Hiburan pada bulan Ramadhan - MB tidak akan berundur.


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Ehe. Sebenarnya, sudah bertemu kembali manuskip Mencari Naurah yang hilang dek komputer riba yang rosak. Terasa ingin menyambung kisah Natasha yang terhenti tetapi...

T________________________T

Berasa agak kurang rajin. Jadi, kita jalan-jalan tengok blog orang, boleh? Ehe. Kalau tidak boleh pun, Muthiah heret juga. Dan... blog pilihan Muthiah hari ini ialah...

Jeng jeng jeng..
(Baca dalam nada suspens dan dramtik)


Siapakah hamba ALLAH ini? Hebatkah beliau sampai blognya menjadi pilihan Muthiah???

Sebenarnya, Muthiah gemar ber'blogwalking' cuma kurang rajin meninggalkan jejak. Hari ini sahaja terasa ingin mengambil jejak. Adoi. Penggunaan ayat yang entah apa-apa.


Sedikit daripada blog berkenaan -->

Latar Belakang

Larangan operasi pusat-pusat hiburan – karaoke, pub, disko dan persembahan terbuka- pada bulan Ramadhan tiba-tiba menjadi isu besar. Akhbar berbahasa cina memainkan isu ini sej
ak 5-6 hari lalu apabila pengusaha pusat hiburan tidak diberi lesen operasi pada bulan Ramadhan, khususnya di Pejabat Daerah Kota Setar.



Ini bukan isu baru, polisi ini sudah wujud sejak 14 tahun lalu, cuma penguatkuasaannya tidak menyeluruh. Sejak tahun 1997, pada bulan Ramadhan Kedah tidak membenarkan sebarang bentuk hiburan, termasuk pada malam Jumaat sepanjang tahun. Malah lama sebelum itu, rakyat Kedah sudah akur dengan peraturan itu. Semasa industri hiburan belum berkembang pesat, hanya ada panggung wayang, persembahan nyanyian di rumah-rumah kenduri, expo dan di funfair, joget, mak yong dan wayang kulit, masyarakat sangat menghormati bulan Ramadhan dengan memberhentikan aktiviti seumpama itu.

Apabila industri hiburan berkembang dan mencetuskan kesan sampingan yang membimbangkan, diadakan pertemuan Pegawai-Pegawai Daerah yang bertanggungjawab memberi kelulusan lesen hiburan bagi mengetasi kesan industri itu yang kian membentuk budaya baru masyarakat. Persetujuan dicapai pada tahun 1997 untuk memberhentikan pemberian lesen pada bulan Ramadhan, bulan suci umat Islam. Namun, penguatkuasaannya tidak menyeluruh ke semua daerah.


Sejak kebelakangan ini, budaya berhibur terutama di kalangan muda mudi diterima umum sebagai antara penyumbang berbagai-bagai gejala. Maka pada tahun ini, perbincangan diadakan semula untuk mengkaji langkah-langkah membendung kegiatan ini, terutama di bulan Ramadhan. Maka satu kertas cadangan diangkat untuk dibentangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan telah diluluskan.

Larangan operasi pusat hiburan sepanjang Ramadhan meliputi pusat karaoke, disko, pub dan persembahan terbuka yang boleh diakses dengan mudah oleh masyarakat awam seperti di restoren dan coffe house. Manakala pusat rekreasi seperti snooker, billiard, cyber cafe dan bowling dibenarkan. Persembahan budaya dan agama masyarakat bukan Islam dibenarkan dengan pertimbangan Pegawai Daerah.

Ada lagi sambungannya. Jemputlah menjengah ke sana.

Lagi berita - ^^


Selamat menjalani ibadah puasa. Bila, ya? Hiii ^^

Muthiah : Moga kan menjadi lebih baik dari semalam.

Kembali...

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Ada baik? Sudah teruja-uja untuk menyambut Ramadhan yang bakal tiba? Muthiah pun sama. Hari yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam. Masakan tidak. Pahala amal diganda. Ayuh! Usah kita melepaskan peluang untuk mendekatkan diri kepada yang ESA.


Malam tadi, Muthiah terfikir sendiri... dan sendiri dan seorang diri. Mampukah Muthiah untuk kembali?

Kembali?

Hmm... entahlah. Susah untuk diungkap dengan kata-kata. Payah untuk dikongsi dengan sesiapa. Entahlah... entahlah.

Mode : Bacalah dengan penuh emosi dan penghayatan. Lagi 'real', pastikan air mata mengalir perlahan (dibenarkan menggunakan bawang merah). Jangan deras sangat. Nanti nampak berdooh (melampau) pula ^^

Kembali dan kembali.

Kembali, apa? Bikin hati stres sahaja.

Hmm... susah... Susah untuk dibicara (Kalau macam tu, hang diam je la, Muthiah. Tak payah tulis apa-apa). Ehe. Rumahku, syurgaku ^___^

Pernah atau tidak sahabat-sahabat merasai saat-saat...

  • Manisnya sebuah perhubungan persahabatan? Suka duka bersama sahabat dirasai bersama. Sama-sama saling mengingatkan diri kepada PENCIPTA. Sama-sama mempunyai matlamat dan hala tuju yang satu, yakni mahu menjadi hamba ALLAH yang terbaik. Bertingkah, berbaik semula. Sang murabbi menjadi pemudah bicara.

  • Manisnya sebuah perhubungan dengan TUHAN? Sesungguhnya, hidup dan mati ini hanyalah untuk-NYA. Qiammullai. Tadarus. Infak ~ Mutabaah ibadah - SETEL! (Tang ikhlas tidak ikhlas, biar ALLAH sahaja yang menentukannya. Namun, usahakanlah untuk menyucikan hati kita). Apa yang penting, dalam hati... kita mahu menjadi hamba ALLAH yang sangat hampir dengan-NYA. Kita benar-benar mahu! Bukan hanya pada kata-kata. Iyalah. Hidup ini. Mati ini, hanya untuk-NYA.

  • Manisnya sebuah perjuangan demi menegakkan agama-NYA? Waktu di kampus... kitalah yang berdiri di barisan hadapan. Sesudah itu, kita masih lagi berada di lorong/ jalan mereka yang bermati-matian menganggungkan agama ALLAH. Harta? Tenaga? Apa sahaja digunakan ke jalan-NYA kerana kita punya RASA... ALLAH Maha Hampir dan sentiasa bersama kita. Bersama 'roh' yang dimiliki oleh mereka yang dipilih oleh-NYA...

