - sewaktu sedang mendengar ceramah/ kuliah. Akibat - rasa tidak selesa dll. 
  • Situasi - sewaktu tengah belajar. Akibat - hilang fokus!
  • Situasi - sewaktu bersesak-sesak di dalam bas. Akibat - Have no choice. ______.

Macam mana pula jika kita yang berada di tempat orang yang berbau hapak itu? Dengan lain perkataan, kitalah yang menyebarkan bau tersebut.

  • Sedarkah kita? 
  • Apakah reaksi orang di sekeliling kita?
  • Pernah kena tegur? Jika pernah, apa pula tindakan kita? Buat 'dek' sahaja? Atau, fikirkan sesuatu untuk mengurangkan bau badan kita? 

Hmm.. 

Tidak boleh salahkan juga. Bau ini 'semulajadi'. Betul? Kita sendiri pun, acap kali/  mengalaminya. Betul? Lebih-lebih lagi, bila...

Badan berpeluh. Bilakah badan seseorang berpeluh? 

  • Duduk tengah panas.
  • Buat macam-macam kerja. Sekejap ke sana. Sekejap ke sini. 
  • __________________

Betul atau tidak...

  • Ada yang berpeluh tanpa bau.
  • Ada yang berpeluh dengan 1001 bau.
Apa lagi punca badan berbau?
  • ______________________
  • ______________________
  • ______________________
Jadi, hendak buat macam mana?

Kita mungkin tidak dapat mengelakkannya tetapi kita boleh berusaha mengurangkannya.

Mandi.

  • Mulakan hari/ aktiviti kita dengan mandi pada awal pagi. Ustaz dalam TV9 cakap, kalau ada asma, sebaiknya mandi dengan air sejuk. Bermula dari kaki dan ke atas. Sental badan dengan sabun. Jangan lupa gosok gigi. Jadikan amalan harian kita.
  • Kalau boleh, paling tidak... mandilah dua kali sehari. Sebelah pagi sebelum ke tempat kerja dan sebelah petang/ malam, sesudah balik daripada kerja. Iyalah. Seharian kita beraktiviti. 
Gosok gigi/ bersugi.

  • Muthiah pernah terbaca, bersugi adalah sunnah Nabi (boleh cari sendiri ya).
  • Selain itu, Muthiah juga pernah terlihat di dalam akhbar, 'Salah satu faktor mulut berbau busuk adalah kerana seseorang itu tidak menjaga kebersihan mulutnya.' Salah satu cara untuk menjaga kebersihan mulut ialah dengan gosok gigi/ bersugi. Kalau hendak tambah dengan berkumur lagi baik. Ada masa dan ruang, boleh buat pemeriksaan gigi dan mulut.
Jaga pemakanan. Betul tak?
  • Muthiah pun tidak pasti. Nanti, cubalah rujuk dalam mana-mana artikel tetapi bagi Muthiah... dalam bab pemakanan ini... makanlah makanan yang HALAL. Bukan setakat menghindari arak atau babi tetapi tanya balik pada diri, 'Dari mana datangnya sumber rezeki kita?' - Daripada ALLAH, pasti! Persoalan kedua, sumbernya halal atau sebaliknya?
Okey. Terlewat sudah masuk pejabat. Yang baik, jadikan panduan. Yang tidak baik, abaikan. Yang tidak mengikut citarasa... fikir-fikirkan. Salam ukhwah penuh kasih sayang.

Labels: 0 comments | | edit post

Sharing session - Tips pitching yang berkesan

Assalammualaikum. Selamat berhujung minggu. Buat apa hari ini? Muthiah... tidak ke mana-mana. Hanya menanti kedatangan adik ipar yang hendak datang berziarah. Petang nanti, hendak cari barang dapur dan mop. Oh... mop adalah salah satu 'kawan baik' yang tidak mampu dipisahkan dengan Muthiah. Sayang kamu, En. Mop!

Okey. Hari ini Muthiah ingin berkongsi satu catatan peristiwa.



Peristiwa : Sharing session - Tips pitching yang berkesan
Tempat : Kompleks Kejiranan Putrajaya, Precint 9
Tarikh : 23 Februari 2013
Masa : 10.00 pagi - 1.00 tengah hari
Pengisian oleh : En. Zabidi Mohamed

 AJK dan peserta bergambar kenangan dengan En. Zabidi Mohamed.


