Jualan buku dan stok baru


Assalammualaikum. Lama tidak mengemaskini info jualan buku. Agak sibuk. Ehe... Apapun, terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi mendapatkan karya Muthiah.


Alhamdulillah ^__^


Untuk rekod

Judul buku : Antologi Orang Berdosa
i) Cik ASY; 1 buah; 2 Julai 2012; Kuala Sungai Baru, Melaka; Pos laju.
ii) Cik WRS; 1 buah; 5 Julai 2012; Taman Dato' Harun, Selangor; Pos laju. 
iii) Cik IPR; 1 buah; 15 Julai 2012; Bangsar, Kuala Lumpur; Ambil sendiri.
iv) Puan WMWM; 1 buah; 23 Julai 2012; Tanah Merah, Kelantan; Pos laju.



Alhamdulillah. Stok baru buku juga sudah diambil. Bagi yang ingin mendapatkannya, boleh maklumkan kepada Muthiah di sini atau e-mel di xpdcsolehah99@gmail.com.

1) Mencari Naurah RM17
2) Air Mata Siti Hajar RM22
3) Antologi Orang Berdosa RM14

Nota : Jualan buku di atas tidak termasuk bayaran untuk kos penghantaran.

Ikan bawal masak merah

Assalammualaikum... 
  • Apa macam hari ini? ~ Mengantuk.
  • Semalam bangun sahur ~ Alhamdulillah... teruskan.
  • Hati ada okey? ~ 50-50. Hmm...
  • Why? ~ Ada perkara yang belum boleh dilapangkan. Mintalah pada ALLAH.
Ehe... ALLAH ada. Serah segalanya pada penghitungan ALLAH :)

Hari ini Muthiah ingin berkongsi resipi. Ikan bawal masak merah. Sebenarnya, ikan bawal masak merah ini ada makanan kegemaran Muthiah sejak dari kecil. Arwah mama sangat pandai masak ikan bawal ini. Jadi, sampai ke dewasa, Muthiah sukakannya. Namun, tidak pula Muthiah mampu masak sebagaimana arwah mama buat. Ingat ke? Okey, jom baca, masak petang nanti. Hiiii...
Ikan bawal masak merah
Nota : Abaikan kucai yang Muthiah tabur. Lagi sedap tanpanya :)
Bahan-bahan


Bahan goreng

  • 1 ekor ikan bawal, digaul dengan serbuk kunyit serta garam.

Bahan tumis

  • 3 ulas bawang merah2 ulas bawang putih3 biji cili api dan sedikit belacan ditumbuk bersama
  • 1/2 ulas bawang kuning (dihiris/ dipotong)
  • 3 sudu cili kering yang sudah dikisar
  • Sos cili
  • Sos tomato
  • Asam keping
  • Gula
  • Garam

Cara membuatnya

  1. Goreng ikan dengan minyak banyak, kemudian letakkan ke tepi (Muthiah suka stim  ikan yang sudah digoreng ini untuk turunkan minyak).
  2. Tumis bahan ditumbuk sampai naik bau/ kekuningan.
  3. Masukkan bawang kuning.
  4. Masukkan cili kering, sos cili dan sos tomato sekaligus (Kalau tidak gunakan sos cili dan sos tomato, masukkan garam, gula dan asam keping secukup rasa. Kalau guna, tidak payah masukkan).
  5. Setelah naik minyak, angkatlah.

Okey, selamat mencuba dan selamat berbuka berpuasa :)
Labels: 2 comments | | edit post

Sang wanita berkerudung hitam


Sang wanita berkerudung hitam
berlesung pipit 
senyumnya sampai ke telinga
manis sungguh
menanti riang di tepi jendela
sang kekasih pulang dari tempat kerja

Sang wanita berkerudung hitam
berjalan laju mendekati si dia
tangan dicium tanda cintanya
senyumnya melebar bicaranya ceria
jelas dia sungguh bahagia 

Namun siapa sangka
di sebalik senyum tawa
sang wanita berkerudung hitam
terselit duka yang dalam menyelubungi jiwa
menangis dia sendiri
merintih dia berseorangan
tidak mampu diungkap dengan kata-kata

Wahai hati yang selalu lupa
kadang tertipu dengan pandangan mata
acap kali didustai dengan bicara manis
sedang hati terpendam meronta-ronta
gelodak di dalam menahan hiba

moga wanita berkerudung hitam
kan terus tabah mengejar bahagia
Labels: 0 comments | | edit post

Kesilapan kerap Muslim pada bulan Ramadhan

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... 


Alhamdulillah. Sihat.. Ada sahur pagi tadi? Muthiah... julung kalinya bersahur tanpa nasi. Lain rasanya sebab selera Muthiah adalah pada nasi. Hahaha... Semalam, 'ter' makan pada tengah malam (dalam jam 1.30 pagi). Jadi pagi ini, bersahur dengan minum air suam serta madu. Apapun, Alhamdulillah.


Agak lewat mengemaskini blog. Pagi tadi, Muthiah membereskan urusan pembayaran bil dan beberapa hal lain. Alhamdulillah, setel sebahagian. Sahabat-sahabat, bagaimana? Moga kita semua tidak memandang enteng pada hutang, ya :)


Okey. Hari ini, Muthiah ingin berkongsi sesuatu yang Muthiah petik dari Facebook. Moga kita semua kan sama-sama mendapat manfaat daripadanya, insya-ALLAH. 


