Bendi goreng hati/pedal


Assalammualaikum. Selamat pagi...

Ehe... Jika Isnin merupakan hari pertama/ mula bagi urusan kerja bagi mereka yang cuti hujung minggu pada hari Ahadnya... Muthiah pula suka menjadikan hari Isnin untuk berkongsi resipi...

'Saya bukanlah pakar memasak tetapi saya tetap suka berkongsi dengan sahabat-sahabat saya ^^'

Jom makan sayur...



Bahan-bahan

Bendi dipotong menyerong
Lobak merah pun sama dipotong seperti dalam gambar di atas (atau ikut citarasa sendiri)
Cili merah dipotong menyerong
Lada benggala kuning dipotong memanjang (kuning untuk bagi colourful ^^)
Bawang putih dihiris, bawang besar dimayang
Hati/ pedal ayam yang siap dipotong
Sos tiram

Cara membuatnya

1- Tumis bawang sampai naik bau.

2- Masukkan hati dan pedal.

3- Kemudian, masukkan air sedikit bersama dengan sos tiram.

4- Apabila menggelegak. Letaklah sayur-sayur di atas. Jika hendak saratkan lagi dengan sayur-sayur lain yang berwarna-warni pun, apa salahnya. Kita masak, kita rasa sendiri.

Siap.

Selamat mencuba ^^
Labels: 0 comments | | edit post

Ibrahim mahu bernikah dengan orang jauh??


“Mak tak setuju!” ~ Zaleha.

“Dijah pun tak setuju!" ~ Khadijah.

Kenapa? Kenapa? Nantikan alasannya... minggu hadapan, insya-ALLAH. ~ Nazihatul Hanan ^^

Ayuh dapatkan Air Mata Siti Hajar di pasaran sekarang ^^
Bab 27 m/s : 176 - 184

Setelah memilih untuk bercinta...


“Betul. Banyakkan berdoa kepada ALLAH. Doa dan terus berdoa selagi nyawa dikandung badan. Kita tidak tahu apa yang terbaik untuk diri kita sebenarnya. Apa yang penting, kebergantungan kita pada yang ESA tidak pernah putus.

Bukan itu sahaja, dik. ALLAH juga yang memegang hati-hati manusia. Pasti! Dia boleh menyuburkan rasa cinta dalam hati mereka yang ikhlas mengharapkan redha-NYA.” ~ Aisyah.

Ayuh dapatkan Air Mata Siti Hajar di pasaran segera ^^
m/s : 169

Mencari Naurah (Bab 15)


“SHAZLEEN, Nadia beratur dahulu. Akak hendak jumpa kawan-kawan akak sekejap,” kataku apabila kami tiba di dewan serbaguna. Kelihatan para fasilitator sudah berkumpul di suatu tempat. Membuat perbincangan akhir mungkin.

Belum sempat kakiku melangkah, Nadia menarik tanganku perlahan lalu berkata, “Mak pesan, perlu bersalam sebelum berpisah. Assalammualaikum, kak.”

Tidak lama selepas itu, Shazleen pula menyusul. Dia memandang tepat anak mataku. “Akak jangan tinggal kami lama-lama, boleh? Shazleen sayang akak,” ucapnya sambil tersenyum manis.

“Waalaikumussalam, sayang,” jawabku ringkas. Cepat-cepat aku berjalan ke arah Kak Rose dan rakan-rakan. Aku melihat jam di pergelangan tangan. Alhamdulillah, aku tidak lewat.

“Lajunya jalan sampai tidak perasan ada orang di belakang dia!” sergah Anuar seraya tersenyum sumbing.

Aku meliriknya tajam kemudian memandang Asyraf yang sedang memberi penerangan. Entah bila lelaki ini mahu insaf, aku sendiri tidak tahu. Tidak bolehkah ia menjadi seperti...

“Seperti yang telah dirancang, aktiviti bermula dengan sesi perkenalan mengikut kumpulan. Masa yang diberi adalah selama 30 minit. Kumpul data adik-adik. Setelah selesai semuanya, beri masa 15 minit untuk adik-adik berehat,” terang Asyraf. Dia diam seketika lalu menyambung, “Ada sebarang soalan?”

“Minum pagi ada tidak?” Anuar bertanya. Seriuskah dia?

“Hmm... jam 10.00 nanti... insya-ALLAH ada minum pagi. Anuar laparkah?” jawab Asyraf sambil tersenyum. Senyuman yang berjaya memukau hatiku.

“Laparlah juga. Pagi tadi, kena kawal... rumah orang,” Anuar berterus-terang dengan selamba.

Kedengaran gelak tawa fasilitator. Agak lucu lawak yang dibuat Anuar tetapi sukar benar bagiku untuk ketawa. Mungkin masih sakit hati dengan tindakan dan tingkah lakunya.

“Baik...” Asyraf diam sejenak. “Jumpa saya selepas ini. Ada sesiapa lagi yang kelaparan?” sambung Asyraf lagi.

“Natasha!” jerit Anuar.

Argh!!! Lelaki ini masih belum puas menyakatku.

“Ada apa-apa lagi?” Mujur Asyraf tidak melayan karenah Anuar yang entah apa-apa itu.

“Tiada,” kami menjawab serentak.

“Kalau begitu, bagus. Selamat maju jaya,” kata Asyraf memberi motivasi.

“Ya! Satu Malaysia; Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan,” celah Anuar.

Para fasilitator saling berpandangan. Kemudian, mereka pun bersurai. Hanya aku yang tidak berganjak dari tempat aku berdiri tadi.

“Ada apa-apa yang tidak kena, Natasha?”

Tiba-tiba, aku ditegur seseorang. Alamak!

“Tak ada apa-apa.” Aku menjawab sambil menundukkan kepalaku ke tanah. Dup dap dup dap... jantungku berdegup kencang.

“Anuar memang suka bergurau. Jangan ambil hati dengan dia. Yang penting, kita perlu sentiasa betulkan niat. Lagipun, bagus juga Anuar membuat lawak pagi-pagi begini. Ceria sedikit suasana,” Asyraf seakan memujuk tetapi tetap dalam nada yang tegas.

Aku hanya diam tidak mampu berkata-kata.

Mana mungkin aku tidak jatuh cinta dengan keprihatinannya. Mustahil aku tidak jatuh hati dengan kepimpinannya. Asyraf bijak mengawal suasana dan sentiasa rasional tatkala berhadapan dengan sesuatu yang sudah dijangka ataupun di luar jangkaan. Lelaki ini sememangnya seorang ketua dan pemimpin yang baik. Dia seolah-olah lelaki sempurna... lebih hebat daripada hebatnya Laksamana Sunan dalam Hijab Sang Pencinta.

~bersambung~

Aku malu...


Assalammualaikum.

^_________________________^


Pada satu hari, selipar Jepun pemberian suami saya telah dicuri orang. Meskipun hanya selipar Jepun, saya sangat sedih. Remuk hati saya bagai disiat-siat. Saya terus mencari-cari selipar Jepun tersebut. Sedang asyik saya mengintai-ngintai... saya ternampak seorang gadis muda, cantik memakai selipar Jepun saya. Saya cukup pasti yang selipar Jepun itu adalah milik saya kerana warnanya sama... jenamanya pun sama... saiz pun sama. Apa lagi, dalam keadaan emosi yang membuak-buak, saya terus menghampirinya. Namun sayang, gadis cantik itu tidak mahu memulangkan semula selipar Jepun milik saya. Katanya, buah hatinya yang beri. Apa lagi, semakin berapi-apilah saya. Suami saya main kayu tiga??? Tanpa berfikir panjang, saya terus menyerang dan memarahi gadis cantik itu. Kehadiran orang ramai yang memerhati, langsung tidak saya pedulikan.Kami seolah-olah berada di medan tinju pula.

T.A.M.A.T.

Seminggu berlalu. Saya insaf dengan apa yang saya telah lakukan. Saya malu pada diri saya sendiri. Malu pada ALLAH, lagi-lagilah. Meskipun mungkin kami sama-sama bersalah... sama-sama tidak mahu mengalah... saya tetap menyalahkan diri saya sendiri kerana membiarkan emosi menguasai diri. Namun, nasi sudah menjadi bubur. Saya berharap agar gadis cantik itu tidak mendendami saya lagi. Saya mendoakan dia aman dan bahagia sentiasa.

Namun tanpa disangka-sangka...

Ada hamba ALLAH telah merakam pergaduhan saya dengan gadis cantik itu. Kemudian, disebarkan di Youtube, e-mel dan Facebook. Perasaan saya. Malu sungguh. Saya yang sedia malu bertambah malu. Banyak orang mengomen negatif tentang saya dan gadis cantik itu. Saya sedih. Saya bertambah kecewa. Saya akui kesalahan saya tetapi... tidak akan disebabkan kelemahan saya ini, aib saya disebarkan semata-mata?

Pengajaran

Cerita di atas, bukanlah kisah Muthiah, gadis cantik dan suami tetapi hanyalah rekaan semata-mata. Moga daripada kisah ini, dapatlah kita renung-renungkan bersama.

Tidak ada manusia yang sempurna. Kita sendiri, apabila iman jauh dari dada... acap kali terlepas pandang...terlepas cakap... terlepas macam-macam (namun, jangan pula jadikannya sebagai satu alasan untuk berterusan berbuat dosa).