Kini... masih adakah roh perjuangan tersebut di dalam jiwa?

  • Tidak ada! Jadi, bagaimana hendak mengembalikannya? Sudah dicuba tetapi tetap tidak berdaya. Kita sudah melakukan segalanya untuk kembali tetapi... kenapa masih tidak merasai roh kemanisan iman itu? Di manakah silapnya? Tiadakah keikhlasan dalam hati kita? Nauzubillah.

  • Entahlah... tidak pasti pula? Ayuh, kita koreksi diri. Kenapa pula tidak tahu? Atau tidak mahu ambil tahu tentangnya? Sedarlah, wahai hati yang sering leka. ISLAM pasti akan menang juga akhirnya. Bezanya... adakah kita tergolong dalam golongan yang memperjuangkan ISLAM, atau sebaliknya?

  • Ya (Dengan penuh yakin). Tahniah Muthiah ucapkan. Moga kan terus istiqamah, sampai ke hujung nyawa. Moga-moga, kita menghembus nafas selaku seorang pejuang (jadilah pejuang di sisi ALLAH, bukan pada kaca manusia)...
Moga... Muthiah dapat kembali... Sahabat-sahabat, bagaimana pula? Jom. Kita saling mendoakan sesama kita ^^

Muthiah : Hmm...

Bintik hitam

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Moga-moga, kehidupan kita pada hari ini lebih baik dari semalam. Pilihlah lorong/ jalan yang memberi kebaikan kepada diri sendiri dan orang di sekeliling kita.

Hmm... Mode : Kurang rajin ^^

Apa yang kita boleh rumuskan daripada gambar di atas? Boleh jawab? Jika tidak... ehe... Bacalah novel NUR pertama Muthiah, Mencari Naurah. Hahaha... Sempat membuat promosi, beb!

Ayuh kita...

  • Istighfar...
  • Banyakkan membaca al-Quran.
  • Bermuhasabah...
  • Usah membuka ruang kepada kemaksiatan.
  • Memberi maaf dan minta maaf.
OK. Muthiah beransur dahulu. Ada sesuatu yang ingin dibereskan ^^

Muthiah : Oh, hati...

Labels: 0 comments | | edit post

Mode : Merapu lagi… dan lagi

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Mula-mula… jom senyum sampai ke telinga.

^_________________________^

Peringatan : Perkataan ‘lor’ pada tajuk entri di atas adalah perhiasan semata-mata. Tidak ada kaitan antara yang hidup, mahupun dengan yang telah meninggal dunia. Namun! Yang masih hidup hendaklah selalu mengingati mati agar tidak lupa diri…

Sudah tahu akan mati. Janganlah…

  • Menyimpan perasaan hasad/ dengki pada orang lain. Rezeki dan kelebihan masing-masing. Ada lebih dan kurangnya. No worry. ALLAH Maha Adil lagi Saksama ;>
  • Menyakiti hati orang dengan … Kata-kata? Perbuatan? Gerak mata?
  • Suka mencari kelompangan orang. Mengutuk, mengata tanpa mahu menasihati. Nasihat pun, bukan datang dari dalam hati. Apabila tidak telus dari sanubari, jangan marah andai tidak diterima pula dari hati ke hati.

Bagaimana pula halnya jika hati itu sudah terkatup daripada hidayah ILAHI? Doakanlah. Doakanlah agar satu hari ia akan kembali. Siapalah kita hendak menghukum? Boleh jadi satu hari nanti, ia akan menjadi hamba ALLAH yang paling dekat dengan-NYA. Justeru… sendiri mahu ingat lor ^______^ Mode : Berhati-hati.

Blablabla..

Sekian, untuk pagi ini.

Muthiah : Merapu lagi lagi…

Mengantuk daaaa..

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah… M.E.N.G.A.N.T.U.K.

Alah. Mengantuk pun, hendak heboh ke? Ehe. Bukan heboh. Bukan juga mahu kepoh. Sekadar hendak berkongsi rasa. Jangan marah, ya (sambil kenyit mata macam Shin Chan yang hendak mengurat cikgu cun). Siapa mengantuk, sila angkat tangan!


Sebelum Muthiah mencoret lebih panjang, ingin Muthiah ingatkan. Penggunaan ‘daaa’ pada tajuk entri di atas tidak ada kena mengena dengan sesiapa. Baik mereka yang masih hidup, mahupun yang telah meninggal dunia. Bukan berniat hendak mengacau-bilaukan bahasa ibunda. Sekadar menjadikannya sebagai penyedap rasa. Walhal, tidak sedap pun. Syok sendiri sahaja ^___^ Ambil kau, Siti Muthiah.

Berbalik kepada topik mengantuk. Hmm… hendak buat macam mana?

Bangun… buat senaman ringkas. Kalau mampu buat tai-chi, buatlah. Biar apa orang hendak kata. Amanah besar sedang menanti kita. Jika mengantuk, macam mana hendak buat kerja? – ps : Pastikan aurat terjaga agar tidak ada mata yang terbuka luas, tidak boleh tutup memerhati aksi aneh kita. Mulut pun ternganga sama.

Ambillah wuduk. Alang-alang sudah ambil wuduk, tunaikanlah solat sunat dhuha 2 rakaat. Mengantuk pun hilang, pahala juga dapat. Siapa untung? Kita? Bukan. Jadi, siapa? Mereka yang meringankan diri menunaikan solat dhuha kerana ALLAH – ps : Buat segala sesuatu yang menepati syariat kerana ALLAH pun, dapat pahala juga. Hore…

Minum air. Ada orang, minum Nescaffe Mocha untuk menghilangkan rasa mengantuk. Hasilnya, berkesan tetapi kalau sudah terlalu mengantuk, tidak jalan juga – ps : Minum air suam baik untuk kesihatan. Tips lain. Jika kena demam denggi, minumlah sup ketam dan air 100Plus.

Lelapkan diri seketika. Perlu diingat! Seketika sahaja. Jika gusar terlebih lelap, minta tolong kawan-kawan untuk kejutkan. Jika tiada… Ambillah telefon bimbit. Pergi ke alarm dan tetapkan masa selama 5 minit untuk tidur sekejap. Kemudian, pergi ke profile dan cari ringing volume. Tetapkan nada maksimum. Agak-agak satu pejabat boleh dengar, OK-lah tu – ps : Hanya saranan. Tidak ikut pun tidak apa.