Mungkin...

dalam anjuran kebaikan itu,
tidak semua yang dapat kita lakukan.

Namun yuk...

kita tidak meninggalkan semuanya :)


  1. Makan dan minum sewenangnya setelah batal puasa (dengan sengaja).
  2. Bersahur pada tengah malam... bangkitlah pada akhir malam untuk bersahur walau hanya dengan sebiji kurma dan segelas air. Letak siap-siap tepi katil Kunci alarm pada sound yang maksimum. 
  3. Bersahur dengan makan dan minum sahaja tanpa melakukan ibadah lain... yuk, bangun awal sedikit untuk kita sama-sama mengerjakan solat sunat tahajud 2 rakaat!
  4. Tidak menunaikan solat... juga suruhan ALLAH yang lain. Tidak menutup aurat, mengumpat contohnya.
  5. Tidak mengutamakan solat Subuh secara berjemaah... kelebihan solat secara berjemaah itu sendiri adalah 27 kali ganda berbanding solat secara bersendirian.
  6. Bertarawih di masjid bukan kerana ALLAH... wahai hati, sesungguhnya setiap amal itu bermula dengan niat. Yosh! Kita sentiasa memperbaharui niat kita ^_^
  7. Bermalasan dalam bekerja... walhal kerja sendiri itu adalah satu amanah buat kita. Amanah pula wajib ditunaikan sebaiknya. Dikhuatiri bisa menjerumus kita dalam lingkungan orang munafik, nauzubillah. Ya, ALLAH. Peliharalah aku, suamiku, sahabat-sahabat yang aku sayang juga yang menyayangiku. 
  8. Memperbanyak tidur sepanjang hari... tidak salah untuk tidur tetapi berpada-padalah. Luangkan masa yang ada untuk bertadarus, berzikir dll. Go, jasad go! Go, jiwa go!
  9. Menganggap imsak sebagai 'lampu merah' untuk bersahur.
  10. Wanita bertarawih di masjid tanpa memelihara aurat... jom check list pakaian yang kita miliki? Ada longgar? Jarang tak? Tudung pula, adakah melepasi paras dada? Para suami, sila tengok pakaian isteri masing-masing. Ayuh saling menyayangi dengan menasihati sesama sendiri :)
  11. Memasuki Ramadhan dengan memiliki harta yang haram... nanti, jadi darah daging, nauzubillah.
  12. Tidak memperbanyakkan berdoa tatkala berpuasa dan berbuka... dan sesungguhnya, doa adalah senjata orang Mukmin.
Baiklah. Cukup setakat ini. Masa untuk Muthiah masuk 'pejabat'. Agak lambat hari ini sebab menyelesaikan beberapa perkara. Jom kita saling mendoakan sesama kita <3
Labels: 0 comments | | edit post

Cemburu seorang isteri

Assalammualaikum. Moga hidup kita dirahmati ALLAH selalu...

Moga-moga....

  • Dalam berbilion umat manusia yang menunaikan ibadah puasa (kecuali mereka yang keuzuran dan dibolehkan berbuka), kita merupakan salah seorang daripadanya.
  • Dalam berbilion umat manusia yang mengerjakan solat sunat tarawih, solat sunat witir dan ibadah-ibadah sunat lainnya (tanpa mengenepikan ibadah wajib/ fardhu), kita merupakan salah seorang daripadanya.
  • Dalam berbilion umat manusia yang berusaha keras menjaga lidah, telinga, mata, hati, perilaku, kita merupakan salah seorang daripadanya.

Moga-moga.... 

Hidup kita lebih baik daripada sebelumnya.

Okey. Hari ini, Muthiah ingin berkongsi satu perenggan daripada novel yang Muthiah baca yang berbunyi...

"Aku tak kisah kalau dia rapat dengan Nita budak kedai fotokopi tu. Aku tak kisah kalau dia selalu bergurU dengan Nancy di reception. Aku tak kisah jugak bila kadang-kadang dia ajak Mida join kami makan tengah hari. Aku tak kisah, Fi. Tapi Eliz ni lain. Aku tak senang hati bila dia keluar makan dengan perempuan tu. Aku kisah. Kali ini aku kisah..." (Aku kan novelis, Nurul Syahida, Buku Prima)

Entah. Muthiah suka dengan bahagian ini... Anda, bagaimana? ^____^

Betul atau tidak?

Kebanyakan wanita akan cemburu apabila merasa dirinya tercabar. Dengan kata lain, dia tak akan apa-apa sekiranya ada wanita lain mahu berkawan dengan lelaki yang dia sayang melainkan wanita itu dilihatnya punya kelebihan berbanding dirinya. Atau gediksnya melayan bisa mengganggu-gugat jiwa? (Padahal tidak ada yang lebih pun. Bukankah manusia ini tidak sempurna? Ada kelebihan dan kekurangannya).


  • Mungkin betul...
  • Boleh jadi salah...
  • Mungkin betul dan salah... bergantung kepada keadaan dan situasi.


Cakap pasal cemburu, ada beberapa kategori juga...


