Kahwin punya pasal


Assalammualaikum. Bagaimana dengan kehidupan kita hari ini? Semakin baik? Atau… semakin parah? Berserabut! Stres! Kecewa! Benci! Marah! Apapun, pilihlah sesuatu yang bisa menyenangkan hati. Sesuatu yang boleh membuatkan kita tersenyum. Kalau tidak ketemu, carilah ALLAH. DIA pasti akan menunjuk jalan buat diri kita.

Hari ini, Muthiah ingin berbicara lagi tentang ‘Sudin dan Eton’. Mengumpatkah? Insya-ALLAH, tidak. Muthiah tidak bercakap tentang personaliti dan peribadi tetapi perihal watak yang dilakonkan mereka…

Sudin mahu bernikah dengan Eton. Emak Eton meletakkan mas kahwin RM1,000 serba satu. Emak Sudin pula terus menyetujuinya tanpa banyak soal. Masalahnya, duit tidak cukup. Emak Sudin mahu meminjam dengan anak-anaknya. Hendak membuat majlis secara besar-besaran. Ramlee dan Ajis tidak bersetuju. Kata Sudin pula, kahwin hanya sekali…

Tiba-tiba, kedengaran suara laki bini sebelah rumah sedang bertelagah. Si isteri menjerit minta diceraikan. Maklumlah, jiran sebelah pakai emas penuh satu badan. Dirinya pula tidak pernah mendapat apa-apa. Dari sisi sang suami, dia menyalahkan ibu bapa si isteri yang meminta hantaran yang tinggi sewaktu perkahwinan mereka satu ketika dahulu. Sudah ada tiga anak, hutang ceti masih belum habis dilunaskan.

Apakah pengajaran yang boleh diambil?

Hmmm…. Renung-renungkanlah…

1) Kerana apa kita bernikah? ~ Kerana ALLAH.
2) Untuk apa kita bernikah? ~ Memelihara diri.
3) Bersediakah untuk bernikah? ~ Buatlah majlis mengikut kemampuan.
4) Sejauh mana kita dapat memelihara hati daripada perasaan ~ riak, bangga…?

Entahlah… Sekadar perkongsian pengalaman. Apa yang Muthiah lihat… ada SEGELINTIR ibu bapa (bermakna bukan semua), suka benar membuat perbandingan jumlah hantaran yang diterima anaknya dengan anak orang lain. Kalau anak si Polan lepasan SPM hantarannya RM7,000. Dia mahu anaknya yang lepasan Sarjana Muda lebih daripada RM10,000. Kalau si anak gadis sudah berkerjaya hebat, paling tidak atas RM15,000. Ini REALITI… perkara yang berlaku di hadapan mata Muthiah sendiri.

Boleh jadi salah dan boleh jadi tidak salah.


Salahkah si ibu/ ayah? Dia hanya mahu yang terbaik buat anaknya. Itu pasti!!! Jawabnya seperti di atas. Boleh jadi salah dan boleh jadi tidak salah. Juga… tidak boleh menyalahkannya 100%. Mungkin dia tidak tahu dan tidak sedar. Nama lagi manusia yang lemah.

Kebiasaannya sudah begini. Persekitaran membuatkan dia bertindak begitu. Untuk lari daripada kebiasaan, tidak berani. Mereka tidak bersedia untuk berhadapan dengan cakap-cakap orang. Iyalah… kalau anak lepasan Sarjana, hantaran pula takat RM1,000… Hmmm… mungkin akan timbul cakap-cakap, “Sudah ditebuk tupai agaknya. Sebab itu ‘murah’…” (Macam ingin membuat urusniaga pula. )Huhu… sememangnya, kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang.

Kalau kahwin dengan Dato’ (yang sebenar-benar dato’), mungkin tidak sukar untuk mendapatkan tunai RM30,000 hingga RM50,000 (atau lebih daripada itu) dalam sekelip mata. Bagaimana halnya dengan si anak yang mahu bernikah dengan si teruna yang baru dapat kerja? Baru hendak membina kerjaya? Dapatkah dia mencari belanja paling kurang RM50,000 dalam masa yang singkat? Keluarga si lelaki pula bukanlah terdiri daripada golongan berada.

Jadi, hendak tidak hendak… terpaksalah meminjam.

Contohnya:

Hantaran – RM20,000.
Majlis – RM50,000.
Barang-barang hantaran - RM10,000.


Tolak tambah jadi RM100,000. Kerana cinta… TERPAKSALAH…

Si ibu/ ayah tadi.. berbangga sungguh. Senang hati dan jiwa. Masa hadapan si anak, terjamin. Kahwin pula dengan orang kaya. Hantarannya tinggi. Keretanya besar. Rumah pun besar. Orang kampung asyik berkata-kata. Mata mereka terbuka luas. Mulut pula melopong. Mujur tidak masuk lalat. “Eh, Limah. Beruntung kau dapat menantu orang kaya…”

Si ibu/ ayah mungkin terlupa… akan beban yang bakal ditanggung menantunya. Dan… secara tidak langsung, membebankan anaknya sendiri. Nanti, macam cerita Bujang Lapok di atas… anak sudah tiga…hutang ceti pun belum habis bayar.

Justeru… fikir-fikirkan, wahai ibu ibu bapak bapak.. bakal-bakal ibu yang kelak akan turut sama menerima menantu. Sayang anak, permudahkanlah urusan mereka. Kalau banyak dolak-daliknya, khuatir menjerumuskan si anak ke lembah hina. Hendak kahwin, duit tidak cukup. Hendak berhutang, pinjaman ditolak. Pinjam ah long? Boleh!!! KERANA CINTA. Kemudian, sama-sama menderita. Bukankah hendak sehidup semati? Hati bergelora kencang ingin bersama. Akhirnya, berlakulah sesuatu yang tidak diingini. Nauzubillah…

Bagi pasangan yang ingin berumah tangga… Usahlah berputus asa. Banyakkanlah berdoa kepada ILAHI agar dipermudahkan urusan kita. Dan… jangan lupa berusaha. Berusaha menyediakan diri ke arahnya. Juga, berusaha memujuk si ibu ayah dalam meneruskan langkah yang seterusnya.

Ya, ALLAH… Peliharalah kami daripada sesuatu yang bisa mengundang kemurkaan-MU.
Ya, ALLAH… Permudahkanlah urusan perkahwinan kami.
Ya, ALLAH… Berilah kekuatan kepada kami untuk memelihara hati kami.
Ya, ALLAH… Lembutkanlah hati ibu dan bapa kami untuk…


Muthiah : Anak-anak TGNA, hantarannya maksimum RM1,000. Kita?? Hehe…
Labels: | edit post
0 Responses