Pergilah borak-borak sekejap tetapi jangan sampai jadi gosip pula. Tidak pasal-pasal, kenyang tanpa makan apa-apa. Sebab perut sudah penuh dengan daging manusia – ps: Pastika teman yang diajak berborak tidaklah terganggu kerjanya.

Ada lagi? Macam ada tetapi cukuplah sampai di sini, untuk hari ini. Muthiah mahu memberi ruang kepada rakan-rakan untuk berfikir sendiri. Huh! Alasan. Padahal, malas berfikir ^^ Selamat menjalankan tanggungjawab di mana-mana…

Muthiah : Tidak jadi mengantuk.

Sendiri mahu ingat lor… (iii)

Assalammualaikum. Bagaimana kondisi fizikal dan mental, hari ini? Moga kita semua sentiasa dirahmati. Moga kita semua… pada saat nafas yang terakhir, menjadi hamba ALLAH yang dipilih untuk mati dalam keimanan dan ketakwaan.

Iyalah. Kita gusar… kita khuatir… Hari ini, kitalah yang paling ke hadapan. Namun, apabila hampir sampai ke garisan penamat, kita tersungkur dan tidak berdaya untuk bangkit kembali. Tidak ada siapa pula yang mahu menghulurkan tangan, memimpin kita ke jalan yang diredhai. Nauzubillah.

Moga ALLAH memelihara Muthiah… suami… keluarga serta sahabat-sahabat yang Muthiah kasihi fillah. Insya-ALLAH. Kita mungkin tidak pernah bersua namun doa itu akan sentiasa dekat buat kita semua.

Setelah berceloteh entah apa-apa entah, Muthiah berbalik kepada perkongsian asal. Full stop!

“Tadi, bila jumpa Polan binti Polan… dia cakap muka saya hodoh. Teruk sangat ke? Saya alergik sebenarnya…” <- Perbualan dengan seorang wanita satu ketika dahulu.

Wahai, diri. Wahai, teman-teman.

Pekalah. Prihatinlah kepada perasaan orang lain. Jika hati tetap bergelodak hendak meluahkan kata-kata yang menyakitkan itu…

Ambil kertas. Kemudian, tulislah. “Polan bin Polan nampak hodohlah…” Selepas itu, masukkan kertas tersebut di dalam air panas. Lagi sedap jika ditambah gula dan Milo. Agak-agak sudah hancur, hiruplah dengan penuh nikmat. Mode : Merapu lagi tetapi berguna bagi mereka yang mahu mengambilnya dari sisi positif.

Jika tetap tidak dapat mengurangkan gelodak hati itu… Kita bukan hendak meluahkan kepada diri sendiri tetapi mahu orang lain mengetahuinya juga. Gosip, beb! Gosip yang bisa menambah dosa.. Jadi, bagaimana? Yang buruk… carilah jawapan sendiri, ya.

Cuma satu yang boleh kita renungkan bersama…

Ya! Kita suka menyakitkan hati (untuk entri ini, bagi mereka yang suka bercakap lepas depan-depan… terus kepada si Polan bin Polan)…

Tetapi…

Sampai bila mahu menjadi manusia yang sebegitu? Bayangkan. Ada 100 nyawa yang tersinggung dengan kata-kata kita. Maka, 100 nyawa itulah akan berasa tidak senang dengan diri kita. Lagi parah, jika 100 nyawa itu tidak mahu memaafkan kita. Sudahlah dosa kita sudah bertimbun. Bersediakah kita untuk bertemu dengan-NYA nanti???

Sekian, sendiri mahu ingat lor…

Muthiah : Pabila melihat ia menangis, teringat kata-kata waktu cantiknya.

Sendiri mahu ingat lor… (ii)

Assalammualaikum dan apa khabar, semua? Jom kita senyum lagi…

Sambungan entri semalam. Namun sebelum itu, bacakanlah satu titipan Muthiah, ‘Kitalah yang membuat pilihan…’ sama ada mahu mengambil entri ini sebagai satu sisi yang positif untuk memperbaiki diri mahupun sebaliknya.

Hmm… berbalik kepada isu semalam. Macam mana pula halnya jika orang itu yang…

  • Terlebih cepat terasa??
  • Tidak boleh menerima teguran??
  • Aik. Kita menulis di blog secara umum. Dia pula menganggap kita mengatanya? Kira sudah mengaibkan ni… Buktinya?

Itulah. Susah juga, ya? Hendak cakap, salah. Tidak cakap, pun salah. Baik berdiam diri sahaja. Akan tetapi, jika kita memilih untuk mengatup mulut… memandang dan mendengar sahaja, siapa pula yang mahu menasihati?

Jadi…

  • Sendiri mahu ingat lor… Banyakkan beristighfar, memohon keampunan daripada-NYA. Iyalah. Khuatir… bicara kita yang tampak gah itu hakikatnya sia-sia belaka. Iyalah. Kita menasihati bukan kerana ALLAH. Kita mahu digelar orang sebagai pendakwah. Kitalah hebat. Kitalah pejuang agama ALLAH <- Ya, ALLAH. Peliharalah aku daripada azab-MU.
  • Banyakkan berdoa kepada ALLAH agar sentiasa dipelihara hati. Moga ALLAH memilih kita menjadi salah seorang yang menyampaikan agama-NYA, mengajak manusia lain kepada-NYA. Hendak menyeru manusia lainnya kepada kebaikan, tidak terhad kepada ustaz dan ustazah sahaja… kita semua boleh melakukannya.

Hmm… teringat satu mesej yang pernah Muthiah terima daripada seorang rakan maya. Si Polan, menyatakan Muthiah tidak ikhlas dalam berkata-kata (menitip pesan di blog). Biarlah… biarlah. Muthiah serah sahaja kepada ALLAH. Sebagai manusia, Muthiah punya banyak kelemahan. Muthiah lakukan yang terbaik sahaja. Selainnya… biar ALLAH yang menentukan. Biar ALLAH yang menilai ^^

  • Ingat dan sentiasalah mengingatkan diri. Kita hanyalah wasilah. Bukan diri kita yang hebat dalam berdakwah. Bukan kita juga yang mantap dalam perjuangan. Bukan kita yang gah dalam berkata-kata, menitip pesan. Serahkan segala kehebatan, gah dan kemantapan itu, hanya kepada ALLAH.
  • Banyakkan bermuhasabah agar diri tidak tergelincir daripada jalan-NYA.

