Salam Kemerdekaan


Di kesempatan ini, Muthiah dan suami ingin mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-52”…

Moga-moga, kita semua kan MERDEKA daripada...

1- Penjajahan pemikiran… biarlah hidup kita berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Jadikan Islam sebagai jalan hidup dan… jadikan Allah sebagai Penaung diri kita.

Al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”

2- Berterusan melakukan kemaksiatan kepada Allah. Ingatlah… sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Bilamana kita jatuh, bangkitlah… Mohonlah keampunan daripada-Nya. Tidak ada seorang pun manusia yang tidak layak menyucikan diri/ hati daripada noda. Allah itu Maha Dekat dengan setiap hamba-Nya….

Al-Fath ayat 14 yang bermaksud, “Dan hanya kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi. Dia memberikan ampun kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengazab sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

3- Kejahilan… carilah ilmu yang bermanfaat… kenali Allah, pasti kita kan jatuh cinta kepada-Nya. Insya-Allah, cinta itu kelak kan menjauhkan kita daripada neraka Allah yang azabnya tidak terperi keperitannya. Bilamana kita mahu, Allah pasti akan menunjuk jalan buat kita. Sesungguhnya, Allah itu Maha Tahu lagi Adil buat setiap hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 35 yang bermaksud, “Kalau Allah mengkehendaki, tentu sahaja Allah menjadikan mereka semua dalam petunjuk. Sebab itu, janganlah sekali-kali kamu termasuk orang-orang yang jahil.”

Huhu… suami beri masa lima minit untuk Muthiah menulis… hendak keluar ;) Apapun…. Selamat ya….

Fikir-fikirkan… bagaimana kita memanfaatkan waktu/ masa kita.

• Lapang sebelum sibuk…
• Kaya sebelum miskin…
• Muda sebelum tua…
• Sihat sebelum sakit…
• Hidup sebelum mati…

Muthiah : Selamat Hari Merdeka ;)

Hmmm... Ramadhan pertama bersama...


Salam. Terlupa pula untuk menulis catatan minggu lepas. Hehe…

Pada 22 Ogos 2009, Muthiah dan suami telah ke Kuala Lumpur. Kami bertolak dari Taiping ke Sungai Buloh seawal jam 6.45 pagi. Ada apa? Hehe… urusan kerja. Kerja??? Hehe… Tidak ada kerja, cari kerja. Window shopping juga satu pekerjaan bukan (aktiviti sampingan di samping aktiviti utama)???

Apa lagi ya? Hmmm… selepas itu, Muthiah dan suami bergerak ke Kelana Jaya, menziarahi ibu angkat Muthiah yang terkenal dengan panggilan Mek (Muthiah memanggilnya Mami).

Yang seronoknya, Muthiah dapat bubur lambuk, Alhamdulillah. Rindu rasanya bubur lambuk Mami. Dahulu, setiap kali bulan Ramadhan, Muthiah selalu membantu Mami menyediakan bubur lambuk untuk surau. Sedappp…. Jadi, bagi sesiapa yang ingin merasa bubuk lambuk istimewa Mami, bolehlah ke surau Kelana Jaya yang terletak di SS4B pada setiap hari Sabtu dan Ahad.

Kemudian, Muthiah dan suami ke rumah Mok Tie, ibu saudara (sebelah suami) pula. Kami berbuka puasa dan merancang untuk bermalam di sana. Hmmm… sambal tempoyaknya sedap (pertama kali Muthiah memakannya). Lagi best bilamana Muthiah dapat belajar menu tersebut.

Sambal tempoyak

1- Goreng ikan bilis dan asingkan.

2- Tumis bawang merah, bawang putih dan cili api yang sudah ditumbuk lumat. Kemudian, masukkan tempoyak. Masukkan sedikit garam (tetapi kalau tidak letak garam pun tidak apa kerana tempyak dan ikan bilis sudah sedia masin). Seterusnya, gaul/ kacau sampai sebati (macam buat kek pula ya) …

3- Agak-agak sudah masak, campurkan dengan ikan bilis yang telah digoreng (terus tutup api).


Muthiah dan suami bersiap-siap untuk menunaikan solat tarawih di surau berdekatan. Akan tetapi, sesampainya ke surau, sudah penuh maaa. Hmmm… kami pun solat Isyak dan tarawih berjemaah di rumah Mok Tie. Hendak mencari masjid di luar kawasan, macam letih. Al-maklumlah, seharian berperjalanan. Lagipun, perlu menghantar adik ipar ke asramanya sebelum jam 11.00 malam.

Malamnya, kami ke rumah Mok Ja, ibu saudara (sebelah Mama Jertih). Alang-alang turun Kuala Lumpur, baik menziarahi saudara-mara, bukan? Alhamdulillah, sekurang-kurangnya… tercapai juga hasrat Muthiah untuk menjenguk ibu saudara. Nenek, sepupu dan kawan-kawan?? Huhu… tidak sempat untuk bertandang ke semua tempat. Masa begitu mencemburui Muthiah dan suami.

Muthiah dan suami bertolak pulang ke Taiping jam 10 – 11 pagi, 23 Ogos 2009. Eh, tetapi sebelum itu… Muthiah dan suami sempat menziarahi teman Muthiah yang tinggal di UniSel. Beliau bekerja sebagai pensyarah di sana. Awalnya, teman Muthiah mahu Muthiah dan suami berbuka puasa di sana tetapi… banyak lagi urusan di rumah yang belum dibereskan. Jadi, perlu balik Taiping. Afwan ya. Insya-Allah, lain kali… ada rezeki Muthiah ziarah lagi.

Haha… banyak urusan di Taiping tetapi sesampainya di Taiping, kami tidak balik rumah terus. Suami ingin menunjukkan ‘sahabat baru’ yang boleh menemani Muthiah tatkala suami pergi bekerja. Jadi, kami pun pergi ke Aulong.

Hmmm… huhu… cantik, tetapi mungkin bukan rezeki Muthiah. Kami mengambil keputusan untuk tidak membelinya. Apa ya? Hehe… Mr. Rabbit daaa… Teringat waktu zaman kanak-kanak Muthiah. Di rumah (Papa panggil High Country – rumah dua tingkat), ada banyak binatang peliharaan. Antaranya, ayam belanda… ayam kapan, burung merpati merak, burung merpati gergasi (adoi, betulkah namanya begini??) dan arnab.

Siap ada ‘rumah’ untuk binatang-binatang ini. Namun sayang, arnab yang Muthiah kasihi selalu sahaja melarikan diri. Bilamana Muthiah mahu mengurungnya, pandai pula ia bersembunyi di celah-celah kayu/ papan. Bukan apa… Muthiah khuatir…

Akhirnya, kerisauan Muthiah menjadi nyata. Arnab ini mati kerana dimakan musang (rasanyalah). Maklumlah, rumah Muthiah di kelilingi hutan dan belukar (betulkah???)… Bukanlah… di kelilingi pokok-pokok getah, ala-ala hutan juga itu.

Eh, terimbas memori lampau pula. Berbalik kepada perjalanan hujung minggu Muthiah. Kami berbuka di rumah dan solat tarawih di surau Simpang (baru).

Seronoknya… dapat berpuasa dan berbuka bersama suami. Tahun lepas, Muthiah di Kuala Lumpur manakala suami pula di Ipoh. Kami sama-sama makan nasi bungkus. Alhamdulillah, tahun ini… Allah mengizinkan kami menjalani ibadah puasa bersama-sama….

Muthiah : Beli kuali dan senduk di Kuala Lumpur… Hehe…

Tanggungjawab seorang bapa...


Salam. Apa khabar semua? Hujung minggu kali ini macam mana? Hehe… Muthiah, Alhamdulillah, CEMERLANG, GEMILANG DAN TERBILANG sentiasa. TER???? Hmmm…

Baru-baru ini, Muthiah menonton tazkirah pagi (lupa hari apa). Rasanya, ingin berkongsi dengan teman-teman semua… Afwan ya, Muthiah tidak akan tulis secara terperinci. Jam 12.00 nanti, ada urusan lain. Hanya ada kurang 30 minit untuk menulis. Yang baik, ambillah…jadikan panduan… yang tidak baik, jadikan sempadan. Selamat membaca ;)

Hai teman-teman. Eh silap… Dedikasi buat :

1- Mereka yang sudah bergelar ayah (sudah punya putera puteri idaman).
2- Mereka yang bakal menjadi ayah.
3- Mereka yang… tunggu masa menjadi suami dan ayah ;)


Tazkirah ini telah disampaikan oleh Ustaz Badli Shah Alauddin. Muthiah pun ingat-ingat lupa tetapi kalau ada yang silap, sama-sama kita perbetulkan ya…

Seseorang telah datang bertemu Sayidina Umar Al-Khattab. Ia mengadu kepada Umar bahawasanya anaknya telah derhaka kepadanya. Kemudian, Sayidina Umar pun memanggil anak lelaki tersebut…

Bertanya si anak kepada Sayidina Umar, “Apakah tanggungjawab seorang bapa?”

Jawabnya…

1- Letaklah anak dengan nama yang baik

Dengan kata lain, berilah nama dengan nama yang baik. Kerana, nama yang disebut/ dipanggil/ diseru sehari-hari adalah satu doa. Bilamana sentiasa disebut dan didoakan… khuatir menjadi nyata (bagi nama yang tidak elok). Sekiranya nama itu sudah sedia elok, Alhamdulillah. Moga-moga anak itu kan menjadi baik dan terpuji akhlaknya.

Hmmm… dewasa ini, ibu bapa lebih gemar memberikan nama yang unik dan pelik. Unik dan pelik, boleh diterima lagi (jika mempunyai makna yang baik). Akan tetapi, bagaimana pula halnya jika anak itu diberi nama dengan nama yang tidak senonoh atau hodoh pengertiannya? Disebut / dipanggil-panggil pula setiap hari. Dalam satu hari, boleh jadi berpuluh-puluh kali…

Tidak dinafikan, ada orang yang baik pengertian namanya tetapi sudah diketahui umum jelik keperibadiaannya. Itu, satu perkara! Namun… sebaik-baiknya, seelok-eloknya, seharusnya… bagi seorang ayah/ ibu… berilah nama yang disukai Allah. Apakah nama yang disukai Allah? Hehe… pastinya nama yang baik-baik.

Adoi… adoi… adoi… Apa yang Muthiah tulis ini??? :) Nama Muthiah, dahulu… ustaz pernah cakap bermakna, ‘Cahaya Harapan Bagiku…’

2- Mengajar anak adab kesopanan

Dengan kata lain, tunjuklah teladan yang baik buat anak-anak. Hiduplah dengan cara hidup Islam. Jadikan rumah sebagai PUSAT TARBIYAH utama mendidik anak-anak menjadi insan berguna, yang boleh berjasa kepada AGAMA, BANGSA dan NEGARA. Fuiyooo… Patriotik…

Dalam hal adab dan sopan, tidak praktikal jika mendidik anak-anak secara teori semata-mata. Si ibu memberitahu anaknya, perlu menghormati orang tua namun sebaliknya, si ibu sendiri tidak menghormati suaminya di hadapan si anak. Jadi, macam mana???

Maka, tunjukkanlah akhlak / peribadi yang baik. Si isteri tidak meninggikan suara kepada suami. Suami pula menjalankan amanah sebagai seorang ketua keluarga dengan baik. Bercakap dengan lemah-lembut, memanggil dengan panggilan yang baik-baik, merendah diri dan banyak lagi. Pasti, setiap perkara yang mungkin kita nampak kecil ini sebenarnya bisa mengajar anak-anak mengenai kehidupan. Kehidupan yang lebih baik…

Seorang guru itu membentuk OTAK, manakala ibu dan bapa membentuk WATAK anak-anak. Jika dikombinasikan, insya-Allah melahirkan manusia yang hebat dan istimewa.