 Yeah! Rakan-rakan penulis di Grup Buku Karangkraf bergambar dengan bos besar, Puan Sri Diah Shaharuddin. Dari kiri, Novelis Meen Zulaikha, Norzailina Nordin, Eka Fahara, Puan Sri Diah, Asnidar Shafie dan Laila Kamilia.

 En. Zabidi tidak lokek berkongsi pengalaman dan ilmu berkenaan tips pitching. 


Dengan rakan penulis, Novelis Meen Zulaikha.


 En. Ahmad bin Sa'abun turut menyampaikan sepatah kata. 

 Gambar kenangan Muthiah dengan rakan-rakan penulis Grup Buku Karangkraf. 

 Begitu khusyuk Novelis Norzailina Nordin mendengar perkongsian daripada En. Zabidi Mohamed.


 Seorang peserta mengemukakan soalan kepada En. Zabidi. 


 Salah seorang novelis yang Muthiah kagumi, Eka Fahara. Tidak sombong dan sangat mesra alam.


 Penulis skrip, Suzanna Zaily Zin dan Shaza Taib. Baru kenal. Tidak sempat beramah panjang. Salam ukhwah, kak :)

 En. Zaini Kosnin yang selalu tidak kedekut ilmu berkongsi ilmu. Moga ALLAH merahmati beliau dan keluarga.


 Semua senyum suka mendengar cerita En. Zabidi Mohamed.

 Wah... sahabat baharu Muthiah pun ada, Penulis Skrip Drama, Sdr. Zaharuddin Md Desa.


Kiri, Mimi Haris juga adalah sahabat baharu Muthiah. Salam kenal, Mimi yang comel.

Cukup perkongsian untuk hari ini. Moga kami semua dan sahabat-sahabat berjaya dalam segala lapangan yang diceburi. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Bukan mudah hendak berjaya tetapi yakinlah, ALLAH dekat dengan hamba-hamba-NYA yang tidak putus asa berusaha.

Muthiah : Memetik kata-kata Robert Kiyosaki, ' Investing is like driving a car. If you have no drivers education or driving experience, driving a car is a very, very risky. Get educated.' Yes! Now, I'm investing for knowledge.

Jom beli barang basah di...

Assalammualaikum. 


Foto : Sekadar gambar hiasan.

Kalau nak beli barang basah, datang sini (Mydin Putrajaya) hari Jumaat, Sabtu atau Ahad. Harganya murah. Kalau di pasar, mahal.

Kata seorang gadis manis kepada Muthiah. Waktu itu, Muthiah dan sang gadis sama-sama tengah menelek ikan. Segar juga. Mata ikan pun 'tak mengantuk' lagi.

Lagi, kat mana ya nak cari lauk basah dengan harga yang berpatutan?

Soal Muthiah macam sudah lama kenal.

Dekat sinilah kalau murah pun. Tempat lain, mahal. Kalau ada pun, tak banyak macam di sini.

Muthiah mengangguk-angguk. Fikiran terkenangkan Ipoh yang indah permai. Lauk basahnya, pelbagai. Rambang mata hendak pilih. 

Terima kasih, ya. Akak duduk sini ke?

Setelah selesai soal jawab, baru hendak berkenalan. Adoi.

Saya belajar lagi di UKM. Duduk dengan famili. Belum kahwin. Umur 24 tahun. Awak umur berapa? Awak baru kerja sini ke?

Muthiah tersenyum. 

Tak. Saya suri rumah. Suami baru pindah kerja dekat Putrajaya. Umur dah 31 tahun.

Sang gadis nampak terkejut. Senyumnya melebar.

Laaaa... Nampak muda. 


-Selesai-

Kesimpulan yang boleh Muthiah buat. Datanglah membeli barang-barang dapur pada hari Ahad (hari Sabtu, tak dapat plastik). Datang awal pagi lagi baik. Orang kurang, barang basah pun lebih segar (kot).

Okey. Masuk pejabat dahulu. Sekian catatan buat para suri rumah di kawasan berdekatan.

Aku bukannya orang gaji!

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... baik-baik sahaja. Doakan Muthiah mencapai cita-cita untuk bergelar penulis berjaya, ya. Insya-ALLAH, Amin...


------------------------------------------------------------------------

Baru-baru ini, Muthiah terbaca satu luahan hati dan perasaan di satu grup di Facebook. Ehe... mana lagi, kan? Facebook dan blog memanglah kawan baik Muthiah. 