Ayuh... kita sama-sama memperbaiki diri, menjadi lebih baik daripada semalam. Apabila melihat sesuatu yang tidak menenangkan hati, berbicaralah dengan hikmah (dari dalam hati) kerana yang datang dari dalam itu insya-ALLAH bisa diterima oleh mereka yang ditegur. Sama-samalah kita saling mengasihi dan menyayangi kerana ALLAH.

Muthiah : Koreksi -> Apabila kemungkaran bermaharajalela... apakah sumbangan kita pada agama?
Labels: 0 comments | | edit post

Hadis | Sampaikanlah walau satu ayat

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Berasa hari ini lebih baik daripada semalam. Dalam masa yang sama, berusaha untuk menjadikan hari ini lebih dan dan berterusan baik tanpa hujung nyawa. Sahabat-sahabat, bagaimana? Sudah menetapkan misi dalam pembaikan diri?

Hmm...

Sudah lama tidak berkongsi tentang hadis. Jom... kita baca hadis hari ini ^___^

Daripada Abdullah bin 'Amr R.A., sesungguhnya Nabi SAW bersabda, 'Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat, dan ceritakanlah mengenai Bani Israel. Tiada sebarang kesempitan dan dosa.' (H.R. Bukhari)

Penjelasan

Daripada apa yang Muthiah baca, 'ayat' di sini membawa makna nasihat/ pedoman yang membezakan perkara yang baik dan buruk.

Untuk penerangan yang kedua, Muthiah kurang arif dan tidak berapa jelas tentang. Jika ada yang mahu berkongsi ilmu, Muthiah alu-alukan. Namun, menurut bacaan Muthiah...

Rasulullah SAW mencegah menceritakan perihal Bani Isreal ketika hukum dan tapak Islam masih belum kukuh, dikhuatiri menjerumus kepada fitnah. Namun, apabila tidak ada lagi perkara yang dibimbangkan, maka dibenarkan agar dapat dijadikan pengajaran.

(Fath al-Bari)

Muthiah : Selamat menjadi lebih baik ^___^

Jika mahu menjadi penulis dengan Alaf21 (ix)


Assalammualaikum. Apa khabar, 'murid-murid'? <- Muthiah bajet jadi cikgu.

Betul. Muthiah memang pernah menjadi cikgu tusyen, juga cikgu sukarela. Anak-anak murid panggil... Cikgu LISA. Comel, bukan tetapi Muthiah sedar. Muthiah tidaklah comel macam Lisa Surihani. Namun, Muthiah bersyukur dengan kurniaan TUHAN. Dengan kata lain, 'Aku, dia, kita dan mereka sebenarnya comel.'

Baik. Tips penulisan hari ini... seperti biasa, disampaikan juga oleh Puan Sa'adiah Mohammad, editor di Alaf 21. 'Saya' dalam nota di bawah adalah merujuk kepada Puan Sa'adiah ^^

WATAK DAN PERWATAKAN

- Saya hendak tekankan perkara ini kerana ada juga penulis yang keliru, tidak yakin atau hilang fokus apabila mahu mengembangkan sesuatu watak. Kita tahu kebanyakan manuskrip mengutamakan watak hero dan heroin. Kemudian diwujudkan watak-watak pembantu pertama, kedua dan seterusnya. Akan tetapi ada berlaku, manuskrip yang kita terima daripada penulis-penulis baru, dia tidak dapat membezakan yang mana satu watak hero atau watak heroin.

Contohnya; watak Aziz dan Nizam, tidak pasti yang mana satu hero. Begitu juga watak Diba dan Azie, yang mana satu heroinnya. Kalau menurut sinopsis yang diberi, kisah berkisar pada watak Aziz dan Diba yang menghadapi tentangan untuk mendirikan rumah tangga. Nizam dan Azie hanyalah watak pembantu kerana mereka adalah rakan baik Aziz dan Diba. Akan tetapi, keadaan yang berlaku sebaliknya. Kecuali... jalan cerita ditukar; dua pasangan ini menghadapi cinta empat segi antara mereka. Jika ini yang dimaksudkan, perlu ada watak-watak pembantu bagi mengembangkan cerita seterusnya.

- Sebelum mula menulis, anda perlu menyenaraikan nama-nama watak dalam cerita mulai bab 1 hingga ke bab akhir. Kalau ada 10 watak, lebih baik semua watak ini bercakap (ada dialog). Akan tetapi, ada pengecualiannya jika watak yang disebut itu sudah meninggal dunia dan menyebutnya sekadar kenangan.

- Nama-nama watak. Ada penulis suka sangat menamakan watak menurut huruf abjad yang disukai.

Contohnya; nama hero Faiz, heroinnya Fiza, watak pembantu Farah dan Faizal. Kalau ada watak adik-beradik; Fuad, Faliq, Farhana; emaknya Fatimah dan bapanya Fahim. Amboiiii... Pembaca nak ingatkan nama watak-watak ini pun sudah keliru sungguh. Itu belum lagi yang suka abjad N, K, J dan sebagainya. Saya cadangkan, pelbagaikan abjad nama barulah harmoni.

- Ejaan nama. Sebaik-baiknya, ejalah mengikut kesesuaian sebutan. Adakah anda sengaja mengejanya dengan tambahan abjad untuk nampak pelik dan lain daripada orang lain?

Contoh; Jasmin-Jasmyyn, Khairil - Khaireell, Isabella - Izabeella dan sebagainya.

- Dua nama. Trend ini amat disukai oleh penulis-penulis baru.

Contoh nama; Izabeella Jasmyyn, Asshraaff Khaireell. Kalau dalam manuskrip, sukar nak sebut dua nama ini berulang kali dalam dialog dan naratif dari bab 1 hingga ke bab akhir. Kalau tidak berbuih mulut, kering tekak pembaca nak menyebutnya. Jadi, sendiri mau ingat!

JALAN CERITA

- Sebelum mula menulis, fikir masak-masak cerita apa yang hendak anda karang. Ambil buku latihan sekolah anak-anak dan buat gambaran kasar. Bab 1, senaraikan watak dan cerita apa di situ. Bab 2, senarai watak lagi dan kisah seterusnya pula. Begitu juga dengan bab-bab seterusnya. Jika anda terlupa, anda boleh rujuk di sini. Atau boleh buat tambahan teks berdasarkan catatan-catatan kasar yang telah anda tulis.

- Amat penting setiap bab mempunyai kesinambungan cerita.

Contoh; bab 1 - 3 berkisar tentang watak utama. Bab 4 - 5, alihkan cerita pada watak kedua atau sampingan. Bab 6-7 balik semula kepada watak utama. Elakkan bercerita tentang watak hero atau heroin mulai bab 1 - 10. Pembaca akan bosan sebab pergerakan cerita lambat. Sebenarnya, anda mesti bijak menghidangkan 5 bab pertama yang enak dan berkhasiat untuk menarik pembaca. Insyallah... mereka akan terus berselera untuk menikmati karya anda sampai titik nokhtah.

Okey. Kita sambung lain kali.

Muthiah : Pun sedang belajar ;)

Merah Cinta Kita ....

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Hari ini... jeng jeng jeng... Muthiah mahu mempromosi buku yang insya-ALLAH sedang hangat di pasaran.


Yuk ^______^

Merah Cinta Kita

Siri Merah Cinta Kita merupakan himpunan novelet yang pasti adik-adik enjoy! Siri ini memaparkan kisah pelbagai konflik yang dialami gadis remaja masa kini. Setiap buku dalam siri ini adalah sangat istimewa kerana mempunyai 5 buah novelet, kesemua muka suratnya berwarna-warni dan mempunyai ilustrasi yang sangat menarik! Pastikan adik-adik mengumpul kesemua buku dalam siri ini. Semoga enjoy membaca!

TAHNIAH! TAHNIAH! TAHNIAH! ^____^

Muthiah ucapkan kepada rakan-rakan penulis....

Jom kenal.... jom terjah mereka (Ehe... jangan marah)






6- En. Mohd Zahar <- Maaf. Muthiah tidak pasti siapakah gerangan penulis ini. Hahaha... Sudah menambah seseorang yang bernama ini di Facebook namun mungkin tersalah orang kerana belum diterima sebagai teman. Aduh! Malu-malu...

7- CikPuan Julie Jasmin <- Maaf. Muthiah tidak temui di Facebook. Jumpa nanti, Muthiah tambahkan di sini, insya-ALLAH.


9- Asnidar Shafie

10- Puan Iris Ixora

11- CikPuan Cahaya Izzati

12- Tuan Hazrul Hafizi

Nota : Bagi yang tidak tercatat link blog, bermakna -> Muthiah tidak jumpa. Hua hua hua..

Moga... kita semua akan terus sukses dalam apa jua yang kita lakukan. Dalam masa yang sama, moga kita kan sukses juga dalam keperibadian diri. Insya-ALLAH, kita mampu jadi yang terbaik!

Muthiah : ^_____^ Sabar menanti kemunculan karya baru sendiri ;)
Labels: 4 comments | | edit post

Akhirnya, Ibrahim mampu tersenyum gembira ...


“ALLAH menggerakkan hati untuk menerima, insya-ALLAH. Adik serahkan segalanya pada ALLAH. Adik ingin bercinta sesudah bernikah dan adik tidak mahu melayan perasaan sendiri. Khuatir membinasakan diri tanpa adik sedari. Apapun, biarlah halal dahulu. Kemudian, baru berbicara soal hati dan perasaan. Lagipun, adik kagum melihat Kak Maria. Dia memilih untuk bahagia bersama insan-insan yang disayanginya,” ~ Hajar.

Ayuh dapatkan Air Mata Siti Hajar di pasaran segera^^

Rukun-rukun persahabatan...


