Layakkah aku???


Assalammualaikum. Apa khabar? Hmmm… Muthiah sedang ketandusan idea sebenarnya. Akan tetapi, Muthiah cuba juga untuk berkongsi dengan rakan-rakan semua. Ada isu berbangkit yang boleh kita bincangkan?

Seorang teman Muthiah ada berkata, ‘Satu ketika dahulu, aku banyak buat dosa… Bolehkah aku hendak ajak orang lain buat baik? Sedang... aku sendiri tidak cukup baik!’

Hmmm…

Firman ALLAH dalam surah ali-Imran ayat 104 yang bermaksud, ‘Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar dan merekalah orang yang beruntung.’

Justeru, usahlah berasa ragu-ragu atau gusar untuk mengajak orang lain kepada kebaikan. Dengan lain perkataan, mengajak mereka kepada ALLAH. Kerana… kita semua adalah pendakwah. Kita adalah khalifah di atas muka bumi ini yang berperanan untuk mengabdikan diri kepada ALLAH, mengajak manusia untuk kembali kepada ALLAH dan memakmurkan alam. Ingatlah… ‘Barangsiapa yang mengungkapkan ‘Tiada TUHAN yang diabdikan diri melainkan ALLAH,’ dia adalah pendakwah.’ Lantas… apa lagi yang meragukan kita?

Tidak ada siapa pun manusia di atas muka bumi ini yang sempurna. Hanya Nabi yang maksum. Apa yang penting, kita belajar dan hendak belajar daripada kesilapan dan kealpaan. Rendahkan diri untuk belajar dan diajar. Banyakkan juga berdoa kepada ALLAH agar dipelihara diri kita daripada sesuatu yang melalaikan. Insya-ALLAH, DIA pasti akan memberi dan menunjukkan jalan yang terbaik buat diri kita.

Jadi, bagaimana?

:) Sampaikanlah walau seayat.

~ Mengajak orang untuk tidak mengumpat adalah satu dakwah.
~ Mengajak orang untuk menjaga kebersihan juga adalah satu dakwah.

Usah kita kecilkan skop dakwah itu sendiri. Kita semua bisa menjadi seorang pendakwah walaupun kita bukanlah ustaz dan ustazah. Berakhlaklah dengan akhlak mulia dan terpuji. Itu juga satu dakwah yang membuatkan orang jatuh cinta dengan akhlak kita. Orang akan kata, Polan bin Polan, cantik pekertinya. Apakah agamanya? ISLAM. Secara tidak langsung, kita membawa imej yang baik untuk agama ISLAM itu sendiri.

Hmmm… apa lagi, ya? Tidak salah untuk pernah berbuat silap. Kita hanyalah insan biasa. Namun, menjadi satu kesalahan andai kita yang sudah tersedar tetap mahu melakukan kesilapan itu. Kita membiarkan sahaja sentakan hati yang tidak sukakan kemaksiatan. Kita mahu bergembira sehingga melupakan TUHAN. Muthiah pernah terbaca, kekasih ALLAH ialah seseorang yang sentiasa merendahkan dirinya di hadapan ALLAH bertaubat atas kesalahan yang telah dilakukannya.

Teman… jom dakwah. Jom ajak kawan-kawan yang lain kepada kebaikan. Kita tidak rugi apa-apa sebenarnya. Hidayah itu datang daripada ALLAH. Adalah menjadi satu kerugian andai kita membiarkan sahaja diri kita hidup di atas muka bumi ini tanpa memberi apa-apa kemanfaatan kepada orang lain… Juga, tanpa memberi sumbangan kepada ISLAM.

** Muthiah sekarang berada di Pesta Buku Selangor PKNS untuk mempromosi buku MENCARI NAURAH. Jom ;) **

Muthiah : Banyak berbuat salah tetapi mahu belajar… Tetap mahu menyampaikan..
Labels: | edit post
0 Responses