Pembersihan...
Wednesday, June 02, 2010
Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Hehe... Setiap hari bertanya khabar. Iyalah...bukankah prihatin itu tandanya sayang?
Hmmm....
Ada seorang mak cik meminta Muthiah ambilkan duitnya di ATM. Banyak juga. Lebih daripada RM2,000. Setelah mengambil duit tersebut, Muthiah pun berkata kepada si mak cik, "Simpan elok-elok duit tu. Bahaya."
Dia terus menjawab, "ALLAH nak bersih balik harta kita. Mungkin barang yang dicuri tu sebenarnya bukan hak kita." Pendek tetapi penuh dengan maksud tersirat.
Dalam hal ini, ada dua perkara yang boleh difikirkan.
1- Perihal menjaga keselamatan barang-barang sendiri.
Tawakal itu penting namun kita perlu berusaha. Usaha dahulu baru tawakal. Sepertimana satu kisah sahabat. Satu hari, dia datang berjumpa dengan Rasulullah...
Nabi SAW : Bagaimana kamu datang ke mari?
Sahabat : Dengan menaiki unta, ya Rasulullah.
Nabi SAW : Di manakah untamu?
Sahabat : Aku membiarkannya tanpa diikat kerana aku sudah bertawakal kepada ALLAH.
Nabi SAW : Ikatlah unta kamu dahulu, kemudian bertawakal kepada ALLAH ;)
*****
Mak cik tersebut ada juga bercerita tentang seorang mak cik yang sudah dirompak oleh seorang lelaki yang nampak alim. Katanya, dia pergi kerja dengan menaiki kenderaan awam. Emas yang dipakai, penuh satu badan. Satu hari... ada seorang lelaki mahu menumpangkannya. Oleh sebab lelaki ini semacam berjurus, dia pun menurut sahaja. Namun, sampai di satu kawasan, mak cik ini dirompaknya tanpa belas.
Nilai moral yang boleh diambil? Hmmm.... Jom kita sama-sama fikir ;)
2- Pembersihan harta...
i) Apabila barang kesayangan dicuri, apakah perasaan kita?
- Marah.
- Kecewa.
- Sedih.
- Biasa sahaja. Lagipun, orang yang hadiahkan kepada kita.
- Redha. Ujian ALLAH. Mengingatkan diri agar lebih berhati-hati.
- Terkilan dan banyak lagi. Tepuk dada, tanya iman...
ii) Apa yang akan kita lakukan?
- Buat laporan polis. Sememangnya, kita berhak terhadap barang-barang kita. Lebih-lebih lagi kalau melibatkan sesuatu yang mahal. Kereta dan barang kemas contohnya. Lagipun, kita bukannya mendedahkan barangan tersebut untuk dicuri. Kita sudah letak di tempat yang sepatutnya. Jadi, kehilangan tersebut bukanlah disebabkan oleh kelalaian kita.
- Menyumpah seranah, memaki hamun dan menjerit sekuat hati. Menangis tanpa henti. Menyalahkan orang yang berada di sekeliling kita.
- Diam. Istighfar. Tenangkan hati dahulu. Muhasabah balik. Setiap apa yang berlaku, tentu ada hikmahnya.
- Mengadu pada orang tersayang. Bagi si isteri, mintalah suami beri barang kemas yang baru. Bagi si anak, mintalah si ibu atau ayah gantikan dengan yang lain. Adoi... Hahaha...
Tidak salah berasa sedih...
Tidak salah berasa terkilan...
Tidak salah juga berasa kecewa...
Iyalah... lebih-lebih lagi apabila melibatkan barang-barang yang kita sayang. Pemberian pula orang yang tercinta.
Namun, jangan sampai perasaan sedih/ terkilan/ kecewa itu berlanjutan sampai memusnahkan diri kita sendiri. Hmmm... sudah trauma, hendak buat macam mana? Bukan kita yang minta. Huhuhu...
Kita marahkan si pencuri namun semua orang menjadi mangsa kemarahan kita.
Kita sedih sampai memberi kesan kepada orang yang dekat dengan kita. Sedih kita membuatkan kita tidak mahu lagi berbicara... kalau si isteri, tidak mahu lagi melayan suami sebaiknya. Kita lebih gemar melayan perasaan sedih itu.
Kita terkilan... Kita salahkah takdir. Kita salahkan semua orang...
Hmmm...
Seperti kata mak cik di atas, mungkin 'ada sesuatu' yang menyebabkan ALLAH membersihkan kembali harta-harta kita itu. Atau... kalau kita yakin 100% tidak 'ada sesuatu', anggaplah apa-apa yang berlaku itu sebagai ujian daripada ALLAH untuk menguji kita. Sejauh mana kita sabar dan redha.
Jadi, macam mana???
Muthiah : Pernah juga kehilangan barang yang Muthiah sayang. Mula-mula, sedih dan kecewa. Namun, apabila sudah kembali rasional, sudah boleh menghisab diri... Muthiah belajar untuk redha. Lama-kelamaan, Alhamdulillah. Kesedihan itu hilang berdikit-dikit. Benar kata si mak cik... ALLAH MAHU MEMBERSIHKAN HARTA KITA.