Cop… Bukan buli tetapi berukhwah. Dengan kata lain, Aisyah ingin menjalin hubungan yang akrab dengan Hajar. Iyalah. Bermanja-manjaan dengan rakan sebilik kesayangan. Bukankah dalam rukun persahabatan, dinyatakan beberapa perkara yang boleh dititik-beratkan oleh sang sahabat?

Ayuh, dapatkan Air Mata Siti Hajar segera di pasaran ^^
m/s : 167

Rukun-rukun persahabatan :

Pertama; kenal. Hajar sudah kenal dengan Aisyah. Bukan sahaja kenal nama tetapi turut sama mengenali kelebihan dan kelemahannya. Sebagai contoh, Aisyah bermulut celupar tetapi hatinya baik. Justeru, lihatlah diri sang teman dari sisi positifnya.

Kedua; faham. Hajar sudah sedia maklum tentang sikap dan fiil sahabatnya yang seorang ini. Jadi, banyakkan bersabar dalam menghadapi kerenah sang teman yang entah apa-apa entah. Kadang-kadang, membikin jiwa sakit.

Ketiga; tolong-menolong. Rentetan daripada dua perkara di atas, Hajar mengambil peluang yang ada untuk meringankan beban sahabatnya itu. Dan, inilah yang dikatakan sebagai ukhwah kerana ALLAH. Insya-ALLAH, pasti akan ada ganjaran di sisi-NYA. Bukankah pandangan ILAH itu yang paling utama?

Mencari Naurah (Bab 14)


AKAK mandi dahulu, boleh? Sebab bilik air tidak ada api,” kata Sal. Jam menunjukkan pukul 7.00 malam.

“Ya, insya-ALLAH,” jawabku. Tidak mahu Sal risau memikirkan kebajikanku.

Sesudah menunaikan solat maghrib, aku lihat makan malam sudah tersedia. ‘Menjadi seperti tuan puteri

pula,’ aku memarahi diriku. Aku pun tidak tahu apa yang boleh aku lakukan. Sal dan Mak Minah seolah-olah tidak membenarkan langsung aku membantu mereka membuat kerja rumah. Kata Sal, aku adalah tetamu. Jadi aku perlu berehat. Katanya lagi, “Meraikan tetamu adalah kewajiban setiap muslim.” Walaupun telah kujelaskan kepada mereka tentang perananku dalam program baktisiswa ini, mereka tetap melayanku umpama tetamu VIP.

“Amir, baca doa makan, sayang,” kata Mak Minah dengan suara yang lembut.


“Allahumma bariklana fi ma razaktana waqina ‘azabannar...”

“Pandai anak ayah,” Pak Madi memuji lalu menjamah makanan yang disediakan.

“Sedapnya. Lama sangat tak makan lauk ayam,” kata Shazleen.

“Alhamdulillah,” Sal menyampuk. Mungkin ingin menegur Shazleen secara tidak langsung.

“Pak cik beli ayam di mana?” aku bertanya Pak Madi perlahan. Risau sebenarnya. Khuatir jika ayam yang kujamah ini merupakan ayam kampung dan aku... sedari kecil tidak makan ayam kampung meskipun tidak diragui kehalalannya.

“Kedai Pak Su Yah,” Pak Madi menjawab sambil tersenyum.

Harap-harap Pak Madi tidak berkecil hati dengan soalan yang kuajukan.

“Akak jangan risau. Ni ayam bandar,” celah Sal. Dia turut tersenyum.

Malu aku dibuatnya.

“Akak tak makan ayam kampung?” Nadia pula mengajukan soalan buatku.

Aku mengenyitkan mata kepadanya.

“Di sini, hanya orang asli tak makan ayam kampung sebab...” Shazleen memulakan cerita.

“Shazleen!!!” Mak Minah mencelah. Kedengaran nada suaranya lebih tinggi daripada biasa. “Bila aktiviti sebenar bermula?” sambungnya lagi sambil memandang anak mataku.

“Pagi esok kena berkumpul di dewan serbaguna,” jawabku ringkas.

“Shazleen dan Nadia ikut boleh?” Nadia bertanya.

“Insya-ALLAH, boleh. Lagipun, aktiviti adik-adik bermula jam 9.00 pagi esok,” jawabku lalu menuang air sirap ke dalam gelas.

“Asha belajar tahun berapa?” Mak Minah masih ramah bertanya.

“Tahun tiga,” aku menjawab pendek sambil memerhatikan Pak Madi yang semacam hendak beransur.

“Pak cik pergi surau dahulu. Asha buatlah macam rumah sendiri, ” kata Pak Madi.

Aku tersenyum lagi. Betul tekaanku.

“Maaflah, kak. Ayah tidak dapat tunggu sehingga semua selesai makan...” Sal memberi penjelasan. “Biasanya, ayah jarang makan malam sebenarnya,” sambungnya.

“Ayah memang selalu solat maghrib dan isyak di surau,” kata Shazleen pula.

“Rumah ni jadi nombor dua di hati ayah,” Nadia menambah.

Mak Minah hanya tersenyum.

Sesudah makan malam, Shazleen dan Nadia sudah bersiap sedia dengan telekung mereka. ‘Mahu solat isyak agaknya,’ aku berkata di dalam hati.

Sal berkata, “Akak rehat dahulu, kami solat sekejap.”

“Jangan risau. Silakan,” kataku perlahan.

“Terima kasih, kak.”

Entah kenapa Sal berterima kasih kepadaku. Aku pun tidak tahu. Mungkin kerana aku telah merelakan diriku ditinggalkan seketika. Bukankah aku tetamu?

Mataku tertumpu pada peti televisyen yang dipasang namun fikiranku melayang jauh. Aku senyum sendiri sambil berbicara perlahan, “Barang siapa yang mengucapkan, tiada TUHAN yang diabdikan diri melainkan ALLAH, dia adalah pendakwah.” Namun... nampaknya bukan aku yang berdakwah tetapi telah didakwah.

~bersambung~

Jika mahu menjadi penulis dengan Alaf21 (viii)

Assalammualaikum. Apa khabar? Siapa berpuasa hari ini ucap Alhamdulillah ^___^

Baik, seperti yang telah Muthiah janjikan. Hari ini... Muthiah berkongsi lagi tentang tips menulis. Ilmu ini disampaikan oleh Puan Sa'adiah Mohamad, editor Alaf 21. Jom baca :)

Prolog

Secara ringkas, istilah ini membawa maksud
pati, intisari cerita yang berlaku beberapa tahun sebelum cerita masa kini yang akan ditulis bermula pada bab 1. Biasanya, dalam beberapa halaman sahaja dan diletakkan sebelum bab 1. Selalunya, kaitan cerita dalam prolog akan menemui titik pertemuan di pertengahan novel.

Contohnya; prolog menceritakan saat perpisahan Saadiah dan AZ yang tragis di bawah pokok ketapang dan disaksikan ombak laut. Gambarkan sumpah janji mereka yang tidak kesampaian. Saadiah tetap cekal menghadapi tragedi ini tetapi AZ pula yang sedih, menangis teresak-esak. Memang mereka putus terus dan tidak bertemu lagi.

Bab 1 nanti, pembaca akan diperkenalkan dengan watak-watak baru. Tiada lagi watak Saadiah dan AZ. Akan tetatapi, pembaca akan sedar bahawa watak-watak baru ini ada kaitan dengan watak Saadiah dan AZ. Mungkin cucu Saadiah bertemu jodoh dengan cucu AZ. Atau kalau watak Saadiah dan Az masih hidup, pembaca akan menemui watak mereka di penghujung cerita.

Epilog

Ada penulis yang menulis panjang lebar hingga tidak perasaan manuskrip itu sudah melebihi 800 halaman. Apabila dinilai, banyak bahagian meleret yang boleh diringkaskan. Kalau bab akhir menceritakan majlis perkahwinan Saadiah dan AZ (halaman ke 580), penulis nak cerita lagi tetapi halaman agak terhad. Jadi, boleh diringkaskan sebagai epilog. Dalam epilog ini, terus gambarkan mereka sudah mempunyai lima anak perempuan yang comel-comel dan hidup bahagia.

Atau epilog juga menggambarkan pengakhiran sesuatu watak. Contohnya; setelah tiada jodoh dengan Saadiah, AZ berazam berhijrah ke negara lain. AZ pergi dengan hati yang berat dan terluka. Atau dalam kapal terbang, AZ berkenalan dengan seorang gadis bernama Ruby. Jadi, nampaknya ada bunga dalam taman.

Monolog; kata-kata dalaman/dalam hati yang disuarakan oleh sesuatu watak.

Flashback/imbas kembali; cerita yang berlaku sebelum itu dan diingat kembali.

Dialog; perbualan antara dua watak atau lebih. Mesti ada pembuka dan penutup kata.

Naratif; penceritaan yang biasanya diselang-selikan dengan dialog.

Ada penulis yang suka naratif yang panjang lebar dan dialog sikit. Sebaik-baiknya, dua perkara ini mesti seimbang supaya pembaca tidak bosan.

~ bersambung~

Moga kan mendapat info dan manfaat daripadanya ^^

Mahu jadi tetapi payah ...


Assalammualaikum. Apa khabar? ^______^

Ada beberapa orang teman bertanya kepada Muthiah...

Bagaimana mahu menjadi penulis?

Usaha.... usaha... usaha...