  • Cemburu yang tidak memudaratkan - Dia cemburu tetapi tidak sampai mengganggu-gugat keharmonian rumah tangga. Dia juga tidak selalu (bermakna mungkin ada tetapi kadang-kadang sahaja) berendam air mata disebabkan oleh rasa cemburu ini. Perasaan sebegini normal bagi setiap manusia tetapi masih berada di tahap yang okey. 


  • Cemburu yang mudaratkan - Dia terlampau cemburu, akibatnya keharmonian rumah tangga tergugat. Dia sentiasa berfikir sesuatu yang negatif tentang suaminya. Masakan tidak cemburu, salah yang dibuat berlaku berulang kali, contohnya. Dia membenci sesiapa sahaja yang berteman dengan suaminya, hatta si pembancuh teh di pejabat pun hendak dijadikan musuh.Iyalah. Walaupun pembancuh teh, wajahnya cantik mengalahkan Nora Danish (contoh lagi). Hilang kepercayaannya terhadap sang suami dan hubungan menjadi semakin hambar. Dia sentiasa berendam air mata. Kesannya... diri yang sakit sendiri <- Moga ALLAH pelihara diri.

Jadi, bagaimana hendak melatih diri agar tidak cemburu yang melampaui batas?

Huk..huk... 
Payah juga.
Perihal hati dan perasaan ni.

Apapun, jom kita senaraikan cara mengatasi masalah ini (cemburu yang memudaratkan)...

  • Dekatkan diri pada ALLAH sentiasa. Orang yang dekat pada ALLAH, insya-ALLAH dapat mengurangi bintik-bintik hitam di dalam hatinya. Apabila bintik hitam itu tidak banyak, mudahlah cahaya masuk ke dalamnya. Hati bertambah tenang dan dia dapat berfikir dengan lebih rasional.
  • Percayakanlah suami kita (tetapi tetaplah berwaspada)... Suami ke tempat kerja, untuk mencari rezeki yang halal buat diri kita dan keluarga. Usah fikir yang bukan-bukan pula. Semakin difikir (yang negatif), syaitan dan nafsu akan semakin mencucuk-cucuk bagi semakin parah. Namun bagi sang suami, jangan pula mendekatkan diri kepada fitnah macam...

  1. Berdua-duaan dengan staf wanita di pejabat. 
  2. Keluar makan setiap hari.
  3. Ber-sms saban waktu. 
  4. Hari-hari bercerita pasal Polan binti Polan di rumah. Boleh mengundang tanda tanya.

  • Banyakkan berdoa kepada ALLAH agar dipelihara hati dan diri daripada sifat cemburu yang melampaui batas @ cemburu buta. Ingatlah... ALLAH pegang setiap hati hamba-NYA. 
  • Banyakkan berkongsi rasa dengan sang suami. Sekiranya apa yang kita fikirkan itu salah, maka kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas dan benar tentangnya. Hmm... betul atau tidak? Kebanyakan perempuan, suka memendam rasa. Macam Muthiah. Akan tetapi, cubalah untuk berkongsi apa yang terpendam itu. Tidak banyak, sedikit pun tidak apa. Yosh!
  • Bagi suami, hargailah kepercayaan yang telah diberikan sang isteri. 
Cukup setakat ini. Ada manfaat? 

  • Yang baik... jadikan pedoman. 
  • Yang tidak elok... letakkanlah ke tepi. 
  • Yang menyakitkan... buang terus, usah diingati.
Maaf atas keterlanjuran kata. Salam Ramadhan ^___^

Gulai kuning ikan tongkol

Assalammualaikum. Bagaimana dengan ibadah puasa, ada baik?


Puasa -> Menahan diri daripada...
  • lapar dan dahaga,
  • berkata yang sia-sia.
  • berfikir yang merosakkan minda.
  • keluh-kesah tanpa henti.
Apapun, moga kita semua dirahmati ALLAH selalu.


Ehe. Lama tidak berkongsi resipi. Jom... resipi berbuka puasa Muthiah pada Ahad (22 Julai 2012) lepas.


Ikan tongkol gulai kuning



Bahan-bahan


2 ekor ikan tongkol
1 kotak santan
3 biji cili api - diketuk
1 atau 2 keping asam gelugur.
Timun (batang) tua
Garam dan gula secukup rasa.


Bahan dikisar


3 ulas bawang merah (besar)
sedikit lengkuas
sedikit kunyit
1 sudu cili kering yang sudah siap dikisar


Cara membuatnya


1. Tumis bahan dikisar sampai naik bau.


2. Masukkan ikan tongkol yang sudah dipotong. Bubuh sedikit air juga.

3- Masukkan santan, asam gelugur, cili api yang diketuk serta garam dan gula secukup rasa.


4. Masukkan timun (batang) tua dan siap.


Boleh dihidangkan ketika berbuka puasa. Suami cakap, lepas ini, buat lagi. Ehe.


Nota : Ada juga orang letak ikan setelah santan menggelegek. Muthiah ikut cara mama masak. 


Okey. Selamat berpuasa buat semua :)
Labels: 0 comments | | edit post

Gastrik tidak halang puasa

Assalammualaikum. Moga hari kita dimulai dengan ...


ketenangan... ingat ALLAH, hati kan tenang, insya-ALLAH.
senyuman... senyum itu sedekah, bisa memberi kesenangan pada mata yang memandang.
lapang dada... serah segalanya pada penghitungan TUHAN yang Maha Teliti.


