Mencari Naurah (Bab 5)
“KOTA BHARU... Kota Bharu,” jerit pemandu bas kedua. |
“Dik... dik. Bangun. Dah sampai stesen,” seorang wanita pertengahan usia menepuk-nepuk bahuku dengan perlahan.
“Terima kasih, kak.” Cepat-cepat kucelikkan mata. Wanita bertudung labuh yang mengejutku sebentar tadi berjalan laju menuruni bas. Kemudian, bergerak ke arah sebuah kereta Toyota Wagon yang diparkir di tepi stesen. Rupa-rupanya, ada seseorang yang sudah menanti. Boleh jadi suaminya. Setelah menyalami lelaki yang berkopiah hijau itu, mereka segera menaiki kereta. Aku tersenyum sendiri tatkala membaca tulisan pada sticker yang ditampal... ‘Belilah barangan buatan Malaysia.’ Ya! Belilah produk hasil penduduk tempatan.
Aku mencari-cari kelibat seseorang. Aku sudah maklumkan kepada Nasrul untuk datang menjemputku jam 6.00 pagi. Di manakah dia pergi atau belum bangun lagi? Aku cuba hubungi telefon bimbitnya berkali-kali, namun tiada jawapan. ‘Tidur mati gamaknya,’ getus hatiku.
Aku tidak mahu menyusahkan mak. Jika aku menghubunginya, sudah tentu dia akan kelam-kabut meminta Nasrul mengambilku. Nasrul pula pastinya acuh tidak acuh sahaja dengan permintaan mak. Mak yang keletihan akan bertambah penat.
Semalam, ada bekwah di rumah Pak Mat. Sudah tentu seharian ibu membantu. Begitulah kehidupan di kampung. Saling menolong dan bekerjasama. Tidak seperti Kuala Lumpur, jiran sendiri pun tidak kenal!
Hisy Nasrul... kalau begini, lebih baik aku solat subuh dahulu. Lagipun, sudah hampir masuk waktu. Jam 7.00 nanti, aku akan hubungi dia lagi. Jika masih tiada jawapan, nampaknya perlulah aku menaiki bas buat kesekian kalinya.
‘Sabar Natasha, sabar. Pasti ada hikmah di sebalik sesuatu,’ pujuk hatiku.
~bersambung~