Banyakkan membaca dan biasakan menulis dan terus menulis. Kita sendiri yang membuat pilihan. Jika mahu berhenti di tengah jalan... itulah yang akan kita perolehi. Impian itu hanya akan tinggal impian.

Jadi, bagaimana? Ehe...

(Kelapangan, bolehlah rujuk perkongsian Muthiah sebelum ini ^^. Anda boleh! Muthiah pun boleh, insya-ALLAH).

Ia telah menulis menulis separuh, tetapi give up dengan tidak semena-mena, sampai penulisan yang dibuat terhenti di pertengahan. Jadi, bagaimana?

Usaha lagi...

Buat jadual dan berdisiplinlah dengan apa yang telah ditetapkan. Cuba cari mood untuk menulis kembali.

Dalam masa yang sama, mohonlah kepada ALLAH, minta kekuatan daripada-NYA. Iyalah. Hakikatnya... segala sesuatu itu adalah datang daripada-NYA, dengan izin ALLAH.

Ikhlaskan hati, perbetulkan niat. Cakap pasal ikhlas... sebutkan sentiasa... 'Aku ikhlas!' Selainnya... ketahuilah bahawa ALLAH lebih tahu segala sesuatu yang ada dalam hati kita.

Okey... selamat berusaha. Anda boleh jika anda betul-betul mahukannya. Jatuh tersungkur itu perkara biasa namun... jangan biar diri terlalu lama berada di bawah. Bangkit kembali. Carilah kekuatan. Bagaimana?

Mula-mula, kembalilah kepada ALLAH.

Kemudian, tanam tekad dalam diri... aku mahu!

Seterusnya, teruskan berusaha.

Ehe... masa untuk Muthiah mula bekerja. Selamat beribadah!

Muthiah : Insya-ALLAH, esok Muthiah kongsikan tips daripada insan yang lebih arif tentang bidang penulisan ini.

Al-Fatihah...

Assalammualaikum...


Persoalan : Siapakah wanita cantik berbaju merah di atas?

^____________^

Beliau adalah arwah ibunda Muthiah yang telah kembali ke rahmatullah pada 9 Disember 1991, lalu.

Mengapa pula Muthiah kongsikan gambarnya di sini?

^__________^

Hari ini, 18 Oktober 2011, adalah hari ulangtahun arwah mama Muthiah yang ke 54.

Moga roh mama dicucuri rahmat.
Moga mama aman di dunia sana.
Al-Fatihah... Kakak sayang mama selamanya, insya-ALLAH :)

Titipan buat yang yang masih bernyawa...

Maafkanlah mereka yang menyakiti kerana itu adalah lebih menenangkan... Bila kita pergi, mahukah kita mahu bawa rasa marah itu bersama ^^

Kangkung goreng

Assalammualaikum. Selamat pagi. Bagaimana dengan mood bekerja hari ini? Muthiah... Alhamdulillah.

Baik, oleh sebab Muthiah hendak masuk 'pejabat' awal... Muthiah terus kepada entri, ya...

Jom masak ^___________^


Bahan-bahan

(Sayur campur)

1 ikat kangkung
Lobak merah - dihiris
1/2 biji lada merah - dihiris menyerong
Sedikit lada benggala (hijau) - dihiris juga
Cendawan - disiat-siat
(Mahu pedas, masukkan cili api yang ditumbuk sekali lalu)

Bawang putih dan bawang kuning - dimayang
Sedikit ikan bilis
Sedikit belacan.
Sos tiram

Cara membuatnya

1- Tumis bawang yang dimayang sampai naik bau. Kemudian, masukkan ikan bilis pula.

2- Masukan sayur-sayur di atas... selanjutnya, masukkan juga sedikit air dan sos tiram. Bagi yang hendak buat kangkung goreng belacan, tambahlah sedikit belacan.

Siap. Muthiah dan ini adalah menu kegemaran Muthiah ^^

Selamat mencuba.
Labels: 0 comments | | edit post

Surat lagi!!!


Assalammualaikum. Saya doakan agar Hajar akan sentiasa berada di bawah lembayung Yang ESA.

Ikhlas 100%,
Ibrahim.

Perempuan… secara fitrah, dia sememangnya lemah. Jasadnya akan bertambah lesu jika dia semakin menjauh daripada TUHAN-nya. Hajar merasakan dia telah dekat, namun mungkin tidak cukup hampir sebenarnya. Dia bermunajat tetapi mungkin belum cukup ikhlas hakikatnya. Moga-moga, kelalaian ini tidak berpanjangan. Hajar mungkin tidak sedar…

Ayuh, dapatkan Air Mata Siti Hajar segera di pasaran ^^
m/s : 160 & 161

Maafkanlah...


Assalammualaikum. Apa khabar dan selamat malam ;) Muthiah... Alhamdulillah. Sihat tetapi agak sibuk dengan hobi baru. Hobi baru? Keh keh keh... Nanti, Muthiah kongsikan.

Bagaimana dengan cuti hujung minggu? Ada baik? Moga-moga, kita semua dirahmati ALLAH selalu...

Hmmm... mahu berbicara tentang apa, ya?

Maafkanlah...

Maafkanlah mereka yang menyakiti kerana itu insya-ALLAH lebih menenangkan hati. Betul?

Maafkanlah mereka yang mengguris hati... percayalah bahawa ALLAH Maha Teliti Penghitungan-NYA. Usah mengharapkan mereka yang mengguris terguris sama... teruskan beristighfar kepada-NYA. ALLAH Maha Adil lagi Maha Saksama. YAKIN! Boleh jadi apa-apa yang terjadi adalah khafarah dosa buat diri kita.

Maafkanlah mereka yang meremukkan perasaan. Boleh jadi kesakitan yang dirasai ini tanpa sedar telah mendekatkan kita kepada DIA. Manalah tahu... tanpa sedar, kita sedang menjauh kepada-NYA.

Maafkanlah mereka yang berprasangka... ALLAH ada melindungi kita. Lagipun, buruk sangka itu tidak akan menguntungkan sesiapa. Orang lain... biaq pi. Kita? Istighfarlah. Usah bersangka-sangka kerana dikhuatiri menambah bintik hitam dalam hati kita. Semak balik hati kita. Mungkin ada yang tidak clear di situ.

Maafkanlah, maafkanlah...

ALLAH dekat mendengar kata hati kita.

Ehe. Boleh pula menulis (walhal tadi terasa berat untuk mengemaskini blog).

Moga kan mendapat manfaat daripadanya ^___^

Selamat malam, semua :)

Mencari Naurah (Bab 13)

ALLAHU Akbar...

Kedengaran suara Pak Madi mengangkat takbir. Oh, mereka solat berjemaah rupanya. Entah bila dia pulang ke rumah, aku sendiri tidak perasan. Aku pula tertidur dengan lenanya dek kepenatan yang melampau.

Cepat-cepat aku ke bilik air dan membasuh muka. Hmm... mungkin Sal terlupa untuk mengejutku dari tidur. Malu aku pada Pak Madi kerana bersenang-senang di dalam bilik sedangkan orang lain begitu sibuk membuat kerja rumah.

Aku kemudiannya berjalan ke ruang tamu lalu duduk di atas kerusi rotan milik Pak Madi.

Zohor tadi, aku sudah menunaikan solat jamak dan qasar. Mempraktikkan pengisian ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Anuar Riduan, bekas seniorku di Universiti Malaya. Katanya, “ALLAH sudah memberi keringanan, buatlah. Tunai solat fardu sudah dapat pahala. Buat solat jamak dan qasar pun dapat pahala.”

Lupakan Ustaz Anuar Riduan dengan tazkirahnya. Aku kemudiannya memandang sekeliling rumah. ‘Kemas dan bersih,’ bisik hatiku. Bukan itu sahaja, dibersihkan lagi dengan amalan solat berjemaah. Rumah ini pasti sentiasa dinaungi ALLAH dan dipelihara oleh-NYA. Malaikat juga sudah tentu senang untuk diam di dalam rumah sebegini. Nyamannya rasa hati, tidak dapat kuungkapkan dengan kata-kata.

Aku melihat Pak Madi dan makmumnya yang sedang bersujud. Saat yang paling baik untuk memohon sesuatu kepada ALLAH. Lama juga sujud mereka. Aku merenung diri sendiri. Terasa diri kerdil di hadapan TUHAN. Tempat jatuhnya kaki manusia itu menjadi lokasi persinggahan kepala makhluk yang bernama insan.

‘Allahu Akbar,’ aku bertakbir perlahan. Siapa lagi yang lebih hebat perancangan dan penciptaannya selain daripada TUHAN yang satu? Ketinggian dan keagungan ALLAH tidak dapat disangkal lagi. Hanya mereka yang bodoh lagi jahil sahaja berasa hebatnya diri, namun hakikatnya tetap kecil di sisi TUHAN.

Pertama kali menjejakkan kakiku ke sini, hatiku menjadi tenang. Mungkin kerana ada hati-hati yang ikhlas menerima kehadiranku. Mereka berasa senang menanti kehadiran tetamu dan tetamu itu adalah aku! Alhamdulillah...

Tidak seperti tentera Amerika, kedatangan mereka ke Baghdad pada Mac 2003 tidak dialu-alukan bahkan pengunduran mereka dari bumi Iraq itu diraikan secara besar-besaran. Bukan itu sahaja, tanggal 30 Jun turut diisytihar sebagai Hari Kedaulatan Kebangsaan! Bergembiralah puak Syiah, Sunni dan Kurdis menyambut hari pembebasan mereka. Tidakkah satu penghinaan namanya itu? Kutukan yang selayaknya diberi kepada penentang agama Allah yang zalim lagi kejam.