3- Mengajar anak menulis

Dengan kata lain, didiklah anak dengan BUDAYA ILMU, bukannya hiburan… Wahyu pertama yang turun buat umat manusia juga menyeru kita (hamba Allah) untuk membaca surah Al-‘Alaq – Iqra’ – Bacalah… bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu… Tanpa ilmu, boleh jadi kita tidak kenal dengan Pencipta. Bukan itu sahaja bahkan kita tidak dapat membezakan yang halal dengan yang haram. Kita tidak tahu yang salah dengan yang betul. Kita terus berada dalam kejahilan (Al-An’am ayat 35)… Hmmm…

Sayang seribu kali sayang, hari ini… banyak sekali ibu dan bapa (lebih) memberi galakan kepada anak-anak untuk berkecimpung dalam dunia hiburan yang jika tidak dikawal… khuatir bisa memusnahkan. Mereka ini dipuja dan dipuji… diangkat oleh masyarakat serta dijadikan idola. Namun… layakkah mereka dijadikan ikon kepada kita semua?? Fikir-fikirkan…

Berbalik kepada isu galakan untuk berkecimpung dalam dunia hiburan… Alasannya, anak itu berbakat dan tidak mahu mempersiakannya. Bukan itu sahaja, jika bernasib baik… boleh jadi jutawan segera sekaligus dapat mengubah nasib keluarga. Hmmmm…. Muthiah tidak mahu mengulas lanjut. Apapun, ketahuilah bahawasanya ‘MATLAMAT SAMA SEKALI TIDAK MENGHALALKAN CARA.’ Renung-renungkan, fikir-fikirkan….

Tips yang diberikan oleh Imam As-Syafie (untuk kepastian, boleh rujuk mana-mana). Mendidik anak, punya pemeringkatannya :

a) Usia 1 - 7 tahun – didik anak secara berMAIN (tetapi penuh pengajaran).

b) Usia 7 - 13 tahun – didik anak secara berDISIPLIN (tetapi bukan kekerasan).

c) Usia 13 dan ke atas – didik anak secara berSAHABAT/ berKAWAN.


4- Mengajar anak berenang

Hehe… yang ini, Muthiah tidak tahu hendak kupas bagaimana…

5- Anak-anak diberi makanan yang halal dan baik-baik

Renungkan kembali… dari mana kita mendapatkan rezeki? Sumbernya? (An-Nahl ayat 114).

Jauhilah sesuatu yang dilarang Allah. Rasuah itu haram, riba itu haram… mencuri itu haram, merompak dan mengambil hak orang lain tanpa kerelaannya juga haram. Jangan disebabkan perasaan tamak dan haloba, kita lupa segalanya.

Bagaimana pula dengan amanah yang diberikan? Adakah kita berusaha menjadi pekerja yang terbaik (yang mampu kita lakukan)? Lapan jam, tempoh bekerja … adakah kita menggunakan masa tersebut kena pada tempatnya?

Jadi, renungkan kembali… gaji yang kita peroleh pada setiap bulan… Bersihkah? Andai O.K., no problem… Alhamdulillah. Kalau tidak? Perut siapakah yang kita isi dengan gaji yang kita perolehi itu????

6- Anak dikahwinkan apabila sampai masanya

Pernah baca buku Nasihat dan Bimbingan untuk Putera Puteriku, tulisan Syeikh Ali Thantawi? Hehe… Dalam buku tersebut, dinyatakan asbab mengapa seorang putera/ puteri itu perlu bernikah … untuk MEMELIHARA JIWANYA… untuk MENJAGA HATINYA.

An-Nur ayat 32…


Kemudian, berkata si anak, “Sesungguhnya, bapaku tidak menjalankan semua tanggungjawab (yang disebut) itu.”

Balas Sayidina Umar, “Sesungguhnya, bukan kamu (si anak) yang derhaka… tetapi ayahmu.”

Baiklah, masa sudah habis. Baca… fikir dan renung… bertanya pada diri dan jawablah sendiri, hehe (saja-saja… mahu kita sama-sama berfikir)… insya-Allah, pasti kita akan mendapat manfaatnya. Selamat maju jaya ;)

Muthiah : Haha… kena menepati masa. Permisi dahulu ;)

Hmmm.... AWAS!!!


Salam ya. Apa khabar semua? Muthiah, hehe… Alhamdulillah… makin baik segalanya. Pagi tadi, Muthiah dan suami bersahur ikan gulai dengan kacang bendi… tidak terkecuali, buah kurma.

Baru-baru ini (sebelum Ramadhan), Muthiah dan suami solat di surau baru, Simpang. Berdekatan dengan rumah Muthiah, ada dua buah surau dan sebuah masjid. Siap menunaikan solat, seorang mak cik telah menegur Muthiah.

Katanya, “Baru semalam mak cik kena rompak…”
“Masa sedang solat, tiba-tiba ada orang masuk dan ambil beg tangan mak cik…”
“Padahal, mak cik sudah letak di hadapan…”
“Dia ambil waktu mak cik sujud..”
“Hmmm… mak cik cam pencuri itu?”
Muthiah bertanya.
“Mak cik nampak kelibatnya tetapi makcik tidak mahu menuduh. Lagipun, tidak ada bukti. Orang sini juga…”

Waktu Muthiah kecil dahulu… Muthiah selalu berpendapat bahawa PASTI

Tidak akan ada orang yang berani berbuat jahat di dalam masjid.
Bukan itu sahaja, masjid pasti menjadi tempat yang paling dijaga dan dipelihara pengunjungnya.
Mestilah… bukankah masjid itu adalah rumah Allah?


Namun kini…

Duit (yang diperoleh daripada derma orang ramai) dicuri… tabung derma dikopak dan dirosakkan.
Ada juga kes bayi dibuang di dalam masjid…
Kebersihan di dalam masjid tidak dijaga, tidak dipelihara sebaiknya. Selepas touch-up, tisu dibuang merata-rata.
Selepas digunakan (telekung solat, kain sejadah…) tidak dilipat sepertimana sebelumnya…
Dan kini… orang begitu berani mencuri di dalamnya. Bukan sahaja di dalam masjid bahkan sewaktu hamba Allah lainnya sedang menghadap-Nya (solat)…

Hmmm… tidak gerunkah mereka? Bukankah kamera Allah ada di mana-mana? ~ Fikir…

Allah melihat … Allah menilai dan Allah menghitung… bukan itu sahaja bahkan Allah kelak kan menghisab segala apa yang mereka lakukan. ~ Fikir…

Fikir-fikirkan… renung-renungkan bersama (ambillah sedikit masa untuk ini).



1- Berhati-hati walau di mana kita berada. Jaga barang peribadi kita sebaiknya… setelah itu, bertawakallah kepada Allah.

2- Jaga kebersihan apatah lagi di dalam / sekitar rumah Allah.

3- Peliharalah rumah Allah sebaiknya.

4- Elakkan buat ‘ketupat’ (mengumpat) di dalam masjid. Usahlah berbicara sesuatu yang sia-sia.

5- Jangan lupa solat sunat tahiyatul masjid setelah memasukinya.

6- Banyakkan bertadarus dan membuat sesuatu yang berfaedah di dalam masjid kita.


7- Sesudah solat… bersalamlah dahulu dengan mereka yang duduk berdekatan kita (paling kurang pun, orang di sebelah kita).

8- Hmmm… ada bujet lebih? Hehe… infakkan mengikut kemampuan kita di dalam tabung yang terdapat di dalam masjid.

9- Imarahkan masjid sentiasa…


Hehe… Muthiah hendak berbicara tentang ‘BERHATI-HATI’ sebenarnya. Tup tup… isu masjid pula yang diperbincangkan. Apapun, yang baik jadikan teladan dan yang tidak baik… jadikan sempadan.

Boleh jadi, apa yang Muthiah coretkan ini bukanlah satu isu besar (berbanding 1001 isu besar yang lain) tetapi ingat!!! Islam itu indah… Islam itu sempurna… Islam merangkumi segala aspek kehidupan. Tidak boleh memandang enteng sesuatu perkara yang tidak cantik/ tidak elok dipandang.

Baiklah, Muthiah ingin berehat sekejap. Insya-Allah, selepas Zohor… Muthiah ada urusan di luar. Jadi, perlu simpan tenaga … Hehe… selamat maju jaya.

Muthiah : ISLAM itu merangkumi segala aspek kehidupan… daripada sebesar-besar perkara sehinggalah kepada sekecil-kecil benda.
Labels: 0 comments | | edit post

Boleh telefon???


Salam semua… apa khabar? Bagaimana awal Ramadhan, ada baik? Hehe… moga-moga kita dapat memperbaiki amalan kita dan berusaha keras untuk menjadi yang terbaik daripada yang paling baik. Jom buat semakan :)

Dalam tempoh sekarang (bermula awal Ramadhan)…

1- Berapa kali kita meninggalkan solat sunat tarawih? Jika ada, kenapa?
2- Berapa kali kita tidak bangun bersahur? Kenapa?
3- Sudah berapa juz kita bertadarus? Kenapa?
4- Sudah berapa banyak wang yang kita infakkan? Kenapa?
5- Ada berlaku pembaziran atau tidak? Hmmm… makanan ka… apa-apa ka???
6- Masih ada sesuatu yang menyakitkan hati kita?
7- Sudah maafkan mereka yang berbuat salah terhadap kita? Kenapa?
8- Sudah minta maaf kepada sesiapa yang pernah kita sakiti hatinya? Kenapa?
9- Kita lebih banyak ; berbual-bual kosong atau berzikir kepada Allah?

Baiklah… Muthiah ingin kongsi satu cerita. Boleh hilangkan stres, mungkin. Lawak? Entahlah… tetapi mungkin bagi Muthiah (yang mengalaminya), peristiwa ini sedikit mencuit hati.

Sebenarnya, telefon bimbit Muthiah rosak. Maka, Muthiah menggunakan telefon bimbit suami (tanpa tukar kad sim). Hendak dijadikan cerita, suatu hari… seseorang teleh menelefon suami.

Kring kring…

Muthiah pun memberitahu individu berkenaan bahawa suami pergi kerja dan tertinggal telefon bimbitnya (sebenarnya, memang ditinggalkan). Oleh sebab agak urgent (mungkin), Muthiah pun berkata…

“Nanti, telefon pejabat…”

Selepas itu, Muthiah pun menghubungi suami dan memaklumkan perihal panggilan berkenaan…

Sekembalinya suami dari tempat kerja, suami pun berkata… semuanya sudah beres (urusan penting yang hendak diselesaikan itu). Kemudian, Muthiah pun bercerita kembali tentang panggilan yang Muthiah terima…

“Sudah beritahu dia supaya telefon pejabat…” kata Muthiah selamba. Tiba-tiba, suami tergelak. Kenapa ya???

Hehehe… rupa-rupanya, Muthiah terlupa untuk memberitahu nombor telefon pejabat suami. Macam mana orang itu hendak menghubungi suami di pejabatnya… Apa daaaa ;)

Muthiah : Kadang-kadang bertindak di luar pemikiran sesiapa…
Labels: 0 comments | | edit post

Kepada siapa kita harus takut?


Salam ya semua. Sekembalinya Muthiah dari Kuala Lumpur… penat bangat. Hari ini, sepagi Muthiah tidak membuat apa-apa kerja (hanya menjemur pakaian di ampaian). P-FC pun Muthiah tidak sentuh. Ditambah dengan bau-bauan yang tidak menyenangkan dari kilang berdekatan, menyebabkan Muthiah tidak dapat fokus.

Alhamdulillah, Muthiah kembali bertenaga sesudah solat Zohor. Masuk pejabat dahulu dan siapkan P-FC. Kemudian, hendak menulis blog tetapi… adoi adoi… untuk iftar bersama suami.

Hmmm… macam biasa ;) Yang baik, jadikan teladan…

Akhir zaman ini, tidak banyak ilmuan yang berani menyatakan kebenaran. Dengan ilmu yang dimiliki, ia tahu bahawa pegangan itu salah tetapi ekoran takutkan hilangnya nikmat duniawi yang ia kecapi, ia lebih senang menggadai harga diri daripada menegakkan yang haq.

Ia lupa untuk takut kepada Tuhan yang memiliki segala ilmu, Allah yang merupakan pakar ilmuan daripada segala pakar. Ilmu yang dipunyai tidak dimanfaatkan sebaiknya malahan ilmu itu dieksploitasi demi kepentingan diri sendiri.

Itulah manusia. Manusia yang telah hilang jati diri. Ia lebih takutkan pandangan manusia yang tidak kekal lama berbanding pandangan Allah yang kelak kan menghantarnya ke pintu syurga mahupun neraka. Nafsu telah menguasai dan iman tidak lagi menjadi benteng kekuatan diri.

Sabda Nabi SAW, “Seandainya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu lebih banyak menangis daripada ketawa.” HR Bukhari dan Muslim.

