Persenda zikir???


Assalammualaikum.

Hmmm... Muthiah sudah lama menonton video ini tetapi baru sekarang berkesempatan menulis tentangnya. Perihal beberapa orang pelajar perempuan bertudung dilihat sedang mempersenda zikir (pada kaca mata orang yang memandang). Huhu... sadis dan menyakitkan hati. Serius. Kalau kita tengok facebook dan blog, banyak luahan ketidakpuasan hati dilontarkan kepada pelajar-pelajar yang bolehlah dikatakan sebagai tidak peka agama ini.

Dari sisi Muthiah? Muthiah nampak beberapa perkara (selain daripada rasa yang pelbagai di dalam hati itu):

1- Jahil

Disebabkan kejahilan diri, terjadilah perkara sebegitu. Jahil?

a) Mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lalukan itu SALAH! Tidak tahu??

b) Mereka tidak pula mahu belajar dan ambil tahu dengan perkara yang sepatutnya mereka tahu. Sepatutnya tahu?

Mungkin, bagi mereka... 'Kecil sahaja persoalannya.' Bak kata Nabil, 'Lu pikirlah sendiri...'

Apabila tidak tahu... maka, terjadilah perkara yang tidak diingini itu. Sewenang-wenangnya melakukan sesuatu perkara yang dirasakan tidak salah. Bukankah jahil namanya itu?

** Jadi... sampaikan walau seayat... **

2- Tidak peka dan tidak prihatin

Bolehkah Muthiah katakan... Orang yang tidak peka dan tidak prihatin lazimnya jahil? Dia tidak mahu membaca dan tidak mencari inisiatif pula untuk bertanya atau belajar. Iyalah. Dia 'malas' untuk ambil peduli tentang segala sesuatu di sekelilingnya. Malas?

Akibatnya... jadilah dia orang yang tidak pandai! Dia tidak tahu benda itu salah. Tidak tahu??? Walhal, banyak isu (semasa) yang memaparkan perihal masyarakat yang memprotes apabila agama yang mereka anuti dikotak-katikkan. Hal ini menunjukkan, banyak di kalangan umat Islam yang (peka, sensitif dan prihatin) TIDAK DAPAT MENERIMA (dan sewajarnya begitu) agama Islam dipersendakan dan dipermainkan.

Sayangnya... Adik-adik yang jahil... tidak tahu dan tidak peka ini pula... senang-senang mencurah minyak ke atas api.

Hmmm... 'AKU APA PEDULI?' Boleh, begitu?

-bersambung-

Ehe... Panas? Jom ke sini...

Akhbar hari ini : Ayuh. Sebarluaskan ISLAM. Ikuti jejak langkah Ghadaffi ;)

Muthiah : Ya, ALLAH. Ampuni aku dan mereka yang aku sayangi daripada azab api neraka. Juga muslimin dan muslimat di atas muka bumi ini...

Ya, ALLAH... teguhkan hati aku dan dia...


Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Moga-moga, kita semua akan dapat memanfaatkan hari-hari Ramadhan buat tahun ini sebaiknya. Manalah tahu... Ramadhan kali ini adalah Ramadhan terakhir buat diri kita.

Hmmm...Seorang teman meluahkan rasa hatinya kepada Muthiah...

"Entah kenapa hidup aku ini tidak pernah betul-betul gembira.

DIA suruh doa, aku doa...
DIA suruh usaha, aku usaha...
DIA suruh tawakal, aku tawakal...

Tetapi, masalah tidak juga selesai. Bahkan datang bertimpa-timpa. Aku tidak tahu hendak minta macam mana lagi. Aku sudah cakap semua. Aku pun buntu. Aku hilang arah. Aku merasakan yang DIA tidak mendengar apa yang aku doakan. Kalau dengar pun, DIA tidak mahu ambil peduli. Dia abaikan aku...

Sekarang...

Baru akan faham perasaan budak yang murtad dahulu. Dia minta dengan ALLAH, DIA buat-buat tidak dengar. Dia sedih dan kecewa. Kemudian, ada orang Kristian datang tolong dia. Aku benar-benar faham perasaan dia..."


Sebenarnya... terkedu juga mendengar kata-katanya. Meskipun dia menyatakan bahawa dia tidak akan sampai ke tahap itu, Muthiah tetap khuatir sebenarnya. Kekecewaan menyebabkan dia hampir putus asa. Nauzubillah. Muthiah mohon perlindungan ALLAH. Andai Muthiah kecewa, tidaklah sampai menarik nikmat ISLAM dan IMAN dalam dada Muthiah.

Entahlah. Muthiah pun tidak tahu...apa yang boleh Muthiah katakan.

Hanya satu... TERUSKAN BERSABAR dan USAHLAH BERPUTUS ASA daripada rahmat TUHAN. DIA SAYANG dan DIA mahu kita semakin MENDEKAT KEPADA-NYA.

Hmmm...

Perbualan Muthiah dan teman Muthiah ini mengingatkan Muthiah tentang isu murtad. Di facebook pun, banyak nota tentang 'Pengakuan bekas paderi Kristian...'dan telah disebarkan secara meluas.

Oleh sebab Muthiah tidak arif tentang hukum (tetapi masih mahu menulis tentangnya), Muthiah kongsikan link Ustaz Zaharuddin. Beliau telah berbicara tentang isu murtad secara terperinci. Selamat membaca dan memanfaatkannya.

Akhbar hari ini : Tarikh tengok anak bulan. Jeng jeng jeng...

Muthiah : Moga-moga, ALLAH memelihara MUTHIAH dan kita semua daripada sesuatu yang bisa merugikan diri kita sendiri. Sesungguhnya, hidup ini tidak lama. Satu hari, kita kan dipanggil kembali..

Gaji isteri??? Kaca mata Siti Muthiah...


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Bahagia...

~Terasa dekat rahmat ALLAH.
~Terasa ALLAH sungguh-sungguh sayangkan Muthiah.
~Terasa ALLAH ... murahnya limpahan kurnian-MU, ya ALLAH.

Aik. Kenapa tiba-tiba berbicara begini? Hehe... Muthiah terlihat video ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus tentang Gaji Isteri. Muthiah tersenyum sendiri.

Kalau sahabat-sahabat, para isteri sekalian tersenyum... sebab apa? Hmmm...

~Sebab tugas memasak, membasuh, mengemas rumah bukan tanggungjawab kita???
~Sebab suami sepatutnya membayar kita gaji???
~Sebab suami perlu sediakan pembantu rumah???

Sebab... tidak menjadi satu kesalahan jika kita tidak masak, membasuh dan lain-lain (melainkan disuruh - sepertimana yang dikatakan Ustaz Azhar - jadi WAJIB) buat suami?

