Adakah kita peka?


Assalammualaikum. Apa khabar? Hehe… bagaimana dengan hati kita? Sudah diisi dengan perkara yang sepatutnya? Moga-moga, kita akan terus dilindungi dan diberkati ALLAH SWT. Tanpa DIA, siapalah kita. Hendak membuka mata pun tidak mampu. Apatah lagi berkata-kata.

Pernah tengok cerita Jackie Chan? Suami Muthiah cakap, ada tiga pengajaran yang boleh diambil tetapi hanya satu yang Muthiah betul-betul faham dan boleh berkongsi dengan rakan-rakan semua. Dua lagi, boleh tanya suami. Hehe…

Begini…

Seorang lelaki dan anaknya sedang kelaparan. Hendak membeli makanan, mereka tidak mampu. Tidak punya wang. Dek kasihan melihat si anak yang lapar, si lelaki bertindak mencuri di sebuah kedai. Kemudian, dia telah dikejar oleh anggota polis (termasuk Jackie Chan). Dalam adegan kejar mengejar itu, akhirnya si lelaki tersungkur. Mati dilanggar (atau ditembak? Muthiah tidak pasti). Ada di kalangan anggota polis menyepak si pencuri yang sudah mati tadi. Berkata Jackie Chan, “Jangan buat begitu. Walaupun dia pencuri, dia juga mempunyai maruah.”

*** Ke manakah perginya jiran-jiran lelaki yang telah mencuri tadi?***

Boleh jadi si lelaki tadi suka hidup terasing. Tidak bergaul dengan siapa-siapa. Maka, tidak ada siapa yang tahu kesusahan yang dialaminya.

Boleh jadi si lelaki tadi terlalu jahat sehingga tidak ada siapa yang mahu ambil peduli tentang diri dan keluarganya. Maka, apabila dia ditimpa kesusahan, orang pun buat-buat tidak tahu.

Boleh jadi juga… cara hidup masa kini yang bersifat sendiri-sendiri. Macam di sesetengah tempat (di kawasan bandar khususnya). Rumah terkatup rapat. Maklumlah, perompak, pembunuh, penipu… kita tidak kenal. Jadi, perlu berwaspada sentiasa. Akibatnya, jiran sendiri pun tidak kenal.

Boleh jadi… si jiran lelaki tadi pun hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apa yang ada cukup-cukup buat dirinya sendiri. Hendak membantu tetapi tidak mampu. Jadi, boleh tengok dan simpati sahaja.


*****

Berbalik kepada entri hari ini, apa yang ingin Muthiah sampaikan di sini ialah perihal PEKA dan PRIHATIN. Cerita di atas hanya intro sahaja. Hehehe… Adakah kita peka dan prihatin terhadap mereka yang berada di sekeliling kita? Rasulullah SAW bersabda,“Seseorang di antara kalian (tidak dikatakan) beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri,” H.R. Bukhari dan Muslim.

Jadi, fikir-fikirkan… Adakah kita mencintai saudara kita sebagaimana kita mencintai diri kita sendiri? Kita lapar… kita berusaha untuk mengisi perut kita. Andai ada tetangga kita yang kelaparan, bagaimana???

Soalan yang seterusnya, adakah boleh dikatakan beriman kalau kita hanya mahu hidup sendiri-sendiri tanpa memikirkan orang lain?

Jom ubah. Mungkin kita terlupa sebelum ini. Nama lagi manusia yang sering lupa lagi lengah. Jadi, bermulalah dari sekarang. Marilah kita berusaha menjadi seorang insan yang peka dan prihatin. Kalau tidak mampu buat banyak, usah sekali-kali meninggalkan kesemuanya. Buatlah apa yang kita mampu. Cubalah untuk menjadi hamba ALLAH yang terbaik di sisi-NYA. Insya-ALLAH, ALLAH Maha Dekat dengan diri kita. DIA sentiasa ada untuk membantu dan menunjuk jalan buat diri kita ;)

Muthiah : Kadang-kadang… acap kali, tidak peka dan tidak prihatin. Ampunilah aku ya, ALLAH.
Labels: | edit post
0 Responses