Tiba-tiba, aku teringatkan Kak Rose, Emelda dan rakan-rakan yang lain. Adakah mereka juga mendapat keberuntungan yang sama sepertimana diriku? Apapun, syukur kepada TUHAN kerana telah memilih dan mencampakkan diriku ke sini.

Aku memandang siling rumah. Ada bekas tampalan padanya. Subhanallah... Rumah ini tidak semewah rumah agam milik Allahyarham Michael Jackson. Neverland, nama pulau fantasi bagi Peter Pan. Akan tetapi, terpancar cahaya dari dalamnya. Kini kuperoleh jawapan. Cahaya itu datang dari kebarakahannya. Dihidupkan dengan kalimah tauhid. Diserikan dengan zikrullah. Aku benar-benar bersyukur kerana telah dihantar ILAHI ke sini.

Assalammualaikum warahmatullah... Assalammualaikum warahmatullah.

Kedengaran suara Pak Madi memberi salam. Kupalingkan wajahku ke arah mereka. Sal yang tadinya duduk bersimpuh bangun perlahan-lahan. Seperti mahu berjalan ke arahku. Tepat!

“Akak, jom baca Mathurat sama-sama,” ajak Sal lembut.

“Insya-ALLAH,” kataku lantas mengekorinya ke bilik solat.

Amsaina wa amsaina ... (permulaan doa dalam al-Mathurat).

~ bersambung~

Yuk. Dapatkan novel Mencari Naurah di pasaran segera ;)


Pandangan tentang bajet 2012


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Sekarang, sedang berperang dengan keluarga semut. Langsung tidak dapat meletakkan makanan di mana-mana. Terus diterjah. Hmm... apa yang boleh dimuhasabah? <- Bagi mereka yang mahu memikirkan.

Baik. Hari ini Muthiah ingin membicarakan bajet yang telah dibentangkan oleh PM kita ^^

Wah!!! Muthiah ingin membuat ulasan? ^^ Pandangan Muthiah... biarlah Muthiah simpan di dalam hati dan berkongsi dengan suami. Hari ini, Muthiah ingin berkongsi pandangan mereka yang pakar dalam hal ini.

Artikel Muthiah petik dari blog Saudara Saiful Islam. Moga kan mendapat manfaat daripadanya :)

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW serta ahli keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan dan keimanan.

Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit 4.7 peratus. Secara umumnya kami mengakui bahawa bajet yang dibentangkan secara umumnya adalah baik dan memberi perhatian yang banyak serta agak komprehensif kepada kemaslahatan rakyat dari pelbagai genap lapisan dan sektor.

Pun begitu, agak merungsingkan apabila bajet ini masih kekal defisit, tahun lalu defisit adalah sebanyak 5.4 peratus. Perlu difahami unjuran hasil kerajaan pada tahun 2012 hanyalah RM 186.9 billion dan ini bermakna kerajaan perlu membuat hutang dalam negara yang baru sebanyak RM 45.9 billion.

Kami dengan ini, menyuarakan kebimbangan kami terhadap trend menambah hutang dalam mengurus dan membangun Negara tercinta ini. Menurut Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011, berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan meningkat 11.9 peratus kepada RM455.75 billion bagi hujung tahun ini.

Berhutang itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa sebarang plan konkrit untuk menyelesaikannya, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله

Ertinya : Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya” ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )

Juga sabda baginda:-

اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف

Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : ” Jika seseorang berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan sifat non-partisan di antara beberapa peserta pertemuan ilmuan Islam dan pendakwah terlibat dalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut Bajet Negara 2012 dengan perasaan bercampur-campur.

Secara ringkas dan mudah dan berdasarkan kemampuan kami yang sederhana, berikut adalah respons kami terhadap beberapa isi penting terpilih dari Bajet 2012 yang dibentang pada 7 Oktober 2011:-

A) Sokongan sepenuhnya

Kami memberikan sokongan sepenuhnya terhadap item-item berikut:-

  1. Kewujudan Dana Perusahaan Kecil Sederhana secara Patuh Shariah bernilai RM2 billion yang akan diagihkan melalui institusi kewangan Islam yang terpilih.
  2. Potongan cukai kepada sukuk terbitan wakalah, sebelum ini telah diberikan kepada sukuk mudarabah, BBA, Istisna’, murabahah, ijarah.
  3. Pengecualian cukai bagi urusniaga sukuk bukan ringgit sebagai galakan perkembangan industri kewangan Islam.
  4. Skim pembelian kereta baru jenama tempatan bagi pemilik teksi individu dengan beberapa tawaran nilai lupusan bagi jangka hayat kereta yang berbeza. Ini juga baik, bagi menggalakkan kualiti teksi sedia ada, sekaligus mengurangkan risiko pengguna dan menaikkan imej negara.
  5. Potongan dua kali belanja syarikat bagi yang menyediakan latihan internship. Langkah ini juga disokong khususnya latihan teori dan peperiksaan di universiti semata sememangnya tidak mampu menghasilkan tenaga kerja yang cekap dan mahir, justeru tawaran ini dikira mampu meningkatkan kecekapan tenaga kerja muda di Malaysia disamping menaikkan produktiviti syarikat terbabit dengan tenaga kerja yang lebih menjimatkan.
  6. Mana-mana pemberi biasiswa dari kalangan syarikat swasta akan memperolehi pengecualian cukai.
  7. Pertukaran gaji kepada sistem satu lapis dan kenaikan gaji, iaitu pada kadar RM80 – RM320 atau opsyen skim SBPA dengan faedah kenaikan gaji pad akadar 7-13 peratus.
  8. Bonus setengah bulan kepada kakitangan awam dan bantuan RM500 kepada pesara.
  9. Dana Pengkomersialan Inovasi bagi PKS sebanyak RM 500 juta melalui pembiayaan patuh Shariah.
  10. Yuran sekolah rendah & menengah dimansukhkan.
  11. Sumbangan orang ramai kepada rumah ibadah dan sekolah swasta akan mendapat potongan cukai.
  12. Pelbagai program membangun hal asasi di luar Bandar melalui dana bernilai RM5 bilion untuk jalanraya, air bersih, elektrik, tangki air, felda diperbaiki sistem pengairan dengan bajet RM400 juta lagi.
  13. Umur bersara lanjut ke 60 tahun.
  14. Jadual dan jumlah jam kerja pegawai perubatan di ubah kepada purata hanya 60 jam seminggu sahaja, ditambah dengan sistem elaun oncall pada kadar RM30 ke RM 80 semalaman.
  15. Bajet biasiswa bagi galakan penjawat awam menyambung pelajaran di peringkat BA, MA dan PhD
  16. Naik pencen 2 peratus setahun.
  17. Baiki rumah nelayan dari dana sumbangan bernilai RM 300 juta.
  18. Bantuan guaman bagi yang tertuduh tidak mampu. Bajet RM 15 juta diperuntukan.
  19. Hospital kanak-kanak dan wanita RM 700 juta.
  20. Warga emas berumur 60 ke atas dikecualikan dari caj hospital kerajaan sebagai pesakit luar. Selain itu juga diberikan 50% diskaun tambang LRT dan Monorel
  21. Orang ramai boleh menggunakan RM 1300 dari wang KWSP mereka untuk mendapatkan kuota haji melalui kaedah ring-fencing.
  22. Peruntukan meningkatkan sumber makanan melalui pertanian dengan nilai 1.1 billion.
  23. Baucar buku RM 200 bagi pelajar matrikulasi, IPTA, IPTS dan tingakatan enam.
  24. Galakan sistem bina kemudian jual, diperuntukan melalui perbankan Islam bagi rumah bernilai RM 600,000 ke bawah. Ertinya, hanya apabila rumah siap, barulah pelanggan diperlukan untuk membuat bayaran bulanan.