Banyak lagi sebenarnya tetapi cukuplah setakat ini yang Muthiah kongsikan. Esok, kita sambung point lain pula, ya :D

Muthiah : Hmm... En. Suami...nak ajak jalan, boleh?

Sendiri mahu ingat lor... (i)

Assalammualaikum. Apa khabar? <- Soalan lazim yang wajib (Muthiah) tanya setiap kali memulakan bicara (Namun kadang-kadang, terlepas pandang juga). Sahabat-sahabat pun. Begitulah hendaknya. Dua perkara yang perlu cuba dibiasakan setiap kali bersua dengan teman-teman.


  • Mengucapkan salam – Sunat memberi salam tetapi wajib menjawabnya. (Salam itu juga merupakan satu doa ^^). Nabi pun menyarankan agar kita menyebarluas salam kepada sesama Muslim.
  • Bertanya khabar – Untuk merapatkan silaturrahim. Elakkan daripada memulakan bicara dengan sesuatu yang boleh menyakitkan hati. Contohnya : Gemuknya!!!

Cakap pasal sesuatu yang menyakitkan hati… Teringat dengan luahan hati seorang wanita berusia dalam lingkungan awal 40-an kepada Muthiah.

“Tadi, bila jumpa Polan binti Polan… dia cakap muka saya hodoh. Teruk sangat ke? Saya alergik sebenarnya…”

Hmm…

Kata kunci – PEKA, PRIHATIN… TERASA, TERSINGGUNG…

Satu soalan : Sejauh mana kita peka/ prihatin terhadap perasaan orang lain?

Perlu diingat, jika kita tidak mahu disakiti, cubalah untuk tidak menyakiti.

Sebab…

Penghitungan ALLAH ini Maha Teliti. Andai kita menyakiti orang hari ini, tidak mustahil satu hari diri kita pula kan disakiti. Usah terkejut. Bagi yang optimis, jadikan pengajaran buat diri. Selepas ini, sewajarnya lebih berhati-hati dalam mengungkap kata. Bermuhasabahlah. ALLAH sayang… sebab itu DIA menguji. Anggaplah timbal-balas ini sebagai kafarah dosa, agar kita sentiasa tunduk kepada PENCIPTA <- Merapukah aku saat ini??? Mode : Mengharapkan… ada input yang diterima daripada perenggan ini ^^

Namun!!! Tidak dapat dinafikan juga. Selaku manusia yang terlalu banyak khilaf, acap kali kita terlepas pandang.

  • Tersalah cakap – Mungkin dek kebiasaan diri yang buat dahulu, baru mahu merenungi. Kena ubah ni… Fikir dulu baru buat! Setelah sedar, berwaspadalah dalam berkata-kata. Ingat… bila-bila masa ALLAH boleh ambil nyawa. Menyesal tidak sudah, beb!
  • Tersalah tuduh – Minta maaf cepat. Khuatir… salah dengan manusia itu akan menghalang kita daripada masuk syurga. Sedekah… sudah buat. Amanah… sudah buat. BERSIH… sudah turun. Ops. Salah lorong. Tup-tup, menuduh pun ada. Aduh.
  • Tersalah umpat – Hmm… banyakkan beristighfar dan bermuhasabah. Sesungguhnya, mengumpat itu bagai memakan daging saudara sendiri. Cuba bayangkan. Kita ratah paha kawan kita. Ada sanggup???
  • Tersalah fikir – Bersihkan hatimu, wahai hati yang penuh dengan dosa dan noda. Huhu… Peringatan buat diri Muthiah yang selalu lalai dan alpa.

Hmm…Semuanya dilakukan tanpa sengaja. Jadi, bagaimana?

Panjang sudah. Kita sambung esok hari, insya-ALLAH ^______^


Muthiah : Nak... nak... nak ...

Kalau iya pun, biarlah logik…

Assalammualaikum, dan salam sejahtera. Moga kita semua dirahmati dan diberkati ALLAH hendaknya. Muthiah… Tidak sabar menghitung hari, setel perpindahan ke Ipoh. Bukan apa. Hendak kembali menghadap manuskrip yang sudah ditinggalkan agak lama. Terasa diri bagai penganggur sementara. Huhu. Encik Suami baca, silap hari bulan kena ‘kok kepala’. Walhal, tidak pernah kena pun. Hanya fitnah semata-mata. Muthiah bukannya penganggur. Muthiah bertanggungjawab menguruskan rumah dan tangga.

Waktu kecil dahulu, hobi Muthiah ialah menyanyi. Meskipun suara Muthiah tidaklah sedap, Muthiah tetap suka benar berangan-angan mendapat trofi ~ “Terima kasih kerana memilih saya.” Muthiah nyanyi lagu Bapaku pulang dari kota… Lalala…

Meningkat remaja, Muthiah tetap suka menyanyi. Lokasi utama Muthiah mendendangkan suara yang lemak merdu, disukai ramai adalah di dalam kereta. Lebih-lebih lagi apabila berperjalanan jauh. Ahli keluarga, sudah masak dengan hobi Muthiah yang satu ini. Lagu pilihan setelah meningkat remaja ialah Untukmu, ibu nyanyian kumpulan Exist.

Sekarang, pun sama. Satu hari…

Muthiah berkata kepada suami, “Rasanya, lagu ini pun kena dengan tema cerita Air Mata Siti Hajar.” Dengan penuh penghayatan, Muthiah pun mendendangkan lagu Perjalanan Duka, Min Malik.

Suami yang sedang memandu berkalih ke arah Muthiah seraya membalas, “OK juga tetapi cuba nyanyi lagi UM. Rasanya kena juga dengan jalan cerita.”

Apa lagi? Tanpa memproses maklumat yang diberikan suami, Muthiah pun mendendangkan pula lagu tersebut…

Universiti Malaya… kebanggaan kita semua… blablabla…

Mulut suami ternganga luas. Kebetulan, ada langau hijau di tepinya. Sikit lagi hendak masuk ke dalam kerongkongnya. Aduh. Ini pun fitnah semata-mata.

Suami lantas bersuara, “Kalau iya pun, biarlah logik. Tidak akan hendak jadikan lagu UM tu sebagai lagu tema. Bukankah lagu yang Muthiah biasa nyanyi ialah lagu Ukays…”

Muthiah yang tadinya penuh dengan semangat patriotik terpaku seketika. Mata Muthiah yang ‘sememangnya bulat’ membulat <- Ini syok sendiri.

