Mencari Naurah (Bab 4 - samb.)


Aku memandang sebelah kiri... kelihatan seorang pak cik begitu khusyuk membaca majalah. Mungkin dia baru membelinya sementara menanti ketibaan bas. Pasti bosan menunggu bas yang kadang-kadang tertangguh sehingga berjam-jam lamanya! Lebih-lebih lagi pada musim perayaan. Mahu pitam dibuatnya.

Kulihat pak cik itu sedang membelek majalah Mastika dengan teliti. Jika Mastika yang dibaca, sudah tentu ada isu hangat yang dipaparkan. Muka hadapan majalah tersebut kuperhatikan dari jauh. Terpapar gambar sekumpulan remaja yang berpakaian serba hitam. Wajah-wajah mereka dikaburkan. ‘Kumpulan Black Metal gamaknya,’ aku berkata sendiri. Entah apa hendak jadi dengan dunia hari ini.

Islam itu sudah cukup cantik. ALLAH yang Maha Tahu sudah menyediakan yang terbaik untuk setiap makhluk di atas muka bumi ini. Bukankah PENCIPTA itu lebih arif atas sesuatu yang dicipta-NYA? DIA tidak lokek dengan kurniaan dan yang paling utama, DIA sama sekali tidak kedekut dengan kasih sayang-NYA yang Maha Agung. Tanpa cinta al-Malik, pasti kita tidak akan aman dan tenteram. Justeru, sentiasalah kembali dan ingat kepada PENCIPTA... sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih.

Sekiranya ditanya kepada murid-murid sekolah rendah yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, “Siapakah Alexander Graham Bell?” Pasti ada yang terloncat-loncat hendak menjawabnya. Maklumlah, mereka sudah sinonim dengan nama ini. Saintis barat yang sememangnya sudah cukup dikenali.

Bapa orang-orang pekak ini menjadi terkenal apabila berjaya mencipta telefon pada tahun 1876. Meskipun berabad sudah berlalu, namanya masih menjadi sebutan. Mengapa? Kerana jasanya! Atas sebab itulah sewaktu kematiannya pada Ogos 1922, semua telefon di Amerika Syarikat telah berhenti berdering selama seminit, sebagai tanda penghormatan atas sumbangannya dalam bidang saintis khususnya aliran komunikasi.

Itu Graham Bell, bagaimana pula dengan ALLAH SWT yang telah mencipta seorang lelaki genius bernama Alexander Graham Bell itu? Bukan itu sahaja bahkan RAB yang satu ini telah menjadikan alam semesta dalam sekelip mata. Alam semesta tersebut pula diduduki oleh berbilion nyawa. Ada yang taat dan ada juga yang ingkar terhadap-NYA. Mereka yang derhaka ini mungkin lupa dan boleh jadi tidak pernah diingatkan. Apabila DIA katakan, “Kunfayakun,” maka jadilah segala sesuatu tanpa sebarang halangan. Tidak kira sama ada satu kehidupan baru mahupun kemusnahan yang bisa melenyapkan mereka yang angkuh lagi sombong itu.

Aku menggeleng perlahan. Khuatir diriku tergolong dalam golongan yang ingkar. Khuatir menjadi insan ‘terpilih’ yang dilenyapkan TUHAN dari atas muka bumi ini dalam keadaan hina dan mengaibkan.


~bersambung~

0 Responses