Buah keikhlasan


Ikhlas… Sesuatu yang mudah diungkap tetapi sukar untuk dihayati... disemat dalam hati. Banyak orang mampu ikhlas pada awalnya tetapi tersungkur di tengah-tengah jalan. Dugaan itu hadir sebagai ujian yang menyebabkan rasa ikhlas itu menjadi kendur, luntur dan jatuh ke gedung riyak dan ujub.

Sesungguhnya... pepohon ikhlas itu akan menghasilkan buah keikhlasan; manis, indah dan menyenangkan. Pabila ia berasal dari pohon yang baik, maka akarnya kan kuat dan kukuh sedangkan cabangnya menjulang ke langit, menghasilkan buahnya setiap saat dan ketika.

1. Sampai pada hakikat Islam; Penyerahan menyeluruh kepada Allah.

Ibn Qayyim menyebut, “Meninggalkan syahwat kerana Allah adalah jalan yang paling selamat daripada azab-Nya. Perbendaharaan Allah tidak akan diraih oleh hati yang punya sekutu selain daripada Allah di dalamnya, meskipun ia seorang ahli ibadah, zuhud dan berilmu. Kerana Allah menolak menjadikan perbendaharaan-Nya bagi hati yang bersekutu.”

2. Selamat daripada cinta harta, kedudukan dan kemasyhuran.

Dari Ka’ab bin Malik R.A., Nabi SAW bersabda, “Tidaklah dua serigala lapar yang menghadap kambing lebih merosak melebihi seseorang terhadap harta dan kedudukan.”(HR At-Tirmidzi).

3. Bebas daripada perbuatan buruk dan keji.

Menyoroti kisah Nabi Yusuf A.S... Nabi Yusuf adalah satu contoh insan yang mendapat pengawasan dan pemeliharaan Allah... yakni kepada hamba-Nya yang ikhlas. Firman Allah, “Dan sebenarnya perempuan itu sangat berkeinginan kepadanya dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginan kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan Yusuf daripada perkara-perkara yang tidak baik…” Yusuf ayat 24.

4. Ikhlas menjadikan amal dunia sebagai ibadah yang berpahala.

Dari Abu Dzar R.A., Nabi SAW bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kalian sedekahkan? Sesungguhnya setiap tasbih (Subhanallah) itu sedekah, takbir (Allahu Akbar) itu sedekah, tahmid (Alhamdulillah) itu sedekah, tahlil (Laa ilaaha illallah) itu sedekah. Amar ma’ruf itu sedekah, nahi mungkar itu sedekah dan bersetubuh juga adalah sedekah…”(HR Bukhari dan Muslim).

5. Terkeluar daripada kesempitan.

Mengisahkan tiga orang sahabat yang terkurung di dalam gua. Mereka mempersembahkan amalan yang akhirnya menyelamatkan mereka daripada kesempitan itu; birrul walidaini, wafa terhadap pegawai dan pengendalian syahwat yang luar biasa. Keajaiban itu berlaku kerana adanya buah keikhlasan dalam diri.

6. Meraih kecintaan Allah.

Disebut di dalam hadith Qudsi,“Jika hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan yang sunnah, maka Aku mencintainya,” (HR Al-Bukhari).

7. Meraih kecintaan manusia.

Ketika Allah mencintai hamba-Nya, seluruh makhluk dapat digerakkan untuk mencintai hamba tersebut. Rasulullah SAW bersabda, “Jika Allah mencintai seorang hamba, Allah memanggil Jibril, ‘Sesungguhnya Allah mencintai Polan, maka cintailah dia.’ Jibril pun mencintai Polan. Kemudian Jibril memanggil penduduk langit, ‘Sesungguhnya Allah mencintai Polan. Maka cintailah dia.’ Maka penduduk langit mencintai Polan. Kemudian ditetapkan baginya penerimaan di bumi.” (Muttafaqun ‘alaihi).

Muthiah : Moga Allah sentiasa memelihara kita daripada sifat-sifat mazmumah yang boleh merosakkan setiap amalan kita... kepada-Nya.
Labels: | edit post
0 Responses