B) Sokongan dan nota perhatian

Berikut pula adalah item yang disokong, namun dengan dengan sedikit nota:-

  1. Pengecualian cukai duti import dan duti eksais untuk kereta elektrik dan hybrid. Namun pihak kami merasakan pihak kerajaan sewajarnya meluaskan lagi galakan ini dan bukan sekadar terhad kepada dalam industri automatif, malah juga wajar diberikan potongan cukai atau insentif yang sesuai kepada mana-mana perusahaan dan perkilangan yang mampu beroperasi secara bersih dan kurang pencemaran melalui sistem ‘tekonologi hijau’, selain itu kami juga ingin mencadangkan agar kerajaan mengkaji bagi mengenakan cukai penalti atau khas kepada mana-mana kenderaan dan kilang yang mengakibatkan sebaran ‘carbon emission’ berlebihan kepada persekitaran.
  2. Pengecualian cukai bagi francais tempatan bagi mengalakkan perkembangannya. Dengan kelebihan ini, pihak kami menyeru agar harga khidmat, servis dan makanan yang disediakan oleh francais terlibat tidak dinaikkan bagi mengelakkan tambahan beban bagi rakyat, juga diharapkan pihak kerajaan mampu mengambil inisiatif menasihatkan pihak francias menaikkan kualiti perkhidmatan mereka.
  3. Skim rumah pertama bagi kakitangan berpendapatan di bawah RM 3000, dibenarkan untuk membeli rumah pada harga maksimum RM 400 ribu berbanding RM220 ribu sebelum ini, dengan kebenaran menggabung nama suami isteri. Kami berpendapat kenyataan ini hanya merawat sebahagian masalah pemilik rumah pertama sedang ia tidak mampu menyelesaikan masalah harga rumah yang tinggi kepada golongan ini. Selain itu, pengumuman ini dijangka boleh mengakibatkan galakan tidak langsung penjual untuk menaikkan harga rumah lalu menambahkan risiko kemampuan peluang golongan ini memperolehi rumah.
  4. Amanah ikhtiyar – 2.1 billion bagi tujuan ‘micro credit’, namun diharapkan agar ia mampu disalur juga melalui dana patuh Shariah.
  5. Sistem bas di luar Bandar RM 150 juta. Namun begitu, bajet kali ini mengalpakan peruntukan dan tumpuan untuk pengemaskinian dan sistem transportasi dalam bandar yang masih belum berkesan..
  6. Menggalakkan Doktor, akauntan, guaman dan lain-lain professional buka perkhdimatan di luar Bandar dengan dana RM100 juta bagi pinjaman riba 4 peratus. Ia disokong namun mengapa tiada pilihan dana patuh Shariah? Juga disarankan agar kerajaan bukan hanya mengehadkan kepada badan professional tetapi juga badan-badan kebajikan dan sukarela yang ingin mengadakan khidmat sepertinya.
  7. SME ‘revitalization fund’ untuk SME bermasalah. Pinjaman mudah 1 juta boleh diberikand dari dana bernilai RM 100 juta yang disediakan. Walau bersetuju namun pihak kami merasakan keperluan kerajaan memberi pilihan perkhidmatan Patuh Shariah melalui perbankan Islam.
  8. Bantuan RM500 kepada isu rumah berpendapatan bulan RM3000 dan ke bawah dalam usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam menyekolahkan anak-anak mereka. Kami bimbang bantuan ini akan mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak kami mengharapkan kerjaaan mampu merancang tatacara yang boleh digunakan bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus sebanyak setengah bulan gaji. Juga pihak kami juga menegaskan bahawa agak ramai keluarga berpendapatan kurang dari RM 3000 yang tidak akan mendapat bantuan ini lantaran mereka tidak berdaftar dengan LHDN, juga tidak jelas sama ada individu yang tidak pernah membayar cukai LHDN boleh berdaftar tahun ini lalu terus mendapat kemudahan ini.
  9. Pemilik teksi individu dan kereta sewa dikecualikan dari duti eksais dan cukai jalan sebanyak 100 %. Ini adalah baik bagi menggalakan lagi tekanan syarikat kepada pemandu teksi. Pun begitu, kami juga merasakan adalah bertambah jika kerajaan dapat juga mempertimbangkan pemberian permit-permit teksi kepada individu dengan lebih banyak.
  10. KARISMA: Untuk warga emas miskin RM 300 sebulan, kanak-kanak miskin RM 100 sebulan, kurang upaya RM 150-350 sebulan. Kami bersetuju cuma melihat agar perlu ada peruntukan bagi OKU untuk mendapatkan peluang pekerjaan di dalam perkhidmatan awam, menaikan fasiliti asasi mereka di tempat awam selaras dengan dasar OKU, selain itu sewajarnya kerajaan memberikan pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mengambil OKU bekerja (jika belum ada)
C) Komentar umum

Berikut pula komentar umum kami terhadap bajet 2012 :-

  1. Belanjawan defisit berterusan melebihi 5 tahun bukanlah sesuatu yang sihat. Defisit menyebabkan keperluan kerjaaan untuk meminjam dengan faedah riba, apabila setiap tahun pinjaman bertambah maka jumlah hutang-hutang sebelum ini yang ‘outstanding’ pasti akan semakin menyesakkan. Bajet kali ini masih tidak menjelaskan plan kerajaan untuk menaikkan hasil dan pendapatan bagi mengelakkan belanjawan defisit.
  2. Tiada sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal Islam sebagai agama rasmi melalui agensi-agensi kerajaan. Ini patut dikaji segera oleh kerajaan kerana bajet sepatutnya memberi perhatian dan sokongan kepada resolusi yang dicapai dalam Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia bagi membangunkan pengurusan hal ehwal Islam.
  3. Peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat tiada disebut dan diabaikan.
  4. Peruntukan untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing juga tiada diberikan perhatian sama sekali. Peruntukan patut disediakan sama ada melalui sekolah, agensi kerajaan terbabit, NGO dan yang layak.
  5. Pemberian konsesi dan kontrak kepada beberapa pengendali lebuh raya yang akan dibuat sebagaimana diumum di dalam bajet mestilah diurus dengan penuh integriti agar tidak lagi klausa perjanjian yang merugikan rakyat akibat menjamin kenaikan wajib setiap tahun.
  6. Di dalam keadaan defisit dan pemotongan pelbagai cukai terhadap pelbagai perkara, kerajaan sangat wajar mengenakan kembali ‘import tax’ untuk barang mewah yang pernah dihapuskan sebelum ini.
  7. Terlalu banyak agihan perlu sampai segera kepada masyarakat yang mengharap dari bajet ini, tanpa sikap efisyen tinggi dan tiada badan khas yang dipertanggungjawab, ia mungkin hanya tinggal pengumuman sahaja. Justeru, kami mencadangkan bagi membuktikan ketelusan dan keikhlasan bukan sekadar pilihanraya, kerajaan mewujudkan badan pemantau khas dianggotai wakil kementerian, NGO & ahli politik untuk mencatat setiap agihan yang diumumkan di dalam bajet, lalu melaporkannya secara suku tahunan (quarterly) kepada parlimen bagi pengetahuan rakyat.
  8. Pengecualian cukai bagi projek dan syarikat-syarikat KLIFD yang diberikan sehingga 10 tahun adalah terlalu panjang yang merugikan Negara khususnya apabila kewangan negara berada di dalam kedaaan defisit, justeru kami mencadangkan ia dikaji semula dan diubah kepada lima tahun sahaja.
  9. Sekuriti dan isu keselamatan rakyat tidak diperuntukan dengan peruntukan yang mencukupi, walaupun ada bajet untuk polis namun kita perlukan peruntukan khusus untuk sistem tekonologi sekuriti lebih baik seperti CCTV dan lain-lain sistem bagi memudahkan polis membantu keselamatan rakyat jelata.
  10. ‘Green tax’ sekali lagi ingin kami highlightkan, pengecualian cukai bagi syarikat mampu mengurangkan pencemaran dan kenakan cukai bagi yang membuat pencemaran diperlukan.
  11. Bagi mengelak spekulasi di dalam pemilikan perumahan, kami berharap kerajaan mampu mengkaji lagi sistem yang telah diperkenalan sebelum ini iaitu pembelian rumah ketiga dan seterusnya, institusi kewangan diminta untuk memberi pinjman sehingga 70 % sahaja, namun bagi merendahkan terus peluang spekulasi yang menyebabkan harga rumah meningkat sehingga menyukarkan pembeli rumah pertama dan pembeli untuk tujuan penginapan (bukan pelaburan), kami meminta pembiayaan dan pinjaman untuk pembelian rumah ketiga dan ke atas dihadkan kepada 50 % sahaja berbanding 70 % sebelum ini.
  12. Peruntukan bagi mengemaskan dan menaiktaraf sistem pengangkutan dalam bandar tidak disebut di dalam bajet kali ini.
  13. Selain memberikan tumpuan kepada hospital baru, naik taraf hospital swasta dan klinik, perlu juga perlu juga mengkaji khidmat di hospital swasta yang kian meningkat kos khidmat mereka.
  14. Transformasi sepatutnya tidak hanya terhad kepada plan agihan yang baik tetapi plan kerajaan untuk tingkatkan integriti, kesungguhan dan keazaman mengelak ketirisan yang mengakibatkan perbelanjaan mengembang.
  15. Tidak disebut kali ini berkenaan cukai barangan ‘dosa’ ke atas rokok, arak, judi dan sepertinya. Ini diperlukan bagi memperolehi pendapatan Negara dalam keadaan defisit dan mengecilkan jumlah mereka yang ingin terjebak di dalam masalah terbabit.
  16. Kedai 1Malaysia (KRIM) adalah baik namun perlu disedari peruncit kecil terpaksa bersaing dengan harga barangan jualan KRIM yang 40% lebih rendah dari harga pasaran, jika tidak dikawal lokasinya boleh ‘membunuh’ kedai-kedai runcit milik peniaga kecil dan sederhana, justeru kami mencadangkan agar kedai ini benar-benar ditempatkan lebih banyak di kawasan luar bandar atau di kawasan yang dikenalpasti didiami kumpulan pendapatan rendah seperti PPRT di kawasan bandar atau universiti.
  17. Kadar keuntungan cukai harta tanah, di dalam lampiran bajet 2012 disebutkan niat kerajaan adalah untuk mengekang spekulator hartanah dari berleluasa lalu cukai ke atas keuntungan jualan harta tanah dinaikkan dari 5 % ke 10 % bagi pelupusan dalam tempoh kurang dari 2 tahun, kami mencadangkan agar kerajaan mengembalikannya kepda jadual cukai asal iaitu 30% secara berperingkat dwi tahunan agar masalah ini dapat dibendung dengan lebih efektif. Selain itu, jualan harta tanah setelah 5-10 tahun pula dicadangkan agar tidak dihapuskan terus, maka boleh diletakkan cukai minima sekitar 1 peratus, ia dijangka penting untuk menjana pendapatan kerajaan.