Luahan tersebut berbunyi begini (lebih kurang)...

Saya seorang suri rumah sepenuh masa. Kerja saya sehari-hari ialah menjaga anak-anak dan memberesi urusan rumah (memasak, membasuh, mengemas, menyidai pakaian dll). Untuk pengetahuan, adik ipar saya duduk menumpang di rumah kami.

Saya tidak ada masalah adik ipar hendak duduk bersama kami. Yang membuatkan saya berasa sangat kesal ialah sikap malasnya. Saya masak pagi, dia tolong makan sahaja sebelum keluar ke tempat kerja. Saya masak untuk makan malam, dia makan juga setelah balik dari tempat kerja. Kerja menyapu, membasuh tandas (termasuk yang digunakannya), semua saya buat. Dia hanya membasuh pakaian dia seorang sahaja. Saya tahu, dia bekerja... saya pula setakat suri rumah sepenuh masa yang hanya menjaga anak-anak. Namun, saya pun ada perasaan juga. Hal ini kadang-kadang membuatkan saya tertekan. Tidak bolehkah bangun awal untuk tolong sekali? Saya bukannya orang gaji.


#Cerita di atas Muthiah susun balik#

-Selesai-


Apa-apa, kita senyum dahulu. Bertenang... istighfar... ingat ALLAH. DIA tidak akan menguji kita sesuai dengan kesanggupan dan kemampuan kita. 

Antara komen yang diterima daripada post tersebut...
  • Maklumkan kepada suami dan biarlah suami yang menegur adiknya.
  • Ada juga yang tidak mengalami masalah sebegini apabila semua orang memainkan peranan masing-masing. 
  • Apabila tidak ada rasa tanggungjawab dan bertimbangrasa dalam diri, beginilah jadinya.
  • Fahamkan suami situasi yang dihadapi. Jangan pendam sendiri. 
  • Buat yang terbaik, yang mampu kita lakukan. Kalau masih punya mentua, moga apa yang dibuat menambah kasih mentua pada kita. 
Respons sahabat-sahabat pula bagaimana? 

_____________________________
_____________________________
_____________________________


Respons Muthiah... 

Adik lelaki pernah duduk sekali dalam tempoh lebih kurang dua bulan. Oleh sebab lelaki, tidaklah terasa sangat. Kerja rumah, Muthiah yang setelkan. Tolong buang sampah di luar tu, adalah dia buat sekali sekala. Baju, dia basuh sendiri. Lain-lain pengalaman, belum pernah Muthiah lalui. Maka... mungkin Muthiah dapat memahami tetapi tidak cukup mampu menyelami apa yang dihadapi sahabat kita ini. 

Namun, apa yang Muthiah boleh katakan...

1. Sikap malas itu sebenarnya kelak memakan diri sendiri. Tidak kisahlah ketika kita berada di rumah kakak, abang, keluarga, saudara mara, kawan atau menyewa sendiri. Paling merunsingkan... apabila sikap tersebut terbawa-bawa sampai setelah kita berumah tangga. Jangan  rajin ikut masa dan tempat sahaja. Orang memuji tetapi tidak akan ke mana.