Baik. Hari ini Muthiah ingin berkongsi satu artikel yang Muthiah petik dari page Kementerian Kesihatan Malaysia. Alhamdulillah, Muthiah sudah sumari agar mudah dibaca. Moga kan memberi manfaat buat semua, insya-ALLAH :)

Gastrik tidak halang puasa


Apa itu gastrik (gastritis)?

Sejenis penyakit keradangan pada dinding atau lapisan mukosa perut yang mempunyai rawatan yang efektif.


Tanda-tanda gastrik :
  • Sakit perut pada bahagian atas abdomen atau ulu hati, 
  • perut senak, 
  • berangin atau pedih, 
  • kembung, 
  • sendawa, 
  • loya, 
  • hilang selera makan,
  • turun berat badan.
Fakta sel perut :
  • Sel perut menghasilkan asid hidroklorik dengan pH1 hingga 2 yang mencerna makanan. 
  • Asid yang kuat boleh menghakis besi dan sel perut yang menghasilkan lapisan mukosa sebagai perlindungan terhadap kesan asid tadi.
Fakta sakit perut :
  • Apabila lapar - menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut.
  • Selepas makan - menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah.
Fakta gastrik pada bulan Ramadhan :
  • Salah anggapan - gastrik kerap berlaku semasa bulan Ramadan kerana tidak makan dan tahap asid dalam badan meningkat. 
  • Sebenarnya - semasa berpuasa, seluruh sistem penghadaman berehat dan rembesan asid hidroklorik dalam perut menurun dan masalah sakit atau senak akibat asid perut yang tinggi tidak timbul.
Pakar Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari;
  • Sakit perut semasa berpuasa bukan disebabkan gastrik tetapi tabiat pemakanan semasa berbuka.
  • Semasa berbuka - mulakan dengan makanan ringan seperti kurma, sedikit kuih atau buah-buahan, tunaikan solat Maghrib dan selepas itu barulah ambil makanan lebih berat. (Makanan kompleks seperti berempah, lemak dan pedas menjejaskan kelancaran sistem pencernaan menyebabkan sakit perut)
  • Semasa bersahur - ambil makanan seperti roti, susu, kurma atau oat. (Perut belum bersedia menerima makanan)
Kelebihan kurma dan makanan kering :
  • Dapat merangsang asid untuk menerima lebih banyak makanan. 
  • Kurma kaya dengan garam galian seperti potasium, selain lambat membebaskan tenaga.
Tentang gastrik :
  • Sebanyak 80 peratus penderita gastrik disebabkan oleh bakteria di dalam perut (Helicobacter pylori@H.pylori). Selebihnya disebabkan oleh makanan, ubatan seperti ubat tahan sakit dan stres.
  • Gastrik bukan disebabkan oleh tidak mengambil makanan tetapi mengambil makanan yang tidak teratur dan seimbang.
  • Mereka yang mempunyai simptom gastrik disyorkan menjalani ujian darah, ujian pernafasan dan endoskopi bagi mendapatkan sampel bakteria di dalam perut. (Gastrik yang disebabkan oleh bakteria - diubati dengan mengambil ubat antibiotik) 
Tips puasa bagi penghidap gastrik :
  • Melambatkan bersahur, 
  • menyegerakan berbuka,
  • makan secara sederhana.
Nota : Untuk artikel penuh, sila rujuk web seperti dinyatakan di atas. 

Selamat berpuasa. Jom kejar redha ALLAH :)

Pasar Ramadhan

Assalammualaikum. Apa khabar? Bagaimana dengan ibadah puasa? 



  • Solat tarawih... buat?
  • Membaca al-Quran... buat?
  • Bangun sahur... walau hanya dengan segelas air dan sebiji kurma? 
  • Bersedekah... walau sepuluh sen?
  • Yang baik... benda baik... perkara baik... buat?



Moga-moga... daripada 100 hamba ALLAH yang berusaha menggandakan amalan pada bulan Ramadhan, kita merupakan salah seorang daripada mereka... insya-ALLAH, amin ^____^


Siapa pergi Pasar Ramadhan, ucap Alhamdulillah.



  • Berapa RM berhabis?
  • Ada lebihan makanan?
  • Over dose sampai tidak larat untuk ke surau, menunaikan solat tarawih berjemaah?



Ehe...


Seperti kebanyakan orang, Muthiah pun berkunjung ke Pasar Ramadhan.
Gambar daripada Pak Cik Google :)
Pada hari pertama, Muthiah, suami serta dua adik lelaki Muthiah berkunjung ke Pasar Ramadhan dekat Manjoi. Belilah apa yang ingin dimakan, bak kata suami. Dan... Muthiah beli sambal belacan RM1. Bagus tak? Suami hanya mampu menggeleng kepala. 


Pada hari kedua, Muthiah dan suami ke Pasar Ramadhan dekat hadapan stadium. Kali ini, ada peningkatan daripada makanan yang dibeli. Sekiranya pada hari pertama Muthiah habiskan sebanyak RM1, pada hari kedua pula Muthiah berbelanja sebanyak RM4. Namun, suami tetap mahu menggeleng. Kata suami, "Ini ke kuih untuk berbuka puasa?" Matanya tidak berkedip memandang ikan pekasam yang berada di dalam plastik. Muthiah hanya tersenyum seraya menjawab, "Banyak juga orang beli tetapi dia orang beli yang sudah siap dimasak. Muthiah tak beli yang tu sebab tengok minyak yang digunakan hitam legam. Mesti dah guna banyak kali."


