Tauhidullah



Salam ukhwah fillah. Acummmm… hehe… bersin banyak kali hari ini. Ikutkan, mahu rehat tetapi rasa rugi pula. Alhamdulillah, P-FC sudah selesai untuk satu bab cuma perlu edit lagi (insya-Allah, petang ini buat).

Hari ini, ingin berbicara tentang apa ya? Anda benar! Muthiah ingin berkongsi tentang TAUHID…

Mengikut Kamus Dewan Edisi Empat (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka:
1- TAUHID – Keesaan atau ketunggalan (Allah).
2- MenTAUHIDkan – Mengakui bahawa Tuhan itu esa; Mengesakan, menyatukan, menumpukan hati dan memusatkan (hati).
3- KeTAUHIDan – Berkenaan dengan tauhid, tauhidiah.
4- TAUHIDiah – Mengenai keesaan Allah.

Persoalannya, apakah kepentingan mengtauhidkan Allah?

Dengan kata lain, seorang Muslim itu perlu berusaha untuk mengenali Allah. Bukankah tidak kenal maka tidak cinta? Bilamana ia tidak ‘kenal’ dengan Penciptanya, boleh jadi membuatkan ia jauh dan terus menjauh. Ia tidak sedar bahawa Allah sentiasa mengawasinya… bukan itu sahaja, setiap apa yang dilakukan pasti kan diperhitung oleh Allah kelak.

Jadi, kenallah Allah. Tatkala kita melakukan dosa, ketahuilah bahawa Allah itu MAHA PENGAMPUN lagi MAHA MENGASIHANI. Bilamana kita tidak cukup kuat (menghadapi ujian), sesungguhnya Allah itu amat dekat dengan kita. Dia MAHA MELIHAT, MAHA MENGETAHUI dan MAHA SEGALANYA. Yang penting, kita perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah…

Baiklah… berbalik kepada persoalan tauhid. Pertamanya, tauhid itu sendiri merupakan ASAS AQIDAH;

1- Pergantungan kepada Allah : Ar-Ra’d ayat 16 – Katakanlah,“Siapakah Tuhan langit dan bumi?” Jawabnya, “Allah.” Katakanlah, “Maka, patutkah kamu mengambil pelindung-pelindungmu selain daripada Allah, padahal mereka tidak menguasai kemanfaatan dan tidak (pula) kemudharatan bagi diri mereka sendiri?”…

2- Kasih sayang dan rahmat Allah : Al-An’am ayat 12 – Katakanlah, “Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah, “Kepunyaan Allah.” Dia telah menetapkan atas Diri-Nya kasih sayang…

3- Pujian bagi Allah (kesejahteraan bagi hamba : An-Naml ayat 59 – Katakanlah, “Segala puji bagi Allah dan kesejahteraan atas hamba-hamba-Nya yang dipilih-Nya. Apakah Allah yang lebih baik atau apa yang mereka persekutukan dengan Dia?”…

Apa pula kesannya bilamana kita mentauhidkan Allah??? Ketahuilah… mendekatkan diri kepada Allah, banyak manfaatnya. Bukankah Allah itu Pencipta?

1- Membebaskan manusia
Benar… dengan mengesakan Allah, dapat membebaskan manusia daripada kekufuran dan kejahilan. Jom kita selusuri sirah Rasulullah… kisah penghijrahan ke Habsyah… antara Najasyi dan Jaafar bin Abi Talib.
Najasyi : Apakah agama baru yang kamu bawa ini?
Jaafar : Dahulu, kamu menyembah berhala, melakukan maksiat, makan binatang yang tidak disembelih, melakukan maksiat, bergaduh sesama sendiri serta memutuskan persaudaraan dan menyakiti orang lain. Kemudian, datanglah seorang lelaki mengajak kami mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Esa. Lelaki ini menyeru kami meninggalkan berhala yang tidak mendatangkan manfaat dan mudarat, mengajak kami supaya bersaudara dan berakhlak mulia serta… meninggalkan maksiat dan dosa…

2- Hidup yang lebih baik
Manakan tidak bertambah baik? Kehidupan kita berlandaskan ketetapan Pencipta alam ini. Sesungguhnya, kita punya Tuan yang menjaga dan memelihara diri kita.
a) Peribadi yang seimbang (tidak berat sebelah, sesuai)
b) Asas persaudaraan dan persamaan – Sudah nyata lagi jelas bahawa yang membezakan antara seorang Muslim dengan Muslim lainnya hanyalah dari sisi TAQWA kepada Allah.
c) Barakah – Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 96 yang bermaksud, “Sekiranya penduduk negeri-negeri berIMAN dan berTAQWA, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka BERKAH dari langit dan bumi…”

3- Ketenangan - Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud, “… Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

4- Kekuatan jiwa – Sesungguhnya, sebagai manusia yang lemah, kita membutuhkan kekuatan dan kekuatan itu tidak lain dan tidak bukan datangnya daripada Allah. Bilamana kita sudah kenal Allah… kita berusaha untuk semakin mendekat kepada-Nya. Tatkala kita sudah dekat, insya-Allah… kekuatan itu juga akan dekat dengan kita. Tetap tidak kuat? Ketahuilah… tanda kasih sayang Allah juga boleh dilihat daripada ujian. Ujian itu pula ada dua yakni ujian kesenangan dan musibah. Sekiranya kita diuji dengan ujian musibah, kembalilah kepada Allah dengan sabar. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud, “ … Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Hmm… panjang juga kupasan minggu ini. Sebenarnya, belum habis lagi tetapi Muthiah rasa cukup setakat ini (nanti pening pula membacanya – Bak kata suami Muthiah, artikel panjang-panjang… “ Malas benar untuk membacanya…”). Insya-Allah, diizinkan Allah, halakah minggu hadapan Muthiah akan berkongsi tentang konsep tauhid… yang merangkumi Rububiyah, Mulkiyah dan Uluhiyah (di kampus dahulu, ada tambah satu lagi info yakni asma’ wa sifat). Baiklah, selamat membaca.
Labels: | edit post
0 Responses