Obsesi Cinta
Tuesday, September 29, 2009
Cintakan bunga, bunga kan layu. Cintakan manusia, manusia kan mati. Cintakan Allah, itulah cinta yang hakiki, cinta nan abadi selamanya. Mana mungkin ada cinta lain yang mampu melangkaui cinta Ilah terhadap makhluk ciptaan-Nya. Itu pasti! Tidak perlu berdolak-dalik lagi. Hanya cinta Dia yang tidak kan luntur ditelan waktu.
Arisya termenung sendiri. Wajah Sofwan masih setia berlegar-legar dalam kotak fikirannya. Semakin kuat ia cuba menghindari, semakin dekat bayang-bayang lelaki itu hadir, semakin parah hatinya yang sedia terluka. Sudah lebih tiga tahun Arisya begitu, bak matahari tengah gerhana. Entahlah… sukar tuk diungkap, lagi payah untuk diperjelas. Arisya seorang yang mengerti.
Cintanya terhadap Sofwan tidak berbelah-bahagi. Bagi Arisya, Sofwanlah segala-galanya. Dialah jantung, dialah permata dan dialah nyawa. Sesungguhnya, hidupnya dan matinya hanya untuk Sofwan yang dicinta. Ya, Sofwan seorang ia kasih. Tidak sanggup dan tidak mampu membayangkan kehidupan tanpa lelaki itu. Namun, tidak ada siapa yang mampu menolak ketentuan takdir. “Katakanlah; sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam,” (Al-An’am ayat 162).
“Sampai bila?” Tanya Maisarah, teman serumah Arisya. Wajah janda bercerai mati itu diperhati dengan penuh simpati. Maisarah tahu, Arisya terlalu mencintai Sofwan, suami merangkap teman akrabnya sejak di alam persekolahan. Maisarah juga mengerti gelora di hati Arisya. Sofwan bak tali yang menjadi tempat bergantung. Mungkin sahaja Arisya lupa, ada yang lebih hebat daripada lelaki pujaannya itu.
“Sampai bila Eisya nak jadi begini? Abang Wan sudah aman di sana tetapi Eisya menjadi umpama bangkai tak bernyawa. Hidup tiada erti dan sia-sia. Mana perginya Arisya Nabila yang Sarah kenal satu ketika dulu?” Mata Arisya ditenung tajam. Bangkitlah teman, bangkitlah dikau daripada lena yang panjang. Usah musnahkan dirimu dengan kenangan yang tidak bisa berulang kembali. Hiduplah dengan tenang selagi diberi peluang oleh Tuhan untuk menghirup udara-Nya.
Arisya tetap diam. Senyuman Sofwan berlari-lari di hadapannya. Sekejap-sekejap Sofwan merenungnya dengan penuh kasih, sekejap-sekejap lelaki itu mencium pipinya yang gebu. Arisya bahagia. Bahagia dengan cinta seorang lelaki yang bernama suami. Memori silam tiba-tiba menjengah pemikirannya…
“Abang sayang Eisya,” kata Sofwan sambil membelai rambut panjang milik isterinya.
“Eisya pun sayang abang…” diam sejenak.
“Sayang abang sangat-sangat…” diam lagi.
“Lagi banyak daripada sayang abang pada Eisya,” Arisya merenung manja suami kesayangan.
“Banyak mana tu?” Sofwan pura-pura bertanya sedangkan ia tahu, cinta Arisya begitu mendalam buat dirinya.
“Banyak dunia ni. Lagi banyak dari sayang, cinta, kasih abang pada Eisya,” ia memuncungkan bibirnya yang kemerahan. Sofwan tersenyum panjang…
“Eisya…” sayup-sayup kedengaran suara Maisarah memanggil temannya yang sedari tadi mengelamun.
“Setiap yang hidup, pasti kan mati…” ia diam sebentar. Mungkin mahu menyusun kata agar tidak menyinggung hati Arisya yang halus itu.
“Allah sayangkan Abang Wan…” Maisarah diam lagi.
“Dia pinjamkan Abang Wan buat kita seketika. Sebagai Tuan Punya, Dia berhak mengambilnya kembali. Kita tidak punya apa-apa kuasa untuk menghalangnya. Kita hanyalah peminjam dan hidup menumpang di atas muka bumi milik Tuhan,” kali ini, air mata Maisarah jatuh berguguran.
Ia sudah buntu memikirkan cara membawa Arisya kembali ke alam nyata. Arisya kini seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri dan ia lupa bahawasanya setiap tindak-tanduknya sentiasa diperhati tanpa lalai.