Moral daripada kisah ini :



  • Lain orang, lain corak pemikirannya. Maka, selagimana tidak melanggar syarak, raikan dan hormatilah.
  • Elakkan pembaziran dalam bulan Ramadhan (bulan-bulan lain pun sama juga).
  • Yuk kita perbanyakkan amal... moga dapat mendekat kepada ALLAH. 

Okey. Ada dua amanah utama yang harus dilunasi hari ini; artikel paksi.net dan draf novel remaja. Doakan Muthiah dapat buat sebaiknya ya.


Salam Ramadhan buat semua :)

Salam Ramadhan

Assalammualaikum. Pejam celik, pejam celik... hari yang dinanti dan ditunggu kunjung tiba. Alhamdulillah... ALLAH memberi peluang untuk kita terus berada di sini, pada hari yang penuh barakah ini, insya-ALLAH.


Pada kesempatan ini, Muthiah ingin mengucapkan Salam Ramadhan buat sahabat-sahabat yang Muthiah kasihi fillah. Terima kasih kerana sudi menjengah teratak Muthiah ini... 
Terima kasih juga sebab sudi mendapatkan novel-novel Muthiah di pasaran. Walau sudah melepasi angka dua (tahun) berada dalam lapangan penulisan ini, tidak keterlaluan sekiranya Muthiah katakan yang "Saya budak baru belajar." Doakan Muthiah sukses ya :)


Bercakap pasal puasa... jom imbas semula...
1) Puasa (i)
2) Puasa (ii)

Yuk!
  • Niat puasa pada bulan Ramadhan usah dilupa. 
  • Solat tarawih.
  • Kita sama-sama menghidupkan malam Ramadhan dengan beribadah kepada-NYA.
  • Bangun sahur deh. Bak kata orang Ganu, "Kunci jam siap-siap."
  • Kurma pun jangan dilupa.
  • Hindari pembaziran. Ingatlah mereka yang serba kekurangan.
  • Ayuh kita banyakkan bersedekah.
  • Jom sama-sama kita perbanyakkan membaca al-Quran.
  • Yang baik... benda baik... perkara baik.
Moga-moga....
  • Moga-moga, bulan Ramadhan ini menjadi perintis buat kita untuk terus beramal (dengan amal soleh) kepada ALLAH pada bulan-bulan lain seterusnya. Pada bulan Ramadhan kita bersungguh-sungguh... selepas Ramadhan pun sama. Yeah!
  • Moga-moga, ALLAH pilih kita menjadi hamba-NYA yang sentiasa takut dengan dosa... segera bertaubat tatkala berbuat silap.
  • Moga-moga, penghujung hidup kita nanti adalah penghujung yang baik
Titipan Muthiah...

Maaf salah dan silap buat semua...

Salah dalam keterlanjuran bicara dan perilaku.
Silap dalam mencoret kata.
Salah dalam renungan dan pandangan mata.
Insya-ALLAH, mengumpat dan mengata tiada. Moga-moga...
(Sewajarnya pada bulan lain pun kita minta maaf juga kan apabila berbuat salah?)

Bagi teman-teman yang khuatir ada berbuat salah dengan Muthiah.

Ehe...
No worry.
Tidak mengata.
Tidak mengumpat.
Tidak sengaja menyakiti.
Tidak dan tidak.
Anda tidak ada 'hutang' dengan Muthiah.
Hahaha.... 

Okey. Jom kita manfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk mendekatkan diri dengan DIA.

Berbuat baiklah

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah, baik-baik sahaja. Bengkel di Grup Buku Karangkraf bersama Buku Prima berlangsung sudah. Sekarang, masih bercuti. Lalalala...


Hmm... hendak coret apa, ya?
Sabtu lepas, Muthiah dan suami ke rumah pak cik Muthiah yang terletak di Presint 5, Putrajaya. Kami sampai di rumahnya dalam lingkungan jam 10.00 malam. 


Huh! Barang yang dibawa... penuh. Beg baju satu. Beg itu dua. Beg ini tiga. Bantal pun ada. Suami cakap, "Ni nak pergi KL ke, pergi umrah?" Amin... amin. Moga satu hari nanti dapatlah Muthiah menjejakkan kaki ke Mekah. Berhajat sangat.


Okey. Berbalik kepada cerita yang ingin Muthiah kongsikan...


Barang kami (sebenarnya, barang Muthiah) memang banyak. Sebaik sahaja hendak sampai ke lif, Muthiah nampak seorang lelaki berseluar pendek masuk ke dalam lif. Muthiah terus berjalan laju ke arah lif berkenaan. Lenguh hendak menunggu lif yang keseterusnya. Alhamdulillah, lelaki tersebut menunggu kami suami isteri. 


Sebaik sahaja Muthiah dan suami masuk ke dalam lif, lelaki tersebut bertanya, "Tingkat berapa?" 


Suami pun menjawab, "Empat." Beliau pun menekan butang tingkat empat buat kami. 


Sungguh... sekiranya hanya kami berdua, payah juga hendak menekan butang dengan barang yang banyak bangat.


