Kerana Aku …



‘Sesungguhnya wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji manakala lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula). Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik manakala lelaki yang baik adalah buat wanita-wanita yang baik (pula)…’ An-Nur : 26.

Berkali-kali aku mengulangi kalimah itu. Kuselami dan kuhayati di dalam hati. Tersentuh… pilu menyelubungi jiwa. Bahawasanya janji Allah itu benar. Allah SWT sama sekali tidak akan menguji hamba-Nya melainkan ia mampu untuk memikulnya. Itu pasti.

“Anis, bila nak hantar kad wangi?” Tanya Zaza suatu hari. Kulihat ia tersenyum manis. Al-maklumlah, ia kini sedang menghitung hari saat-saat bahagia bergelar isteri. Bertemu jodoh pula dengan insan yang dicintai. Bertuah sungguh badan.

“Insya-Allah, sampai masa adalah nanti,” jawabku pendek. Entahlah. Kadang-kadang aku tertanya-tanya sendiri. Adakah hanya wanita jelita yang mudah mendapat perhatian para pemuda? Sedangkan pada zaman Rasulullah SAW, kecantikan bukanlah ukuran. Siapa tidak kenal Bilal bin Rabah? Hamba kepada Umayyah bin Khalaf yang hitam legam ini sudah kedengaran tapak sepatunya di dalam syurga. Jadi, apakah yang lebih hebat daripada takwa? Sebagaimana firman Allah dalam surah al-A’raaf ayat 26 yang bermaksud, ‘… Dan pakaian takwa itulah yang lebih baik…’

Aku mungkin tidak jelita sebagaimana gadis lain. Aku juga mungkin tidak berharta dan bukanlah berasal daripada keturunan bangsawan. Bapaku sudah lima belas tahun meninggalkan ibu. Entah ke mana ia pergi. Pernah juga kudengar suara-suara yang berkata bahawa bapaku telah berkahwin lain dan mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga. Namun, bilamana aku bertanya kepada ibu, ia hanya membisu. Sama sekali ibu tidak mahu berbicara tentang bapa. Begitu mulia hati ibu meskipun ia telah digantung tidak bertali.

Apa lagi yang mampu aku lakukan? Dalam usia menjangkau 29 tahun, aku masih solo dan tidak punya teman. Dengan kata lain, aku masih belum berpunya. Sering kali aku mendengar teman-temanku berkata, ‘Single but not available… tetapi masih boleh dirunding.’ Apa maknanya tu? Yang dapat aku fahami, masih belum berkahwin tetapi sudah berpunya. Akan tetapi, jika yang datang itu ‘lebih baik’, masih boleh difikirkan. Aku pun tidak faham dengan pengertian ‘lebih baik’ itu.



Di kampung, jiran sekeliling sudah bising. Bila mahu naik pelamin? Umur sudah lanjut. Tidak takut jadi anak dara tua alias ANDARTU? Mujur ibu memahami. Dia tahu bahawa anaknya ini tidaklah secantik mana. Bukan itu sahaja. Ditambah dengan penampilanku yang tidak mengikut arus semasa. Niat di hati, mahu sahaja aku mengikuti fesyen terkini tetapi ada yang membataskan. ‘Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya…’ An-Nur ayat 31.

Benar! Syariat Allah telah membataskan aku dalam apa jua perkara yang aku lakukan. Aku tidak berani untuk melanggar ketetapan itu. Aku takut… aku takut terhadap ancaman Allah sekiranya aku engkar. Tiada jaminan bahawa aku dapat bertahan dengan api neraka Allah. Terpercik minyak panas tatkala menggoreng ikan pun aku sudah mengerang kesakitan, inikan pula azab yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang degil.

“Anis, awak bukannya tidak ada rupa tetapi awak ni strict sangat,” kata Sufyan suatu hari tatkala ia melalui mejaku. Begitulah sehari-hari. Mejanya yang terletak selang satu meja dengan mejaku menyebabkan kedudukan aku dan dia tidak jauh. Aku sekadar tunduk. Apa yang boleh aku lakukan? Bersamanya dalam satu office menyebabkan aku sesak. Sesak nafas memikirkan permasalahan hati yang membelenggu diriku. Bukan tidak mahu tetapi tidak tahu…

Aku tidak tahu bagaimanakah caranya untuk bersahabat tanpa membelakangi apa yang telah ditetapkan oleh Allah. Aku khuatir andaikata aku terjerumus dalam ‘zina’ yang menyebabkan aku jauh daripada Pencipta. Zina mata… zina telinga… zina mulut… zina hati yang kelak menyungkurkan aku daripada landasan yang sebenar. ‘Dan janganlah kamu mendekati zina…’ Al-Isra’ ayat 32.

Aku benar-benar risau dan takut. Aku mahu berkahwin dengan lelaki yang baik. Justeru, aku perlu berusaha keras menjadi wanita yang baik. Baik pada kacamata Allah dan bukannya pada pancaindera manusia semata-mata. Alangkah indah sekiranya aku mampu menjadi seperti Sayidatina Fatimah RA yang begitu terpuji akhlaknya. Lebih indah andaikata aku bertemu jodoh dengan pemuda yang hebat lagi takwa seperti Sayidina Ali RA. Namun, kusedar diri siapalah aku.