2. Apabila kita duduk di rumah orang (tidak kiralah di rumah adik-beradik kita @ emak saudara kita @ ipar duai kita @ nenek kita )...
  • Hormatilah tuan rumah.
  • Ringankan tulang kita, jangan anggap diri tetamu sepanjang masa. Lebih-lebih lagi apabila kita menumpang untuk jangkamasa yang lama.
  • Buatlah sesuatu agar disenangi tuan rumah. Macam kes di atas... cuba korbankan diri, bangun awal pagi... membantu ipar kita di dapur. Walaupun kita penat dan stres di tempat kerja, cuba kita ambil hatinya dahulu. Kalau tidak mampu buat hari-hari, buatlah setakat yang mampu. Hendak seribu daya...
  • Jadikan rumah yang kita duduki itu (walaupun bukan rumah kita) macam rumah kita sendiri. Apa yang ingin Muthiah katakan di sini... bukanlah buat apa sahaja sesuka hati kita tetapi... kita jaga rumah tersebut elok-elok. Sapu sampah... buang sampah... basuh tandas... basuh pinggan mangkuk macam ketika kita duduk di rumah sendiri. Cuba tengok kebiasaan tuan rumah. Kemudian, ambil hati dia dengan membuat sama apa yang dia lakukan. Tidaklah kita memerap dalam bilik sepanjang masa.
  • Boleh juga berikan hadiah pada tuan rumah pada hari-hari penting mereka. Untuk ambil hati, mungkin.
  • Ada duit, bantulah juga tuan rumah. Kita kena ingat, beradanya kita di situ bermakna bertambah kos perbelanjaan mereka. Jangan kita beli itu ini di luar tanpa kita ingat orang yang membantu kita.
3. Bagi tuan rumah pula...
  • Bertenanglah. Tetamu itu membawa berkat. Insya-ALLAH, kita tidak akan miskin apabila membantu mereka yang memerlukan.  
  • Kalau ada yang tidak puas hati (macam kes di atas, boleh bincang dengan ketua keluarga). Cakap elok-elok agar tidak ada yang terguris. Kadang-kadang, sikap seseorang itu berpunca daripada didikan awal masa kecilnya. Maka, tidak boleh salahkan dia seratus peratus.
  • Cuba ajak sekali ipar tu tolong. Boleh jadi bukan mereka yang malas tetapi mereka segan. Ada ke? Lebih-lebih lagi apabila melihat keseriusan kita. Senyum tidak pernah. Terserlah rasa tidak suka kita terhadap orang yang duduk menumpang di rumah kita. Apa kata kita minta dia tolong di dapur.. tolong sapu sampah... tolong itu dan ini. Kalau dia tidak buat juga lain cerita.
  • Sesungguhnya, ALLAH bersama insan yang sabar.
  • Sayangi SEMUA orang sebagaimana kita sayangi diri kita dan keluarga. Bukan orang lain pun...
Sekiranya permasalahan tidak dapat diselesaikan juga...

Mohonlah kepada ALLAH agar ditunjuk jalan yang sebaiknya buat diri dan semua orang. 

Hmm.. cukup untuk hari ini. Perkongsian di atas adalah brain storming untuk pelbagai kes yang punya kaitan. Tidak terhad kepada permasalahan yang diutarakan di atas. Boleh guna mengikut kesesuaian. Mungkin ada yang sesuai. Boleh jadi juga tidak sesuai dengan situasi kita. Yang baik... ambil. Yang tidak baik, jadikan teladan. Muthiah tidak menyokong atau menyalahkan mana-mana pihak. ALLAH uji seorang manusia, tidak sama. Lain orang, lain kemampuannya untuk menghadapi sesuatu dugaan. Kalau kita mampu hadapi sesuatu perkara, jangan perlekeh orang lain yang tidak kuat mendepaninya. 

Yuk..

  • Tanamkan rasa tanggungjawab dalam diri.
  • Letakkan kaki kita ke dalam kasut orang lain dan rasai apa yang dia rasa.
  • Dekatkan diri sentiasa dengan ALLAH.
Moga ALLAH memberi kekuatan buat kita semua (atas segala ujian yang diturunkan-NYA).

Welcome to Putrajaya

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? 

  • Mulakan harimu dengan senyuman. 
  • Tenangkan hati dengan mengingati TUHAN. 
  • Lapangkan jiwa dengan memberi kemaafan serta berlapang dada. 
  • Serah segalanya kepada penghitungan ALLAH kerana PASTI! DIA Maha Adil lagi Bijaksana.

Pejam celik, pejam celik... sudah lebih seminggu Muthiah duduk menyewa. Dua minggu sebelumnya, menumpang di rumah pak cik.  

Alhamdulillah... operasi rumah sudah berjaya diberesi. Tunggu untuk menambah barang-barang rumah yang masih belum cukup sahaja. Iyalah. Sebelum ini, diam di kuaters, almari dan kabinet sudah sedia ada. Sekarang, kena cari sendiri. 

Tidak apa... no worry. Cari sedikit demi sedikit, mengikut kemampuan diri... lama-lama, lengkaplah tu. Apa yang penting, ceria sentiasa dengan apa yang ALLAH limpahkan kepada diri kita. Secara zahirnya, memang diri sendiri dan suami (atau ada yang hadiahkan) yang membeli itu dan ini namun hakikatnya, SEMUA ITU ADALAH DARIPADA ALLAH YANG MAHA BERKUASA.





Perumpamaan hari ini :

Ada duit, hantar baju ke dobi. 
Kurang duit, cari mesin basuh... basuh manual.
Atau... ambil berus sabut, sentallah pakaian sendiri.