Muthiah doakan agar lelaki tersebut dirahmati ALLAH selalu... berbahagia di dunia dan akhirat.
....
Pengajaran yang boleh diambil:
  • Apabila ALLAH hendak mempermudah urusan, DIA akan kirimkan sesiapa sahaja yang DIA kehendaki untuk membantu kita.
  • Buat baiklah sentiasa. Sekiranya tidak ada orang yang hendak melakukan kebaikan pada kita, yakinlah ALLAH ada memberi kebaikan.
Okey. Cukup setakat ini. Moga hidup kita semua ALLAH redha :)

Sahabat sejati

Assalammualaikum. Selamat berhujung minggu. Moga hidup kita dirahmati ALLAH selalu ^_^




Sahabat sejati adalah...


Sahabat yang sering mengingatkan kita tatkala kita terlupa.
Sahabat yang sentiasa menarik tangan kita kala kita hampir tersungkur di lembah hina. 
Sahabat yang tidak putus asa mengajak kita melalui lorong yang bisa membawa ke syurga.
Sahabat yang selalu mendoakan kita menjadi hamba ALLAH yang bertakwa.
Sahabat yang tidak hanya membenarkan tetapi membetulkan kita kala tersilap.
Sahabat yang bersama kita tika senang dan susah, bahagia dan derita.
____
____


Okey. Muthiah ada bengkel ni. Jumpa lagi, insya-ALLAH. Doakan Muthiah ya <3
Labels: 0 comments | | edit post

Aduh tak suka!

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah, sihat dan berkondisi baik juga hari ini. Ada sesuatu bermain-main di fikiran tetapi biarkanlah. Serah sahaja pada ALLAH yang Maha Teliti, tidakkah itu yang terbaik?


Hmm... hari ini, Muthiah kena siapkan sinopsis untuk bengkel di Grup Buku esok. Setakat ini, idea belum datang lagi. Moga-moga ALLAH memberi ilham, insya-ALLAH, amin.


Okey. Jom baca Muthiah berceloteh, mana tahu ada manfaat yang boleh difikirkan bersama...



Hidup ini
bukan hanya untuk gembira
kadang-kadang diulit duka
adakala bibir tertawa
acap kali mengalir air mata
apapun fikir kita
inilah lumrah 
makhluk TUHAN 
yang bergelar manusia
............................................
Rabu lepas, Muthiah ke bank atas urusan tertentu. Suami balik sekejap pada waktu rehat tengah hari untuk menghantar Muthiah ke sana. Iyalah. Susah parkir kalau pergi sendiri. Sementera menunggu suami di tepi jalan hadapan rumah, Muthiah membaca mesej-mesej lama di telefon bimbit. Sedang asyik Muthiah membaca kiriman mesej tersebut, kedengaran satu suara menegur Muthiah.


"Assalammualaikum, mak cik," ucap dua orang budak sekolah rendah sambil tersenyum manis.


Setelah suami sampai, Muthiah pun menceritakan peristiwa dipanggi mak cik oleh budak sekolah tadi. Nampak tua sangat ke aku ni?


Di bank...


Sementara menanti pegawai di kaunter menyemak perkara yang berkaitan, Muthiah duduk di tempat menunggu. Seorang lelaki yang Muthiah kira merupakan pengawal keselamatan di situ menyapa Muthiah perlahan, "Banyak orang complaint pasal mesin ATM yang tak ada. Blablabla..." Muthiah mendengar sahaja. Kemudian, pengawal keselamatan tersebut bercerita pasal anak-anaknya pula. Berbangga benar dia kerana sudah memiliki empat orang cucu. Muthiah tetap menjadi pendengar setia.


Sebelum pekerja di kaunter memanggil Muthiah, pengawal keselamatan itu bertanya, "Belajar dekat mana?"


Selesai urusan di bank, Muthiah menceritakan kepada suami peristiwa dipanggil pelajar oleh pengawal keselamatan tadi. Nampak muda sangat ke aku ni?


Apabila kita yang berusia muda dipanggil mak cik/ pak cik, apa yang kita rasa?

  • Tidak rasa apa-apa. 
  • Biasa sahaja.
  • Terkejut. 
  • Sedih.
  • Tidak suka.
  • Marah.
  • Redha.
  • Pasrah.
  • ______________



Apabila kita yang tidak terlalu muda ini dipanggil adik @ pelajar, apa yang kita rasa?

  • Bangga.
  • Riak.
  • Biasa-biasa.
  • Entah.
  • Gembira. Rasa diri awet muda.
  • Marah.
  • Tidak merasa apa-apa.
  • __________________

Sebenarnya hidup ini, kita bukan setakat berhadapan dengan apa yang kita suka semata-mata. Ada kalanya, kita terpaksa menempuh sesuatu yang kita benci... marah... sakit hati dan pasti! Kita tidak akan dapat lari daripadanya. 

Tidak semua yang kita mahu kita dapat.
Tidak semua yang kita suka kita peroleh.

Kadang-kadang kita ketawa... acap kali juga kita mengalirkan air mata.

Ada yang tidak pernah berasa rawan? Pasti tiada, bukan?

Bezanya, adakah kita hanyut dalam rasa itu ataupun kita tidak mahu membiarkannya menyinggahi jiwa terlalu lama. Pi main jauh-jauh deh. Tepuk dada, tanya hati. Kitalah yang membuat pilihan. 