“Iyalah…” ujar Muthiah selamba. Bukankah ada satu lagu yang Muthiah selalu dendangkan di dalam kereta? Lagu itu pula digunakan sebagai lagu rasmi sewaktu haluan siswa.

Terdengar bisikan mesra

Pengajaran

1- Kadang-kadang (kalau boleh selalu… lagi baik), proseslah dahulu sebarang maklumat yang kita terima. Contoh : Orang kata Polan bin Polan ini teruk. Kita tidak boleh terima 100%. Tapislah dahulu. Siasat. Tukar profesion jadi detektif sekejap.

2- Isteri… dengarlah cakap suami selagi kata-katanya tidak melangkaui syariat TUHAN. Redha ALLAH pada kita adalah atas redhanya.

3- Buat lawak juga bagus untuk menceriakan rumahtangga. Jadi, jom buat lawak. Tidak ada orang hendak gelak, kita paksa pasangan kita gelak. Jika tidak.. jom mogok lapar <- ajaran sesat?


Muthia : Lokasi kini ialah Kuala Lumpur. Lalalala ^^

2P?

Assalammualaikum, semua. Apa khabar? Ada baik? Muthiah… Insya-ALLAH berada dalam kondisi yang bagus, Alhamdulillah. Buat apa hari ini? Muthiah… Selagi tidak beres urusan perpindahan, selagi itu perlu packing barang-barang, sedikit demi sedikit. Kini, terasa seperti berada di dalam stor barang. Lelong… lelong….

Hmm… teringat bicara Muthiah dengan Encik Suami apabila berada di Melaka, baru-baru ini. Suami… meminta Muthiah memandu kereta. Muthiah pula… huhu… terlalu banyak memberi alasan. Alasan lazim yang biasa diberi :

  • Mengantuk.
  • Lapar.
  • Sakit perut.

Itulah… inilah… Bukan apa, tahap keyakinan diri masih belum tinggi. Sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Hanya hati yang mampu berbicara. Aduh. Suami baca entri ini, habislah Muthiah. Hahaha…

Muthiah pun berkata kepada suami, “Tunggu habis lesen P-lah.” Huh! Alasan…

Suami memandang Muthiah sekilas, kemudian bersuara, “Pandulah. Sekarang, orang mudah kasihan…” dia diam sejenak. “Eh, lepas ni pun orang tetap kasihan. Ada lagi 1P,” suami menambah lagi.

Muthiah tercengang. 1P???

Suami tersenyum kecil seraya membalas, “Ya. Sekarang ada 2P. Habis 1P, tinggal 1P lagi.”

Alahai, suami. Muthiah semakin terpinga-pinga. 1P? 2P? What? What? What??? ~ Muthiah. Usah dikau membiasakan diri merojakkan bahasa!!!

Kemudian, suami pun berkata, “Lesen P dan Perempuan.”

Aduh. Sampai begitu sekali? Namun… ehe… untung juga jadi perempuan ini. Jika memandu lambat macam siput babi, orang tidak boleh nak marah sangat. Mereka akan kata, “Patut pun, perempuan yang pandu…”

Pengajaran :

1- Dalam apa jua perkara, elakkan daripada memberi terlalu banyak alasan. Jika diri benar-benar hendak berjaya, berusahalah sehabis daya. Ganbatte!!!

2- Pandu cermat, jiwa selamat. Jika tidak mahu memandu langsung, macam mana hendak biasakan diri? Bagaimana halnya andai berlaku kecemasan sewaktu suami tidak ada di rumah? Waktu itu, mulalah memandu ikut kepala sendiri. Hon dan makian, tidak dipedulikan lagi ~ Aduh. Pedih… pedih. Bagai dihiris belati tajam.

3- Bersyukurlah kerana dilahirkan sebagai seorang wanita namun ingat! Jangan sampai merendahkan darjat kita yang telah diangkat ALLAH. Macam mana? Tepuk dada, tanya iman.

Muthiah : Suka naik LRT.

Mode : Merapu lagi ^^

Assalammualaikum, semua. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Sekarang, berada Melaka. Menemani suami yang sedang berkursus di AKMAL (tetapi tidak tinggal di AKMAL, ya ^^).

T________________T

Sekarang, air mata Muthiah sedang mengalir perlahan. Hisy. Mengada-ngada pula budak Muthiah ni. Kenapa?

Suami marah? - TIDAK!
Lapar? - SIKIT-SIKIT!
Stres? - TIDAK!

So, why? Cakap orang putih sikit.

Sebabnya...
Sebabnya...

Sebab apa? Hisy. Tidak suspens pun.

Sebabnya... (saja mahu membuang masa ^^).

Sebabnya... Muthiah tengok video ini. Sangat menyayat hati.


Hmm... Tengok... renung... fikirlah dengan mata hati ............

Teringat waktu muda-muda dahulu. Muthiah bertanya kepada seorang murabbi, "Akak. Macam mana nak tanamkan dalam hati semangat jihad? Dengan kata lain, jihad dengan sebenar-benar jihad di jalan ALLAH. Bukan hanya pada bibir."

Sang murabbi menjawab, "Kenapa Adik tanya tiba-tiba?"

Wajah Muthiah berubah (padahal, Muthiah tidak ingat pun. Berubahkah wajah Muthiah waktu itu?). "Adik nak menjadi salah seorang hamba ALLAH yang berjuang di jalan ALLAH. Adik nak mati syahid. Tetapi...." kata-kata Muthiah terhenti di situ.

"Jauh dari dalam hati, Adik takut untuk berjuang." Muthiah terdiam lagi, kemudian menyambung, "Adik biasa turun demo. Pernah kena gas pemedih mata. Pernah dan pernah tetapi... untuk berada di tengah-tengah kezaliman Israel di Palestin, Adik tetap gentar."

Huhu...Waktu ini, Muthiah membayangkan diri Muthiah bersama-sama pejuang pilihan ALLAH di bumi Palestin. Serius. Muthiah takut melihat tentera-tentera Israel yang menzalimi penduduk beragama Islam di Palestin. Muthiah tidak dapat bayangkan diri Muthiah di sana...

Murabbi Muthiah tersenyum kecil. "Belum sampai tahapan Adik untuk berada di situ..."

"Kalau, Akak?" Muthiah terus menyampuk.