Mencari Naurah (Bab 85)

Novel | Mencari Naurah


Foto : Sekadar gambar hiasan. Kredit http://depositphotos.com.

Di Alamanda...

“Umi, Is hendak kereta ini,” matanya tidak berkelip memandang kereta mainan yang tersusun elok di atas rak pameran.

“Kita jalan-jalan dahulu,” aku membujuknya lembut. Mak ai, RM200. Boleh gugur rambutku...

“Umi, hendak beli teddy bear ini,” Maria pula menarik lenganku.

“Itu Barbie Doll, Sayang.” Entah betul, entahkan salah. Yang pasti, ia bukanlah seekor beruang tetapi tergolong dalam kategori anak patung!

“Hendak juga, hendak juga, hendak juga ...” Maria menghentak-hentakkan kaki.

“Sabar, Sayang. Kita jalan-jalan dahulu,” aku mengusap rambutnya perlahan.

“Alaaaa...”

Sedang asyik melayan karenah mereka, mataku tiba-tiba tertumpu kepada satu sosok tubuh. ‘Macam kenal,’ bisik hatiku. Ya, aku mengenalinya. Di sampingnya, ada seorang kanak-kanak yang aku kira sama usia dengan anak-anakku. Semakin lama, ia semakin hampir denganku. Akhirnya...

“Assalammualaikum,” ucapnya perlahan.

“Waalaikumussalam,” aku memandangnya antara percaya dengan tidak.

“Asha kenal saya lagi?” lelaki itu tersenyum manis. Tampan...

“Anuar bukan?” aku mengingat-ingat. Mataku masih lagi memerhatikan Iskandar dan Maria yang agak aktif. Bukan sekadar aktif tetapi hiperaktif.

“Kenal pun...” ia membalas. Masih lagi tersenyum.

“Comel anak,” ujarku sambil membalas senyumannya. Ah, putera puteriku sudah punya teman baru. Sesuai... sama-sama hiperaktif.

“Jangan main kejar-kejar, Sayang,” aku segera memaut lengan Iskandar.

“Nanti jatuh,” sambungku lagi.

“Betul, betul, betul...” ia mengiyakan tetapi berlari-lari semula.

“Anak buah daaa. Saya belum nikah lagi,” Anuar berterus-terang. Terkedu namun aku cuba berlagak biasa. Mataku lebih tertumpu kepada pergerakan putera puteriku. Khuatir kalau-kalau mereka terlanggar pelanggan lain tatkala sedang asyik berkejaran. Tidak pun, jatuh tersungkur di dalam kedai yang padat dengan barang mainan ini.

“Mana Asyraf?” kepala Anuar berpusing-pusing memerhati sekeliling. Sekejap-sekejap, ia menjenguk ke luar kedai. Hmmm... pasti tidak akan ketemu. Aku hanya diam. Pura-pura tidak mendengar butir bicaranya.

“Manakah perginya suami tercinta?” Senyum Anuar nampak tidak asli.

Hendak tidak hendak, terpaksalah aku menjawab, “Asyraf sudah meninggal dunia lima tahun lalu.”

“Iskandar, Maria... mari sini,” aku memanggil anak-anakku. Sudah tiba masanya aku beredar dari tempat ini.

“Apa???” Seperti yang kuduga, Anuar pasti terperanjat.

“Arwah terlibat dalam kemalangan jalan raya,” kataku dengar tidak dengar. Cukup perlahan. Agak-agak hanya didengari oleh aku dan Anuar. Air mukaku berubah. Sudah begitu lama aku tidak berbicara tentang dia.

“Inalillahiwainnailahirajiun,” Anuar tertunduk. Lidahnya kelu. Aku turut bisu tidak mampu mengungkap sepatah kata. Wajah Asyraf tiba-tiba hadir dalam hatiku.

“Umi, hendak teddy bear itu,” pujuk Maria sambil menarik-narik bajuku. Masih dengan ‘beruangnya’ meskipun sudah kukatakan bahawa mainan itu merupakan anak patung.

“Umi, hendak kereta ini,” Iskandar merengek-rengek pula. Ia sudah memeluk erat kereta idamannya.

“Mahal, Sayang,” aku berterus-terang. Aku menyayangi anak-anakku. Justeru, aku tidak mahu melalaikan mereka dengan kemewahan meskipun Dato’ Ghazali telah memperuntukkan sejumlah wang yang mencukupi untuk aku berbelanja buat mereka. Sayang anak, biarlah berpada-pada. Kalau tidak, bisa menghancurkan masa depan mereka.