Arisya masih lagi diam seribu bahasa. Ia tetap membiarkan temannya itu dengan seribu satu kerisauan. Arisya tahu tetapi ia tidak cukup kuat untuk menerima kenyataan. Insan yang dicintai dan dikasihi hilang sekelip mata. Sofwan pergi tak kembali sebelum sempat ia menikmati kehangatan cinta. Benar kata Maisrah, ‘Allah sayangkan Abang Wan…’
*****
“Prestasi kerja awak amat mendukacitakan. Awak bukanlah Arisya Nabila yang saya kenal dulu. Sejak kematian Sofwan, awak berubah mendadak. Jasad awak di sini tetapi roh awak melayang bersama-sama arwah Sofwan,” kata Aznur, Ketua Bahagian tempat Arisya bekerja.
“Sampai bila awak mahu jadi begini? Sebagai khalifah di atas muka bumi ini, awak harus sedar bahawa awak hidup bukanlah nafsi-nafsi. Awak punya peranan dan awak perlu ingat bahawa awak sebenarnya menggalas amanah penting…” Aznur diam seketika.
“Arisya Nabila… bangkitlah daripada lena. Saya terkilan mengenangkan diri awak. Pekerja contoh tiga tahun berturut-turut sudah hilang jati diri. Kerana apa? Dek cinta yang tidak lama. Awak begitu mengagungkan cinta terhadap insan yang bernama manusia. Saya tahu, awak terlalu mencintai Sofwan dan saya tidak menyalahkan rasa cinta awak…” diam lagi.
“Namun ingatlah! Cinta yang lebih utama itu harus diberikan kepada yang lebih layak,” ia menambah. Suaranya yang tadinya perlahan ditinggikan sedikit. Mungkin Aznur juga seperti Maisarah, kecewa dengan sikap Arisya yang tetap tidak mahu berubah dan terus berada di dalam dunianya. Dunia yang tidak membawanya ke mana-mana. Itu Arisya tahu.
“Awak tahu siapa yang paling layak mendapat cinta awak tu Arisya?” Aznur bertanya lembut. Ia tahu kekerasan bukanlah jalan yang terbaik untuk menyedarkan manusia daripada kesilapan meskipun kadang-kadang ia perlu dipraktikkan. Arisya tunduk membisu. Tidak berani memandang wajah ketuanya yang serius itu.
“Cinta yang paling utama adalah cinta kepada Allah yang satu. Dia telah memberikan segalanya kepada awak. Allah yang sering kali awak dan saya lupa tidak lokek dengan anugerah dan kurnia-Nya. Lihat sahaja udara yang awak hirup, semuanya milik Tuhan. Rupa paras awak yang tidak ada cacat dan celanya… Allah beri kepada awak sedang awak tidak pernah memintanya,” Aznur bersuara tanpa menanti jawapan Arisya. Ia tahu…
“Hanya Dia tempat awak bergantung, kepada Dia awak memohon pertolongan. Tidak ada siapa yang mampu membantu awak tanpa nusrah-Nya dan kasih yang terpateri antara awak dan arwah Sofwan juga adalah dengan izin-Nya. Dia yang kurniakan rasa cinta dan sayang itu tetapi seribu kali sayang…”
“Awak menyalahguna anugerah Tuhan sehingga lupakan Dia yang sama sekali tidak pernah alpa terhadap awak. Sesaat Dia memalingkan diri daripada awak, nah hancur binasalah awak. Awak sedar tak????” Aznur sudah hilang pertimbangan. Ia sendiri tidak pasti sama ada Arisya mendengar bait katanya atau ia sekadar bercakap dengan tunggul kayu mati?
Arisya tetap diam…
*****
‘Kotak apa ni?’ Arisya bertanya sendiri.
‘Sejak bila ada di bawah meja aku?’ Tambahnya lagi. Arisya segera duduk bertinggung lalu menggapai kotak biru yang terletak betul-betul di tepi fail rujukannya. Hmmm…
Eisya sayang,
Apa khabar sayang? Berapa kali dikau ketawa pagi ini? Sudah makan yee mee sizzling? Eh, tudung Eisya sengetlah… (Arisya segera memandang cermin yang berada di atas meja kerjanya. ‘Tak senget pun,’ ia tersenyum sendiri. Ia kenal tulisan tangan itu, tak lain dan tak bukan adalah milik suami kesayangan, Sofwan. Tanpa berlengah, Arisya meneruskan bacaannya).
Pertamanya, izinkan abang meluah rasa cinta buat Eisya. Seandainya, menurut kata Eisya satu ketika dahulu… cinta Eisya buat abang melebihi cinta abang pada Eisya. Dari sisi abang pula, cinta abang buat Eisya lebih 0.1% daripada cinta Eisya yang melebihi cinta abang buat Eisya. Insya-Allah, cinta abang teguh padamu sayang kerana Allah SWT.
