Memupuk cinta (ii)
Saturday, September 12, 2009
Sambungan lepas… selamat membaca…
5. Bermunajat kepada Allah
Di antara tanda cinta kepada Allah ialah dengan BERMUNAJAT dan BERUZLAH dengan Allah. Maka, untuk menuju kepada cinta Allah… perlu sanggup meluangkan masa ‘bermesra’ dengan-Nya.
Tatkala insan lain sedang lena diulit mimpi, kita sanggup bangun di tengah malam (QIAMMULLAI)… untuk apa???? Benar!!! Untuk berhubung dengan Dia yang Maha Segalanya.
Lazimkan diri membaca al-Quran, bertahajud serta menggunakan kesempatan malam untuk mengabdikan diri kepada Allah.
Kita minta kepada-Nya.
Kita merayu dan merintih di hadapan-Nya.
Kita bermohon kepada-Nya agar dikurniakan rasa cinta itu.
Segalanya demi Kekasih tercinta. Kita tidak berasa jemu dan bosan.
Muthhraf bin Abu Bakar berkata, “ Orang yang mencintai Allah tidak pernah bosan berbicara dengan Kekasihnya.”
Yakinlah… Bilamana kita meminta kepada Pemakbul doa, pasti Dia tidak akan menghampakan kita. Yang penting, kita perlu terus berusaha ke arah mencapai impian itu. Firman Allah, " Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah Allah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." Ar-Ra’du ayat 28.
6- Tidak berduka apabila kehilangan sesuatu
Orang yang meletakkan kecintaannya terhadap Allah seharusnya TIDAK TERLALU BERDUKA apabila kehilangan sesuatu selain daripada Allah. Ia tahu segala apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ia tahu bahawa apa-apa yang dimiliki adalah milik mutlak Dia yang memberi.
Ia sedar bahawa miliknya kini sebenarnya adalah PINJAMAN daripada Allah dan Dia berhak untuk mengambilnya bila-bila masa mengikut kehendak dan kemahuan-Nya. Pastinya, segala ketentuan Allah itu adalah untuk kemanfaatan hamba-Nya jua dan Dia lebih tahu apa-apa yang lebih baik untuk makhlukan ciptaan-Nya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu tetapi ia adalah baik untukmu. Boleh jadi kamu cintakan sesuatu tetapi ia adalah tidak baik untukmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
Lantas, ia kembali berzikir tatkala dilanda kesedihan. Ia BERMOHON agar diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan yang datang. Ia berusaha MENGEMBALIKAN dirinya kepada Allah ketika mengalami kelalaian dengan cara BERTAUBAT dan KOREKSI diri.
7- Perasaan nikmat menjalani ketaatan
Orang yang ingin merasai rasa cinta terhadap Allah perlu sentiasa IKHLAS dalam pengibadatan kepada-Nya. Ia TIDAK BERASA BERAT untuk melaksanakan ketaatan dan menjauhi larangan-Nya. Dengan kata lain, ia berusaha untuk membuang rasa berat dalam dirinya.
Dia gembira tatkala bertemu dengan Tuhannya (sewaktu beribadah kepada-Nya). Dia berasa puas dan bahagia kerana dia tahu Zat yang Maha Agung itu sentiasa memerhatikan setiap tindak-tanduknya.
Ahli ulama sufi ada menyebut, “Beramal atas dasar kecintaan tidak akan meletihkan badan.” Nah… sudah jelas, bukan? Ia pasti (insya-Allah) berasa nikmat melakukan pengabdian dengan hati, walaupun pekerjaan itu terasa berat untuk dipikul. Bilamana badannya berasa lemah, perkara-perkara yang disukai akan MENGEMBALIKAN KEMAMPUAN dan MEMISAHKAN KELEMAHAN sehingga dirinya mencurahkan perhatian pada-Nya.
8- Menjalin kasih sayang sesama makhluk
Kata pepatah ada menyebut, "Cintailah saudaramu. Yakinlah bahawa akan ada orang yang akan mencintaimu. Andai tidak ada seorang pun manusia yang mencintaimu, yakinlah bahawa Allah akan mencintaimu."
Nabi SAW telah diutuskan kepada umat manusia untuk mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya Ilahi. Dahulu, manusia itu hidup berpecah-belah dan berpuak-puak. Setelah Islam hadir, mereka kembali berkasih sayang. Ya, mereka berkasih sayang kerana Allah SWT.
Berkata Jaafar bin Abi Talib kepada Najasyi (sewaktu hijrah ke Habsyah), “ Dahulu kami menyembah berhala, kami makan binatang yang tidak disembelih, kami melakukan maksiat, kami bergaduh sesama sendiri dan kami memutuskan persaudaraan serta menyakiti orang lain. Selepas itu, datang kepada kami seorang lelaki daripada kaum kami, orang yang paling mulia di kalangan kami dengan agama daripada Allah Tuhan sekalian alam. Dia mengajak kami menyembah Tuhan yang Esa dan mengajak kami meninggalkan berhala-berhala batu yang tidak dapat memberi manfaat dan mudarat itu. Dia mengajak kami supaya bersaudara dan berakhlak mulia. Dia mengajak kami meninggalkan maksiat dan dosa.”
Ya… untuk menggapai cinta Ilahi… kita perlu menuruti segala apa yang dikehendaki-Nya. Dengan lain perkataan… bentuklah keamanan di atas muka bumi ini (peranan khalifah di atas muka bumi ; mengabdikan diri kepada-Nya, mengajak manusia kepada Allah, memakmurkan alam). Firman Allah, " Mereka keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang terhadap sesama mereka."
9- Takut berpaling daripada Allah
Orang yang mahu mengekalkan rasa cintanya terhadap Allah perlu merasa TAKUT!!!
Khuatir andai dirinya tersasar daripada Allah.
Ia takut… takut sekiranya rasa cinta itu lemah akibat kefuturan/ kekufuran dalam diri.
Ia takut… akan terdorong dan terjerumus kepada maksiat.
Kemaksiatan yang boleh menyungkurkannya dari jalan Allah sekaligus menjauhkannya daripada Pencipta. Maksiat yang dianggap kecil itu kelak kan memusnahkan dan menghancurkan dirinya sendiri.
Justeru, apabila ia takut… ia kan sentiasa , MENGINGATKAN dirinya agar tidak terlupa. Ia akan sentiasa KOREKSI diri agar tidak jatuh terduduk dan tidak mampu bangun kembali. Ia sentiasa berusaha untuk MENINGKATKAN dirinya dalam menuntut ilmu Allah di samping bersungguh-sungguh mencari KEBENARAN yang hakiki. Pastinya, kebenaran itu hanya milik Allah yang telah menjadikan.
Cinta yang agung adalah cinta Ilahi. Bukan mudah untuk menggapai cinta itu.
Perlu BERSUNGGUH-SUNGGUH … sedaya yang mampu.
Perlu MENANGIS dahulu sebelum memperolehinya.
Perlu MENGIKHLASKAN hati dan diri.
Perlu meletakkan PENGHARAPAN yang tinggi terhadap Tuhan.
Dia yang memberi rasa cinta. Dia juga yang memberikan cinta. Maka, teruslah berusaha ke arah menggapai cinta yang SATU.
Rujukan : Cinta dan Rindu Kepada Allah,- Imam Nawawi, Biografi Muhammad b. Abdullah - Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohd Yusoff