Bekal ... (ii)
Wednesday, June 30, 2010
Assalammualaikum, semua? Muthiah??? Hehe… Alhamdulillah… Sudah beres urusan yang dirancang. Sekarang, sedang giat menyiapkan bahan untuk blog pula. Harap-harap, akan tetap ada sesuatu yang boleh dikongsi dan disampaikan kepada semua. Muthiah selalu ingatkan diri. Walaupun sibuk, perlu cuba mencari ruang untuk menyampaikan kebaikan. Maklumlah…hidup ini tidak lama. Doakan Muthiah istiqomah. Bak kata Muthiah kepada RAM sewaktu rancangan Resensi baru-baru ini, “Sampaikanlah walau seayat.”
Sambungan isu lepas ~ Bekal…
Bekal yang pertama ialah IMAN ;)
Apa yang kita faham tentang iman?
Dari segi bahasa, iman bermakna PERCAYA. Menurut Kamus Dewan edisi keempat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, percaya membawa maksud ;
a) Mengakui (menerima, yakin) akan benarnya sesuatu.
b) Yakin atau berasa pasti dan lain-lain.
Bercakap tentang percaya pula, rukun IMAN itu sendiri sebenarnya merangkumi aspek percaya yakni ;
a) PERCAYA kepada ALLAH ~ Kita percaya pada ALLAH. Percaya kepada KEESAAN-NYA. Maka, kita tidak akan berasa ragu-ragu untuk menuruti segala suruhan-NYA, meningalkan larangan-NYA. Kita tahu, DIA hanya mahu yang terbaik buat hamba-hamba-NYA. ALLAH sentiasa dekat, Maha Mendengar dan Maha Segalanya. ALLAH sebagai RAB. ALLAH jua sebagai ILAH…
b) PERCAYA kepada malaikat ~ Kita tahu… malaikat itu telah dijadikan ALLAH daripada cahaya. Dan pasti!!! Ia hanya tahu melakukan pengabdian kepada TUHAN-nya. Ada malaikat yang berperanan mencatat segala kebaikan dan kejahatan kita. Ada juga malaikat yang bakal meniup sangkakala. Lantas, kita akan lebih dan sentiasa berwaspada. Kita berjalan di atas muka bumi ini dengan penuh berhati-hati. Takut terpijak duri.
c) PERCAYA kepada nabi dan rasul ~ Kita bukan setakat percaya dan mengakuinya tetapi kita mengamalkan apa jua yang telah diajarkan kepada kita. Kita jadikan rasul sebagai ikutan dan ISLAM sebagai cara hidup.
d) PERCAYA kepada kitab ~ Di dalam kitab ALLAH, terkandung segala suruhan dan larangan-NYA. Justeru, untuk selamat di dunia dan akhirat, patuhilah segala yang telah ditetapkan oleh-NYA. Sesunggunya, ALLAH Maha Tahu dan manusia itu terbatas pemikirannya.
e) PERCAYA kepada hari kiamat ~ Satu hari nanti, bumi akan musnah dan dileburkan. Kemudian, kita akan dibangkitkan semula oleh ALLAH. Saat itu, bergetarlah tubuh kita. Khuatir andai syurga bukanlah tempat akhir kita. Bersediakah kita?
e) PERCAYA kepada qadak dan qadar ~ Sesungguhnya, setiap apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH sejak azali. Maka, redhalah dengan segala yang telah ditetapkan oleh-NYA. Kembalilah kepada DIA yang Maha Tahu segalanya.
Hehe… panjang pula artikel ini. Sedikit sahaja lagi, ya ;) Dari segi syarak, IMAN membawa maksud ;
a) Mengaku dengan lidah.
b) Membenarkan dalam hati.
c) Mengamalkan dengan anggota badan.
Ayuh…. Kembalilah kepada ALLAH dan ISLAM. Hayatilah ajaran-NYA dengan ikhlas dan sabar. Insya-ALLAH, kebahagiaan akan menjadi milik kita. Bukan sahaja di dunia bahkan akhirat jua ..
Muthiah : Iman oh iman yang sentiasa turun naik.