Mencari Naurah (Bab 4 ~ Samb.)
Astaghfirullah... Bulu romaku meremang. Tiba-tiba, rasa takut menghantui diri. Aku gusar kerana sering melupakan-NYA. Bibirku mengatakan ALLAHlah segalanya tetapi tidak bagi hati yang terletak jauh dalam jasadku. Hatiku meronta-ronta memanggil nama insan lain. Aku pasti!
‘Ampunilah dosaku. Ampunilah aku...’
‘Ya, ALLAH. Kurniakanlah rahmat-MU buatku yang sentiasa berbuat dosa ini...’
Aku tunduk memandang lantai bas yang berwarna kelabu. Perlahan-lahan kupejamkan mata. Entah kenapa tidak semena-mena aku berasa takut dan gelisah.
‘Ya, ALLAH. Ya, ALLAH. Ya, ALLAH...’ batinku menjerit-jerit memanggil TUHANku.
Aku yang tadinya membongkok sedikit ke hadapan kembali bersandar pada kerusi bas. Cepat-cepat kucelikkan mata. Takut kalau-kalau mataku tidak dapat melihat dunia lagi. Nah!!! Wajah Asyraf juga yang hadir...
Entah kenapa hanya wajah itu yang sering datang dalam kotak pemikiranku... ungkapannya, tingkah lakunya dan segala sesuatu yang berkait dengan dirinya! Meskipun bibirku menyebut nama TUHAN, hatiku tidak mahu turut serta. Aku yang tadinya tidak keruan menjadi semakin gelisah. Aku mengatup kembali mataku. Dengan harapan, wajah itu akan beransur pergi tatkala aku mencelikkan mata semula.
‘Ya, ALLAH. Sesungguhnya aku tidak dapat melakukannya tanpa pertolongan serta petunjuk daripada-MU.’ Aku merayu dengan penuh pengharapan. Kali ini, aku membuka mataku perlahan-lahan. Alhamdulillah, ia sudah hilang dari pandangan. Aku segera mengambil majalah Al-Islam yang kusimpan di dalam beg sandangku. Beg tersebut pula terletak betul-betul di tepi kerusiku.
‘Astaghfirullah... astaghfirullah... astaghfirullah,’ ucapku di dalam hati. Moga-moga ungkapan ini dapat menyucikan bintik hitam yang sedang menjalar.
Mengantuk... Lebih baik aku tidur dahulu. Tidak sabar rasanya menghirup udara segar di desa. Berjumpa dengan ibu yang banyak mencurahkan bakti buat aku dan adik-adik. Setelah ayah meninggal dunia lima tahun dahulu, ibulah ayah dan jua ibu. Ibu tidak pernah mengeluh dengan keperitan hidup yang dialami.
Tidak dapat aku lupakan saat dia mengalirkan air mata tatkala aku menerima tawaran memasuki universiti tersohor ini. Lantas dia membuat sujud syukur sebagai tanda terima kasih kepada ALLAH atas peluang yang diberikan-NYA kepadaku. ‘Terima kasih, TUHAN,’ ucapku perlahan. Mataku semakin layu. Entah bila aku terlelap, aku sendiri tidak tahu...
~bersambung~