Awas! Jagalah niatmu... (i)


Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan :

1) Senyuman ~ Senyum itu sedekah. Bisa menceriakan hati yang sedang gundah. Adakah mungkin?

2) Memaafi orang lain ~ Berlapang dada itu sukar tetapi apabila kita mampu melakukannya, insya-ALLAH, kita akan lebih tenteram. Tidak ada berasa sakit hati atau membenci.

3) Mengingati ALLAH ~ Ini pasti! Tanpa ALLAH, siapalah diri kita. Kita hanyalah insan lemah yang terlalu banyak khilafnya.

4) Positif ~ Hehe… positif dalam meneruskan kehidupan untuk mencapai jaya, insya-ALLAH.

Hmmm… baru-baru ini, seorang teman, menghantar mesej di Inbox facebook Muthiah. Dia meminta Muthiah menulis sesuatu. Tentang apa? Hmmm... satu teguran buat adik-adik, yang pada kaca matanya berbicara soal Islam tetapi tingkah laku yang ditonjolkan tidak mempamerkan apa yang diperkatakan. Selain itu, sahabat Muthiah ini juga mahu Muthiah menyentuh soal keikhlasan. Huhu...berat sungguh permintaan. Muthiah juga masih dan sedang belajar sebenarnya.

Dari satu sisi, Muthiah faham apa yang cuba disampaikannya. Namun, Muthiah tidak tahu… sejauh mana. Dengan kata lain, sejauh manakah adik-adik ini terpesong daripada landasannya? Adakah terlalu jauh? Lantas, Muthiah pun menambah beberapa rakan baru dari senarai kawan di facebook.

1) Soal ikhlas

Ikhlas ini adalah satu perkara yang subjektif. Sebagai manusia, kita tidak dapat membuat penilaian atau tanggapan; sama ada mereka itu ikhlas ataupun sebaliknya. Kadang-kadang, kita melihat seseorang itu seperti mahu menonjolkan diri (show off) namun mungkin dari dalam hatinya, dia bukanlah berhajat begitu. Boleh jadi sikap semulajadinya. ALLAH adalah sebaik-baik penghitung dan peneliti. Dalam hal ini, apa yang perlu kita lakukan ialah :

a) Bersangka baik. Moga-moga, apa yang dilakukan mereka itu dibuat kerana ALLAH.

b) Andai pasti niat itu sudah tersasar; Istighfarlah. Mohon agar ALLAH jauhkan perkara itu dalam diri kita. Sekiranya kita mampu untuk menyedarkan, tegurlah dengan hikmah. Boleh jadi mereka terlupa. Mereka terlalu seronok dalam menyampaikan. Tidak salah berasa seronok dalam mengajak kepada kebaikan namun mungkin (huhu…segalanya mungkin dan mungkin ini juga adalah satu tanggapan), dalam keseronokan itu membuatkan mereka alpa. Terlalai dalam memelihara niat yang sebenar. Niat itu mungkin sedikit tersasar! Sambutan yang diterima sungguh menggalakkan sehingga dia merasakan dirinya hebat sedang hakikatnya, semua yang ada adalah daripada dan milik ALLAH. Inilah pentingnya sahabat untuk saling MENGINGATKAN.

c) Banyakkan berdoa kepada ALLAH untuk mereka dan diri kita juga. Sesungguhnya, tidak ada seorang pun manusia di atas muka bumi ini yang sempurna. Kadang-kadang, terlupa. Atau… lupa diri. Mereka mungkin berasa hebat apabila diangkat oleh masyarakat yang kagum terhadap diri mereka. Tanpa sedar, sifat riak dan ujub hadir tanpa dia sedari.

-bersambung-
Labels: | edit post
0 Responses