Dahulu dahulu…




Salam. Waduh waduh… hari ini perut memulas tetapi Alhamdulillah, tetap bertenaga.

Baru-baru ini, Muthiah beritahu suami… Muthiah rasa rendah diri terhadap kawan-kawan suami yang sama jawatan dengannya (staf tempat suami bekerja – pegawai kanan). Entah, mereka wanita berkerjaya dan bergaji besar, punya itu dan punya ini.

Kemudian, suami kata… ‘Jangan rasa macam itu’… sebab, bukan Muthiah tidak punya kerja bahkan sebelum ini pun Muthiah sudah mempunyai pekerjaan tetap. Katanya, Muthiah mengambil keputusan berhenti kerja kerana mahu bersama suami. Bukankah sesuatu yang baik begitu??? (Muthiah sedar hal ini cuma kadang-kadang rasa rendah diri itu timbul).

Kata suami lagi… Muthiah bukan duduk saja-saja tetapi Muthiah MENULIS dan suami menggalakkan Muthiah MENULIS dan terus MENULIS. Bukan itu sahaja, Muthiah juga bekerja sebagai Pengurus Dapur, Pengurus Pakaian, Pengurus Rumah dan banyak lagi sebenarnya kerja Muthiah. Hehe…

Baiklah, berbalik kepada ‘Impian & Cita-cita,’. Muthiah sebenarnya mula menulis sejak berumur 10 tahun (darjah 4)… bukan tulis cerpen/ puisi/ novel tetapi tulis DIARI. Yup… sejak berpindah ke Terengganu (dan semenjak mama meninggal dunia), diari merupakan teman Muthiah yang paling akrab. Kalau di kalangan kawan-kawan…

Teman akrab Muthiah :-

1- Darjah empat hingga enam : Nor Afida Ayu (Ayu)
2- Darjah enam hingga tingkatan dua : Mas Ernie (Ernie)



3- Tingkatan satu hingga tiga : Nor Hazreen (Noyen), Geng SUAZMALINI (Azmar kekal menjadi kawan baik Muthiah sehingga ke hari ini)
4- Di KISAS – macam tidak ada tetapi ada beberapa teman yang Muthiah kagum kepadanya (mungkin kerana akhlaknya)… lagi, Muthiah ada kakak angkat yang bernama Junifa (0506)
5- Di PMKN – Nur Afni Idayu (Afni) dan Aidah (Muthiah juga agak rapat dengan Ainienhayati [selalu sahaja silap eja namanya] dan Che Azwira)
6- Di UM hingga kini – tidak dapat spesifik tetapi Muthiah memiliki orang-orang yang Muthiah sayang ;)

Apa yang Muthiah coretkan? Lazimnya, Muthiah luahkan apa-apa yang terpendam. Contohnya rasa marah, suka, benci, sayang dan banyak lagi. Sekali pandang, Muthiah adalah seorang yang ‘happy go lucky’ serta kepoh juga orangnya.

Semacam tidak ada rahsia yang tersimpan (mungkin) kerana ada sahaja yang Muthiah kongsikan dengan kawan-kawan terutama geng lelaki tingkatan 3KA (Rubar, Amir, Yo, Zamri, Sani, Mat Tam, Pajeng dan Adi[paling rapat dengan Rubar]) – hal bola khususnya [semacam tidak ada isu lain]. Akan tetapi, dalam masa yang sama banyak juga yang mereka tidak tahu terutamanya hal-hal sebenar yang Muthiah kira hanya Muthiah yang boleh tahu. Kalau tidak, jatuhlah ‘standard’ Muthiah, kononnya… Hehe…



Jadi, Muthiah tulis dan tulis. Apa yang berlaku pada hari tersebut (yang penting bagi Muthiah) dan apa sahaja yang telah membuatkan hati Muthiah berbunga. Kalau Muthiah tidak berpuas hati dengan sesiapa pun, Muthiah akan coretkan (terutamanya kepada teman rapat yang Muthiah hendak jaga hati mereka… tetapi lazimnya, Muthiah sepak terus kaki empunya diri yang Muthiah tidak sukai).

Selain menulis diari, Muthiah juga suka membaca. Waktu zaman muda-muda dahulu, Muthiah layan majalah Remaja (cerpen dan novel bersiri di dalamnya). Buku lain… apa sahaja buku di hadapan mata, lazimnya Muthiah khatam sekelip mata.

Bacaan Muthiah :-

1- Zaman sekolah : Apa sahaja buku di hadapan mata (novel/ cerpen/ majalah).
2- Selepas SPM (sewaktu bekerja di Kuala Terengganu [tolong makcik jaga kedai]): Buku-buku politik. Yang Muthiah ingat, antara buku yang Muthiah baca ialah tulisan SH Al-Attas dan Shahnon Ahmad. Yang lain, Muthiah kurang ingat siapa penulisnya dan apa tajuk bukunya.
3- Sewaktu belajar dan sebelum bekerja di bank : Buku-buku tarbiyah terbitan Pustaka Indonesia. Ya… waktu ini, Muthiah lebih gemar membaca buku-buku dari seberang. Dengan kata lain, buku-buku yang membangun jiwa dan rohani. Antara buku kegemaran Muthiah ialah ‘Tarbiyah Ruhiyah dan Tazkiyatul Nafs’.
4- Sewaktu kerja bank : Huhu… banyak merubah corak pembacaan Muthiah. Muthiah baca komik dan komik kegemaran Muthiah ialah Detektif Conan.
5- Sekarang : Berjinak-jinak dengan novel.

Tentang penulisan cerpen, Muthiah menulis sejak di sekolah menengah rendah. Gaya bahasa… terarah kepada gaya bahasa penulis-penulis cerpen dalam majalah Remaja, juga tulisan Ahadiat Akasyah (betulkah ejaan namanya begini?). Antara tajuk cerpen Muthiah ialah : Salam Sejahtera, Untukmu Ibu, ILU (I love You)… Temanya, lebih kepada percintaan (nama lagi dipengaruhi oleh majalah Remaja).

OKlah, Muthiah ingin makan tengah hari dahulu. Hari ini, Muthiah masak mee kari buat bekal suami ke tempat kerja. Huhu… tiba-tiba rasa lapar. Selamat ya ;)
0 Responses