Ehe... Muthiah tersenyum atas sebab lain... Apa, ya???

Bayangkan... kita (isteri) ~

~Menyediakan makanan buat suami...
~Membasuh pakaian suami...
~Menggosok baju dan seluar suami...
~Mengemas rumah dan banyak lagi...

Kita pula, melakukannya seikhlas hati. Kita seronok dengan apa yang kita buat. Kita letih tetapi tetap redha. Kita gembira melihat suami tersenyum dan puas hati. Kita tidak mengharapkan apa-apa balasan dan ganjaran. Walhal, kita sepatutnya dibayar gaji.

BERAPA BANYAK PAHALA/ BEKAL YANG KITA KUMPUL UNTUK HARI MENDATANG ~ YAKNI SESUDAH NYAWA DICABUT KEMBALI...

Iyalah. Hidup kita tidak lama. Amalan kita pun tidak banyak tetapi... dalam hal ini, kita tidak berkira dengan suami kita bahkan selalu sahaja berusaha untuk menenangkan hatinya. Tidak mahu dia berasa runsing dengan segala sesuatu yang boleh jadi patut dan tidak patut difikirkannya. Apabila hatinya senang, redhanya akan sentiasa mengiringi hidup kita, insya-ALLAH. Kita tidak meminta sesuatu di luar kemampuannya. Kita lakukan segalanya kerana ALLAH.

Hmmm...

Berkorban, berkorban juga tetapi jangan sampai terkorban!

Benar... Dalam hal ini, suami dan isteri perlu tahu dan faham tanggungjawab dan peranan masing-masing. Isteri, elakkanlah diri daripada membebankan suami dengan sesuatu yang dia tidak mampu. Suami pula, elakkanlah diri daripada mengambil kesempatan atas segala kebaikan isteri. Kalau berlaku yang tidak sepatutnya juga (baik bagi pihak isteri mahupun suami)??? Percayalah... SEMUANYA AKAN DIPERTANGGUNGJAWABKAN OLEH TUHAN. Sesungguhnya, penghitungan-NYA maha teliti.

Jadi, para suami... para isteri... Renung dan fikirkan. Tepuk dada, tanya iman. Kitalah yang membuat PILIHAN.

Akhbar hari ini : Fitnah pada bulan Ramadhan. Hmmm...

Muthiah : Suka apabila dapat hadiah...

Umar Al-Khattab (i)


Assalammualaikum. Apa khabar? Di kesempatan ini, Muthiah dan suami ingin mengucapkan SELAMAT HARI MERDEKA kepada semua rakyat MALAYSIA.

Jom renung…

Merdekakah kita daripada ~ melakukan segala sesuatu yang mendatangkan kemurkaan ALLAH? Apakah ‘sesuatu’ itu? Tepuk dada, tanya iman. Ehe.

Hmmm…

Kenal Lady Gaga? Kenal Ronaldo? Kenal dan kenal???
- Apa yang menyebabkan kita mengenali mereka?
- Hmmm… sebab mereka popular dan punya kelebihan dan keistimewaan tersendiri.
- Media pun banyak bercerita tentang mereka (Peranan media).

Kenal Umar Al-Khattab, Saudah Zama’ah?
- Hmmm… Umar kenal sikit-sikit tetapi tidak pasti pula siapakah gerangannya Saudah Zama’ah.
- Tidak terdedah sangat dengan mereka. Huhu…

Ayuh… Insya-ALLAH, bermula dari hari ini, Muthiah akan berkongsi serba sedikit (bermakna tidak secara terperinci) tentang –

1- Tokoh-tokoh (terdahulu) dalam dunia ISLAM.
2- Peristiwa penting dalam dunia ISLAM.
3- Dan segala sesuatu yang berkait dengannya.


dalam siti-muthiah.blogspot ini. Bukan apa… sekadar mahu generasi masa kini tetap mengenali tokoh-tokoh penting yang telah berjuang bermati-matian demi ISLAM. Manalah tahu. Bisa memotivasi diri untuk :

1- Menjadi lebih baik.
2- Mendekatkan diri kepada ALLAH.
3- Menjadi salah seorang daripada pejuang itu.


Moga… rakan-rakan semua akan mendapat manfaat daripadanya. Doakan juga agar Muthiah dapat istiqomah dalam perkongsian ini. Sekiranya ada penambahan, pembetulan, pengurangan (dan yang seangkatan dengannya), Muthiah sangat-sangatlah alu-alukan. Jom kenal ;)

SAYIDINA UMAR AL-KHATTAB ;)

Umar sebelum masuk ISLAM


Dilahirkan 13 tahun setelah kelahiran Rasulullah (pada 581 Masihi) oleh Hanthamah. Umar yang berasal dari kalangan bangsawan Quraisy ini membesar menjadi seorang pemuda yang cerdas, bersemangat, berani, berterus-terang dan dinamik. Sebelum mendapat hidayah daripada ALLAH untuk masuk ISLAM, Umar merupakan salah seorang penentang ISLAM yang tegar dan menanam niat yang kuat untuk membunuh Rasulullah.

Nabi SAW sentiasa berdoa yang berbunyi, “Semoga ALLAH SWT memberikan kejayaan kepada ISLAM dengan masuknya salah seorang daripada dua Umar (yakni Umar Al-Khattab R.A. dan Abu Jahal) memeluk ISLAM.” Dan… Umar Al-Khattablah yang telah dipilih TUHAN.

Pengislaman Umar

Hati Umar berkobar-kobar untuk membunuh Muhammad. Dia nekad. Dalam perjalanan (untuk menghabisi nyawa Nabi SAW), dia telah bertemu dengan Nu’aim bin Abdullah (Nu’aim telah memeluk agama ISLAM pada waktu itu tetapi menyembunyikan pengislamannya akibat tekanan hebat yang diberikan oleh orang bukan ISLAM).

Nu’aim yang berasa cemas apabila diberitahu Umar tentang niatnya untuk membunuh Rasulullah segera menyampaikan berita pengislaman adik kandung Umar, Fatimah Al-Khattab dan suaminya Sa’id bin Zaid. Marah dan bengang mendengar berita itu, Umar segera menuju ke rumah Fatimah. Namun, inilah yang dikatakan kuasa dan hidayah ALLAH. Di sebalik ketegangan yang berlaku antara Umar dan adik serta iparnya, hatinya tiba-tiba terjentik apabila membaca ayat ALLAH dari surah Thoha. Apabila sampai ke ayat 14 (yang bermaksud, ‘Sesungguhnya AKU-lah ALLAH, tiada TUHAN melainkan AKU. Oleh itu, sembahlah AKU dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati AKU…’), ALLAH telah mencampakkan petunjuk kepadanya.