Akhirnya, kami menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam fasa penyampaian dan perlaksanaan segala inisiatif yang telah dimaktubkan dalam belanjawan yang diumumkan agar bersifat amanah dan menzahirkan accountability yang tinggi agar setiap inisiatif yang dijanjikan benar-benar dirasai manfaatnya oleh para kumpulan sasaran. Kami mengingatkan seluruh stakeholders yang terbabit dengan Firman Allah SWT:

إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ اللّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرً

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (An Nisa:58)

Firman Allah juga :

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Ertinya : sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. ( Al-Qasas : 26)

Sabda Rasulullah SAW:

“Tiada iman pada orang yang tidak beramanah” (Riwayat Ahmad)


Dari kami untuk khidmat masyarakat,

Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mursyid)

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)

Ustaz Dr. Maszlee Malik

Ustaz Dr Zahazan Muhammad,

Ustaz Syed Mohd Norhisyam

Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,

Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,

Ustaz Hj Aizam Mas’ud,

Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,

Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,

Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan,

Ustaz Ramadhan Fitri Elias,

Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,

Ustaz Zamri Zainuldin ‘Mantop’

Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Ustaz Shauqi Othman

Ustaz Dr Firdaus Mohd Hatta

Dr. Mohd Nizam Barom

Daripada Muthiah -> Selamat merenungkannya ^^

Seharum wangian syurga

Assalammualaikum, semua. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Baik-baik sahaja. Moga baiklah segalanya sentiasa. Segala di sini adalah..

Baik hati...
Baik jasad...
Baik mulut...
Baik telinga...
Baik tangan dan kaki...

Sahabat-sahabat, bagaimana?

^____^

Lama sudah tidak promosi buku. Ayuh... jom dapatkan novel NUR ini di pasaran. Insya-ALLAH, ada mutiara yang boleh dikutip di dalamnya :)


Sinopsis

ALIFF FAHMI redha apabila pertunangannya terpaksa diputuskan kerana fitnah yang melanda. Dia tekad. Dia berhijrah untuk memulakan hidup baru. Namun, belum sempat dia mengecap kebahagiaan di tempat baru, sekali lagi dia diuji. Pertemuan dengan Anis membuatkan hidup Aliff Fahmi kacau-bilau. Gadis itu telah meluahkan rasa hati kepadanya. Kecewa kerana kasihnya ditolak lelaki itu, Anis nekad mahu membunuh diri. Aliff Fahmi cuba memujuk, tapi tidak diendahkan.

“Ya ALLAH, jika gadis ini nekad untuk mencabut nyawanya, tolonglah… jadikanlah sesuatu sebab yang boleh memberikan kesempatan untuk dia bertaubat kepada-MU!” Itulah doa Aliff Fahmi. Akhirnya dia bersetuju untuk mengahwini Anis.

Perkahwinan itu bukan sahaja menyelamatkan nyawa Anis, malah megubah diri Anis menjadi Muslimah sejati. Namun janji ALLAH tidak ada siapa yang dapat menghalangnya. Anis pergi menghadap ILAHI ketika kandungannya berusia dua bulan.

Aliff Fahmi berasa kecewa kerana kehilangan insan tersayang. Namun, dia pasrah pada qadak dan qadar ALLAH. Bagi menenangkan jiwa, dia memilih untuk memunaikan umrah. Di sana, dia sentiasa teringatkan Isma Humairah, bekas tunangnya. Bismillahirrahmanirrahim… Dua pasang nama pun diukir di Jabal Rahmah. Namun, ada jodohkah antara mereka berdua? Hanya ALLAH saja Yang Maha Mengetahui.

^___________________^ <- Senyum lagi.

Tahniah Muthiah ucapkan kepada Adik Isma Haneefa atau nama pena di facebook-nya Izzah Haneefa. Semoga sukses dalam lapangan ini dan selamat maju jaya dalam akademik juga :)

Ayuh, kawan-kawan. Dapatkan novel ini di pasaran segera <3

Komen - AMSH (1)

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Masih lagi berperjalanan. Jadi, tidak banyak masa yang Muthiah ada untuk diluangkan di sini. Itulah... pernah dengar kata-kata???

.....

Ingat waktu sihat sebelum sakit...
Ingat waktu lapang sebelum sibuk...
Ingat waktu hidup sebelum mati...

Memang niat di hati, mahu mencoret dan membebel sentiasa di sini namun kali ini... masa dan keadaan tidak cukup mengizinkan. <- Iyalah. Jika bukan di teratak sendiri kita hendak merapu, di mana lagi? Menulis entah apa-apa di tempat orang? Mungkin tidak..

Baik. Apa kata hari ini Muthiah berkongsi satu komen pembaca tentang Air Mata Siti Hajar???


Asma Ismail :

Salam, Hanan.

Alhamdulillah, sudah selesai baca novel Air Mata Siti Hajar. Cerita yang baik dan banyak pengajaran. Mesti Hanan minat tengok cerita kartun, banyak elemen itu.

Ehehehe. Cuma dalam novel ada digunakan perkara ILAHI, Alhamdulillah... unsur-unsur Islamik tetapi banyak error dalam ILAHI ditulis ILAH.

Good job, Hanan...

Daripada Muthiah :

Terima kasih atas respons, Asma. Tentang ILAH -> Penerangan ^^

^_____^

Terima kasih daun keladi juga buat sahabat-sahabat yang menyokong Muthiah dalam bidang penulisan ini. Sayang kamu, insya-ALLAH <3

Muthiah : Mengantuk...

Senyum macam -> Comel, bukan?

Assalammualaikum. Apa khabar, sahabat-sahabat yang Muthiah kasihi fillah? ;) Muthiah... Alhamdulillah. Kondisinya baik-baik cuma agak sibuk sampai tidak sempat mengemaskini blog.

Sabtu lepas, Muthiah dan suami ke Kuala Lumpur. Sampai Ipoh jam 1.00 pagi tadi. Oleh sebab ada urusan yang masih belum beres...

Ehe... Jadi, ambil EL sesuka hati. Dengan kata
lain, paksarela dengan senang hati. Moga-moga segala perancangan ini dipermudahkan-NYA. Begitu juga hendaknya dengan perancangan serta kerja sahabat-sahabat sekalian.

Yuk. Muthiah hendak sambung kerja. Setitip perkongsian..

Senyum ... Tidak usah cakap apa-apa.

Sabar... ALLAH dekat dengan hamba-NYA yang bersabar.

Redha... ketetapan TUHAN pasti ada hikmahnya.

Berusahalah... ALLAH tidak akan ubah nasib kita melainkan kita sendiri berusaha mengubahnya.

Tawakal... kembali kepada tapak... kekuatan seorang Muslim. Setelah melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh... tidak putus juga bermunajat kepada-NYA. Maka, bertawakallah.

Maafi ... Percayalah. Hati yang kuat memberi maaf sedang hati disakiti itu akan berasa hampir dengan ALLAH. Dia memohon kekuatan daripada ALLAH kerana dia tahu... dia tidak mampu melakukannya sendiri. Bukankah ALLAH bersama dengan hamba-NYA yang sabar?

Bersangka baik ... itu adalah selemah-lemah ukhwah. Kita tidak rugi apa-apa bahkan... hati akan berasa tenang lagi tenteram. Persoalan : Jika polan bin polan yang menjerumuskan dirinya dalam kancah fitnah? Hmm....

Okey. Muthiah kena sambung kerja dulu. Jumpa lagi.

Sayang semua ;) <- Cheh. Bajet diri disayangi. Tidak apa... sayang dahulu. Kemudian, serah pada ALLAH. Yakin. Jika tidak ada yang sayang, ALLAH tetap sayang <3

Muthiah : Mata berkelip-kelip ;)

Mencari Naurah (Bab 12)

TENANG lagi nyaman,’ aku berbisik sendiri tatkala menjejakkan kaki ke sini. Pepohon hijau yang merimbun menyejukkan mata yang memandang. Tiada lagi gas karbon dioksida yang menyesakkan pernafasan sekali gus mengancam kesihatan. Tiada juga kebingitan manusia mahupun kenderaan yang mengganggu ketenangan jiwa. Aku seolah-olah berada di tempat lahirku sendiri.

Teringat ibu di kampung. Rumah usang peninggalan ayah begitu banyak berjasa buat kami sekeluarga. Di dalamnya aku dilahirkan dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Di situ juga ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir sebelum dipanggil menghadap ILAHI.

“Rumah pak cik tak besar sangat. Risau benar mak cik apabila pak cik cakap ada budak universiti nak datang,” kata Pak M


“Tak apa, pak cik. Saya pun berasal dari kampung. Dah biasa mandi sungai, panjat pokok rambutan,” balasku pula.adi sewaktu kami sama-sama berjalan menuju ke rumahnya. Hari pertama program baktisiswa memerlukan kami bersuai kenal dengan keluarga angkat masing-masing. Menurut Kak Rose, aktiviti akan bermula pada hari kedua.

“Asal mana?” Pak Madi bertanya.

“Saya berasal dari Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu Kelantan. Mak dan arwah ayah orang Kelantan,” aku menerangkan.

“Maaflah, pak cik nak bertanya sikit. Ayah meninggal, sakit apa?” Pak Madi menyoal lagi.


“Ayah ada sakit paru-paru berair. Di kampung, pak cik buat kerja apa? Hmm... tentu keluarga pak cik besar, bukan? Saya ada tiga orang adik,” jawabku ringkas disusuli dengan pertanyaan tentang dirinya serta taaruf mengenai diriku.