“Alaaaa...” mereka mengeluh serentak. Kemudian, berlari-lari kembali.

“Iskandar anak sulung?” tanya Anuar.

“Mereka saudara kembar,” jawabku pendek. Mataku tidak lekang memandang Iskandar dan Maria yang semakin galak bermain-main.

“Berapa tahun?” soal Anuar lagi.

“Insya-Allah, bulan depan lima tahun.” Mataku membulat. Anak-anakku ini...

“Iskandar, Maria, Arisya...” Anuar memanggil mereka perlahan tetapi agak tegas. Maria yang sedang mengejar teman barunya berhenti mengejut.

“Pin, pin...” jerit Iskandar.

“Hendak berhenti, berilah isyarat. Macam dalam televisyen. Nasib baik tidak kemalangan. 
Kalau tidak, siapa susah? Umi juga yang susah,” sambungnya lagi. Ia memandangku sekilas kemudian berkalih kepada Maria yang sedang mencebikkan bibirnya. Anak gadisku itu kemudiannya memuncungkan mulutnya ke arah Anuar.

“Maria... tidak baik buat macam itu,” aku meninggikan suaraku sedikit.

“Betul, betul, betul...” Iskandar menganggukkan kepalanya tanda menyetujui kata-kataku. Hmmm... tidak pula kedengaran Maria menyambung kata-kata kembarnya sepertimana biasa.

“Abi panggil,” ujar Maria tanpa berfikir panjang. Aku dan Anuar sama-sama terkesima. Kami saling berpandangan. Ah, si anak kecil memang tidak tahu apa-apa.

“Pakcik...” aku berbisik perlahan.

“Ini Maria punya. Yang ini Iskandar punya,” Anuar segera menghulurkan anak patung serta kereta yang menjadi idaman putera puteriku.

“Anuar...” aku menggeleng tanda tidak setuju.

“Tidak perlu,” tambahku lagi.

“Tidak apa. Anggap sebagai cenderahati daripada saya setelah sekian lama tidak berjumpa,” balasnya lalu membuat pembayaran di kaunter.

“Terima kasih, Abi,” ucap Maria.

“Tidak betullah...” sampuk Iskandar.

“Terima kasih, Pakcik. Abi sudah meninggal dunia. Allah sayang abi. Sebab itu Allah ambil abi,” bersungguh-sungguh anak sulungku itu memberi penerangan. Aku hanya diam. Sebak... sudah sekian lama perihal Asyraf tidak diperkata sesiapa.

“Jom kita pergi medan selera. Asha belanja,” aku mempelawa Anuar lembut.

“Boleh sahaja. Rezeki jangan ditolak,” Anuar cepat-cepat memimpin Maria dengan erat manakala aku pula memegang tangan Arisya dan Iskandar.

‘Alangkan bahagianya kalau Asyraf masih ada.’ Tiba-tiba, air mataku jatuh ke pipi. Segera aku mengesatnya.  ‘Asha merindui Abang,’ bisik hati kecilku.

“Guna sapu tangan ini. Saya masih belum guna,” Anuar menghulurkan sapu tangannya kepadaku.

“Maafkan saya kerana membuatkan Asha terkenang kembali arwah,” sambungnya lagi. Aku semakin pilu...


Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

Mencari Naurah (Bab 84)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan


“Opah!!! Is hendak pergi jalan-jalan,” jerit Iskandar, anak sulungku kepada neneknya. 

“Ya, umi hendak beli mainan banyak-banyak,” sampuk kembarnya, Maria. Tidak padan dengan perempuan. Ia cuba memanjat kerusi yang diduduki neneknya dengan sepenuh hati. Iyyah, iyyah.....

“Opah mahu ikut?” mereka bertanya serentak.

Datin Khatty hanya tersenyum lalu berkata, “Hendak beli hadiah banyak-banyak?”

“Betul, betul, betul...” jawab Iskandar sambil menganggukkan kepalanya yang sedia botak. Macam Ipin dalam siri animasi kanak-kanak Upin dan Ipin pula.