Jadi, bagaimana?

Hendak tidak hendak, kita perlu hadapinya..

Ingatlah, wahai hati...
Tidak salah untuk berasa gembira.
Tidak salah pun untuk berasa rawan.
Tidak salah juga untuk mengalirkan air mata.
Manalah tahu... rembesan tangis itu bisa mengendur resah di jiwa.

Ingatlah, wahai hati...
Ayuh kita tempuh hidup dengan kecekalan dan ketabahan. 
Kita sama sekali tidak sendiri.
ALLAH ada melihat, mendengar dan mengetahui.
Yuk dekatkan diri pada DIA yang Maha Teliti.

Oh, panjang pula rapunya. Apapun, jom fikir dan renung bersama...

Jom baca | Apa ertinya saya menganut Islam

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman. Macam Muthiah ^____^

Ada seorang teman berkongsi link ini di satu grup dekat FB. Buku yang pernah menjadi rujukan sewaktu usrah di sekolah, universiti dan selepas bekerja. Jom... moga kita mendapat manfaat daripadanya.

Panggil aku 'Mek'

Assalammualaikum. Moga kita semua diredhai ALLAH sentiasa, insya-ALLAH... amin. 


Tanpa redha-NYA... nauzubillah, entah macam mana langkah hidup kita. Pasti serba-serbi tidak kena. Malang sekali sekiranya kita pun tidak menyedari kejauhan yang menerpa. Kita bahagia dengan kemaksiatan. Kita senang dengan kemungkaran tanpa berasa apa-apa. Ah! Kita sebenarnya telah tersilap memilih kebahagiaan. 


Moga ALLAH pelihara dan melindungi, insya-ALLAH... amin.


Hari ini sebelum masuk pejabat, Muthiah ingin berkongsi satu cerita. Jeng jeng jeng...


Baru-baru ini, Muthiah ke Kuala Lumpur (bersendirian) atas satu urusan penting. Jam 8.30 pagi, Muthiah menaiki ETS dari Ipoh sampai ke KL Sentral. Muthiah bertanya En. Suami, "Boleh tak nak pergi sana? Boleh tak nak pergi sini?" Iyalah. Bukan selalu boleh jalan-jalan macam ini. Zaman muda-muda dahulu, hampir seluruh pelusuk KL Muthiah jelajahi sampai diri terasa mahir dengan laluan bas RapidKL@Metro. Hahaha. 


Jawab suami, "Tak payah. Naik LRT sahaja. Sampai tempat dituju, jangan singgah mana-mana. Naik teksi. Kalau nak jalan-jalan, dalam KL Sentral sahaja." Dalam hati... 


Alhamdulillah, akhirnya kerja Muthiah pun beres. ALLAH permudah segala urusan. Mungkin kerana mendengar cakap tok laki. Kemudian, terlintas pula di benak Muthiah untuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Maka dalam ragu-ragu, Muthiah bertanya kepada En. Suami, "Boleh tak nak ke DBP. Blablabla..." 


Suami balas, "Boleh tetapi..." 


Oh, tetapinya tetapi ada ^__^


Kelazimannya setiap kali menjengah ke DBP, Muthiah pasti akan mencari ruang menziarahi kawan-kawan arwah mama. Dari satu tingkat, ke satu tingkat Muthiah jelajahi. Iyalah. Bukannya selalu turun KL :)


Hendak dijadikan cerita...


Sewaktu menziarah salah seorang teman mama, ada seorang staf DBP berkata, "Bila cakap anak Mek, baru nampak macam muka Mek."


Dahi Muthiah berkerut lagi. Mek? Siapakah Mek? 


"Aunty, siapa Mek?" soal Muthiah pendek.


Teman arwah mama pun menjawab, "Mek adalah panggilan bagi arwah mama Liza."


Muthiah mengangguk-angguk. Oh, baru kutahu...


Selesai urusan di Kuala Lumpur, Muthiah terus balik ke Ipoh. Naik EST jam 5.35 petang. Alhamdulillah, sampai Ipoh pada pukul 8.00 malam. 


Dalam perjalanan balik ke rumah, Muthiah memberitahu suami, "Kawan-kawan mama panggil mama Mek..." Kata-kata Muthiah terhenti di situ. "Apa kata kalau Abe panggil Muthiah Mek untuk meneruskan legasi mama," tambah Muthiah lagi bersahaja.


Suami tercengang. Mujur tidak pitam. Tetiba????


Al-Fatihah untuk arwah mama, Zaharah Ibrahim <3




Ada pengajaran atau tidak daripada penceritaan ini? Jom kita cari.

  • Bagi yang telah kematian ibu atau ayah, teruslah bersilaturahmi dengan sahabat-sahabat mereka.
  • Doakan ibu ayah kita senantiasa.
  • Bersantunlah dengan kawan-kawan ibu ayah kita. 
  • Hargai ibu ayah kita selagi mereka masih ada.
  • Seorang isteri wajib taati suami selagimana arahannya tidak melanggar syarak.
Okey. Lewat sudah memulakan kerja. Moga mendapat manfaat daripadanya.