Eisya sayang…
Usahlah ditangisi pemergian abang. Allah lebih sayangkan abang dan abang redha untuk meninggalkanmu walaupun Eisya adalah segala-galanya buat abang. Maafkan abang sayang kerana merahsiakannya daripada Eisya. Hmmm… bagaimana untuk abang mulakan?
Setahun setelah kita bernikah, abang disahkan menghidap kanser otak dan sudah berada pada tahap kritikal. Kata doktor, abang hanya boleh hidup selama enam bulan tetapi Allah memberi peluang untuk abang bersama Eisya bertahun-tahun lamanya meskipun rasa begitu cepat masa berlalu. Maafkan abang sayang… abang tidak sanggup melihat wajahmu yang murung dan tiada ceria. Sebab itulah abang merahsiakannya daripada sesiapa termasuk Eisya sendiri.
Jangan menangis sayang… abang tidak kuat untuk melihat air matamu… (Air mata Arisya meluncur laju dari kelopak mata sehingga basah kertas pink yang dipegangnya. Entah bila Sofwan menulis warkah itu, Arisya sendiri tidak tahu).
Eisya sayang…
Bagaimana Aznur melayan Eisya? Ada baik? Aznur dan abang menjadi teman baik sejak di alam kampus dan kami memiliki banyak persamaan, kami suka memancing dan menjadi penyokong setia pasukan Brazil @ Ronaldo. Sudah beristerikah dia atau masih kekal solo?
Abang kira, kami hanya menyukai pasukan bola sepak serta memiliki hobi yang sama tetapi rupanya kuasa Tuhan mengkehendaki lebih daripada itu. Tanpa kami duga, abang dan Aznur sebenarnya turut menyukai wanita yang sama. Arisya Nabila namanya. Entah kenapa kami diuji begini tetapi menurut kata Aznur, Allah tidak akan lakukan sesuatu sia-sia lantas ia bertindak mengundur diri meski abang tahu ia cukup terluka.
Seminggu sebelum abang melamar Eisya, Aznur membawa abang berkunjung ke kedai emas di Masjid Jamek. Katanya, ingin memilih cincin buat insan yang dicintainya dalam diam. Aznur merancang untuk melamar Eisya sebelum Eisya outstation ke Labuan.
Setelah kita bertunang, Aznur diam seribu bahasa. Tiada lagi seloroh tentang gadis misteri yang menjadi dambaannya. Hal ini membuatkan abang gusar. Apa yang berlaku? Meskipun Aznur berlagak biasa, sebagai teman akrab abang menyedari perubahannya sehinggalah satu hari abang terpandang satu nota yang ditulisnya… ‘ Arisya Nabila diciptakan Tuhan buat insan lain dan aku perlu redha dengan ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Dia Maha Tahu atas sesuatu.’
Justeru, tiadanya abang di sisi, Eisya isilah hatinya dengan cintamu sayang. Abang tahu dan abang pasti abang tidak akan kembali bersama Eisya namun abang mahu Eisya terus ceria dan gembira. Di dalam kotak biru ini, ada sebuah kotak berwarna pink. Di dalamnya, terdapat sebentuk cincin dan nota yang ditulis Aznur satu ketika dahulu. Dengan rendah hati, abang mohon Eisya mengembalikan kotak tersebut kepada Aznur dan serahkan juga jiwamu kepadanya. Abang tahu, sukar bagi Eisya tetapi percayalah… abang akan lebih tenang jika Eisya sudah ada pengganti yang mampu menjaga dan melindungimu.
Akhir kata, sampaikan salam abang buat Aznur dan ketahuilah sayang bahawa cinta kita ditakdirkan Tuhan untuk bersemi di atas dunia. Bilamana nyawa dicabut, kenangan itu tetap segar namun cinta baru harus dicari. Kembalikan senyuman yang telah lama hilang dan jadilah Arisya Nabila yang abang kenal dahulu.
Salam sayang,
Sofwan Abdul Halim (cinta infiniti)…
Arisya teresak-esak di tempat duduknya. Semakin lama, esakan itu semakin jelas kedengaran. ‘Hanya abang yang Eisya cinta. Tidak mungkin ada insan lain yang mampu mengganti tempat abang SELAMANYA…’
Petang itu, Aznur menerima sepucuk surat daripada Arisya Nabila. Kaget tetapi ia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Surat peletakan jawatan Arisya Aznur diterima dengan hati yang berbelah bahagi. Benar! Hanya cinta Allah yang tidak pernah menghampakan tetapi naluri lelakinya tetap tidak dapat menafikan cintanya terhadap seorang wanita, dan wanita itu bernama Arisya Nabila. Aznur merenung jauh ke luar jendela.
Tanpa sedar, air mata lelakinya mengalir lesu….
Secara peribadi, ada yang perlu ditambah. Insya-Allah, untuk masa akan datang, Muthiah akan cuba tingkatkan....