Sang Murabbi tersenyum lagi. "Insya-ALLAH, jika mendapat arahan daripada atasan, Akak sudah bersedia. Dan Adik, belum lagi bersedia," tambahnya lagi.

Muthiah tunduk memandang lantai (situasi tunduk-menunduk ini adalah rekaan semata-mata). "Jadi, bagaimana mahu menjadi orang yang bersedia?"

Jawapan sahabat-sahabat, bagaimana? Nanti kita sambung, insya-ALLAH ^^

Muthiah : Rindukan teman yang jauh di mata tetapi dekat dalam doa meski tidak pernah diungkap dengan kata-kata.

Mode : Merapu

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Berusaha menjadi hamba ALLAH yang lebih baik daripada hari semalam. Kawan-kawan, bagaimana? Susah, bukan. Semakin hendak mendekat, semakin itu terasa berat kaki melangkah. Moga-moga, pada nafas Muthiah yang terakhir... Muthiah dapat menjadi seorang muslimah terbaik dari kalangan yang paling baik. Huhu. Siapa aku? Namun, tidak berdosa, kan untuk memiliki cita-cita itu?

Hari ini, Muthiah masih tidak menulis manuskrip lagi. Maklumlah. Keadaan tidak mengizinkan. Doakan. Proses perpindahan berjalan lancar. Muthiah rindu untuk kembali bekerja. Menulis dan terus menulis.

Hmm.. Pagi tadi, entah mengapa Muthiah ingin menaip nama pena Nazihatul Hanan di Google.Untuk apa? Muthiah pun tidak tahu. Boleh jadi sekadar suka-suka. Kemudian, Muthiah terjumpa beberapa blog yang berkongsi karya yang pernah Muthiah hasilkan, satu ketika dahulu - Hati Seorang Isteri -


Walaupun terdapat banyak kelompangan dalam karya berkenaan, Alhamdulillah. Sedikit sebanyak, dapat menghiburkan mereka yang membacanya.

Terima kasih kepada rakan maya yang mahu berkongsi karya.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi membaca.
Terima kasih juga atas komen yang diberikan.

Banyak-banyak komen yang Muthiah baca. Ada satu ilmu yang Muthiah ambil dan simpan dalam nota. Terima kasih kepada Tuan Pengkomen ini. Alhamdulillah. Sedikit sebanyak. Muthiah dapat belajar. Maklumlah. Saya budak baru belajar (dahulu, kini dan selamanya akan berterusan belajar) ~ Seorang doktor yang berhadapan dengan situasi, sama ada hendak menyelamatkan nyawa si anak atau si ibu, nyawa si ibu perlu diberi perhatian ~

Eh, apa yang Muthiah sedang merapu ini. Huhu... Bukan kisah ini yang Muthiah hendak lontarkan di entri. Tidak apalah. Muthiah ada kerja lain nak buat sekejap. Selamat meluangkan masa membaca kisah Hati Seorang Isteri....

Nanti sambung.

Muthiah : Berhati-hati di jalan raya ^^

Dia... dia dan dia

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Sekarang, Muthiah berada dalam mode GUMBIRA ...Kenapa? Why? Limaza? Sebab semalam naik Malacca River Night Cruise , di samping dating dengan si dia. Mode lain ... in love...

^__________________^

Jeng jeng jeng...

Operasi rumah baru-baru ini membuatkan habuk tersembunyi keluar menonjolkan diri. Muthiah pula... sangat tidak berdaya menempis serangan 'musuh' yang hakikatnya, tidak boleh dilihat dengan mata ini. Hmm... baru habuk! Jadi, renung-renungkan. Siapa kita yang merasakan diri hebat dan gah???

Lama rasanya tidak menitip puisi. Kenapa? Why? Limaza? Hmm... Muthiah tanya, Muthiah jawab sendiri.

  • Diri tidak pandai berpuisi.
  • Tidak ada idea menulis puisi.
  • Minat yang ada tidak sampai 50 peratus.

Namun, untuk berjaya... kita kena terus mencuba, bukan? Jom... kita layan puisi ini (jika selayaknya dipanggil puisi^^)...

Dia... dia dan dia


Entah kenapa
Jantungku berdegup kencang
Lebih pantas daripada lajunya bintang di langit

Mengapa?
Entahlah
Bayang-bayang itu hadir tidak semena-mena

Siapa?
Dia... dia dan dia...

Dia?
Dia yang membuatkan aku pilu
Dia yang menjadikan tidurku tidak menentu
Dia yang menggugah kepercayaanku
Dia yang ....
Dia, oh dia

Dia... dia dan dia yang pernah hadir...
Membuatkan aku bermandikan air mata

Aduh. Muthiah tabik spring sesiapa yang mampu menulis puisi dengan baik. Serius, sukar. Motif pun tidak cukup jelas. Apakah dia? Siapakah dia? Kenapa dia? Jangan ditanya kerana Muthiah sendiri tidak tahu jawabnya.

Muthiah : Apa punya merapu daaaa??? Hahaha...
Labels: 0 comments | | edit post

Terima kasih, TUHAN

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Kondisinya baik-baik sahaja cuma gatal tekak dan hidung. Iyalah. Alergik dengan habuk.. Doakan baik-baik belaka, ya.

^_____^

Bulan ini, mungkin Muthiah 'bercuti' seketika menulis manuskrip (kerja utama). Terasa lama tetapi hendak buat macam mana? Agak sibuk dengan persiapan hendak berpindah. Ditambah dengan mengikut suami yang berkursus di Melaka selama seminggu. Moga-moga, selepas ini... Muthiah dapat menulis seperti biasa. Doakan segalanya berjalan lancar, ya.

OK. Hari ini, jom kita layan lagu Terima kasih, Tuhan nyanyian kumpulan Mawaddah. Serius. Lagu-lagu kumpulan ini memang menyentuh perasaan. Bagi yang tersentuh... ayuh kita sama-sama bermuhasabah =)


Muthiah : Terima kasih, TUHAN atas segala kurniaan-MU.


Sebelum Nafas Terhenti

Assalammualaikum. Jom, senyum ^_____________^ (Ditujukan kepada Si Pengembara)...