Aku mahu tenang dan bahagia

Assalammualaikum. Ehe. Awal Muthiah mencoret pagi ini. Yeah! Sekejap lagi, Muthiah hendak memulakan kerja mengedit manuskrip. Harapan Muthiah agar semangat yang berkobar-kobar ini akan kekal sampai bila-bila, insya-ALLAH... amin. Sekiranya jatuh pun, moga bisa bangkit kembali. Chaiyok! <- Jom sama-sama bersemangat. 

Ya ALLAH, tunjuki aku jalan yang ENGKAU redhai...

Memetik kata-kata Tuan Dr. Haji Tengku Asmadi T.M. di facebook beliau, ada 5 perkara yang pasti memberi ketenangan jiwa dan kebahagiaan hati.
  1. Bersangka baik pada semua orang.
  2. Mencari hikmah dan kebaikan di sebalik perkara dan peristiwa.
  3. Bersyukur dan tidak membanding dan membeza-bezakan.
  4. Redha atas apa jua yang berlaku.
  5. Penyerahan sepenuhnya kepada ALLAH.
Persoalan;

Bersangka baik... mencari hikmah... bersyukur... redha dan penyerahan sepenuhnya kepada ALLAH.

Sejauh mana kita meletakkan persangkaan baik terhadap orang di sekeliling kita? Susah, bukan? Tidak payah tengok orang lain, pandang sahaja diri sendiri <- Akulah ni. Akulah ni. Akulah ni yang bernama Muthiah. Lebih-lebih lagi apabila iman tengah jatuh, berada nun di bawah sana. Jasad dan jiwa pula jauh daripada TUHAN. Keegoan diri berada di tempat tertinggi. Hanya aura negatif berada di sekeliling kita. Nasihat orang, kita nampak yang buruk sahaja. Bukan setakat itu, kita menyakiti pula mereka yang peka dan prihatin pada diri kita. Blablabla <- membebel. 

Sejauh mana kita mencari hikmah di sebalik peristiwa? Kita hendak A, ALLAH beri B. Kita kecewa. Kita marahkan TUHAN. Kita salahkan orang di sekeliling kita. Paling parah, kita terus berputus asa. Kita takut untuk berhadapan dengan kegagalan yang belum pun terjadi. Ya. Tidak ada siapa yang mahu berhadapan dengan kegagalan. Jadi, bagaimana? BERMUHASABAHLAH...  'Boleh jadi kamu sukakan sesuatu tetapi ia tidak baik bagimu. Boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang ia baik bagimu.' (al-Baqarah, 2:216)

Bersyukurlah... mudah menyatakan tetapi sukar untuk mengaplikasikannya. Kita sering melihat dan memperbesar sesuatu yang tidak kita perolehi. Itu lumrah... berlaku apabila kita terlupa dan alpa. Kita hendak menikah, belum diijab kabul lagi. Kita mahukan cahaya mata, pun ALLAH belum bagi. Kita ingin duit yang banyak... hmm, setakat kais pagi dan makan pagi. Kita dan kita. Ah! Kita sedih dan kecewa. Kita mungkin terlupa... daripada 10 keinginan kita yang tidak tercapai, ada 1001 nikmat yang telah ALLAH kurniakan buat diri kita. Tepuk dada, tanya iman. Berapa banyak kurniaan ALLAH yang telah kita perolehi? 'Jika kamu bersyukur, ALLAH akan menambah nikmat kepada-MU...' (Ibrahim, 14:7)

Redha... Bak kata Mila dalam Ombak Rindu, "Redha itu ikhlas. Pasrah itu menyerah!" Hmm... sebenarnya secara peribadi, kadang-kadang bahkan acap kali diri ini terasa sukar untuk redha. Bibir mengatakan 'aku redha' tetapi tindakan pula adalah sebaliknya. Maka, bagaimana? Mohonlah kekuatan daripada ALLAH agar kita menjadi hamba-NYA yang sentiasa redha dan terus sabar dengan ujian-NYA. Alhamdulillah dari sisi Muthiah... suami sentiasa mengingatkan perkara ini kerana sungguh! Sering Muthiah 'terlupa' tentangnya.

Penyerahan sepenuhnya kepada ALLAH. Benar! Segala-galanya adalah kepada ALLAH. Selaku manusia, kita hanya mampu berusaha dengan bersungguh-sungguh. Seterusnya berdoa kepada Yang Maha Kuasa. Hasilnya... ketetapan itu adalah daripada DIA yang lebih tahu. Sungguh... Muthiah sendiri selalu alpa terhadap apa yang dikatakan penyerahan ini. Muthiah bersungguh-sungguh... kemudian, Muthiah kira sudah berdoa dengan sepenuh hati namun tatkala tidak mencapai apa yang diingini, Muthiah kecewa. Alhamdulillah... setakat ini Muthiah cepat bangkit dan sedar kembali. Syukur... ALLAH hadirkan mereka yang sentiasa mengingatkan tatkala Muthiah terlupa.

Wah! Panjang banget! Moga yang baik, dapatlah dijadikan panduan. Yang merapu itu, maaf ya. Bak ungkapan Muthiah sebelum ini, 'Carilah yang positif...' negatif yang ditemui itu adalah kelemahan Muthiah selaku insan biasa tetapi masih mahu berkongsi cerita.

Okey. Selamat bekerja. Yuk....
Labels: 0 comments | | edit post