Lantas, Umar pun meninggalkan rumah Fatimah dan bersegera ke rumah Al-Arqam untuk menemui Rasulullah. Apa yang menggembirakan seluruh umat ISLAM, Umar datang bukan untuk membunuh Nabi tetapi untuk menyatakan pengislamannya dan bersyahadah di hadapan Rasulullah.

-bersambung : Masih lagi kisah Umar -

Akhbar hari ini : Pasangan ISLAM dicekup dalam sambutan ambang merdeka. Merdekakah kita sebenarnya?

Muthiah : Sabar menanti sambungannya, ya ;)
Labels: 0 comments | | edit post

Jom belajar tajwid (Hukum Izhar)

1- Dari segi bahasa, membawa maksud NYATA dan JELAS.

2- Dari segi istilah, bermakna mengeluarkan tiap-tiap huruf TANPA DENGUNG dan SAKTAH apabila bertemu dengan huruf-huruf izhar yang ENAM.

3- Dinamakan juga sebagai IZHAR HALQI kerana setiap daripada huruf izhar keluar daripada halkum (tekak).

4- Huruf-huruf izhar terdiri daripada :


Kalau untuk mudah ingat, boleh hafal begini ;)


Apabila nun sakinah atau tanwin bertemu dengan huruf izhar di atas, maka hendaklah dibaca tanpa dengung.

Contoh :

Surah Al-Fatihah.


Sila cari hukum izhar halqi daripada ayat-ayat di atas ;)

Selamat belajar...

Akhbar hari ini : Tiada Ambang Merdeka, hormati kemuliaan Ramadhan.

Muthiah : Ringkas sahaja. Jadi, bagi yang mahu belajar lanjut, jumpalah guru-guru di kawasan berdekatan. Selamat bermujahadah.

Jom belajar tajwid (Intro)


Assalammualaikum, semua. Apa khabar?

PERSOALAN
:Dalam sehari, berapa ayat atau muka surat ayat suci al-Quran yang kita baca?

1- Tidak baca langsung : Tidak sempat; Malas; Tidak pandai hukum tajwid. ( )
2- 1 ayat. ( )
3- 1 muka surat. ( )
4- 1 juz. ( )
5- 1 surah. ( )
6- Ikut kerajinan. ( )
7- Lain-lain. ( ) ________________________

Kisah 1:

Seorang teman ada bertanya, "Muthiah ada nota tentang hukum tajwid?"
Muthiah menjawab, "Ada tetapi dalam fail..."

Kisah 2:

Seorang adik (lelaki) bertanya, "Apakah persediaan sebelum berumah tangga?"
Jawab Muthiah : Bersedia untuk menjadi imam dalam keluarga. Solat berjemaah. Mengaji al-Quran bersama isteri..."
"Tetapi, saya mengaji pun tidak pandai..."

Rentetan daripada peristiwa ini, Muthiah tergerak hati untuk menulis serba sedikit tentang hukum tajwid. Setidak-tidaknya, bagi mereka yang tidak pandai mengaji, boleh belajar sedikit demi sedikit. Apa yang penting....

1- Tidak berputus asa dalam terus berusaha dan belajar.
2- Buat sedikit demi sedikit tetapi berterusan.

Sebagai contoh... kalau kita tidak pernah membaca al-Quran... bermulalah. Mula baca walau hanya satu ayat sehari. Tetap susah? Hmmm... cuba paksa diri. Tetap tidak boleh? Hmmm...

Muhammad bin Abdullah Asy-Syibli ada menyebut, "Jika kamu ingin merasai kemanisan perhubungan dengan TUHAN-mu, kau hendaklah garang terhadap dirimu. Bilamana kau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah kau betapa pahitnya apabila berpisah dengan-NYA..."

Ehe... Jom belajar tajwid ;)

-bersambung - HUKUM IZHAR ;)

Akhbar hari ini - Nik Aziz: Jahil agama punca polemik.

Muthiah : Moga yang sedikit ini akan ada juga kemanfaatannya.

Muthiah ~ Kata Hati... (ii)


-sambungan semalam-

2- Tatkala melihat jenazah Ustaz Fadhil Noor disembahyangkan oleh puluhan ribu manusia... Muthiah terfikir... Bagaimana pula dengan diri Muthiah nanti? Huhu...

Beruntunglah Allahyarham Ustaz kerana telah dipilih TUHAN untuk mendapat kasih sayang-NYA, juga makhluk-makhluk ciptaan ALLAH di atas muka bumi ini. Kenapa Muthiah berfikiran begitu? Hmmm… Tanpa izin ALLAH, apa yang dilihat tidak akan berlaku. ALLAH-lah yang menggerakkan hati-hati manusia untuk turut sama menyolatkan jenazah, hamba yang dipilih-NYA itu. Bukan seorang dua tetapi puluhan ribu banyaknya. Satu penghormatan buat diri Allahyarham Ustaz sebenarnya.

Mampukah Muthiah menjadi sepertinya? Berapa ramaikah yang sudi menyembahyangkan jenazah Muthiah nanti? Huhu.. Muthiah tidak berdaya. Sungguh. Muthiah tidak yakin bahawa Muthiah mampu menjadi seperti Allahyarham Ustaz. Muthiah hendak tetapi kaki Muthiah tidak mampu bergerak sepantas dan sejauh itu. Orang putih cakap… slow… orang Terengganu cakap betak. Hendak melangkah tetapi entahlah… Susah hendak diluahkan di sini. Namun cukuplah Muthiah boleh katakan. Muthiah cuba tetapi Muthiah tetap merasakan kekurangannya. Masih tidak cukup.

Hmmm… wahai hati yang kecil. Sesungguhnya, ALLAH itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang ~ peringatan buat diri yang selalu lupa.

Hmmm… Adakah... suami dan keluarga sampai perlu mencari mereka yang sudi menyembahyangkan jenazah Muthiah nanti? Tiba-tiba, orang yang dicari punya masalah tersendiri. Ada pula alasan yang diberi. Maka, suami perlu mencari dan terus mencari. Aduhai… sukarnya perjalanan sebegini…

Bukan itu sahaja... Adakah suami dan keluarga Muthiah perlu menyediakan sejumlah wang untuk menjemput penduduk setempat menyembahyangkan jenazah Muthiah? No money, no solat jenazah. Realiti. Keluarga si mati perlu menyediakan wang. Kemudian, barulah banyak orang yang sukarela mahu menyembahyangkan jenazah. Entah. Semacam terlupa tentang fardhu kifayah ini. Semua mengharapkan orang lain melakukannya. Huhu... Fikir dan renung-renungkan…

Bagaimana pula halnya jika tidak ada duit?