“Ooo... Pak cik buat kerja kampung sahaja. Asal nama rezeki yang halal, pak cik buat semuanya. Panjat pokok kelapa, tebas lalang...” Pak Madi diam sebentar. “Anak pak cik ada sembilan orang. Tiga lelaki, enam perempuan,” sambungnya lagi.

‘Ramah juga Pak Madi,’ bisik hati kecilku. “Ooo...”

Sesampainya di hadapan rumah, Pak Madi berkata dengan perlahan, “Masuklah dahulu. Jangan malu-malu. Kalau ada apa-apa, minta dengan Sal. Sal pun masuk universiti juga. Dia di UKM. Sekarang dia tengah cuti belajar. Dia hendak kerja tetapi pak cik tak izinkan. Lebih baik bantu ibunya di rumah...” Dia memandang jam yang tergantung pada dinding rumah. Muka dia sedikit berubah, ada kerutan di dahinya.

“Asha, bukan? Asha duduk dahulu. Pak cik nak ambil anak-anak pak cik sebentar. Sekejap lagi baliklah mereka dari sekolah. Hari ini tak ada aktiviti ko-kurikulum. Jadi, mereka pulang awal sedikit. Lupa pula pak cik tadi,” sambungnya setelah mempersilakan aku masuk. Luas juga ruang tamu rumah Pak Madi.

Aku hanya tersenyum.

“Sal, Minah... tetamu dah sampai,” panggil Pak Madi dari muka pintu.

“Maaf, Sha. Pak cik beransur dahulu. Assalammualaikum,” Pak Madi nampaknya serba salah hendak meninggalkanku.Dia nampak tergesa-gesa. Sudah terlewat gamaknya.

Aku tersenyum sendiri lalu menjawab salamnya di dalam hati. Mataku mengekori susuk tubuh Pak Madi. Cepat-cepat Pak Madi berjalan ke arah motosikal Honda Kapcai 50ccnya. Tanpa menggunakan kunci, dia cuba menghidupkan enjin. Sekali... tak hidup.

Dua kali... masih tak hidup. Lantas, dia menolak perlahan motosikal tersebut ke atas jalan raya. Pak Madi kemudiannya menolak motosikalnya laju-laju dan terus memasukkan gear. Alhamdulillah... hidup akhirnya. Aku tersenyum lagi.

“Assalammualaikum, kak. Emak pergi ambil adik di sekolah tadika. Akak duduk dahulu, saya buatkan air.”

Seorang gadis ayu menegurku.

“Waalaikumussalam. Tak apa. Duduklah dengan akak dahulu. Siapa nama?” aku memulakan bicara.

“Akak boleh panggil saya Sal,” jawabnya.

Ooo... ini rupanya Sal yang disebut-sebut Pak Madi sebentar tadi.

Setelah bersalaman, Sal berjalan laju menuju ke dapur. Tidak sampai lima minit, dia keluar bersama-sama air teh o ais dan jemput-jemput.

“Minum sekali,” ajakku lembut.

Sal segera menuangkan air lalu menemaniku minum.

“Berapa orang dalam rumah ini?” soalku lagi.

“Termasuk mak ayah, ada enam orang. Mak pergi ambil adik bongsu, Amir namanya. Ayah pula, ambil adik-adik di sekolah rendah. Shazleen dan Nadia, darjah dua dan enam,” ia menjelaskan.

“Ambil UPSR tahun ini,” aku menambah.

Sal hanya tersenyum sambil mengangguk-angguk perlahan.

“Lima lagi?” Aku bertanya lanjut.

“Abang Ammar bekerja di Selangor. Jadi pensyarah di UPM, kursus Politik dan Sains Sosial. Nombor dua dan tiga sudah bekerja di Johor Bahru dan Melaka. Kak Iman jadi doktor sakit puan dan Kak Ayyun jadi cikgu.” Sal diam sejenak. “Kak Rahmah pula sekarang praktikal di KLCC. Dia ambil kursus perakaunan di UTP. Jefri tingkatan empat di SBP, Sekolah Alam Shah,” tambahnya lagi.

“Ooo...” kataku memberi respon.

“Akak duduk-duduk dahulu, saya nak ke dapur sekejap,” kata Sal.

“Nak akak tolong?” Aku menawarkan diri.

“Tak apa, kak. Sekejap sahaja. Saya nak tutup air. Terlupa tadi... Akak rehat dahulu ya. Nanti kita borak lagi,” katanya sambil mengukir senyuman manis buatku hingga menampakkan lesung pipit yang memaniskan wajahnya. Cantik...

Meskipun hidup serba kekurangan, anak-anak Pak Madi berjaya semuanya. Sejuk perut Mak Minah mengandungkan dan membesarkan sembilan orang putera dan puteri. Semuanya menjadi. Tidak sabar untuk bertemu dengan tangan yang pernah menghayun buaian itu sehingga lahir anak bangsa yang memberi manfaat kepada negara. Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Aduh! Sejak bila aku menjadi seorang yang patriotik ini?

Rumah Pak Madi ada empat bilik semuanya. Aku kira, satu adalah bilik Pak Madi dan Mak Minah. Satu untuk anak-anak gadisnya dan satu lagi untuk si teruna. Satu lagi... mungkin bilik solat memandangkan terdapat sejadah dan kain sembahyang yang tersusun rapi di dalamnya. Alhamdulillah... aku terpilih untuk bersama-sama sebuah keluarga sakinah yang boleh kujadikan panduan untuk hari mendatang, insya-ALLAH.

“Assalammualaikum....”

Panjang sungguh salam yang diberi. Aku menjenguk ke pintu. Dua orang puteri comel baru pulang dari sekolah. Shazleen dan Nadia agaknya. Mereka berjalan ke arahku dan menyalamiku dengan sopan. Aku tersenyum dan mencium pipi mereka. “Ayah mana?” Aku bertanya mesra.

“Ayah pergi kerja,” jawab salah seorang daripada mereka. Shazleen agaknya kerana dia nampak lebih rendah dan agak kebudak-budakan berbanding seorang lagi.

“Nama siapa?” soalku lagi meskipun sudah mengetahui nama keduanya.

“Saya Nadia. Yang ini, adik saya. Namanya Shazleen,” kata Nadia. Pandai dia menyusun kata.

“Dah makan?”

“Sudah... makan di sekolah,” Shazleen tersenyum sipu.

“Akak duduk dahulu, kami hendak mandi dahulu,” kata Nadia pula.

Mahu tergelak dibuatnya aku melihat Nadia yang menggunakan bahasa Melayu baku ketika bertutur denganku. Maklumlah, tahun ini UPSR!

“Insya-ALLAH,” balasku pendek.

Shazleen segera berlari memasuki biliknya manakala Nadia berjalan dengan penuh sopan.

“Assalammualaikum, Asha?”

Aku ditegur seseorang, Mak Minah agaknya.

“Ya, mak cik. Waalaikumussalam,” aku tersenyum sambil memandang Mak Minah yang jernih wajahnya. Membuatkan aku terpaku sendiri. Meskipun tudung labuh itu nampak lusuh, Mak Minah kelihatan menawan. Inilah heroin kepada putera-puteri yang diceritakan Sal sebentar tadi.

“Maaflah. Mak cik ambil Amir di tadika. Lewat pula sebab jumpa cikgu sekejap.” Mak Minah menjelaskan.

“Tak apa, mak cik. Saya baru sahaja minum dengan Sal. Mak cik nak minum? Saya boleh ambilkan,” kataku sambil tersenyum. Semacam aku pula yang menjadi tuan rumah.

Mak Minah memandang tepat anak mataku, “Mak cik dah minum dengan cikgu sekolah Amir tadi. Marilah kita duduk-duduk dahulu,” ajaknya.

“Baik, mak cik,” aku menuruti langkahnya.

“Tentu letih perjalanan dari Kuala Lumpur ke sini. Sal, bawakan air suam untuk Kak Asha,” kata Mak Minah separuh menjerit tetapi tetap lembut.

“Eh... susah-susah pula, mak cik. Saya baru sahaja minum teh o ais dengan Sal,” aku sedikit membantah. Tidak mahu menyusahkan sebenarnya.

“Tak apa. Selepas minum air manis, lebih baik minum air suam pula,” katanya persis seorang ibu yang sedang menasihati anaknya.

Aku tersenyum lagi.

“Jam 3.00 nanti, budak-budak datang rumah. Mak cik mengajar mengaji. Awalnya, hendak batalkan kelas mengaji hari ini tapi Nadia terlupa pula maklumkan kepada kawan-kawan dia,” beritahu Mak Minah.

“Batal? Kenapa, mak cik?” Dahiku berkerut.

“Rumah kami ada tetamu istimewa hari ini,” sampuk Sal sambil menghidangkan dua gelas air suam kepada aku dan Mak Minah.

“Eh, menyusahkan mak cik pula... Dahlah saya bermalam di rumah mak cik, mengganggu aktiviti harian pula,” aku berbasa-basi.

“Tak adalah, Asha. Bukankah tetamu itu membawa barakah?” Mak Minah diam seketika. “Asha rehatlah dahulu.Duduk dalam bilik Sal. Tentu belum hilang penat naik bas. Bukan dekat Kuala Lumpur dengan Terengganu ni.” Dia mencadangkan.

“Kak Sha, tempat tidur dah saya sediakan. Kak Sha rehat-rehatlah dahulu. Nanti asar saya kejut Kak Sha. Insya-ALLAH,” ucap Sal. Begku awal-awal lagi sudah diletakkan di dalam biliknya.

Kerana terlalu kepenatan, akhirnya aku terlelap.

~bersambung~