Orang yang benar-benar takutkan Allah pasti kan lebih banyak MENANGIS daripada KETAWA dan lebih banyak DIAM daripada BERBUAL-BUAL KOSONG. Ia takut ketawa itu kan melalaikannya daripada mengingati Allah. Hmmm… manusia itu lebih mudah teralpa tatkala bersuka ria. Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 82 yang bermaksud, “Maka hendaklah mereka sedikit tertawa sedikit dan banyak menangis, sebagai pembalasan daripada apa yang selalu mereka kerjakan.”

Bukan itu sahaja, manusia yang benar-benar takutkan Allah pasti takut untuk banyak BERBICARA. Ia khuatir, banyak cakapnya… banyak pula salah yang dilakukan. Bilamana banyak berbuat silap, banyak dosa yang tercatit di dalam buku amalan. Maka, DIAM itu akan membuatkan hatinya senang… tenteram jiwanya.

Satu ketika, Wahab bin Munabih memimpin Ibnu Abbas R.A. yang telah tua dan buta matanya ke Masjidil Haram. Sampai di sana, Ibnu Abbas mendengar beberapa orang sedang berbual dengan suara yang lantang dan sesetengahnya pula sedang ketawa keras.

Lalu beliau meminta untuk dibawa ke hadapan mereka. Berkata Ibnu Abbas, “Izinkan aku menceritakan dari hal hamba-hamba Allah yang sebenar-benarnya. Mereka adalah manusia yang tidak ingin berkata-kata kerana takutkan Allah sungguhpun mereka tidak bisu malahan dapat menggunakan bahasa dengan fasihnya. Namun, mereka sering memuji Allah, mereka tidak dapat memperkatakan yang sedemikian rupa, mereka bergegas ke arah kebaikan. Mengapakah kamu sekalian menyeleweng dari jalan ini?” Wahab bin Munabih berkata, “Sejak peristiwa itu, aku tidak melihat manusia berkumpul di Masjidil Haram untuk berbual-bual kosong apalagi untuk bertengkar.”

T.A.K.U.T!!! Takut kepada Dia yang mencipta ialah takut terhadap seksa-Nya. Takut terhadap kemurkaan-Nya yang membawa kepada balasan yang amat dasyat.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 40, “Dan hanya kepada-Ku hendaknya kamu berasa takut.”

“Dan Allah memperingatkan kamu terhadap seksa-Nya,” Ali-Imran ayat 30.

Takut dan amat takut untuk berhadapan dengan Tuhan dengan dosa yang menggunung.

Takut Allah memalingkan wajah-Nya tatkala kita hadir membawa amalan...

Andai amalan itu diterima, beruntunglah kita. Bergembiralah kita kerana penat lelah kita, tidak sia-sia. Kita kelak kan ditempatkan bersama-sama orang yang soleh yang cintakan Allah. Firman Allah, “Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya, disediakan baginya dua syurga.”

Akan tetapi, bersediakah kita andai amalan yang kita lakukan ditolak Ilah? Amalan itu TIDAK SUCI dan bukanlah dilakukan semata-mata kerana Allah. Kita tidak IKHLAS bahkan memandang kepada nama dan penghormatan diri. Jadi, di manakah kita meletakkan Allah?

Kita lupa … kita mungkin terlupa. Kita lupa bahawa penciptaan kita di muka bumi ini adalah sebagai khalifatullah yang mengabdikan diri kepada-Nya. Firman Allah, “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” Az-Dzariyat ayat 56.

Disebut dalam buku al-Mustadrak karya al-Hakim dan Musnad al-Bazar, daripada Zaid bin Arqam R.A.; Pada suatu hari, Abu Bakar R.A. telah meminta segelas air lalu diberikan kepadanya segelas air yang telah dicampurkan madu.

Tiba-tiba, Abu Bakar menangis. Hal ini menyebabkan para sahabat turut menangis. Kemudian, mereka berhenti menangis tetapi Abu Bakar masih tidak surut tangisannya bahkan semakin menjadi-jadi esakannya. Akibatnya, para sahabat pun menangis kembali.

Apabila mereka berhenti menangis, mereka bertanya kepada Abu Bakar, “Wahai khalifah Rasulullah SAW, mengapakah kamu menangis?”
Abu Bakar menjawab, “Aku pernah berdua-duaan bersama Rasulullah. Kemudian, beliau bersabda sambil menggerakkan tangannya, ‘Pergi sana, pergi sana.’ Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, engkau berbicara dengan siapa sedangkan di sini tiada sesiapa?’ Nabi SAW bersabda, ‘Dunia datang kepadaku lalu aku katakan kepadanya supaya pergi sana, pergi sana. Lalu dunia berkata kepadaku, ‘Kalau kamu selamat daripadaku, maka orang-orang sepeninggalanmu tidak akan selamat daripadaku.’ Itulah yang membuatkan aku menangis.”

Betapa takutnya sahabat terdahulu kepada Allah dan sesuatu yang melalaikan daripada mengingati Allah. Mereka khuatir akan teralpa sedang iman itu sebenarnya begitu teguh berpaut dalam hati-hati mereka. Mereka tetap takutkan azab Allah serta kemurkaan-Nya. Mereka tidak mahu melakukan kesilapan yang boleh membawa mereka ke pintu neraka.

Kita bagaimana? Adakah kita takut dengan dunia yang kita kejar … kelak menghancurkan diri kita? Dunia yang menyebabkan kita jauh daripada Tuhan yang menciptakan… yang menyungkurkan kita dari jalan Allah.

Marilah kita koreksi bersama, wahai teman… Dunia ini hanya sementara. Tidak kekal abadi dan akan hancur jua akhirnya. Akan tiba masa kita dipanggil pulang oleh Tuhan. Waktu itu, kita akan ditanya tentang amal perbuatan kita di atas muka bumi ini.

Usia… bagaimanakah kita menggunakan umur kita sedang Allah telah melanjutkan penghidupan kita di muka bumi ini?

Amalan dan cara hidup… mengikut garis panduankah atau tersasar dari jalan-Nya? Semua itu akan dihisab oleh Tuhan. Bersediakah kita?

Maka, sedarlah wahai sahabat…

Takutlah hanya kepada Allah. Dialah sebaik-baik Penilai dan Penghukum.
Takutlah melakukan kemaksiatan kepadanya.
Takutlah dengan azab api neraka yang tersedia buat mereka yang engkar dan lalai.


Laksanakanlah seluruh syariat yang telah ditetapkan serta taatilah Rasul, pesuruh Allah yang banyak pengorbanannya terhadap diri kita, umatnya.

Usah gentar dalam menegakkan kebenaran dan membanteras kebatilan. Jangan biarkan syaitan ketawa riang melihatkan kerapuhan kita dalam mentaati Tuhan Pencipta alam. Yakinlah! Allah itu sentiasa bersama kita setiap saat dan ketika. Sama sekali Dia tidak meninggalkan kita walau sedetik. Mohonlah keampunan-Nya dan semailah rasa takut terhadap kemurkaan Allah. Ingatlah! Daripada Dia kita datang dan kepada-Nya jua kita kan kembali.


Sumber : 40 Sifat yang Dicintai Allah- Abu Ahmad Fatanah, Orang-orang yang Menangis kerana Takut Allah –Abdul Hamid bin Abdurrahman as-Sahibani

Muthiah : Takut takut takut… takut dengan azab api neraka… nauzubillah..
Labels: 0 comments | | edit post

Nur mina dzulumat (Cahaya dari dalam kegelapan)


“Sampai bila Nur nak membujang ni?” Diam…

“Sakit telinga mak. Mana mak nak letak muka…” Diam lagi.

“Orang cakap anak mak belajar tinggi-tinggi… ada harta… ada rupa tapi akhirnya jadi anak dara tua,” ibu meluahkan rasa hati yang mungkin sudah sekian lama terpendam. Wajahnya yang semakin dimamah usia dikerutkan. Terpancar rasa kecewa dari dalam lubuk hati. Ibu mana tidak kecewa andai anak yang ditatang bak minyak yang penuh masih tidak kelihatan hala tuju hidupnya. Ya, ia sudah memiliki segalanya namun masih belum cukup untuk melayari kehidupan sebagai seorang manusia… manusia yang punya akal dan nafsu.

Entahlah, aku juga buntu namun lidahku kelu untuk bersuara. Siapa aku untuk berkata-kata. Siapalah aku mahu bergelar isteri dan ibu buat zuriat yang bakal kukandung andai aku bertukar status satu hari nanti. Hatiku tertutup rapat buat cinta dan kasih seorang insan bergelar lelaki. Aku sebenarnya masih belum cukup mengenali diriku sendiri inikan pula mahu bertaaruf dengan orang asing yang bakal meneruskan kehidupan denganku.

“Nur…” ibu bersuara perlahan, seakan-akan satu rintihan sayu bunyinya.

“Ayah dah meninggal. Kita tak punya siapa-siapa sayang,” tersekat-sekat ibu meneruskan bicara.

“Mak kepingin nak tengok cucu. Sayu hati mak tengok Pak Mat dapat menantu. Pilu hati mak tengok Mak Munah dapat cucu, kembar pula tu…” ibu diam sejenak. Matanya memandang tajam dinding kamarku. Mungkin sahaja pandangan itu sudah tembus hingga ke bawah rumah. Atau mungkin sudah sampai ke rumah Pak Mat dan Mak Munah. Aku hanya membisu.

“Dulu…” suara ibu tenggelam-timbul.

“Arwah ayah, nak sangat tengok Nur duduk atas pelamin tapi …” kali ini air mata ibu mengalir laju. Entah ke mana ia pergi, aku sendiri tidak pasti. Aku kaget tetapi kakiku masih tidak mahu bergerak-gerak. Untuk mendapatkan ibu yang kesedihan apatah lagi. Aku hanya mampu menjadi pemerhati bisu.

Ibu… maafkan Nur kerana menghampakan ibu. Nur tidak mampu dan sampai bila-bila Nur akan begini. Biarlah apa orang nak kata asal hidup kita tidak menyusahkan orang lain. Waktu kita susah, kita sendiri. Kini pun, seharusnya kita tidak kekok untuk hidup sendiri-sendiri. Nur akan sentiasa ada di samping ibu. Nur berjanji akan membahagiakan ibu sepanjang hayat ibu.

*****

“Hello, cik Nur Sakinah?” Kata satu suara.

“Ya saya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Jawabku perlahan. Ikutkan hati, malas rasanya mengangkat telefon bimbit. Al-maklumlah, aku keletihan setelah sehari-suntuk menghadiri seminar yang dianjurkan syarikat tempatku bekerja. Minggu depan, aku perlu ke Seremban pula untuk mengikuti kursus team building.

Kalau begini, lebih baik aku sendiri. Kan susah kalau sudah bersuami, terpaksa meninggalkannya berhari-hari. Lebih-lebih lagi setelah aku dinaikkan pangkat. Aku kini, bukan lagi eksekutif, bukan juga pengurus pemasaran tetapi sudah naik satu tingkat menjadi pengurus senior. Ah, itu hanya alasan untuk aku mengelak diri.

“Saya Konstabel Asyraf dari Balai Polis Belara. Ibu cik Nur Sakinah, Puan Aminah Sidek telah terlibat dalam satu kemalangan langgar lari. Saya harap cik Nur Sakinah boleh hadir ke hospital bagi tujuan pengecaman mayat,” dengan lancar anggota polis tersebut menerangkan.

‘Makkkk!!!’ Aku menjerit sendiri.

Aku berdosa pada ayah, aku juga berdosa kepada ibu dan yang paling utama, aku telah berdosa kepada Tuhan yang satu. ‘Ayah, mak… ampunkan Nur,’ aku berkata sendiri.

Ayah mengharapkan kehadiran menantu, ibu pula begitu teruja untuk bergelar nenek namun segalanya tinggal kenangan. Aku lebih senang sendiri dan akan selamanya sendiri. Tidak terdetik sekelumit rasa dalam hatiku untuk berkongsi kasih dengan sesiapa. Yang pasti, aku mahu mengejar cita-cita. Aku mahu kembali kepada Pencipta. Aku mahu menebus segala silapku buat Rab yang Maha Esa.

Aku malu! Aku malu dengan kejahilan sendiri. Aku malu andai aibku menjadi tontonan mereka di hadapanku. Aku malu memikirkan wajah-wajah sinis insan lain yang selama ini begitu kagum dengan karisma milikku. Nur ini hakikatnya berada dalam kegelapan. Aku malu…

Aku takut! Aku takut dengan kesilapan sendiri. Aku takut taubatku tidak dipandang Tuhan. Aku takut dicampakkan ke dalam api neraka sedang sama sekali aku tidak bersedia menuju ke dalamnya. Aku takut… aku takut. Biarlah aku menghukum diriku dengan caraku sendiri.