Adakah tidak ada manusia yang sudi menyembahyangkan jenazah Muthiah dengan seikhlas hati? Kalau ada sekali pun, setakat cukup syarat untuk memenuhi keperluan fardhu kifayah itu?

Ada atau tidak manusia… teman-teman, ahli keluarga… yang sudi mendoakan kesejahteraan Muthiah di alam sana? Atau menghadiahi Muthiah dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang bisa membantu Muthiah???

Sesungguhnya, setiap anak Adam itu akan meninggalkan segalanya (yang dimilikinya di atas muka bumi ini) apabila dia mati kelak melainkan tiga perkara :

1) Ilmu yang bermanfaat.
2) Sedekah jariah.
3) Anak yang soleh.


Ya, ALLAH. Permudahkan aku untuk membawa bekal itu sebelum sampai ajalku ya, ALLAH.

Haha… Menjadi entri luahan emosi pula Muthiah hari ini. Sabar sahajalah, ya ;) Entah. Susah hendak dinyatakan. Berusaha bersangka baik agar pengakhiran hidup ini adalah dalam keadaan yang paling baik di sisi TUHAN tetapi tetap berasa khuatir dan gusar. Takut… kerana apabila nyawa sudah melayang keluar dari jasad, penyesalan tidak berguna lagi. Rasa dendam… benci… marah yang disimpan di dalam hati selama ini menjadi sia-sia dan tidak ada manfaatnya pada diri.

Ya, ALLAH. Ampunilah dosa kami… Jauhkanlah diri kami dari azab api neraka dan biarlah pengakhiran hidup kami itu dalam lingkungan pengakhiran yang baik…

Muthiah : Sentiasa mengharapkan RAHMAT ALLAH setiap saat dan ketika.

Muthiah ~ Kata Hati... (i)


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah??? Alhamdulillah. Insya-ALLLAH. Sihat dan aman bahagia. Semuanya dengan izin ALLAH ;)

Ya, ALLAH. Lindungi dan peliharalah aku daripada segala sesuatu yang bisa membikin aku... menggolongkan aku menjadi seorang yang tidak bersyukur terhadap segala sesuatu yang telah ENGKAU tetapkan… ENGKAU rencanakan buatku. Kerana sesungguhnya... aku adalah insan yang lemah. Acap kali lalai, lupa dan alpa. Selalu juga aku mengeluh dan bersedih hati bilamana doaku belum lagi dimakbulkan-MU sedang aku tahu ENGKAU lebih maklum segala seuatu yang terbaik buatku. Ampuni aku ya, ALLAH…

“Jika ENGKAU menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba ENGKAU, dan jika ENGKAU mengampuni mereka, maka sesungguhnya ENGKAU-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana,” al-Maidah ayat 118.

Hmmmm... Muthiah terlihat video tentang Allahyarham Ustaz Fadhil Noor. Entah kenapa hati Muthiah terusik. Air mata mengalir perlahan. Sebak. Sedih. Pilu. Semua ada. Nah! Sudah lama mata ini tidak basah dek mengenangkan dosa dan neraka TUHAN. Bukan tidak tahu dengan keberadaan dosa dan titik-titik hitam dalam jiwa tetapi masih tetap mahu melalaikan-NYA… perintah-NYA… suruhan-NYA… larangan-NYA… Inilah manusian. Entah bila Muthiah mahu menjadi insan yang selalu berwaspada.

Ya, ALLAH. Peliharalah aku. Peringatkanlah aku andai aku lupa dan alpa..

Persoalan yang bermain di fikiran tatkala melihat video itu...

1- Bagaimanakah pengakhiran hidup Muthiah satu masa nanti? Adakah bahagia di sisi TUHAN atau menjadi insan yang akan merugi selamanya?

Ya, ALLAH. Jauhkanlah… peliharakanlah diriku daripada azab api neraka-MU. Sesungguhnya, aku tidak mampu dan tidak bersedia. Aku tidak berdaya ya, ALLAH. Telah kucuba untuk menjadi insan dan umat yang terbaik tetapi acap kali juga aku melakukan dosa dalam sedar mahupun tidak.

Ya, ALLAH. Ya, ALLAH. Ya, ALLAH. Ampuni aku kerana tidak betah melakukan ketaatan terhadap-MU. Ada sahaja yang aku lalaikan. Ada sahaja yang aku abaikan. Hati ini tidak cukup suci dan bersih ya, ALLAH…

-bersambung esok, insya-ALLAH-

~Muthiah ~ Kata Hati... (ii)~

Jom puasa sunat ~


Assalammualaikum. Ehe. Macam tidak kena pula. Apa yang tidak kena? Berkongsi tentang puasa sunat sewaktu bulan puasa (wajib) - puasa bulan Ramadhan. Tidak apa. Nanti, setelah beres semuanya, jom kita teruskan amalan puasa kita dengan puasa-puasa sunat. Bisa menyucikan hati yang sedia berkarat. Ayuh...

1- Puasa 'Arafah

Daripada riwayat Imam Muslim daripada Abu Qotadah, bahawa Nabi SAW bersabda, "Aku memohon kepada ALLAH agar puasa hari 'Arafah menutupi kesalahan setahun yang lalu dan setahun yang akan datang."

Dilakukan pada hari ke-9 Zulhijjah, disunatkan kepada sesiapa yang tidak menunaikan ibadah haji.

2- Puasa 'Asyuro dan Tasu'a

Daripada riwayat Imam Ahmad, Nabi SAW bersabda, "Berpuasalah kalian pada hari 'asyuro. Berbedalah dengan orang Yahudi dan berpuasalah sehari sebelum 'asyuro dan sesudahnya."

Berdasarkan riwayat di atas, bolehlah berpuasa pada hari ke-9 dan ke-10 Muharram atau ke-10 dan ke-11 Muharram bagi membezakan dengan puasa orang Yahudi.

3- Puasa enam hari bulan Syawal - Hehe... Jom... Boleh mula apabila Syawal nanti ;)

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Ayyub al-Ansori R.A., dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian dilanjutkan dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka dia seolah-olah berpuasa setahun penuh."

4- Puasa tiga hari bidh (putih)

Imam Tarmidzi meriwayatkan daripada Abu Dzar R.A., dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, "Apabila kamu berpuasa tiga hari dalam sebulan, maka berpuasalah pada hari ke-13, ke-14 dan ke-15."