“Hmmm...” sambung Maria. Sah, anak-anak kecil ini sudah terpengaruh dengan watak Upin dan Ipin. Baru-baru ini, aku membawa mereka menonton filem Geng : Pengembaraan Bermula di pawagam dan mereka amat teruja menyaksikan gelagat adik-beradik kembar itu bersama rakan mereka, Rajoo.

“Opah penat. Nanti, Is belikan Opah mainan, boleh?” ujar Datin Khatty lembut. Ia menghirup air suam yang disediakan Dewi perlahan.

“Mana boleh!!!” Maria memuncungkan mulutnya.

“Kenapa tidak boleh?” Datin Khatty mengangkat Maria yang terjatuh dari atas kerusi.

“Mainan untuk budak kecil. Opah budak besar. Mana boleh main mainan,” ia menjawab dengan penuh yakin.

“Betul, betul, betul...” sampuk Iskandar.

“Hmmm...” secara spontan Maria menyambung ‘hmmm’nya.

“Iskandar, Maria hendak ikut umi atau tidak?” aku bertanya dari muka pintu.

“Hendak, hendak, hendak...” mereka menjawab serentak.

“Kalau hendak ikut, cepatlah,” aku menggesa mereka. Sepantas kilat mereka berlari mendapatkanku.

“Ha, lupa salam opah?” aku membulatkan mataku yang sedia sepet.
“Betul, betul, betul...” kata Iskandar.

“Hmmm...” balas Maria. Mereka segera berlari mendapatkan opahnya yang masih setia memerhatikan gelagat mereka.

“Apa yang betul, Is?” tanya Datin Khatty. Rambut Iskandar diusapnya perlahan.
“Tidak tahu,” jawabnya spontan.

“Ish, ish, ish. Maria tidak pakai tudung?” Datin Khatty memandang cucu perempuannya sambil tersenyum.

“Dengan umi. Pakai dalam kereta.”

“Asha pandu kereta baik-baik,” pesan Datin Khatty.

“Insya-Allah, Mama,” ujarku pendek.

“Umi tidak salam opah!” jerit Maria.

“Betul, betul, betul...” Iskandar mengiyakan.

“Hmmm...” Maria menyambung. Oh, aku terlupa untuk bersalam dengan Datin Khatty. Aku memandang putera puteriku sambil tersenyum. Bersyukur kerana dianugerahi Allah sepasang kembar yang sentiasa mengingatkanku tatkala aku lupa.

“Ya, Sayang. Mama salam opah dahulu,” cepat-cepat aku berjalan ke arah ibu mertuaku.
“Jaga diri baik-baik,” pesannya separuh berbisik lalu mencium dahiku.

“Insya-Allah,” balasku.

Aku pun membawa Iskandar dan Maria menaiki kereta Waja yang telah dihadiahi Dato’ Ghazali. Katanya, untuk memudahkanku berulang-alik ke tempat kerja. Aku menerima pemberiannya dengan senang hati.

Sekurang-kurangnya, Pak Alias dapat memberi tumpuan untuk menghantar ibu mertuaku ke sana ke mari. Kalau dahulu, ia gemar ke salun mahupun spa tetapi tidak kini. Surau dan masjid merupakan rumah keduanya. Kalau tidak solat berjemaah di sana, ia pasti mendalami ilmu agama. Secara tidak langsung, Pak Alias pun akan turut serta.

“Bye bye, Opah,” ucap Iskandar.

“Hi hi bye bye, Opah,” jerit Maria pula. Ish, dari mana dia belajar istilah ini? Ikut penyanyi Ezlyn? Lagu ciptaan KRU itu sememangnya mendapat tempat di hati para pendengar. 
Kalau tidak, masakan dapat memenangi hadiah utama kategori pop rock Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun sudah.

“Duduk elok-elok. Pakai tali pinggang. Baca doa naik kereta,” aku berpesan kepada Iskandar dan Maria.

“Allahumma barik lana fima razaktana waqina azabannar,” Iskandar memulakan bacaannya.

“Itu doa makanlah,” sampuk Maria.

“Samalah. Doa juga,” balas Iskandar.

“Mana ada nasi hendak makan?” Maria masih belum berpuas hati.

“Sudah, sudah... umi tinggal tepi jalan. Mahu kena tinggal?” aku berpura-pura marah.

“Abang baca doa salah,” kata Maria.

“O.K., Maria bacakan,” aku berkata kepada Maria.

“Bismikallahuma ahya wa amut,” ia terus membaca doa tersebut.