‘Ya Allah, ampunilah aku dan janganlah Engkau menghukumku atas keterlanjuranku,’ aku merintih sayu.

*****



“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk,” Al-Israk ayat 32.

Nah, aku bukan setakat mendekati zina tetapi kakiku berjalan menuju kepadanya dan akhirnya aku tersungkur. Aku terjatuh di lembah hina. Bukan itu sahaja bahkan aku menjadi manusia yang begitu keji. Sudahlah berdosa melakukan maksiat ditambah pula dengan dosa sang pembunuh. Ya, aku adalah pembunuh janinku sendiri. Aku tega untuk menutup aib di hadapan manusia di sekelilingku. Akhirnya, jadilah aku seorang binatang yang lebih zalim daripada haiwan tidak berakal.

Kejahilanku menyebabkan aku lupa, membuatkan aku alpa bahawasanya aku hanyalah seorang manusia yang kelak kan dihisab Tuhan di padang Mahsyar. Aku seolah-olah tidak tahu bahawa satu hari aku pasti akan kembali kepada Pencipta. Andai di dunia, aku boleh lari daripada hukumnya zina… aku boleh terhindar daripada hukumnya qisas tetapi tidak pada hari pembalasan. Neraca Allah sentiasa hampir denganku dan aku pasti aku tidak dapat berdolak-dalik lagi.

‘Mak… ampunkan dosa Nur,’ rintihku sayu.

Dosa silam membuatkan aku begini. Dosa yang tidak pernah kuduga dan kupinta. Ia datang sekelip mata dan meninggalkan sisa hitam yang kekal dalam sanubariku. Bukan salah ibu mengandung, bukan jua salah ayah yang membesarkan namun silapku sendiri. Aku terus berada di awangan. Cinta yang tidak bermata itu sering kali membuatkan aku buta. Buta untuk melihat kebesaran Tuhan. Tuhan yang mengurniakan rasa kasih dan sayang dalam hatiku.

Kalau tidak, masakan aku boleh jatuh cinta? Cinta yang membuatkan aku teralpa sehingga jatuh terduduk dan terluka kaki. Awalnya, hanya luka ringan tetapi bilamana kubiarkan luka itu terus merebak, akhirnya menjadi penyakit pada jasadku. Namun, tetap kubiarkan penyakit itu bermaharajalela. Setelah sebati, aku menjadi lali. Luka dan sakit itu bukan apa-apa. Yang penting, aku bahagia dengan dunia ciptaanku.

Sehinggalah aku ditinggalkan sendiri. Siapa aku untuk dijadikan isteri? Aku hanya teman sosial di kala sunyi. Hanya bunga yang terpelihara layak menjadi suri di hati sang lelaki. Kerana apa? Bunga itulah kelak yang bakal melahirkan zuriat buat suami dan meneruskan jaluran keturunan sehingga tiba waktunya Allah mengambil dunia ini daripada ‘penghutang’-Nya.

Penghutang? Ya, segala apa yang ada di atas muka bumi ini adalah pinjaman daripada Allah. Bezanya, Allah meminjamkannya tanpa mengharapkan sebarang bayaran mahupun balasan. Cuma satu yang dipinta ; jadilah insan yang taat dan patuh kepada segala suruhan-Nya tetapi aku?

Aku menggunakan udara milik Tuhan. Bukan itu sahaja bahkan Allah telah mengurniakan kenikmatan pancaindera buatku sehingga aku boleh melihat, mendengar, menghidu dan merasa namun kutetap mahu menjadi manusia yang lupa daratan. Aku lupa diri dan lupakan Tuhan. Aku juga lupa bahawa ibuku telah meletakkan nama yang begitu elok buatku. Bukankah Nur itu bermakna cahaya tetapi aku tetap mahu berjalan di dalam kegelapan dan menutupi cahaya yang sepatutnya menyuluh diriku sendiri.

*****

“Abang terpaksa bernikah dengannya,” kata Anuar suatu hari.

“Tapi bang…” air mataku perlahan-lahan menitik di pipi.

“Abang sayangkan Nur tetapi abang tidak berdaya untuk menolak permintaan papa dan mama,” ada riak kesal pada wajahnya tetapi aku sendiri tidak pasti, adakah ia betul-betul kecewa atau berpura-pura berdukacita.

“Bagaimana dengan kandungan …” diam. Bibirku tidak mampu untuk bersuara. Aku disahkan hamil empat minggu dan berita ini aku terima dengan hati terbuka. Mana tahu ibu dan ayah Anuar dapat menerimaku setelah aku disahkan hamil. Aku yang sememangnya jahil mungkin lupa. Hamil anak luar nikah bukanlah sesuatu yang dipuja-puja bahkan membuatkan masyarakat memandang sinis terhadapku.

“Mama minta Nur gugurkan kandungan tersebut. Segala pembayaran mama sudah uruskan,” perlahan-lahan Anuar cuba menyusun kata.

“Abang!!!” Aku menjadi sayu. Hatiku remuk dek kata-kata itu. Sudah cukup dengan dosa zina yang kulakukan tidak mahu menambah ‘saham’ dosa membunuh. Tidak!!! Aku tidak sanggup. Dosa sedia ada tidak mampu kutanggung inikan pula dosa besar yang begitu keji, bukan hanya pada pandangan Allah tetapi manusia juga pasti kan mencelaku.

“Abang kan lelaki. Abang harus bijak dan bertanggungjawab dengan apa yang dah berlaku. Kita suka sama suka dan Nur lakukan semua ini untuk abang. Nur sayangkan abang seluruh jiwa raga Nur dan Nur tidak sanggup kehilangan abang,” tersekat-sekat aku bersuara. Tangisanku semakin rancak menari. Aku sudah tidak punya siapa-siapa. Sudahlah harga diriku terbang melayang ditambah dengan ‘bala’ yang baru sahaja aku terima. Entahlah, boleh jadi balasan Tuhan buatku yang sentiasa lupa.

“Nur…” Anuar memandang tepat mataku. Bahuku dipegang erat. Ada titik-titik air pada kelopak matanya.

“Hanya Nur yang abang sayang. Hanya Nur yang abang cinta. Abang tahu kita berdosa dan abang tahu kita banyak melakukan kesilapan…” diam sejenak.

“Nur carilah lelaki lain yang lebih baik daripada abang. Abang tidak layak untuk menjadi suami dan ayah kepada anak Nur…”

“Anak kita!!!” Diam…

“Oh, jadi suami buat wanita lain tak apa? Abang rasa abang layak jadi suami untuk wanita lain? Abang dayus!!!” Aku meninggikan suara.

Pang… tamparan hebat mengenai pipiku. Anuar berjalan perlahan meninggalkan aku terkebil-kebil sendiri. Note RM1,000 dicampakkan tepat mengenai mukaku. Ia melangkah laju menuju ke arah kereta BMW miliknya tanpa menoleh kembali kepadaku. Tangisanku semakin kuat, entah bila mahu berhenti.

*****

Daripada Anas bin Malik RA berkata; aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT berfirman, ‘Wahai anak Adam, sepanjang engkau bermohon dan berharap kepada-Ku, akan Aku ampuni apa-apa yang telah engkau lakukan, Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku, akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku membawa kesalahan sebesar dunia kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu pun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula,’…” Hadis Riwayat Tirmidzi.

Ya, keampunan Tuhan begitu luas buat hamba-hamba-Nya. Aku juga tidak terkecuali! Aku adalah hamba Tuhan yang pernah melakukan dosa dan aku pasti aku mahu bertaubat kepada-Nya. Taubat nasuha ini kuharap dapat menjauhkan aku daripada azab api neraka dan menghindarkan aku daripada dosa-dosa besar lainnya. Bagaimana dengan dosaku terhadap ibu dan ayah sedang mereka terlebih dahulu telah pergi meninggalkanku?

‘Ya Allah, terimalah taubatku. Tempatkanlah ibu dan ayahku bersama-sama mereka yang mendapat naungan daripada-Mu,’ doaku di dalam hati. Aku tidak mampu untuk mencium tangan ayah dan ibuku sementelah mereka sudah aman di dalam bumi. Aku sama sekali tidak mampu untuk menemukan ibu dan ayahku dengan menantu yang mereka nanti-nantikan kerana nekadku tega dan aku mahu sendiri. Ditambah dengan pemergian mereka menemui Ilahi, mengukuhkan tekadku untuk hidup nafsi-nafsi.

Aku sunyi tanpa insan bergelar suami namun kuharap ‘seksaan’ hati yang kutanggung ini membolehkan dosaku terampun. Entah betul entah tidak jalan pilihanku tetapi aku benar-benar tekad. Aku mahu menjadi umpama Rabiatul Adawiyah yang cintanya hanya pada Tuhan yang satu. Bezanya, aku pernah menjadi gadis ternoda sebelum menemui cinta sejati ini, itulah cinta Ilahi.

“Jangan begitu… kahwinlah,” kata Amirul, teman sekerjaku.

“Nabi SAW berpuasa dan ia tetap berbuka. Muhammad pesuruh Allah berkeluarga dan ia tetap menjadi hamba Allah yang begitu teguh dengan amal ibadahnya…” ia berjalan perlahan menuju tepi mejaku.

“Sudikah Nur menjadi suri di hati saya?” Ia bertanya lagi. Mukanya nampak serius di sebalik keramahannya. Aku hanya diam membisu. Mana mungkin aku melanggar tekad dan prinsipku.

“Saidina Umar juga pernah menjadi musuh umat Islam sehinggalah Allah memberi hidayah kepada-Nya…” diam sejenak.

“Saya juga punya sejarah hitam. Saya tahu bahawasanya saya banyak berdosa kepada Tuhan sehingga merasakan diri tidak layak untuk hidup lagi…” tetap diam.

“Dosa saya umpama buih di lautan yang tidak dapat dikira dengan jari-jari manusia. Namun saya tahu bahawasanya hidup perlu diteruskan dan saya berharap zuriat saya kelak dapat mendoakan kesejahteraan saya bilamana saya sudah dipanggil Tuhan…” ia merenung mataku dalam-dalam. Aku masih tidak mahu bersuara.

“Bukankah setiap anak adam itu akan meninggalkan segalanya di atas dunia ini pabila ia mati kelak melainkan tiga perkara; ilmu yang bermanafaat, sedekah yang ikhlas kerana Allah serta anak-anak yang soleh,” Amirul memandang bunga yang terletak di penjuru pejabat. Nah! Aku mahu memiliki anak soleh yang boleh mendoakanku satu hari kelak.

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji dan laki-laki yang keji ada buat wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan laki-laki yang baik adalah buat wanita yang baik pula…” An-Nur ayat 24. Aku tersenyum sendiri.
Labels: 0 comments | | edit post

Doa (ii)


Sambungan pengisian semalam… Selamat membaca ;)

Nah! Begitu murah keampunan Allah terhadap hamba-Nya. Maka, apa tunggu lagi? Berdoalah segera. Akan tetapi, sebelum itu mari kita lihat kepada adab-adab berdoa. Adakah kita berdoa mengikut adabnya atau hentam kromo sahaja? Dipetik daripada Kitab Tuhfatudz Dzaakirin, halaman 34, tulisan Muhammad bin Ali Asy-Syaukani, terdapat 10 adab doa yang perlu dihayati iaitu:

i) Menjauhi perkara yang diharamkan; meliputi makanan, pakaian dan minuman.
ii) Perlu berdoa dengan seikhlas hati.
iii) Didahului dengan solat. Nabi SAW bersabda, “Sesiapa yang berwuduk dengan baik, kemudiannya solat dua rakaat dan setelah itu berdoa… Maka, Allah akan memerhatikan permintaannya. Diberi-Nya dengan segera atau diberi-Nya dengan lambat.”
iv) Mengucapkan kalimah tahmid serta berselawat dan salam ke atas Nabi pada awal dan akhir doa.
v) Khusyuk dan tenang.
vi) Dengan suara yang rendah serta mengharap dengan sepenuh hati.
vii) Mengulangi dengan tidak berputus asa.
viii) Menghadirkan hati kepada Tuhan.
ix) Jangan berdoa untuk berbuat dosa.
x) Jangan berkata, “Aku berdoa tetapi tidak diperkenankan Tuhan.”