Hari-hari ini dilihat daripada kalender Hijrah kerana pada hari berkenaan, bulan tersebut lebih terang dan jelas.

5- Puasa Isnin dan Khamis

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Nabi SAW berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Ketika ditanya, baginda menjawab, "Amal diperlihatkan ke hadrat ALLAH pada hari Isnin dan Khamis. Oleh sebab itu, aku ingin apabila amalanku diperlihatkan kepada TUHAN, waktu itu aku sedang berpuasa."

6- Puasa sehari dan berbuka sehari


Imam Bukhari meriwayatkan, daripada Abdullah bin Umar R.A., bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Itulah puasa Nabi Daud A.S. dan merupakan puasa sunat yang paling afdhal."

Teman-teman yang Muthiah kasihi... tanpa sedar, puasa sebenarnya melatih kita untuk mengikhlaskan diri kepada ALLAH dan meninggalkan sifat riak dalam hati.

Bukan itu sahaja bahkan puasa mendidik kita untuk lebih bersabar dan berakhlak mulia.

Muthiah : Moga-moga, puasa dapat mendidik kita meningkatkan akhlak diri.
Labels: 0 comments | | edit post

Sayidatina Khadijah binti Khuwailid R.H.


Assalammualaikum. Bertemu lagi kita pada lebaran yang penuh dengan keberkatan ini. Apa khabar? Bagaimana dengan ibadah puasa dan ibadah-ibadah lainnya? Hmmm... kalau kita tidak mampu buat semua, buatlah yang boleh kita lakukan... tidak sampai tinggal segalanya.

Muthiah? Alhamdulillah. Semuanya beres. Kalau ada yang tidak beres sekalipun, anggap sahaja in progress. Hahaha... Optimis, bukan?

Okey. Seperti yang dijanjikan... hari ini Muthiah ingin berbicara serba sedikit tentang isteri kesayangan Nabi SAW yang pertama yakni Sayidatina Khadijah binti Khuwailid R.H.

Khadijah, yang merupakan seorang ibu tunggal berbangsa Arab sebelum bernikah dengan Rasulullah telah dilahirkan pada tahun ke-68 sebelum Hijrah. Bapanya bernama Khuwailid bin Asad bin Abd. Uzza bin Qusai bin Kilab manakala ibunya pula diberi nama Fatimah binti Zaidah.

Khadijah telah berumah tangga dengan Rasulullah pada tahun ke-28 sebelum Hijrah. Mahar yang diterimanya berupa 20 ekor unta betina muda. Suami Khadijah yang terdahulu bernama An-Nabash bin Zararah at-Taimiy (Abu Halah) dan Atiq bin Abid al-Makhzumi.

Sepanjang perkahwinan selama 25 tahun dengan Rasulullah, Khadijah telah dikurniakan dengan enam cahaya mata. Puteri yang pertama bernama Zainab R.H. manakala anak yang kedua pula diberi nama Al-Qosim R.A.. Ruqayyah R.H., Ummu Kalthum R.H. dan Fatimah R.H. merupakan puteri ketiga, keempat dan kelima Khadijah. Anak bongsunya pula bernama Abdullah R.A. Anak-anak lelaki Rasulullah telah meninggal dunia sewaktu mereka masih kecil.

Khadijah, merupakan wanita terhormat di kalangan kaumnya dari sisi keturunan, kekayaan dan kepintaran. Dia menjadi manusia pertama masuk ISLAM di tangan suaminya. Dan pasti!!! Khadijah menjadi satu-satunya isteri Rasulullah sewaktu dia masih hidup. Dengan lain perkataan, Nabi SAW tidak pernah berpoligami ketika hayat Khadijah.

Isteri kesayangan Rasulullah ini telah wafat pada tahun ke-3 Hijrah, di Makkah Mukarramah.

-bersambung - Siapakah isteri Rasulullah yang kedua??? ;)

Bicara ~

Lelaki yang sempurna itu ramai tetapi wanita yang sempurna hanya empat...

1- Maryam binti Amran.
2- Asiah isteri Firaun.
3- Siti Khadijah binti Khuwailid R.H.
4. Fatimah R.H binti Muhammad SAW.


-Serba ringkas tentang Nabi SAW-
Labels: 0 comments | | edit post

Jom solat sunat ~

Assalammualaikum. Bagaimana dengan perjalanan Ramadhan kita pada tahun ini? Muthiah? Insya-ALLAH, cuba melakukan yang terbaik dari semasa ke semasa.

Pernah mengerjakan solat selain daripada solat fardhu? Kalau sudah biasa, Alhamdulillah.. Moga istiqomah. Kalau tidak? Ayuh…jom kita mulakan… jadikan bulan Ramadhan ini sebagai tapak permulaan bagi kita. Gambatte ;)

1- Solat sunat dhuha


~ Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Dzar R.A., Rasullullah SAW bersabda, “Setiap pagi ada kewajipan bersedekah bagi setiap persendian dan sudah memadai semua dengan dua rakaat solat Dhuha.”

2- Solat sunat awwaabin


~ Merupakan solat sunat 6 rakaat yang dilakukan sesudah solat maghrib.

~ Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A., Nabi SAW bersabda, “Barangsiapa melakukan solat sunat 6 rakaat setelah solat maghrib dan di antara solat-solat itu tidak berkata dengan kata-kata yang buruk, maka solatnya sebanding ibadah 12 tahun.”

3- Solat sunat tahiyatul masjid

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Qotadah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jika salah seorang di antara kalian masuk ke dalam masjid, maka janganlah duduk sehingga melaksanakan solat dua rakaat.”

4- Solat sunat wuduk


Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A., ia berkata, “Rasulullah SAW berkata kepada Bilal, ‘Ceritakanlah kepadaku amal apa yang amat engkau harapkan dalam ISLAM kerana aku telah mendengar tapak kedua sepatumu di dalam syurga?’ Bilal menjawab, ‘Tidak ada amal ibadah yang paling kuharapkan melainkan setiap kali aku berwuduk, baik siang atau malam, aku selalu solat selepasnya sebanyak mana yang aku suka.’.”

5- Solat malam


(Niat untuk solat tahajjud)

~ Dilakukan minimum 2 rakaat, seafdhalnya 8 rakaat dan tidak ada batasan maksimum.

~ Imam Tarmidzi meriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A., bahawa Nabi SAW bersabda, “Solat yang paling afdhal sesudah solat fardhu ialah solat malam.”

6- Solat tarawih – Hehe… kita kini di sini…

~ Solat 11 rakaat dan 21 rakaat (termasuk solat sunat witir) yang dilakukan pada bulan Ramadhan.
Boleh rujuk entri 11/8/2010 untuk informasi solat tarawih.

