Aku rasa weng... bengong!!!
Thursday, June 10, 2010
Assalammualaikum. Apa khabar, semua?
Moga-moga, kita semua kan terus tabah menghadapi ujian yang datang. Ujian adalah tanda KASIH dan CINTA ALLAH buat hamba-hamba pilihan-NYA. Muthiah ulang… PILIHAN-NYA ;) Bukan mudah untuk menjadi insan ‘terpilih’ itu. Ada manusia, hidupnya sentiasa berada di dalam kelalaian dan kealpaan tanpa ada sesuatu yang menyedarkannya… yang mengingatkannya untuk kembali kepada PENCIPTA. Sedar-sedar, dia sudah tidak ada lagi di atas muka bumi ini. Penyesalannya tidak lagi berguna. ‘Ya, ALLAH. Lindungi kami daripada kelupaan itu.’
Seorang teman menghubungi Muthiah. Katanya, dia sedang berada dilanda kesedihan. Terasa diri diperkotak-katikkan. Apabila diperlukan, dia dicari-cari. Apabila tidak, dia dibiarkan seorang diri. Terkapai-kapai sendiri. Maruah tercalar. Sakit hati berbaldi-baldi. Hmmm… sabarlah. Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Ada perencanaan TUHAN yang tidak dapat difikir oleh akal yang terbatas. Jadi, kembalilah kepada DIA yang mencipta dan menjadikan.
Marah? Benci? Kecewa? Perasaan yang tidak dapat dielakkan. Macam Muthiah… hehe…berasa kecewa dengan perkhidmatan CELCOM yang semacam ada ‘sesuatu’. Pernah juga berasa marah, benci dan sedih dengan sesuatu yang Muthiah kira berat untuk dipikul. Hahaha (sesi meluah perasaan pula). Sebagai manusia kita tidak dapat lari daripada berperasaan begitu. Lebih-lebih lagi, apabila merasakan diri dianiaya… dizalimi…
Jadi, bagaimana? Ayuh… bangkit daripada kegundahan. Bangkit dengan senyuman. Andai langkah terdahulu terhenti di tengah jalan, jangan biarkan kaki tetap di situ sampai bila-bila. Berusahalah untuk melangkah kembali. Berjalan menuju ke hadapan tanpa menoleh lagi.
Kecewa dalam percintaan?
Kecewa dalam pekerjaan?
Kecewa dan kecewa????
Tidak salah perasaan itu. LUMRAH namun jangan sampai menghancurkan diri sendiri. Benci.. marah… kecewa… sedih dan dendam dibiarkan MELAMPAU-LAMPAU. Sampai tidak dapat fokus terhadap sesuatu yang lebih penting. Kita asyik menyalahkan orang di sekeliling tanpa cuba mencari inisitif menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Langkah kita terhenti dan jatuh tersungkur. Motivasi diri hilang entah ke mana.
Fikir-fikirkan…
Muthiah : Roda tidak selalu berada di atas. Sampai masa, ia akan menjejak tanah, berada di bawah. Adakah kita bersedia menghadapinya?