Sering kali kita dengar, “Sudah banyak kali aku berdoa tetapi doaku masih belum Allah makbulkan.” Sabarlah… Allah itu Maha Mendengar. Dia tahu apa-apa di dalam hati kita malahan lebih daripada itu, Dia lebih tahu mana-mana yang paling baik untuk diri kita. Firman Allah, “…. Boleh jadi kamu benci akan sesuatu sedang ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedang ia amat buruk bagimu. Sesungguhnya Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui,” surah Al-Baqarah ayat 216.

Suatu ketika, Ibrahim bin Adham sedang berjalan-jalan di negeri al-Bashrah. Penduduk yang melihatnya segera datang dan bertanya, “Ya Ibrahim, mengapa doa kami tidak dimakbulkan sedang Allah telah berfirman, ‘Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka katakan Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaku, apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku agar mereka selalu berada di dalam kebenaran?’,” A-Baqarah ayat 186.

Kemudian, Ibrahim menjawab bahawa doa itu tidak termakbul kerana hati mereka telah mati disebabkan sepuluh perkara iaitu:

i) Mereka mengenal Allah tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
ii) Mereka membaca Al-Quran tetapi tidak mengamalkan isi-isi-Nya.
iii) Mereka mengaku cinta Rasulullah tetapi meninggalkan sunnahnya.
iv) Mereka mengaku membenci syaitan tetapi masih mematuhi ajakannya.
v) Mereka mengaku ingin masuk syurga tetapi tidak mematuhi syarat-syaratnya.
vi) Mereka mengaku ingin selamat daripada api neraka tetapi masih menjerumuskan diri ke dalamnya.
vii) Mereka meyakini bahawa kematian itu pasti tetapi tidak mempersiapkan diri untuk menghadapinya.
viii) Mereka sibuk melihat keburukan orang tetapi lupakan keburukan sendiri.
ix) Mereka sering menguburkan orang mati tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.
x) Mereka mendapat nikmat Allah tetapi tidak mensyukurinya.


Kata Ibrahim bin Adham, “Itulah sepuluh perkara yang membawa kepada kematian hati. Oleh itu, berhati-hatilah denganya.”

Maka, teruslah berharap kepada Allah. Jangan sekali-kali berputus asa dalam meletakkan pergantungan kepada-Nya. Sabarlah dalam berdoa kerana doa itu adalah senjata Mukmin. Dengan doa, akan mengakrabkan hubungan kita dengan Pencipta. Dengan doa, secara tidak langsung kita telah merendahkan diri kita di hadapan Tuhan yang mencipta. Jangan gusar untuk terus berdoa meski doa itu masih tidak dimakbulkan Allah.

Menyelusuri sirah Nabi SAW. Sewaktu sedang bersembahyang di Mekah, para pembesar saling mencabar antara mereka siapa yang berani mengambil perut-perut unta yang bernajis dan berdarah itu untuk diletakkan di atas kepala Muhammad bin Abdullah.

Kemudian, bangun Uqbah bin Mu’it lalu mengambil tali-tali perut itu dan meletakkannya di atas kepala Nabi SAW yang sedang sujud. Mereka pun ketawa terbahak-bahak. Apabila Muhammad bangun daripada sujud, beliau memerhatikan mereka semua dan berdoa kepada Allah dengan menyebut nama mereka satu persatu. Mengikut cerita seorang perawi hadis, “Aku melihat setiap orang yang Muhammad sebut semuanya mati di dalam Perang Badar.”

Di sini, dapat kita perhatikan bahawa Allah mengabulkan doa Muhammad beberapa lama selepas itu. Maka, apabila kita berdoa, jangan gopoh untuk mendapatkan apa yang kita hajati. Muhammad SAW pernah berpesan, “Akan dimakbulkan doa selagi ia tidak gopoh dengan Tuhan.” Apabila ditanya, “Apakah yang dimaksudkan dengan gopoh itu ya Muhammad?” Muhammad berkata, “Iaitu orang yang berkata, aku sudah berdoa dan berdoa tetapi tidak dimakbulkan lagi oleh Allah.”

Justeru, marilah kita berdoa kepada Allah. Sentiasa berdoa tidak akan merugikan diri walaupun belum dimakbulkan (permintaan tersebut) oleh Allah. Jadikanlah Rasulullah sebagai contoh buat kita agar sentiasa sabar dan berharaplah kepada-Nya.


Sumber : 40 Sifat yang Dicintai Allah - Abu Ahmad Fatanah, Biografi Muhammad bin Abdullah - Prof Madya Dr. Zulkifli Mohd Yusoff , Kitab Tazkiyah Metode Pembersihan Hati Aktivitis Dakwah - Dr. Ahmad Farid #
Labels: 0 comments | | edit post

Doa (i)


Salam ;) Apa khabar semua. Hmmm… huhu, Muthiah tidak sempat menulis (coretan). Petang ini, perlu keluar ke Taiping dan pagi esok, insya-Allah akan bertolak ke Kuala Lumpur. Ada sedikit urusan yang perlu dibereskan. Berkebetulan, Muthiah memiliki banyak stok artikel (Muthiah tulis sewaktu masih belajar). Hehe… lagipun, Muthiah suka menulis kembali apa-apa yang Muthiah baca atau dengar mengikut gaya penulisan Muthiah sendiri ~ hobi… hobi…

Satu lagi… afwan ya kalau bahasa yang digunakan tidak mengikut tatabahasa yang sepatutnya. Hehe… budak-budak baru belajar… menghurai dan menulis. Yang baik, jadikan teladan, yang tidak elok… jadikan sempadan dan kongsilah penyelesaian…

Hehe… Jom baca…

Sabda Nabi SAW, “Berdoalah kepada Allah, kepada-Nyalah kamu yakin untuk diperkenankan-Nya. Dan sesungguhnya Allah tidak menerima doa daripada orang yang lalai dan lengah,” HR At-Tirmizi.

Cuba tanya kepada diri sendiri, berapa kerapkah kita berdoa kepada Allah? Sehari-hari, berapa kalikah kita mengalirkan air mata mengenangkan dosa yang menggunung dan maksiat yang menodai jiwa?

Apabila mata dicelikkan, apakah yang kita fikirkan? Adakah kita berfikir tentang kerja yang masih belum dibereskan atau date yang perlu bagi kita untuk menyediakan diri kepadanya? Bersedia dengan wangian yang mengharum dan pakaian yang menawan. Ingin berjumpa dengan someone special katakan.

Bagaimana pula dengan kesyukuran kita terhadap Tuhan yang masih memberi peluang kepada kita untuk terus bernafas di atas muka bumi ini? Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 7, “ Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih,’.”

Berjalan pada waktu pagi, adakah kita telah berjaya memelihara mata, telinga, mulut dan hati kita? Adakah mata itu benar-benar terhindar daripada maksiat yang menjelikkan? Telinga pula telah kita sumbat dengan kapas agar terhindar daripada fitnah dan umpat keji.

Bagaimana pula dengan mulut? Berhati-hatikah kita dalam berbicara? Adakah apa yang kita ucapkan itu memberi manfaat kepada Islam atau sekadar ucapan yang sia-sia? Tanya sama hati. Ikhlaskah kita dalam menjalankan ibadah kepada Allah? Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Firman Allah, “…… Allah itu mengetahui apa-apa yang ada di hadapan mereka dan mengetahui apa-apa yang ada di belakang mereka….” surah Al-Baqarah ayat 255.

Maka, wahai teman… dalam kehidupan sehari-hari, terhindarkah kita daripada sebarang dosa yang nyata mahupun tersembunyi? Jika hati merasakan masih banyak dosa yang dilakukan, pohonlah keampunan kepada Tuhan agar diampunkan dosa-dosa itu.

Bukan sahaja bilamana merasakan ada dosa yang dikandung badan malahan… pada setiap masa, saat dan ketika, perlu sentiasa bermohon dan mintalah kepada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Allah sebagai Tuan Punya… adalah tempat kita meletakkan pengharapan dan pergantungan. Hanya Allah yang boleh memberi manfaat dan kemudaratan kepada kita. Justeru, jangan sombong dan usah bongkak untuk meminta dan mengharap kepada-Nya.

Allah itu Sebaik-baik Perancang dan Dia lebih tahu apa-apa yang tidak kita ketahui. Dia lebih tahu mana-mana yang terbaik untuk diri kita, hamba-Nya. Yang penting, terus berdoa kepada Allah, agar ikatan antara kita dan Tuhan tidak jauh dan pengharapan kita tidak terpesong kepada selain daripada-Nya.

Doa itu ibadah. Ada yang berdoa agar dikurniakan pekerjaan yang baik. Tidak kurang juga yang berdoa agar dianugerahi seorang isteri cantik yang solehah. Kita meletakkan pengharapan yang tinggi kepada Allah dalam menggapai impian dan cita-cita.

Tetapi jangan lupa wahai sahabat, berdoalah agar diampunkan segala dosa. Kadang-kadang, terlalu banyak yang kita dambakan sehingga kita terlupa untuk berdoa agar dimaafkan segala kesilapan yang telah kita lakukan terhadap Tuhan. Berdoalah agar sentiasa dipelihara daripada kecelaan dan kemurkaan-Nya yang boleh membawa kita ke dalam api neraka.

Kita takut. Takut dicampakkan ke dalam api neraka yang kepanasannya boleh sahaja menghancurkan bumi ini. Setelah berdoa, yakinlah kepada segala ketentuan-Nya. Dia pastinya akan memberikan yang terbaik untuk diri kita. Jangan ragu-ragu dengan janji Allah dan bersangka baiklah kepada-Nya. Sebuah hadis Qudsi ada menyebut, firman Allah, “Aku adalah di sisi hamba-Ku. Maka, hendaklah dia menyangka terhadap-Ku apa-apa yang ia kehendaki dan jangan kamu bersangka kepada Allah kecuali dengan persangkaan yang baik sahaja.”

Bersambung… esok ;)
Labels: 0 comments | | edit post

Pesan... (Cadar)


Salam salam salam. Apa khabar semua? Lama tidak bersantai bukan? Hmmm… hari ini, seharian Muthiah memerah otak untuk xxx. Alhamdulillah, siap seperti yang dirancang. Jadi, menulis untuk blog pula.

Pesan? Kenapa tidak pesan mami??? Hehe… kerana pesanan ini Muthiah dapat daripada tiga orang individu yang berbeza – mama, makcik Inie (ibu saudara Muthiah) dan Datin TS. Datin TS? Hehe… saya ketika, Muthiah pernah menemuramah beliau (dalam projek penghasilan buku X).

Sebelum Muthiah berkongsi tentang pesanan mereka, Muthiah ingin bertanya kepada :

1- Anak dara
2- Anak teruna
3- Para isteri (suami??)

Berapa kali ya tukar cadar dalam setahun? Sebulan sekali? Sebulan dua kali? Tiga bulan sekali? Enam bulan sekali? Setahun sekali? Atau sudah bertahun-tahun dan tidak pernah langsung menukar atau membasuh cadar yang kita gunakan sehari-hari…

Ish ish ish… jom kita muhasabah kembali. Sejauh mana kita menitik-beratkan kebersihan di dalam bilik tidur sendiri? Hmmmm… tepuk dada, tanya iman.

“Jangan malas tukar cadar… pastikan katil sentiasa kemas… bla bla bla…” lebih kurang macam itulah bebelan mama dan makcik Inie buat Muthiah (sebelum Muthiah melangkah ke alam rumahtangga). Bukan bebelan, tetapi lebih tepat jika dikatakan sebagai nasihat. Nasihat orang lama yang sudah terlebih makan garam;)

Datin TS pun memperkata perkara yang sama… sebagai tips rumahtangga. Bagaimana untuk memupuk rasa kasih dan sayang antara suami dan isteri. Bukan sahaja memenuhkan perutnya (sampai boroi jadinya) tetapi… biarlah sedap mata memandang.

Jadi, ayuh para isteri … juga anak-anak dara (anak teruna pun dialu-alukan). Jadikan KEBIASAAN dalam diri. Tukarlah cadar bilamana dirasakan perlu. Hmmm… dua tahun guna tidak hapak pun??? Jadi, tidak perlu menukar cadar. Adoi! Usah tunggu sampai mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan teman. Anggaplah :

1- Mahu jaga kebersihan.Mungkin ada bakteria yang sedang berkampung di atas cadar kita.
2- Untuk kepuasan diri dan mahu memikat suami (bagi yang sudah berumahtangga). Lagipun, sedap mata memandang. Insya-Allah, Allah pasti suka bilamana kita berusaha untuk menyenangkan hati suami kita.
3- Membazir tidak guna cadar yang telah dihadiahkan kepada kita (sewaktu pernikahan dahulu). Silap hari bulan, dimakan tikus… lipas… anai-anai, nauzubillah.