Selamat melaksanakan ibadah sunat (tanpa mengenepikan ibadah wajib)…

Muthiah : Mana bisa lupa???
Labels: 0 comments | | edit post

Huhu... buat salah... (iii)


-sambungan semalam-

Jadi… bagaimana?

1- Mampukah menyatakan kesalahan? Mampukah berterus-terang dengan kesalahan yang dibuat? ~ Sukar…

2- Mampukah meminta maaf atas kesalahan yang dibuat? ~ Payah… Ego…

3- Mampukah berlapang dada? ~ Susah… tidak dapat lupa walau sedetik peristiwa itu. Hanya TUHAN sahaja yang tahu. Masihkah kau ingat?

4- Mampukah menyayangi? ~ Tidak sebab sakitnya masih terasa.

Lantas, macam mana?

1- Mohon kekuatan daripada ALLAH. Mohon yang terbaik daripada-NYA untuk diri kita dan…

2- Walau sukar mohon dan minta maaf, katakan pada diri :
i) Maafkan aku… kerana aku tidak sempuran. Chewah. Jiwang berkarat pula.
ii) Aku sudah memaafkanmu sedari dahulu lagi. Walhal hakikatnya, tidak ada maaf bagimu.

3- Istighfar banyak kali. Mohon dilapangkan dada…diberi kerendahan hati untuk tidak segan minta maaf dan mudah pula memaafkan.

Apapun keadaannya… renung-renungkan. Kita manusia biasa, banyak melakukan kesilapan dan selalu alpa diri. Namun, jangan kita sekali-kali berputus asa daripada rahmat TUHAN.

Minta maaf…
Maafkan…

Muthiah : Hmmm… susah untuk melupakan tetapi tetap cuba dan terus mencuba ;)

Huhu... buat salah... (ii)


-sambungan semalam-

Pernah buat salah kepada sesama manusia? Kita TER…

1- Curi ~ Curi tidak semestinya curi barang sahaja. Curi hati, bagaimana? (I stole my husband’s heart…)

2- Mengumpat ~ Ehe… ada pengalaman? Kita tidak suka Polan bin Polan. Maka, kita meluahkan rasa benci kita itu kepada satu pelusuk dunia. Salahkah membuat luahan perasaan? Kalau salah, apa yang boleh kita lakukan?

3- Bersangka buruk ~ “Tidak boleh… nanti, apa katanya.” (Walhal hakikatnya, dia tidak pun kata atau fikir apa-apa. Kita sahaja yang kurang jernih hati suka bersangka-sangka. Kita mungkin lupa, ada beberapa bilion lagi manusia yang bisa bersangka buruk kepada kita)… Ehe… tidak pernah lupa sih ;)

Apa pun keadaannya, kita tidak akan dapat lari daripada melakukan kesalahan. Tidak kira sama ada di dalam sedar mahupun tidak. Ada orang, apabila berbuat silap… dia akan insaf dan tidak akan mengulanginya (Kalau TER juga (setelah berusaha), lain kira. Nama lagi manusia). Namun jangan terkejut andai berjumpa dengan seseorang yang buat silap (kepada orang lain khususnya)… berkali-kali pula melakukan kesalahan yang sama. Boleh jadi…

1- Dia tidak tahu yang dia sudah berbuat silap ~ Rasa, macam betul. Tidak salah tidak menghormati orang lain. Sedari kecil sudah terdidik begitu, contohnya. Tidak ada yang menyayanginya (dalam erti kata sayang yang sebenar) mahu menegurnya. Apa sahaja yang dibuat, betul-betul belaka. Orang tidak boleh tegur, nanti dia naik minyak. Rajuk hatinya, disimpan sampai mati. Walhal dia lupa, teguran itu merupakan tanda kasih dan cinta. Jadi, andai dia bersikap sambil lewa, itu adalah sifat semulajadinya. Salah siapa? ~ Muthiah… tegur tanda sayang. Tidak tegur tanda… Ditegur… ehe…

2- Dia tahu buat silap tetapi tidak tahu apa yang harus dilakukan ~ Hanya tahu tetapi buntu. Jadi, tidak mahu menyesakkan otak memikirkannya berkali-kali. Lebih baik tidak ambil peduli. Kasihan… ~ Muthiah… biarkan sahaja si Luncai terjun sampai mati lemas. Huhu… Adoi. Kalau diri sendiri yang jadi Luncai, macam mana? Mesti mengharapkan seseorang menghulurkan tangan…

3- Dia tahu… ada yang menegur tetapi hatinya tetap macam batu ~ Hmmm… sayang. Orang sebegini hanya akan bahagia di dalam dunianya sendiri. Berasa aman kerana dapat menyakiti. Dia berasa senang namun hakikatnya… percayalah… manusia sebegini tidak akan tenang dan tenteram hidupnya. ~ Penghitungan ALLAH itu maha luas, dari sekecil-kecil perkara.

Wah… 'pedas' sungguh. Hmmm… ambil sahaja yang positif kerana andai kita memilih untuk melihat dari sisi yang negatif, itulah yang akan kita perolehi. Negatif… sakit hati… membenci…

-bersambung-

Huhu... buat salah... (iii)

Muthiah : Maaf... Muthiah pun banyak melakukan kesilapan... dalam sedar dan tidak.

Huhu... buat salah... (i)



Assalammualaikum. Apa khabar, semua. Muthiah. Alhamdulillah. Serius. Dua tiga hari ini, Muthiah berasa selalu sahaja mengantuk. Suami kata, sebab Muthiah tidak cukup tidur dan banyak berfikir… sebab itu mental dan fizikal penat tetapi… rasanya sudah terlebih tidur. Hehe…Apapun, terima kasih TUHAN kerana masih memberi ruang dan peluang kepada Muthiah untuk berehat dan bekerja.

Huhu… Pernah berbuat salah? Pasti pernah, bukan? Maklumlah. Kita hanyalah manusia biasa yang selalu sahaja terlupa dan teralpa.

1- Berbuat salah kepada ALLAH.

Bagaimana? Kembalilah mengharapkan keampunan-NYA. Seorang teman bertanya… Dia sudah terlalu banyak berbuat silap kepada ALLAH. Layakkah dia memohon ampun kepada-NYA? Jawabnya, ya! Kasih sayang ALLAH adalah maha luas buat hamba-hamba-NYA. Lagipun… kalau bukan kepada ALLAH… kepada siapa lagi? Siapa lagi yang bisa membantu dan memberi keampunan kepada kita??? (Kalau buat salah dengan manusia???)..