Agak lama Muthiah tidak mempromosi buku di sini. Jom... hari ini kita tengok novel NUR terbitan Alaf21. Alhamdulillah. Buku tulisan Kak Juriah Ishak yang berjudul Sebelum Nafas Terhenti ini sudah pun berada di pasaran. Jangan lupa untuk dapatkannya di kedai buku MPH, Popular, Pustaka Seri Intan, Syarikat Muda Osman dan kedai-kedai buku di tempat anda ^^

Sebelum Nafas Terhenti


Sinopsis :

Sukar menerima musibah jika tidak benar-benar beriman kepada TUHAN. Kehadiran Nurlisa, gadis tempang sebagai pembantu rumah, telah membawa sinar kepada Aldi yang merana akibat kematian isteri dan separuh lumpuh akibat kemalangan. Nurlisa telah menginsafkan Aldi tentang hakikat, harus redha menerima dugaan dan mengharapkan kekuasaan serta rahmat ALLAH dalam apa juga perkara. Mereka berpisah apabila Aldi yang telah sembuh menyambung pengajian ke luar negara.

Nilai murni yang menghiasi keperibadian Nurlisa telah menawan hati Aldi. Impiannya untuk menjadikan gadis itu sebagai suri hidup ditetang ayahnya. Harapannya hampir musnah. Sekembalinya dia dari luar negara, Nurlisa telah berhenti kerja.

Rahmat daripada ALLAH. Mereka bertemu kembali. Di saat ayah Aldi telah bersetuju untuk melestarikan impian hati Aldi menyatukan cintanya dengan Nurlisa, gadis itu pula disyaki menghidap kanser. Hati Aldi seolah-olah dicengkam oleh tangan yang tajam dan kejam. Impian di kalbu seperti tidak akan tercapai.

Akhirnya, dia pasrah...

Jangan lupa dapatkan novel ini pasaran. Insya-ALLAH, ada manfaat yang boleh diperolehi daripadanya =)

Muthiah : Senyum sampai ke telinga.

Konvensyen Penulis #

Assalammualaikum. Sedikit perkongsian sewaktu menghadiri Konvensyen Penulis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, pada 26 Jun 2011.

15 minutes reading break - Apa kata jika kita jadikan amalan di rumah? Dalam sehari, ambil masa sekurang-kurangnya 1 minit untuk membelek buku. Jika web gosip kita boleh jengah sampai berjam-jam lamanya, kenapa buku ilmiah tidak boleh pula? Huhu... peringatan untuk diri Muthiah yang selalu alpa ini.

Merakyatkan Ilmu - Peranan penulis dan tanggungjawab kerajaan.

Pembuka bicara oleh Tuan Che Shamsudin Othman, Presiden Persatuan Paksi Rakyat - Pembuka bicara yang sangat bagus!!!

Ahli panel : Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim serta Puan Dr. Hajah Halimah Ali.

Dimoderator oleh Tuan Sayed Munawar Al-Jamalullai


Peranan penulis dan tanggungjawab kerajaan - Agenda bertindak.

Ahli panel : SN Datuk A. Samad Said, SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan, Puan Dr. Hajah Halimah Ali serta penerima Anugerah Penulis Selangor.

Dimoderator oleh Tuan Haji Ishak Hamzah.

Gambar diambil bersama semua peserta konvensyen. Seronok dapat berjumpa dengan penulis-penulis hebat dalam negara. Cuma terdetik satu perkara di dalam hati... Rata-rata yang hadir adalah penulis mapan. Ke manakah menghilangnya penulis muda/ baru? Kemudian, Muthiah menjawab sendiri. "Masing-masing sibuk dengan komitmen masing-masing." Doa Muthiah... Moga kita semua terus sukses di dalam lapangan ini.

********

Memetik kata-kata SN Datuk A. Samad Said, "Salah satu cara membunuh bangsa ialah membunuh bahasanya."

Muthiah pula kata... "Salah satu cara merugikan diri sendiri ialah dengan mengabaikan agamanya."

Muthiah : Moga kerajaan Selangor terus gemilang. Muthiah sokong!!!

Muthiah yang kuat cemburu apabila...


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Nampak gaya, Muthiah masih tidak berkesempatan untuk mengemaskini blog secara konsisten seperti biasa. Sebenarnya, akak sibuk pula bulan ini.

Pertama : Ulang-alik ke Shah Alam pada hujung minggu. Mula-mula, untuk menghadiri konvensyen penulis pada 26 Jun 2011.


Kemudian, menghadiri pula Majlis Pelancaran Wajah Baru Novel NUR pada 3 Julai 2011.



Insya-ALLAH, minggu hadapan pula... Akan ke Melaka bersama suami. Suami berkursus di AKMAL, Muthiah berkurung entah di mana lagi.

Kedua : Muthiah agak sibuk kerana insya-ALLAH, bakal pindah ke Ipoh tidak lama lagi. Sudah mula berkemas sedikit demi sedikit. Moga dipermudahkan semuanya.

Ehe. Hari ini... Muthiah ingin berkongsi cerita tentang cemburukan suami.

Para isteri yang membaca entri ini...

  • Pernah berasa cemburu dengan suami?
  • Kenapa pula?
  • Apakah tindakan anda apabila perasaan itu menerjah jiwa?
  • Impak kepada cemburu itu?
Mula-mula jawab... Kemudian, renung-renungkan kembali ^^

Muthiah... Ada satu perkara yang membuatkan Muthiah sering tidak senang duduk. Apa dia? Huhu... apabila mendapati suami makan sedap (tidak kiralah sewaktu beliau berkursus atau di mana-mana).

Soalan Muthiah setiap kali suami ada kerja di luar/ perlu menghadiri mesyuarat ... "Abe makan apa tadi?"

Jawapan suami pula mudah. "Abe makan ikan kering sahaja..." Muthiah tahu. Semua ini PALSU semata-mata.

Satu hari...

Muthiah berkata kepada suami, "Papa.. kalau nak cari rumah, papa akan tengok kawasan berhari-hari. Jumpa penduduk setempat. Makan di gerai berhampiran... blablabla..." Suami hanya diam tanpa berkata apa-apa.

Kemudian, Muthiah menyambung lagi. "Nanti pindah Ipoh, balik kerja... Abe pergilah tengok-tengok rumah. Ikut cara papa..." Muthiah terdiam lagi, kemudian menambah, "Abe balik sahaja dari tempat kerja. Abe ambil Muthiah di rumah dan kita tengok kawasan sambil makan di gerai bersama-sama."

Suami yang tadinya terdiam menggeleng laju. Dia lalu membalas, "Tidak ada alasan lainkah Muthiah hendak cemburu. Makan... makan... makan..."