Cop cop… susah hendak membasuhnya??? Sekarang, tinggal di flat/ kondo… tidak ada tempat jemuran yang sesuai. Hmmm… susah juga kalau begini.

1- Hantar dobi… Aisey, kos maaa..
2- Satu hari itu,buat pengkhususan untuk membasuh cadar, sarung bantal, kain selimut… jadi, bolehlah conquer ampaian.
3- Basuh di rumah mertua… keluarga… hehe… (apa punya cadangan daaaa).


Baiklah, Muthiah beransur dahulu. Moga-moga perkongsian yang sedikit/ kecil ini dapat dimanfaatkan bersama.

Muthiah : Tukar profesion jadi PST (Profesor Serba Tahu) tetapi hakikatnya, banyak yang tidak tahu. Hahaha….
Labels: 0 comments | | edit post

Ramadhan pertama bersama...


1 Ramadhan 1429H

Hehe… Gambar Muthiah bersama suami di penempatan sementara suami (Ipoh) tahun sudah. Waktu ini, Muthiah masih lagi bekerja di Kuala Lumpur manakala suami pula berada di … Perak daaa. Sebelum ke masjid (untuk menunaikan solat tarawih), kami sempat mengambil gambar dahulu… iyalah, pertama kali berpuasa sebagai suami isteri. hehe. Muthiah berpindah (merangkap berhenti kerja) ke Taiping pada bulan November 2008.
Labels: 0 comments | | edit post

Tahniah... Tahniah... Tahniah...




Salam. Hmmm… Muthiah menerima kiriman sistem pesanan ringkas daripada seorang teman. Katanya, ia gembira kerana akhirnya… ia berjaya memperoleh segulung ijazah Sarjana. Namun, di sebalik kegembiraan itu… terselit kedukaan kerana…

Hmmm… orang yang dikasihi tidak dapat hadir dalam majlis tersebut. Menurut katanya lagi, orang lain… ada yang datang dengan suami, tunang bla bla bla. Bukan itu sahaja, orang lain… ada yang dapat bunga dan anak patung tetapi ia tidak mendapat apa-apa…

Sabar ya teman… tentu ada hikmah tersembunyi di sebalik kesedihan itu. Allah mahu kita ingat Dia tatkala bergembira (sedang manusia itu sering sahaja melupakan Tuhan tika memperoleh kenikmatan). Allah mahu kita yang sedia akrab dengan-Nya, semakin dekat dan mendekat. Dia mahu kita ingat, bahawa sebenarnya… Dialah segala-galanya buat diri kita… waktu senang dan susah.

Bilamana kita mengharapkan manusia… boleh jadi kita kecewa. Kita hendak begini… tetapi jadinya begitu. Iyalah… manusia ini, banyak melakukan kesilapan dan kesalahan. Manusia juga tidak sempurna. Kadang-kadang, ia terlupa dan acap kali juga teralpa. Jadi, kembalilah mengecap kegembiraan dengan meraikan cinta dengan-Nya (adoi! Betulkah tatabahasa ini? Huhu).

Okay… jangan bersedih lagi. Ada yang kita mahu… tidak kita perolehi namun sebenarnya banyak sekali kenikmatan yang telah kita kecapi (dalam sedar atau tidak)…

Kita masih memiliki nikmat ISLAM dan IMAN, bilamana kita tersungkur, kita bisa bangkit kembali. Kita masih diberi ruang dan peluang oleh Allah untuk bertaubat dan mengharapkan keampunan-Nya.

Kita punya rupa yang menawan, anggota badan yang sempurna dan dapat berfungsi dengan baik… membolehkan kita berbicara dengan teman-teman, melihat keindahan alam, mendengar kalimah suci Allah dan banyak lagi.

Kita masih punya teman-teman yang kasihkan kita (termasuk Muthiah… insya-Allah, ukhwah fillah abadan abada)… kakak, ibu yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan kita. Masih belum rasa bahagia? Insya-Allah… akan tiba waktunya satu ketika. Yang pasti… pilihlah… pilihlah untuk merasa bahagia.

Kita … kita berjaya menggenggam seguluh ijazah (sarjana pula). Bukan itu sahaja… kita dapat menjadi pekerja terbaik di kalangan pekerja yang paling baik. Kita punya harta yang melimpah…

Kita kita kita…


Hmmm… banyak sungguh kenikmatan yang kita peroleh bukan? Jadi, bergembiralah.

TAHNIAH… TAHNIAH… TAHNIAH…

Terimalah…

Muthiah : Hmmm… hati mahukan itu dan ini … risaukan ini dan itu…

Tauhidul Ibadah


Salam. Pertamanya, Muthiah ingin mengucapkan selamat berpuasa… apa yang kita rasa? Gembira??? Alhamdulillah… bulan yang penuh dengan keberkatan… bulan yang dijanjikan ganjaran pahala yang besar/ banyak oleh Allah. Hanya kita yang tidak mahu ambil peduli… Maka, sematkan dalam diri…

Mulai saat dan ketika ini, aku mahu jadi yang PALING BAIK di sisi Tuhan-ku. Ya… jika kita seorang pekerja, jadilah pekerja yang terbaik… Bilamana kita seorang isteri/ suami, jadilah yang terbaik tetapi jangan lupa… lakukanlah yang TERBAIK itu KERANA ALLAH.

1- Banyakkan bertadarus Al-Quran.
2- Banyakkan beristighfar, berzikir .
3- Banyakkan solat sunat (tahajjud, hajat, taubat, istikharah, dhuha).
4- Banyakkan bersedekah/ berinfak.
5- Jangan lupa solat tarawih, witir ;)
6- Berbukalah berpada-pada… elakkan pembaziran.
7- Jangan lupa makan sedikit untuk sahur.
8- Berbuka dengan kurma dahulu ya…
9- Elakkan berkata-kata yang sia-sia.
10- Membeli-belah? Berpada-pada dan ikutlah kemampuan diri.
11- Jangan lupa bayar zakat :p

Baiklah, jom berhalaqah ;)

Mula-mula, Muthiah ingin membuat imbasan kembali. Apakah yang kita fahami dengan TAUHIDULLAH?

Ya betul!!! Hehe… (ingat Pop Kuiz ka???)… Tauhidullah membawa makna MENGESAKAN ALLAH. Dengan kata lain, kita tidak hanya menjadikan Allah sebagai RAB dan MALIK tetapi turut mengesakan-Nya sebagai ILAH. Allahlah tempat kita mengabdikan diri dan kepada Dia juga kita memohon pertolongan. Firman Allah dalam surah Al-Fatihan ayat 5 yang bermaksud, “Hanya kepada Engkau yang kami sembah (mengabdikan diri) dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan.”

Namun, perlu diingat bahawa segala sesuatu yang kita lakukan itu perlulah/ haruslah/ mestilah IKHLAS (hati suci, tidak menipu, tidak berpura-pura) kerana Allah SWT semata-mata. Benar… Allah hanya menerima amal yang ikhlas sepertimana sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya diterima amal perbuatan (seseorang itu) bergantung kepada niatnya dan sesungguhnya setiap orang akan dapat apa-apa yang diniatkannya. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya (akan diterima) sebagai hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ia cari atau wanita yang ingin ia nikahi, maka ia akan mendapat apa yang ia tuju,” (HR Imam Bukhari dan Muslim).

Hmmm… boleh rujuk juga kisah Habil dan Qabil yang menyembahkan korban kepada Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Maidah ayat 27 yang bermaksud, “Ceritakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya. Ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua (Habil) dan tidak diterima daripada yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil), ‘Aku pasti membunuhmu!’ Berkata Habil, ‘Sesungguhnya, Allah hanya menerima (korban) daripada orang-orang yang bertakwa.’..”

Sesungguhnya, bilamana seorang anak Adam itu mentauhidkan Allah secara luhur dan ikhlas, menjadikan dirinya seorang manusia yang benar-benar beriman kepada-Nya.

Ya! Ia tidak mengharapkan sesuatu yang lain daripada Allah. Pada-Nya, kita memohon PERTOLONGAN… PERLINDUNGAN… PENGHARAPAN dan hanya kepada Dia kita BERGANTUNG HARAP. Mana mungkin ada kuasa lain yang bisa membantu manusia yang sama taraf dengannya (melainkan mereka yang taqwa). Jadi, sudah jelas… segalanya adalah milik Allah. Adoi… berbelit bahasa untuk mengulasnya ;)

Sebut tentang ikhlas, insya-Allah kita kan dapat memurnikan ibadah kita bilamana kita melalui dua perkara yang akan Muthiah bincangkan secara ringkas di bawah :

1.1- Mengingkari thaghut/ syaitan

Huhu… Muthiah cari makna thaghut dalam Kamus Dewan, tiada tetapi dari apa yang Muthiah ingat… THAGHUT membawa maksud melampaui batas (afwan kalau tersilap). SYAITAN pula ialah makhluk halus yang jahat (menggalakkan manusia melakukan kejahatan/ melanggar perintah Allah).

Eh, terlupa. MENGINGKARI bermakna memungkiri, menafikan, tidak mengakui (mentaati, menuruti) dan menderhakai.

Dengan kata lain… kita derhaka terhadap sesuatu yang dibenci Allah, yakni syaitan (dan segala sesuatu yang sepadan dengannya). Syaitan adalah musuh Allah dan musuh kita semua. Ia hanya mengajak manusia kepada kejahatan, menjauhkan manusia daripada Islam dan jalan/ cara hidup yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasnya.

Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 27 yang bermaksud, “Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu ditipu oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga. Ia menanggalkan daripada keduanya pakaian untuk memperlihatkan kepada keduanya aurat (mereka). Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang tidak dapat dilihat olehmu. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang yang tidak beriman.”

Sama-samalah kita mengikhlaskan hati dalam ibadah dan mengingkari musuh-musuh Allah yang dapat menjauhkan kita daripada-Nya. Siapa? Thaghut… siapakah thaghut itu? Hmmm… orang yang berbuat zalim, mereka yang melampaui batas serta manusia-manusia yang berbuat salah (tanpa penyesalan).

1.2- Menjauhi thaghut

Ya, kita bukan sahaja perlu mengingkari bahkan menjauhkan diri daripadanya (thaghut). Dengan kata lain, kita menolak thaghut dalam segala hal dan keperluan. Jangan sekali-kali menjadikannya sebagai rakan/ teman kerana pasti! Thaghut itu bukanlah teman sejati yang bisa membawa kita kepada Tuhan, Allah yang Esa.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam KESELURUHAN dan janganlah kamu menuruti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

Jauh jauh jauh…usah sekali-kali mencuba sesuatu yang dilarang Allah. Arak itu haram! Zina itu jelik! Memutuskan silaturrahim itu mengundang murka daripada Allah. Tanyakan pada diri setiap kali mahu melakukan sesuatu, ‘Kalau aku buat benda ini, Allah suka atau tidak?’ … Kalau tidak tahu jawabnya, tanyalah lagi, ‘Allah murka atau tidak…’ Kalau masih tidak tahu… bertanyalah kepada mereka yang lebih tahu. Hehehe…

1.3- Tidak mempersekutukan Allah

Bilamana kita telah meletakkan pergantungan 100% kepada Allah, bermakna kita tidak lagi menduakan Allah. Kita tidak meletakkan sesuatu lebih tinggi atau sama tandingannya dengan Allah. Bagi kita, Allah adalah segala-galanya dan setiap apa yang kita lakukan, tidak lain dan tidak bukan semata-mata kerana Allah.

Kita belajar… kerana Allah.
Kita bernikah… kerana Allah.
Kita bekerja, mencari rezeki yang halal… kerana Allah.
Kita berjuang… kerana Allah SWT.


Insya-Allah, kita pasti akan berjaya dunia akhirat. Mencari ruang atau masa untuk beribadah/ berinteraksi dengan Allah sama sekali tidak akan merugikan waktu kita. Pasti! Allah akan memberi ruang dan masa buat kita untuk menyudahkan kerja-kerja yang ditangguhkan semata-mata untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim Mukmin.