“Itu doa tidur daaa,” kataku sambil ketawa perlahan lalu membacakan doa menaiki kenderaan. Mereka adik-beradik turut sama ketawa.



Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

Jus lobak susu

Assalammualaikum. Selamat malam, semua. GOMO KELATE GOMO. Haha... Padahal, Muthiah tidak minat bola sepak pun. Akan tetapi, berusaha meminatkan diri ke arah itu agar dapat SAMA dengan suami. Perlahan-perlahan deh.

Malam ini, Muthiah hendak bereskan satu urusan. Jadi, tidak dapat berceloteh panjang. Apa kata Muthiah berkongsi resipi jus lobak susu yang Muthiah buat tadi.

Jus lobak susu



Bahan-bahan

1 batang lobak merah (Muthiah ambil yang bersaiz kecil dan montok).
1 sudu gula
1 sudu susu tepung
1 cawan air

Cara membuatnya

  1. Potong halus-halus lobak merah. 
  2. Kemudian, masukkan semua bahan ke dalam alat pengisar.
  3. Dan... kisarlah.
  4. Kalau rajin, tapislah ya.
  5. Kalau ada alat pengisar buah, lagi baik.

Selamat mencuba.

Muthiah : Suami cakap, okey. Sedap! Muthiah cakap... huhu... tak manis pun. Mungkin lagi sedap kalau guna susu pekat manis.
Labels: 0 comments | | edit post

Sakit

Assalammualaikum. Apa khabar? Lewat mengemaskini blog hari ini. Ada beberapa perkara yang perlu Muthiah bereskan. Dahulukan yang penting... disusuli dengan yang kurang penting berbanding yang lebih penting tadi. Ini bermakna, semuanya masih penting. Apakah perkara yang paling penting dalam hidup kita?

  • Bahagia bersama keluarga tercinta?
  • Banyak duit, mewah harta?
  • Mempunyai pekerjaan yang stabil?
  • Dikelilingi oleh kawan-kawan yang baik belaka?
  • Berjaya mencapai cita-cita dan impian?
  • Dapat close sale?
  • Buku kita jadi best seller? Alhamdulillah.
  • Karya tersiar di media cetak?
  • Menjadi hamba ALLAH yang terbaik?
Hmm...

Semenjak berpindah tempat tinggal (dari Ipoh ke Dengkil), kondisi kesihatan Muthiah tidak cukup baik. Kata diri sendiri, culture shock di tempat baharu agaknya. Kata hati, mesti memuhasabah diri sendiri. Jauh daripada ALLAH mungkin. DIA mahu kita kembali mengharapkan DIA.

Sungguh...

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Apabila sakit, segala yang berada di hadapan mata tidak terasa kenikmatannya. 
  • Nasi ayam penyet yang sedap terasa payau. 
  • Air jus oren yang manis terasa tawar. 
  • Bau yang wangi tidak terasa apa-apa. 
  • Blablabla...
Dengan kata lain... hatta kita punya duit yang banyak... harta berganda... kawan yang ramai... meski sedikit sebanyak bisa mengubat bebanan di dalam diri (ketika sakit), tetap tidak sama seperti mana ketika kita tengah sihat. 

Orang sakit...
  • Bermaknakah duit berjuta? - bermakna juga. Boleh cari rawatan yang terbaik. Sekurang-kurangnya mati nanti, adalah harta yang bakal ditinggalkan buat keluarga. 
  • Pengikut setia? - Boleh mendoakan yang baik-baik untuk kita.
  • Keluarga bahagia? - Setidak-tidaknya, kita tahu ada yang menyayangi kita.
Jadi, bagaimana?
  • Hargailah nikmat kesihatan yang ALLAH berikan kepada kita. 
  • Taati perintah ALLAH. Hindari larangan-NYA. ALLAH hendak bagi, sekelip mata kita dapat. ALLAH hendak tarik balik, pun sekejap sahaja. Jadi, jangan rasa kita memiliki semua kerana segalanya milik DIA.
Okey. Cukup untuk hari ini. Moga kita tergolong dalam lingkungan hamba ALLAH yang sentiasa bersyukur dan berusaha untuk mengislah diri... mendekat kepada-NYA. Maaf sekiranya terdapat unsur-unsur merapu di sini. Rasa lain macam pula catatan Muthiah hari ini :)

Muthiah : Sakit itu penghapus dosa. Kurangkan mengeluh, banyakkan beristighfar kepada-NYA.