Tengok.. walaupun berbaldi dosa telah kita lakukan, ALLAH tetap murah dengan kurniaan-NYA. Kita masih mampu menghirup udaranya yang segar. Masih juga dapat menjalani kehidupan seharian seperti biasa. Mungkin, hidup yang dilalui terasa berat cabarannya namun itulah yang dinamakan kehidupan. Cabaran… ujian… dugaan… andai kita selusuri dari dalam hati… kita akan dapat lihat bahawa setiap apa yang telah ALLAH tetapkan untuk diri kita… adalah untuk kebaikan kita juga. Yakni dari sisi ~ menjadikan kita kembali kepada-NYA. Mengharap… merintih dan merayu kepada DIA yang maha segalanya.

Jom, kita sama-sama berusaha keras untuk tidak melakukan kesalahan itu lagi. Dengan kata lain, usahlah membuat kesalahan berulang kali. Kalau terbuat juga, hendak buat macam mana? Istighfar dan terus menanam keazaman dalam diri untuk tidak melakukannya sekali lagi (atau berkali-kali). Istighfar… taubat nasuha… dan segala apa yang boleh dibuat untuk mendekatkan diri kepada PENCIPTA. Sebab… tanpa ALLAH, kita bukanlah siapa-siapa…

Hmmm… Cakap pasal silap dan salah. Bagi Muthiah… yang menjadi kesalahan bagi diri seorang Muslim ialah bilamana dia kekal melakukan kemaksiatan walaupun telah diperingatkan berkali-kali. Boleh jadi peringatan itu datang daripada orang di sekelilingnya (teguran, nasihat dan lain-lain) atau jentikan hati yang sememangnya pasti! Datangnya daripada TUHAN yang ESA. ALLAH sayang kita dan tidak mahu kita ‘terlena’ terlalu lama. Takut tidak bisa bangkit kembali.

Jadi… jangan tunggu lama-lama. Jom taubat. Jom akui kesalahan kita kepada TUHAN. Jom damba keampunan ILAHI. Manalah kita tahu. Mungkin satu saat setelah kita membuat dosa itu, ALLAH mencabut nyawa kita. Tidak sempat pula hendak bertaubat, nauzubillah.

Kawan-kawan…

i) Ayuh perbanyakkan istighfar… perbanyakkan doa. Doa… agar dipelihara diri daripada segala sesuatu yang mendatangkan kemurkaan ALLAH. Kita takut… kita tersungkur jauh dan terlalu jauh.

ii) Selain itu, berfikirlah dahulu sebelum melakukan sesuatu. Tanyakan pada diri, “Kalau aku buat, ALLAH murka atau tidak?” Kalau akal kata ALLAH marah, fikirlah beratus-ratus kali sebelum hendak melakukan perkara itu.

iii) Bukan itu sahaja, persiapkan diri kita dengan amalan soleh. Banyak amal (kerana ALLAH), secara tidak langsung dapat mendekatkan diri kita dengan DIA. Apabila sudah dekat, insya-ALLAH… hidup kita akan selamat dunia akhirat. Kalau tercicir pun… insya-ALLAH, tidak terlalu lama dan kita bisa kembali (dengan izin-NYA). Jadi, berbalik kepada isi yang pertama, berdoalah selalu.

Huhu.. panjang lebar pula… Isu sebenar ialah silap kepada manusia. Insya-ALLAH, nanti kita sambung, ya ;)

-bersambung-

Huhu... buat salah... (ii)

Muthiah : Ya, ALLAH. Ampunilah dosaku, suamiku dan mereka yang aku sayang. Jauhkanlah diri kami daripada azab api neraka.

Risalah Ramadhan - Paksi.net







Paksi.net? Jom singgah ;)

Taqwa


Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah. ‘Ala kullihal Alhamdulillah. Sentiasa berusaha untuk berfikiran positif dan bersangka baik. Sebab… kalau kita memilih untuk negatif, kita yang sakit sebenarnya. Begitu juga halnya andai kita suka bersangka-sangka… bukan orang lain yang tidak tenteram tetapi diri kita sendiri.

Hmmm… hari ini, Muthiah ingin berkongsi tentang TAQWA… Agak-agak, apa yang kita faham?

Pertama-tamanya, kita perlu jelas bahawasanya TAQWA itu lahir daripada keimanan yang kukuh, keimanan yang dipupuk dengan muroqobatullah (berasa takut dengan azab dan murka ALLAH) serta selalu mengharapkan limpahan kurnia dan maghfirah-NYA.

Dengan kata lain, TAQWA membawa maksud, ALLAH tidak melihat kamu berada di dalam larangan-NYA dan jua tidak kehilangan kamu dalam perintah-perintah-NYA.

Selain itu, TAQWA juga boleh dimengertikan sebagai mencegah diri daripada azab ALLAH dengan melakukan amal soleh serta berasa takut kepadanya pada waktu sepi dan terang-terangan.

Kisah Umar Al-Khattab dan Ubai bin Ka’ab ~

Sayidina Umar R.A. telah bertanya Ubai R.A. tentang TAQWA.
Jawab Ubai, “Bukankah kamu pernah melalui jalan yang penuh duri?”
“Ya,” jawab Umar pendek.
Ubai bertanya lagi, “Apakah yang kamu lakukan saat itu?”
“Aku akan berwaspada dan berjalan dengan penuh hati-hati,” balas Umar.
Ubai tersenyum. “Itulah TAQWA…”

Sayyid Quthb menyebut dalam tafsir Fi Zhilalil Quran ~ “Itulah TAQWA. Kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus, selalu waspada dan hati-hati dangan sampai terkena duri jalanan. Jalan kehidupan yang selalu ditaburi duri-duri godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhuatiran dan keraguan, harapan ke atas sesuatu yang tidak bisa diharapkan. Ketakutan palsu daripada sesuatu yang tidak sewajarnya ditakuti… dan masih banyak duri-duri lainnya.”

Jom renung…

Bagaimana hendak mencapai taqwa???

Muthiah : Hati yang mengejar TAQWA.. Hanya DIA dan DIA…

Jom jengah ~ Risalah Ramadhan ~
Labels: 0 comments | | edit post

Jom semak


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... 'Ala kullihal Alhamdulillah. Mahu menjadi seorang yang ceria, positif dan berwawasan selalu. Berwawasan??? Isteri yang berwawasan. Boleh? Apapun, bergantung kepada diri sendiri. Apa yang penting, Muthiah mahu menjadi yang terbaik (sebagai isteri khususnya, anak (buat kedua-dua ayahanda bonda Sg. Tong dan Pasir Mas), sahabat dan anggota masyarakat)untuk persediaan menempuh hari mendatang. Moga-moga, rahmat ALLAH akan sentiasa menaungi hidup dan diri Muthiah. Ameen.

