Isteri Derhaka??? (i)

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Ada berlaku sedikit kecelaruan dalam membahagikan masa (antara menulis manuskrip, mengemaskini blog dan menulis cerpen). Insya-ALLAH... selepas ini, Muthiah akan cuba menyusun masa sebaiknya. Agar Muthiah tidak menumpukan satu-satu perkara sampai mengabaikan yang lainnya.

Bagaimana dengan kehidupan hari ini? Muthiah... Alhamdulillah. Sentiasa berfikiran positif dan tidak mahu mengenangkan sesuatu yang boleh menyungkurkan diri. Jika bukan Muthiah yang membuat pilihan (ke arah positif itu), siapa lagi?

Jadi... AYUH!! Bagi yang tidak bermaya. Mari sama-sama kita bangkit kembali. Alah! Cakap senanglah. Hmm... Jadi, pilihlah untuk berterusan lemah dan tidak bermaya ;)

Hari ini, Muthiah ingin berkongsi sesuatu tentang peranan isteri. Secara tidak langsung, mahu mengingatkan diri Muthiah sendiri sebenarnya. Agar tidak terjerumus ke arah itu. Apa dia???

Tanda isteri yang derhaka...

1- Menyakiti hati suami ~ Nauzubillah. Mohon dijauhkan dan jika ada... Mohon keampunan daripadanya.

Nabi SAW bersabda, "Tidaklah seorang isteri menyakiti hati suaminya di dunia kecuali berkata hurun'in (bidadari-bidadari syurga), 'Janganlah engkau menyakitinya kerana dia di sisimu hanyalah sebagai tamu dan hampir-hampir berpisah denganmu untuk bertemu dengan kami,'." (H.R. Al-Tarmidzi dan Ibnu Majah).

2- Berpuasa sunat tanpa izin suami ~ Khuatir, amalan sunat yang sewajarnya mendapat ganjaran pahala daripada ALLAH menjadi sebaliknya.

Nabi SAW bersabda, "Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat jika suaminya ada di rumah serta tanpa izinnya. Dan, tidak boleh membenarkan seorang lelaki masuk ke dalam rumahnya tanpa izin suaminya."

3- Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami ~

Bersabda Nabi SAW (sesudah solat gerhana), "Diperlihatkan neraka kepadaku. Ternyata kebanyakannya terdiri daripada wanita yang kufur." Rasulullah ditanya, "Adakah wanita itu kufur kepada ALLAH, ya Rasulullah?" Nabi SAW menjawab, "Tidak melainkan mereka kufur kepada suami dan mengkufuri kebaikan suami. Seandainya engkau berbuat baik kepadanya, sebanyak mana sekalipun, dia masih berasa belum puas dan tidak cukup." (H.R. Al-Bukhari).

Dengan kata lain, kita sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang suami berikan kepada kita.

Hmm... Pernah merasa tidak cukup dengan apa yang kita miliki? Selaku manusia, kadang-kadang kita terlupa dan teralpa. Kita mahukan sesuatu yang bukan ketetapan ALLAH menjadi milik kita (buat masa ini). Apabila tidak berjaya memperolehinya, kita kecewa dan putus asa. Sedih... marah... sakit hati... busuk hati... Paling parah, kita berasa iri hati terhadap orang lain yang telah memilikinya. Bertambah-tambah parah jika kita memilih untuk memusnahkan kebahagiaan orang lain pula. Tepuk dada, tanya iman. Kita dan ALLAH sendiri yang lebih tahu.

Jadi, bagaimana? Ayuh... kita renungi ayat ini yang bermaksud, "Dan ingatlah, tatkala TUHAN-mu memberitahu, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah nikmat kepadamu dan sekiranya kamu mengingkari nikmat-KU, maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih,'."

~bersambung~
Labels: | edit post
0 Responses