Contohnya… kita punya banyak kerja, perlu hantar assignment pagi esok. Tiba-tiba, azan berkumandang. Alahai… serba-salah jadinya. Argh!!!! Kerja terlalu banyak dan aku stres…

Hmmm… sebenarnya, tidak ada alasan bagi kita untuk melengah-lengahkan solat dan lebih malang jika kita mengambil keputusan untuk meninggalkan suruhan Allah tersebut. Kalaupun kita solat, solat kita tidak khusyuk… ada sesuatu yang ‘lebih penting’ bermain-main dalam pemikiran kita. Aduh aduh, nauzubillah…

Ingatlah, segala apa yang kita lakukan…adalah izin daripada Allah. Kita boleh berbicara, menulis, membaca … semua dengan izin Allah! Kita… hendak menggerakkan jari kelingking yang paling halus pun tidak mampu inikan pula perkara lain yang lebih besar. Fikir-fikirkan…

Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 116 yang bermaksud, “ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa selain syirik bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”

2.1 – Beriman terhadap Allah

Dengan kata lain, kita harus menanamkan keimanan dalam diri. Kita beriman kepada Allah dengan seikhlas hati dan tulus. Sesungguhnya, sama sekali tidak akan bersemayam keimanan di dalam hati manusia yang berkarat, kotor, busuk hatinya … tidak menghilangkan thaghut dalam jiwanya.

Apa itu IMAN??? Hmmm… iman itu adalah membenarkan dengan lidah, percaya dalam hati dengan penuh yakin dan mengamalkan dengan anggota badan (huhu.. Muthiah kurang ingat ungkapan yang lebih sedap untuk dicoreti).

Kita mengakui bahawa Allah itu Esa, Allah sebagai tempat bergantung dan Allah adalah segalanya. Bukan itu sahaja, hati kita juga yakin dengan kekuasaan Allah terhadap sesuatu. Hanya Allah yang boleh memberi manfaat serta mudarat. Akhirnya, sebagai hamba yang telah teguh keyakinannya terhadap kuasa yang menciptakan dan menjadikan, ia melakukan segala suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Selain itu, kita juga menjadi manusia yang bertaqwa kepada Allah. Kita takut untuk melanggar perintah-Nya dan kita tidak berani untuk melakukan ketaatan dengan sambil lewa.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 285 yang bermaksud, “Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya daripada Tuhannya. Demikian pula orang-orang yang beriman,semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya dan rasul-rasul-Nya…”

Info : Rukun iman ada enam semuanya – Percaya kepada Allah, malaikat-Nya, Rasul-Nya, kitab-Nya, qadak dan qadar serta hari kiamat. Hmmm… cuba kita renungkan bersama sari pati rukun-rukun iman ini…

2.2- Mengabdikan diri hanya kepada Allah

Hanya… bermakna satu-satunya kepada… betul atau tidak? Salah?? Jadi, yang sebetulnya bagaimana ya? ;)

Keimanan seseorang tidak dapat dilihat tetapi terbukti dengan ketaatan seorang hamba terhadap Tuhannya. Dengan kata lain, ia mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. HANYA ALLAH…

Ia taat kepada segala perintah-Nya. Bilamana ia terlupa, segera ia beristighfar memohon ampun kepada Allah yang memiliki keampunan itu (hehe…macam pelik sahaja bahasa yang digunakan). Dari semasa ke semasa, ia berusaha membaiki diri menjadi lebih baik, mengikut apa-apa yang telah ditetapkan/ disyariatkan oleh Allah SWT. Ia tidak ego terhadap diri sendiri dan sentiasa merasakan dirinya kerdil di hadapan Tuhan.

Selain itu, ia menjauhi larangan Tuhannya. Allah suka? Allah murka? Ia tidak mahu dekat dengan sesuatu yang diharamkan Allah. Begitu juga dengan sesuatu yang syubhah… ia tidak mahu menghampirinya kerana ia mahu hanya yang terbaik dan paling baik buat Allah yang telah mengurniai dirinya 1001 kenikmatan bahkan infiniti.

Yang pasti! Hanya Islam yang patut diikuti. Hanya ajaran Islam yang akan membawa manusia mengecapi kebahagiaan di dunia dan akhirat, insya-Allah.

2.3- Mengesakan Allah

Sari pati yang paling penting… MENGESAKAN ALLAH. Bahasa mudahnya, tidak menyekutukan Dia dengan sesuatu… tidak mencampur-adukkan ibadah dengan nilai-nilai yang bisa mencacatkannya seperti syirik, riyak, takbur, ujub dan banyak lagi.

Jom, Muthiah kongsi sedikit pengertian perkataan di atas (diambil dari Kamus Dewan)… lepas ini, Muthiah perlu beransur dahulu… ingin masak ya..

Syirik – perbuatan menyekutukan Allah, baik dengan keyakinan, ucapan atau perbuatan; percaya adanya kuasa ghaib selain daripada Allah, memuja berhala

Riyak – sikap atau sifat suka menunjuk-nunjuk amal ibadah atau sesuatu kebaikan dengan tujuan mendapat pujian atau sanjungan daripada orang lain, bukan kerana Allah.

Takbur – berperasaan tinggi diri (suka menganggap diri lebih mulia, lebih pandai, lebih cerdik daripada orang lain), angkuh dan bongkak.

Ujub – kagum terhadap diri sendiri, angkuh.

Muthiah : Nauzubillah… moga dijauhkan daripada perbuatan mazmumah…
Labels: 0 comments | | edit post

Tauhidullah (iv)


Salam. Hari ini, kita sambung tajuk ‘Tauhidullah’ yang sudah lama menyepi. Hehe… afwan ya. Agak sibuk sejak akhir-akhir ini. Ditambah dengan keadaan kesihatan yang tidak berapa baik.

3- Ilahan Ma’budan (Allah sebagai satu-satunya tempat mengabdikan diri)

Mula-mula, kita rungkai dahulu pengertian A.B.D.I. Mengikut Kamus Dewan, ABDI membawa makna orang yang DIMILIKI oleh seseorang lainnya dan terpaksa melakukan apa sahaja yang DIPERINTAHKAN oleh tuannya (tanpa memiliki kebebasan atau hak sendiri).

Maka, dapatlah diperjelas di sini bahawa MENGABDIKAN bererti menjadikan abdi, menghambakan atau memperhamba.

… Kita perlu/ mesti melakukan APA SAHAJA YANG DIPERINTAHKAN tanpa banyak soal. Kita juga tidak boleh mempertikai hukum Allah sementelah akal pemikiran kita adalah terbatas. Mungkin kita merasakan bahawa sesuatu itu adalah amat baik tetapi hakikatnya, PENCIPTA SEGALA SESUATU itu lebih nampak kemudaratan yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera kita.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “…boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” Iya… Allah Maha Tahu sesungguhnya kita tidak mengetahui.

Dengan kata lain, kita meletakkan keyakinan bahawa Allah adalah Ilah yang DIABDIKAN diri kepada-Nya. Bukan itu sahaja bahkan seluruh makhluk TUNDUK kepada segala perintah dan ketetapan-Nya.

Firman Allah dalam surah Al-Fatihah ayat 5 yang bermaksud, “Hanya kepada Engkau kami sembah (mengabdikan diri) dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan.”


Ya… hanya kepada Allah kita mengabdikan diri kita dan hanya kepada Dia selayaknya kita memperhambakan diri. Kenapa? Kerana hanya Dia selayaknya DICINTAI dan DITAATI. Dan sesungguhnya, hanya Dia juga yang menjadi tempat BERGANTUNG serta mendapatkan PERLINDUNGAN. Allah-lah yang memberi MUDARAT, Dia juga yang mengurniakan MANFAAT (boleh rujuk tajuk-tajuk sebelumnya… ada kesinambungan dan kaitan sebenarnya).


Muthiah : Berpegang kepada kata-kata, “Tidak ada yang dapat memudaratkan diri kita melainkan dengan izin Allah…” Jadi, serahkanlah segalanya kepada Allah yang Esa, yang Maha Tahu bahkan Maha Segalanya.
Labels: 0 comments | | edit post

Dedicated from....

Labels: 0 comments | | edit post

Hmmmm....


Salam. Apa khabar?Alhamdulillah, masih lagi dikurniakan nikmat ISLAM dan IMAN oleh Allah SWT. Hmmm… Muthiah baru sahaja pulang dari klinik. Keluar jam 7.15 pagi, sampai rumah jam 11.00 tengah hari. Banyak bangat pesakit…

Alhamdulillah. Begitu besar jasa para doktor serta anggota kesihatan yang bertugas. Manakan tidak, berkhidmat dan membantu mereka yang memerlukan (klinik kerajaan turut dibuka pada hari Sabtu dan Ahad dari jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang). Pada hari bekerja pula, dilanjutkan sehingga jam 7.00 malam. Terpaksa meninggalkan anak-anak, suami/ isteri di rumah. Huhuhuu…

Hmmm… apapun, TAHNIAH semua. Ikhlaskan hati dan betulkan niat selalu… insya-Allah, walaupun terpaksa berhadapan dengan 1001 karenah manusia, ganjaran Allah sebenarnya sentiasa menanti kalian asalkan … kalian sabar dan ikhlas. Cayok-cayok… CEMERLANG, GEMILANG, TERBILANG (hehe… bukan TEMBERANG)…

Hujung minggu lepas??? Hehe… tidak banyak aktiviti yang Muthiah lakukan. Cuma, pada hari Sabtu (15 Ogos 2009), Muthiah menemani suami menghadiri program ‘berjalan kaki’ di Taman Tasik Taiping anjuran Majlis Perbandaran Taiping (MPT). Sebenarnya, kami kurang bersetuju untuk keluar ke tempat awam (beraktiviti) tetapi sudah diamanahkan… pergilah juga. Huhu…

Apa yang seronok? Tidak ada apa-apa yang menarik perhatian Muthiah kecuali tatkala menerima baju kemeja-T, minuman dan makanan ringan secara percuma. Bukan itu sahaja, kami juga dapat sampel susu Nestiva dan akhbar mingguan… FREE OF CHARGE!

Selainnya… kami perlu berjalan kaki mengelilingi tasik Taiping. Yang seronoknya, Muthiah dan suami menjadi pejalan kaki paling lambat sampai ke garisan penamat. Bukan apa, tidak mahu bersesak-sesak dengan banyak orang. Lagipun, kami lupa membawa topeng muka.

Hari Ahad… Muthiah dan suami hanya membuat operasi membersihkan rumah dan halamannya.

Muthiah : Kurnia Allah pada makhluk-Nya tidak ada tandingannya… Sesuatu yang tidak mampu dicoret dan diungkap dengan kata-kata, terlalu banyak bah ;)

Solat sunat Dhuha


Salam hormat. Hehe… kali ini, Muthiah ingin berkongsi tentang informasi solat Dhuha. Afwan ya, Muthiah lupa dari mana Muthiah dapatkan maklumat ini ~ coretan ini sudah lama Muthiah tulis. Jadi, yang baik… ambillah dan jadikan ikutan dan yang menimbulkan keraguan, jom kongsi jawapan yang sebetulnya. Selamat membaca ;)

Umat Islam digalakkan untuk melaksanakan amalan sunat. Antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri ialah sembahyang sunat Dhuha.

Banyak hadis yang menggalakkan dan menyatakan keutamaannya. Antaranya yang disebut dalam riwayat Abu Hurairah katanya:

Maksudnya, “Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku tidak meninggalkannya, iaitu; supaya aku tidak tidur melainkan setelah mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat sembahyang Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan,” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat sembahyang Dhuha,” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya:

“Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”

Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya segala dosa walaupun seperti buih di lautan,” (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi).

Dan daripada Anas bin Malik RA berkata:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat, dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas,”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi).

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir sewaktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama, jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah RA yang bermaksud :

“Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehendakinya,”(Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah).

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi SAW bersabda:

“Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat, ditulis baginya daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak empat rakaat, ditulis baginya tergolong daripada orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat, dicukupkan baginya pada hari tersebut. Barangsiapa menunaikannya sebanyak lapan rakaat, Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat. Barangsiapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat, Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hamba-Nya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hamba-Nya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingati-Nya,”( Riwayat At-Thabarani).

Manakala surah yang sunat dibaca selepas membaca Fatihah pada rakaat pertama ialah surah as-Syams dan pada rakaat kedua selepas membaca al-Fatihah disunatkan membaca surah adh-Dhuha.

