Pengertian Dua Kalimah Syahadah


Kalimah syahadah… kalimah yang kita ungkap sehari-hari. Tika azan bergema, kita dengari kalimah tauhid diungkapkan. Kita juga menyebutnya di dalam solat kita.

Umumnya, kita menghafal kalimah syahadah dan menyebutnya dengan lancar tetapi sejauh mana kita mendalami serta mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari?

Jika dilihat di sekeliling kita, cara hidup Islam sudah jauh daripada pegangan masyarakat masa kini. Pemakaian yang tidak mengikut syariat, pergaulan bebas, filem-filem yang merosakkan akidah serta banyak lagi. Meskipun mereka yang terlibat mengakui bahawa “Tiada Tuhan yang diabdikan diri melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”, mereka masih tersasar jauh dari landasan hidup yang telah ditetapkan Allah, Rabbul Izzati.

Kalimah syahadah merupakan TIANG AGAMA dan landasan penting bagi RUKUN ISLAM. Tanpanya, akan runtuh rukun Islam yang lain di samping runtuhnya rukun-rukun iman. Dengan tertegaknya syahadah, maka kan TEGAKLAH IBADAH dalam hidup seorang Muslim.

Nabi SAW pernah mengisyaratkan, Islam bagaikan sebuah bangunan. Bangunan Islam harus disokong dengan lima tiang pokok yakni kalimah syahadah, solat, puasa dan haji ke Baitul Allah al-Haram.

Apabila turun perintah Allah untuk berdakwah, “Nyatakan dengan apa yang telah kamu diperintahkan,” al-Haj ayat 94…

Nabi SAW telah memanjat bukit Qubais. Muhammad berkata, “Wahai Quraisy, kalau aku katakan di belakang bukit ini ada tentera yang ingin menyerangmu, adakah kamu akan mempercayaiku?”

Mereka berkata, “Kami percaya kerana tidak pernah kami ketahui engkau berkata sesuatu yang tidak benar.”

Lantas Muhammad pun berkata, “Sesunggunya aku adalah orang yang memberi peringatan kepada kamu daripada azab Allah yang maha pedih.”

Abu Lahab lalu membalas, “Celaka kamu wahai Muhammad. Adakah kerana ini engkau kumpulkan kami. Kerana itu kami meninggalkan kerja-kerja kami?”

Penolakan Abu Lahab bahkan Abu Jahal terhadap seruan tauhid bukanlah kerana tidak memahami kalimah itu tetapi sebaliknya. Mereka tidak mahu menerima sikap yang mesti TAAT, TUNDUK dan PATUH kepada Allah. Dengan kata lain, setiap individu yang bersyahadah, pasti kan menjadi KHALIFAH di atas muka bumi ini.

Maka, syahadah mesti difahami dengan jelas kerana di dalamnya terdapat makna yang sangat tinggi. Dengan syahadah, kehidupan akan TERJAMIN di dunia, mahupun akhirat. Ingatlah! Syahadah adalah KUNCI HIDUP dan TIANG AGAMA. Justeru, marilah bersama kita menghayatinya.
Labels: | edit post
0 Responses