Muthiah hanya mampu tersenyum sampai ke telinga.

Moral daripada cerita :

Isteri... hendak cemburu, boleh tetapi biarlah bertempat.
Isteri... jika ada sesuatu yang mendatangkan rasa cemburu itu, usah pendam lama-lama. Takut melarat jadinya.
Isteri... kurangkan makan. Dikhuatiri naik berat badan, payah pula hendak kurangkan.
Isteri... oh, isteri...

Titipan buat sang suami? Hmm... sekejap Muthiah fikir ^^

Suami... hendak makan yang sedap-sedap tu, ingatlah isteri yang sedang makan telur goreng dengan kicap di rumah.

Sekian, terima kasih.

Moga terhibur dan kembali meneruskan kerja di pejabat/ rumah dengan ceria.

Muthiah : Agak-agak... bilalah dapat makan udang galah di Lumut?

Tika A. Samad Said berbicara ...

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Hidup berlangsung aman dengan kehadiran dan sokongan...

  • Suami tercinta..
  • Kaum keluarga...
  • Saudara mara...
  • Sahabat akrab...
  • Sahabat pena...
  • Teman maya...

Alhamdulillah. Muthiah dikelilingi oleh mereka yang baik-baik belaka. Muthiah cukup bahagia ^^

Oh, Sasterawan Negara yang Muthiah kagumi. Moga SN Datuk A. Samad Said ...

Dikurniakan kesihatan yang baik.
Terus istiqamah di atas jalan yang benar.
Dirahmati ALLAH selalu.
Telus dan tulus dalam menyatakan pandangan.
Dan... semua doa yang baik-baik belaka ^___^

Jom kita sama-sama hayati ^^


Cukup untuk hari ini, selamat maju jaya buat semua..

Muthiah : Moga terus sukses di dunia dan akhirat.
Labels: 2 comments | | edit post

Suka-suka

~~~ Hmm... tersenyum sendirian melihat video ini. Kreatif ~~~

Jom layan... Bukan apa. Sekadar menghiburkan hati yang mungkin sedang..

Lara.
Berserabut.
Blur.
Tak rasa apa-apa.



Jom kita kenal potensi diri...

Muthiah : ^^
Labels: 0 comments | | edit post

Lokasi Perhimpunan Bersih

Assalammualaikum. Apa khabar? Ehe... Fenomena KUNING sedang melanda. Satu lagi berita yang Muthiah petik di Malaysiakini.com.

Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk S Ambiga mengumumkan bahawa pihaknya akan berhimpun di Stadium Merdeka pada 9 Julai ini, jam 2 petang. Perkara itu diumumkan oleh Ambiga pada sidang medianya di ibu negara pagi ini.

Sehubungan itu, Ambiga juga menuntut pihak berkuasa menghentikan segala hambatan dan tekanan pihak berkuasa ke atas penyokong sejak minggu lalu dan berterusan sehingga hari ini.

Tidak kurang 100 orang termasuk wakil rakyat dari Pakatan ditangkap dan ditahan kerana memiliki dan memakai baju BERSIH. Malah ada juga yang ditangkap di bawah Ordinan Darurat kerana dsidakwa terbabit dengan gejala subversif.


Ambiga juga mahu semua yang ditahan itu dibebaskan pada kadar serta merta.

Bekas presiden Majlis Peguam juga mahu sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi mengkaji tuntutan BERSIH yang mendesak pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara ini.

Berita selanjutnya, bolehlah ke laman web berkenaan.




*** Lagi ***

Stadium Merdekat tolak tempahan BERSIH.

BERSIH tetap HARAM - Hishammudin.

Sekian, terima kasih.

Muthiah : Macam pemberita pula :)

Kelulusan bersyarat bagi demo BERSIH

Assalammualaikum, semua ^^ Berita ini Muthiah petik BULAT-BULAT dari Malaysiakini.com.

Kerajaan bersetuju membenarkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) yang akur dengan nasihat Yang di-Pertuan Agong supaya memindahkan perhimpunan aman jalanan ke stadium tertutup bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.


"Saya difahamkan BERSIH mahu berunding dengan kerajaan untuk berhimpun di sebuah stadium (dan) kita bersedia berjumpa dengan mereka,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Namun katanya, pihak penganjur mesti mematuhi beberapa syarat sebelum persetujuan diberikan.

“Kita bersedia untuk berjumpa dengan pihak berkenaan bagi mengadakan (perhimpunan) di stadium dengan syarat

bahawa mereka akan pergi dengan aman, mereka akan menegaskan perhimpunan (itu akan diadakan secara) aman dan mereka akan balik dengan aman.

“Sekiranya sebarang kejadian yang berlaku maka pihak penganjur akan dipertanggungjawabkan atas segalanya ataupun yang akan berlaku, yang boleh menyebabkan sama ada huru-hara ataupun kerosakkan hartabenda ataupun boleh menyebabkan mana-mana individu tercedera ataupun lebih buruk daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tadbir Urus Agensi Inovasi Malaysia di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Tepati janji

Sehubungan itu, Najib berkata kerajaan berharap pihak penganjur akan menepati janji mereka supaya segala-galanya akan berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebrang kejadian yang tidak diingini.

NONEPerdana Menteri juga melahirkan ucapan junjung kasih kepada Seri Paduka di atas rasa keprihatinan yang amat berat baginda untuk memastikan tidak ada sebarang kejadian yang boleh menganggu gugat keamanan dan keselamatan negara kita.

“Di atas rasa yang bertanggungjawab dan keprihatinan yang amat tinggi lagi mendalam maka baginda telah titahkan supaya semua pihak tidak mengadakan demonstrasi jalanan yang dicadangkan pada 9 Julai ini,” katanya.

Sebelum ini selain BERSIH, kumpulan pendesak Melayu - PERKASA dan Pemuda Umno juga menyatakan hasrat mengadakan perhimpunan bagi memprotes tindakan tersebut.

Ucap terima kasih

“Saya ucap terima kasih semua pihak (yang) menghormati titah baginda. Dengan ini maka tidak akan diadakan sebarang perhimpunan jalanan 9 Julai nanti,” katanya.

Pada Ahad lalu, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara, mereka hendaklah memastikan tuntutan itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Seri Paduka juga menyeru kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana....

... Untuk berita lanjut, sila ke web tersebut ^^

Moga : Moga kita semua dirahmati ALLAH, insya-ALLAH.. amin.