Adapun niat sembahyang Dhuha ialah :

Ertinya, “Sahaja aku sembahyang sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala.”

Doa sembahyang Dhuha ialah:

Maksudnya, “Ya Allah, bahawasanya waktu Dhuha itu waktu Dhuha-Mu, kecantikan itu ialah kecantikan-Mu, keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu. Ya Allah, jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah. Jika sukar mudahkanlah, jika ia (dari yang) haram maka sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah, berkat waktu Dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada hamba-hamba-Mu yang soleh .”
Labels: 0 comments | | edit post

C.I.N.T.A


Seorang teman ada menyebut, “ Cinta kepada bunga, bunga kan layu. Cinta kepada manusia, manusia kan mati. Cinta kepada Allah, itulah cinta yang hakiki.” C. I. N. T. A. Ada yang kata, cinta itu buta. Ada juga yang kata, cinta itu tidak buta tetapi hati telah dibutakan oleh cinta. Mencari cinta dan segalanya cinta. Cinta yang dikatakan boleh membawa bahagia. Rasa cinta yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Akan tetapi, benarkah cinta itu kelak kan memberi kebahagiaan yang diidami?

Si isteri mencintai suami kerana suami itu tempat ia bergantung. Si suami mencintai isteri kerana isteri itu membawa ketenangan kepada dirinya. Si kekasih mencintai kekasih hati kerana si dia memberi rasa senang dalam hatinya. Rasa cinta yang begitu mengasyikkan tetapi sering kali melekakan. Sehingga tanpa sedar rasa kasih dan cinta itu menyebabkan ia lupa dan alpa.

Kepada siapa sebenarnya ia patut meletakkan pergantungan? Sedang jelas tauhid rububiyyah menyatakan bahawa Allah itu sebagai Pencipta, Allah sebagai tempat bergantung, Allah-lah Pemberi rezeki dan Dia jua segalanya. Siapa pula yang memberi ketenangan dan rasa senang kepada diri insani? Segalanya adalah milik Allah yang menjadikan juga mewujudkan.

Sayang sekali kerana manusia itu sering lupa. Lupa itu mungkin disebabkan oleh hati yang telah dibutakan oleh cinta yang sememangnya tidak bermata. Firman Allah,“Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, RasulNya, dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya.” At-Taubah : 24.

C. I. N. T. A! Kerana cinta ia sanggup menggadaikan dirinya. Kerana cinta ia lupa asal usul dirinya. Ia lupa mengapa ia dijadikan Allah di atas muka bumi ini. Menjadi khalifatullah dan hamba yang mengabdikan diri kepada-Nya. Ia berpura-pura lupa sehingga akhirnya menyebabkan ia benar-benar lupa.

Begitu kuat penangan cinta. Cinta yang sebenarnya tanpa sedar telah menghancurkan dirinya. Cinta yang menyebabkan ia tersasar arah dari landasan cinta yang sebenar yakni dalam mengejar dan menggapai cinta yang pasti. Itulah cinta Ilahi. Cinta hakiki yang pastinya kekal abadi.

Cintakan Allah. Cintakan Rasul. Bergetarkah hati kita tatkala ungkapan ini terlintas di dalam benak fikiran kita? Atau kita tidak punya rasa apa-apa? Rasa biasa-biasa sahaja. Atau mungkin jantung kita hanya berdenyut kencang tatkala berbicara dengan si dia yang zahirnya berada di hadapan mata? Kalau tidak di depan mata, meski jauh di mata tetapi dekat di hati? Renung-renungkan wahai teman. Di manakah kita meletakkan cinta kita itu? Bak kata pujangga, “Milik siapakah hati ini?”

Si polan mencintai si polan. Ia mencintainya dengan seikhlas dan sepenuh hati. Ia sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih perhatian pujaan hati yang telah menambat hatinya. Ia mahu kehadirannya disedari. Ia mahu cintanya berbalas atau paling tidak pun, cintanya itu terluah meskipun tanpa ungkapan manis.

Akan tetapi, yakinkah ia bahawa cintanya akan berbalas? Rasa cinta yang dirasainya turut sama dirasai oleh insan yang dicintai? Ingatlah! Allah pemegang hati si pencinta dan yang dicintai. Dialah yang memberi rasa cinta itu kepada hamba pilihan-Nya untuk mengujinya. Justeru, Dia jualah yang berhak untuk mengambil kembali cinta itu.

Yakinkah kita bahawa cinta yang kita dambakan selama ini akan kekal utuh sepanjang hayat kita? Kita khuatir andai kemaksiatan itu bermaharajalela di dalam jiwa, menyebabkan kita akhirnya terjatuh, tersungkur dan tidak mampu untuk bangkit kembali. Fikir-fikirkan wahai teman. Bagaimana pula andai cinta itu kita beri kepada Allah yang Esa?

Cinta kepada yang Esa. Apabila insan itu mencintai Tuhannya, ia pasti sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai keredhaan Kekasihnya itu. Ia melakukan ketaatan dan kepatuhan untuk menggapai rasa cinta bersama Pencipta.

Sukar untuk istiqomah dalam ketaatan tetapi ia garang terhadap dirinya lantaran semangat dan keazaman untuk mendapat apa yang diimpikan. Ia sentiasa berusaha untuk mengikhlaskan diri demi mencapai cita-cita yang satu. Muhammad bin Abdullah As - Syibli ada menyebut, “ Jika engkau mahu merasai betapa manisnya berhubung dengan Tuhanmu, engkau harus garang terhadap dirimu. Apabila engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila engkau berpisah denganNya.”

Maka, ia akan terus bermujahadah dan meletakkan pengharapan yang tinggi terhadap Tuhannya. Ia garang dalam meninggalkan kemaksiatan yang membawa kepada kemurkaan Tuhan dan ia berusaha memperbanyakkan amal ibadah dalam mendekatkan diri kepada-Nya.

Yakinlah! Allah pastinya tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang berharap kepada-Nya. Cinta itu pasti kan berbalas. Tidak seperti cinta si polan yang masih diragui ketulusannya. Allah berfirman, “Allah mencintai mereka dan mereka pula mencintai Allah.” Al-Maidah:54.

Begitu indah apabila cinta bersambut. Lebih-lebih lagi apabila cinta diterima oleh yang Maha Agung. Serasa seluruh bumi tersenyum melihat percintaan yang suci itu. Allah berfirman, “Dan orang-orang yang beriman itu sangat mencintai Allah.” Al-Baqarah:165.

Kenapa perlu cinta terhadap ILAHI????



Pertama. Secara semulajadinya makhluk itu pastinya mencintai dirinya sendiri. Ia khuatir dirinya mendapat kemudaratan. Apabila ia sakit, ia pergi berubat. Apabila ia letih, ia merehatkan diri. Hal ini berlaku kerana adanya rasa cinta terhadap diri sendiri.

Maka, bagaimana pula keadaannya dengan cinta terhadap Pencipta yang menjadikan diri kita? Dia yang mewujudkan daripada tiada kepada ada. Dia yang memberi penghidupan kepada kita. Justeru, lebih-lebihlah rasa cinta perlu diberikan kepada-Nya. Hal ini kerana, tanpa izinnya kita sendiri tidak akan wujud di atas muka bumi ini. Maka, tidak punya peluang untuk mencintai diri sendiri apatah lagi insan lain.

Kedua. Secara fitrahnya, manusia itu akan mencintai orang yang banyak membantunya, yakni orang yang telah meringankan bebanannya.

Suatu hari, Azim pergi ke pasar. Dia mahu pulang dengan menaiki bas RapidKL. Apabila sedang mencari duit tambang, didapatinya bahawa ia tidak cukup sepuluh sen. Azim kaget.

Amir yang dari tadi melihat gelagat Azim menyedari bahawa terdapat kegusaran dalam diri Azim lantas bertanya, “ Apa yang berlaku?” Azim yang tidak mengenali Amir melihatnya sekilas dan terus mencari duitnya. Dalam pada itu, ia menjawab, “Saya tidak cukup tambang sepuluh sen.”

Tanpa banyak bertanya, Amir terus menghulurkan wang seringgit kepada Azim. Disebabkan tidak cukup sepuluh sen, lahir satu perkenalan. Perkenalan yang mula mengikat ukhwah.Tidak lama kemudian, bas nombor 20 pun sampai. Azim begitu bersyukur kerana mendapat bantuan itu. Begitu baik sahabat baru tadi. Rasa cinta terhadap teman baru berputik di dalam jiwa.

Selang beberapa hari, Azim bertemu Amir di Kota Raya lantas menegurnya, “Apa khabar teman?” Nah! Disebabkan duit sepuluh sen, cinta itu berputik. Rasa cinta hadir kerana bebanan kita diringankan. Jadi, apatah lagi rasa cinta yang perlu hadir buat Tuhan yang Esa.

Kenikmatan yang diberikan infiniti dan tidak terkira banyaknya. Dia bukan sahaja memberi penghidupan buat hamba-Nya tetapi Dia memberi kemudahan kepada seluruh makhlukan di atas muka bumi ciptaan-Nya. Firman Allah, “Kalau kamu berusaha menghitung kenikmatan Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya.” Ibrahim:34.

Teringat persoalan daripada seorang teman. Andai diberi berjuta ringgit untuk menjual sepasang mata yang dimiliki, adakah sanggup bagi kita menjualnya? Pastinya tidak meskipun jual beli ini membuahkan keuntungan yang berganda-ganda. Keuntungan material! Satu juta. Boleh bergelar OKB (Orang Kaya Baru) dalam sekelip mata.

Maka fikir-fikirkanlah. Besarnya pemberian Allah kepada kita tanpa sedikit Dia meminta bayarannya. Yang penting, kita perlu sentiasa taat kepada segala suruhan-Nya serta menjauhi larangan-Nya. Bukan untuk kepentingan Tuhan, tetapi untuk manfaat diri kita sendiri.

Ketiga. Secara tabiatnya, manusia itu mencintai sesuatu yang indah dan cantik. Indah dan cantik itu secara tidak langsung mungkin boleh memberi rasa senang di dalam hati kita. Kita suka melihat wanita yang anggun, rumah yang kemas, bunga yang mekar.

Si ulat buku gemar membaca tulisan penulis kritis sehingga ia berkobar-kobar untuk mengenali siapa empunya diri yang mengarang. Begitu istimewa insan ini. Pastinya ia mempunyai ilmu dan pengalaman yang luas sehingga berjaya menghasilkan karya yang tinggi kualitinya.

Maka, apatah lagi semangat yang perlu ada untuk mengenali Tuhan. Pastinya kan berkobar-kobar apabila disebut nama Tuhan yang begitu agung itu. Hati bergetar dan merintih sayu. Ingin kenal dan mencintai Tuhan yang mencipta segala keindahan dan keistimewaan. Dia punya kelebihan melebihi apa yang dimiliki oleh penulis kegemaran kita. Ilmu-Nya meliputi langit dan bumi. Pengetahuan-Nya tidak terbatas dan pastinya Dia lebih tahu sesuatu yang tidak kita ketahui.

Dia lebih arif apa-apa yang terbaik untuk setiap hambaNya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “ … Boleh jadi kamu membenci sesuatu tetapi ia adalah baik untukmu. Boleh jadi kamu cintakan sesuatu tetapi ia adalah tidak baik untukmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” Tanpa izin- Nya, keindahan yang terpampang megah itu tidak akan hadir dan tidak akan mampu dihayati. Maka benarlah, cinta itu keseluruhnya adalah milik Tuhan.

Justeru, marilah kita koreksi diri. Di manakah cinta kita terhadap Allah? Di manakah kita meletakkan ar-Rahim ini di dalam hati dan jiwa kita? Adakah kita masih alpa dan tidak sedar keutamaan yang patut kita letakkan? Andai kita terlupa, kembalilah kita ke jalan-Nya.

Keluarkanlah apa sahaja kecintaan di dalam hati kita melainkan cinta kepada-Nya, kerana-Nya. Firman Allah, “ Allah sekali-kali tidak menjadikan dua buah hati bagi seseorang di dalam rongga dadanya.” Al-Ahzab : 4.

Di samping itu, bersihkanlah sentiasa hati kita dan selalu memerhatikan ciptaan Tuhan. Seterusnya, letakkan keyakinan bahawa kasih sayang Allah itu Maha Luas dan tidak berbelah bahagi terhadap hamba-NYA. CINTA ALLAH, CINTA YANG HAKIKI, CINTA YANG ABADI…