Hmmm.. isu apa, ya ingin Muthiah bicarakan hari ini? Huhu... kabur...

Apa kita kita semak mutabaah ibadah kita. Apakah perancangan kita sepanjang Ramadhan ini?

1- Jom sahur walau hanya dengan sedikit kurma ;)

Isteri-isteri... ayuh... kita berbakti kepada suami dengan menyediakan makan sahur buat suami kita. Setkan dalam minda... ALLAH melihat dan... ALLAH suka ;)

2- Mahu berbuka di surau, di rumah atau di kedai? Tepuk dada, tanya iman.

Isteri-isteri... ayuh... kita sediakan makanan untuk berbuka puasa buat suami (dan keluarga) kita. Apa yang penting, biarlah bersederhana. Ada perkara penting lain yang perlu kita kejarkan.

3- Tadarus al-Quran. Hehe...

Kalau hari biasa, kita tadarus banyak mana? Jadi, gunakan masa dan peluang yang ada ini untuk menggandakan bacaan al-Quran kita. Pernah bertadarus dengan suami? Kalau tidak pernah, jom kita mulakan. Seorang baca dan seorang meneliti. Manalah tahu. Kita terlepas pandang dengan hukum tajwidnya.

4- Solat sunat.. (Tarawih, witir, tahajud dan lain-lain)

Cerita sedap.. Jadi, bagaimana? Hmmm... Alhamdulillah. Kita masih diberi peluang untuk menghirup udara ini. Juga, diberi peluang untuk menjalani ibadah puasa pada tahun ini. Jadi, usah dipersiakan kesempatan yang ada. Ayuh... gandakan ibadah kita.

5- Bersedekah...

Ya. Banyakkan amalan sedekah... bisa membersihkan harta dan hati kita, insya-ALLAH.

6- Katakan tidak kepada ~ MENGUMPAT, MENGEJI...

Hmmm..sudah terbiasa, hendak buat macam mana? Tidak apa. Kita paksa diri kita perlahan-lahan. Kalau rasa hendak buat sesuatu yang tidak elok, cepat-cepat istighfar. Banyakkan bermuhasabah.

Huhu... Mengantuk pula tiba-tiba (walhal matahari baru hendak naik)..

Baik.. selamat menjalani ibadah puasa ;)

Muthiah : Maaf zahir batin bagi mereka ... 279 ~

Karnival ibadah... Jom...



Bukan Karnival Jom Heboh... Ini adalah karnival yang lebih mantap. Mantap? Tepuk dada, tanya iman...
Labels: 0 comments | | edit post

Puasa (iii)


-sambungan-

Assalammualaikum. Bagaimana dengan ibadah puasa kita, ada baik? Apapun, moga-moga kita terus bergerak ke hadapan. Mencari sisi kebaikan dari dalam diri.

Andai jatuh tersungkur, cubalah bangkit segera. Kalau tidak mampu bangun sendiri… mintalah pertolongan daripada sesiapa yang berada dekat dengan kita. Sekiranya tidak ada siapa-siapa di situ, ALLAH ada… ALLAH dekat mendengar setiap rintihan hati kita.

Sambungan tentang puasa… Ehe… bukan apa, mungkin ada di kalangan sahabat yang masih belum tahu tentang ibadah puasa ini. Jadi, walaupun nampak mudah dan remeh, insya-ALLAH, Muthiah akan tetap kongsikan bersama. Selamat bermuhasabah ;)

Perkara yang membatalkan puasa :

1- Makan dan minum dengan sengaja (walau hanya pada saki baki makanan pada celahan gigi).
2- Muntah dengan sengaja.
3- Bersetubuh atau keluar air mani dengan sengaja.
4- Keluar haid atau nifas bagi perempuan.
5- Tidak waras yakni gila.
6- Mabuk atau pitam sepanjang hari.
7- Merokok.
8- Murtad.
9- Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka – Boleh rujuk blog Ustaz Zaharuddin untuk penerangan lanjut.

Perkara yang membolehkan seseorang (harus) berbuka puasa :

1- Orang yang sakit – kalau berpuasa, bisa memudaratkan.
2- Orang yang bekerja berat.
3- Orang yang bermusafir (berperjalanan).
4- Ibu yang hamil serta yang menyusukan bayi.
5- Orang yang terlalu tua sampai tidak mampu berpuasa.
6- Orang yang kalau berpuasa, akan memudaratkan dirinya (kerana terlalu lapar).

Yang diharamkan untuk berpuasa :

1- Puasa pada 30 Syaaban - Hari syak.
2- Puasa pada 1 Syawal – Hari Raya Aidilfitri.
3- Puasa pada 10 Zulhijjah – Hari Raya Aidiladha.
4- Puasa pada 11, 12, 13 Zulhijjah – Hari Tasyrik.
5- Puasa bagi wanita yang berada dalam keadaan haid dan nifas.
6- Puasa sunat seorang wanita tanpa izin suaminya.
7- Puasa yang dikhuatiri memudaratkan dirinya (jika dia terus berpuasa).
8- Puasa bukan kerana ALLAH.

Muthiah : Minta maaf pada bulan puasa sahaja??? Hmmm..
Labels: 0 comments | | edit post

Puasa (ii)


-sambungan-

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Ayuh… kita memanfaatkan peluang yang ada ini untuk mendekatkan diri kepada ALLAH. Jom, baca… Serba sedikit tentang puasa…

Syarat wajib puasa :

1- Berakal yakni tidak gila/ waras.
2- Baligh yakni cukup umur.
3- Mampu yakni tidak uzur/ sakit.

Syarat sah puasa :

1- Beragama ISLAM.
2- Berakal; tidak sah jika gila atau bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz.
3- Suci daripada haid dan nifas.
4- Dalam waktu yang dibenarkan berpuasa yakni bukan dalam tempoh haram berpuasa.

Rukun berpuasa :

1- Berniat pada malamnya.
2- Menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, mulai sewaktu terbitnya fajar sehingga terbenam matahari.

Perkara sunat dalam berpuasa :

1- Bersahur (walau sedikit) dan melambatkannya.
2- Menyegerakan berbuka dan sunat berbuka dengan buah kurma, makanan yang manis atau minum air.
3- Membaca doa berbuka puasa.
4- Menjamu orang berbuka puasa.
5- Memperbanyak ibadah dan amal kebaikan.
6- Meninggalkan perbuatan dan perkataan keji.

-bersambung-

Muthiah : Ayuh lakukan… biar sedikit asal berterusan ;)
Labels: 0 comments | | edit post