Senyum
Friday, June 25, 2010
Assalammualaikum, semua. Mulakan harimu dengan senyuman. Kerana sesungguhnya, senyum itu sedekah. Senyum juga bisa menyejukkan hati yang sedang gundah. Jom senyum ;)
Baru-baru ini, Muthiah dan suami telah berkunjung ke Mid Valley mega mall. Berkebetulan, ada promosi filem animasi Toy Story 3. Jadi, Muthiah pun mengambil kesempatan yang ada untuk melihat Woody dan Buzz Lightyear yang sedang melayan peminat di atas pentas secara dekat. Sambutan sungguh menggalakkan. Ditambah dengan kehadiran peminat besar dan kecil yang mahu bergambar dengan ‘artis’ kesayangan mereka. Muthiah? Hanya melihat dari jauh.
Apa yang ingin Muthiah perkatakan hari ini ialah perihal Woody dan Buzz Lightyear yang sentiasa tersenyum.
Iyalah… hanya patung. Patung tidak punya hati dan perasaan. Orang yang menyarungkannya, belum tentu sedang gembira. Mungkin sedang menahan ‘azab’ kepanasan. Namun, patung yang tidak bernyawa itu tetap punya kelebihan. Apa? Benar… Woody dan Lightyear sentiasa kelihatan tersenyum. Senyum memanjang.
Dari sisi orang yang melihat. Muthiah sendiri berasa seronok dan gembira. Senyuman itu cukup menghiburkan. Sudahlah nampak ramah dan baik hati.
Hmmm… jadi? Jom… kalau patung yang tidak ada nyawa itu boleh menyenangkan hati orang lain dengan senyuman ‘palsu’nya, apatah lagi kita. Tambahan pula, kita mengukir senyuman dengan ikhlas. Lagi-lagilah... orang akan berasa senang memandangnya. Kerana, keikhlasan itu bisa sahaja terpancar pada wajah. Iyalah… kalau orang senyum paksa, kadang-kadang kita boleh mengesaninya, bukan?
Orang yang cantik, akan bertambah cantik dengan senyum manis. Ditambah dengan akhlak terpuji. Bertambah-tambah cantiklah dia. Boleh buat menantu. Hehe…
Orang yang kurang cantik (hakikatnya, ALLAH telah menjadikan manusia cantik-cantik belaka), akan bertambah hodoh atau buruk kalau sukar hendak senyum. Mahal sungguh. Masam mencuka sepanjang masa. Ditambah dengan akhlak yang entah apa-apa. Bagaimana pula kalau itu sememangnya sikap semulajadinya?
Justeru, fikir-fikirkan. Jom senyum ;)
Muthiah : Orang kata, sekali lihat… Muthiah semacam menyombong. Serius memanjang. Insya-ALLAH, akan cuba perbaiki dari semasa ke semasa.