Aku tidak mampu menjadi sebegitu. Srikandi idaman para pemuda. Bukan sahaja cantik tetapi tahap pengabdiannya kepada Allah tidak dapat dipertikai lagi. Sembahyangku pun tidak kusyuk, bercita-cita menjadi sepertinya? Aku bukan tidak mahu kusyuk tetapi kadang-kadang syaitan laknatullah menggangguku. Aku pelik, dalam sembahyang sahaja ia mahu hadir dan dalam solat juga aku mahu melayaninya. Inilah yang dikatakan sebagai manusia. Sudah diingatkan Allah bahawa syaitan itu adalah musuh yang paling nyata tetapi aku sering kali lupa dan alpa.

Em… Aku termenung lagi. Ajakan Sufyan untuk makan tengah hari bersamanya aku tolak mentah-mentah. Katanya, bukan pergi berdua. Azira dan Syuhada ikut serta sebagai peneman. Aku jadi hairan. Bukankah Sufyan sudah arif tentang ilmu agama. Apa gunanya ia belajar tinggi sehingga ke negara anbiya’ namun tidak dapat menghayati dan mengaplikasi segala ilmu yang dipelajarinya. Adakah ia tidak sedar tentang ancaman Tuhan dalam surah as-Saf ayat 3, ‘Amat besar kebencian di sisi Allah apabila kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.’



Meskipun tidak berkhalwat (berdua-duaan), apakah jaminan bahawa hati akan sentiasa terpelihara? Dia mungkin memiliki iman yang kental dan mantap sehingga mampu mengusir segala mainan syaitan tetapi tidak aku. Aku insan lemah yang perlu berkata ‘tidak’ agar tidak terjebak. Ada juga bisikan yang menyarankan agar aku mencuba dahulu. Sekiranya gagal, barulah aku hindari namun sejauh mana pula jaminan bahawa aku tidak akan mengulanginya lagi? Bukankah syaitan itu sangat dekat denganku sehingga aku akhirnya mengikut telunjuknya? Lantas, ia akan bersorak gembira atas kejayaannya menggodaku. ‘Sesungguhnya, sama sekali aku tidak akan tunduk kepadamu,’ aku berkata sendiri dengan tegas.

“Anis, tidak salah untuk berkenal-kenalan. Dalam Islam, kita perlu saling taaruf, tafahhum (memahami) dan takaful (tolong-menolong). Islam itu luas dan indah. Jangan disempitkan,” kata Kak Puji suatu petang.
“Akak tengok, Sufyan benar-benar mahu mengenali Anis. Bukan nak buat sesuatu yang tak elok pun. Anis kena fikir, umur Anis makin meningkat. Tipulah kalau Anis cakap Anis tak nak kahwin. Fitrah Nis,” tambahnya lagi sebelum sempat aku mengeluarkan suara. Aku mahu bersuara tetapi sering kali melekat pada kerongkongku.

Sukar untuk aku jelaskan dan tidak ada siapa yang mahu mengerti. Bukannya tidak mahu tetapi tidak tahu. Aku sedar, aku bukanlah gadis muda. Usiaku bertambah sehari-hari. Namun, aku kelu setiap kali berdepan dengannya. Hanya Tuhan yang tahu gelodak hatiku. Hanya Dia tempat aku mengadu kerana kutahu bahawa Dia amat dekat denganku. Lebih dekat daripada urat merihku.

Dia tahu bahawa aku sebenarnya punya rasa cinta kepada seorang insan yang bernama Sufyan. Hatiku sering kali berdegup kencang tatkala berdepan dengannya. Setiap kali ia menegurku, pasti aku akan termimpi-mimpi. Aku khuatir sekiranya aku membuka ruang, ruang itu kelak membuatkan aku terus berada di awangan. Aku tidak mahu. Aku tidak sanggup tetapi kekuatan imanku begitu nipis untuk menepis segalanya. Maka, diam itu adalah paling baik buatku.

Ingin kukatakan kepadanya bahawa aku gagal mengawal hati? Aku malu. Aku begitu malu terhadapnya yang sentiasa nampak tenang dalam apa jua perkara yang dilakukan. Ia tidak mudah melenting apatah lagi merungut tetapi aku? Ada sahaja yang tidak kena. Meskipun tidak diluahkan melalui kata-kata, riak wajahku menggambarkan segalanya. Betullah kata Sufyan suatu pagi, “Anis ni terlalu banyak berfikir. Cool sikit!”

Aku sedar, aku bukanlah umat yang terbaik dan aku berasa begitu sukar untuk menjadi yang paling baik. Ilmu agama yang kumiliki begitu cetek. Amalanku juga tidak hebat sebagaimana orang lain. Aku bercita-cita menjadi srikandi Islam tetapi keyakinan serta semangatku tidak kental. Aku seorang penakut walaupun aku tahu Allah itu begitu hampir denganku untuk membantuku setiap saat dan ketika.

Untuk berjuang fisabilillah, aku tidak mampu. Untuk berinfak sebanyaknya, aku tidak punya apa-apa. Apa yang aku miliki kini sekadar cukup untuk keperluanku serta ibu di kampung. Hanya aku yang bekerja. Sering kali keperluanku tidak mencukupi. Kadang-kadang aku berfikir sendiri, adakah aku banyak memberikan alasan? Namun, inilah aku. Aku tidak mampu. Oh, Tuhan… ampunilah hambamu ini.

Aku hanya mampu untuk berusaha keras menghindarkan diri daripada penyakit hati yang kutahu dapat mengundang kemurkaan-Mu andai aku tersilap arah. Inilah yang mampu aku usahakan ya Allah. Aku serahkan segalanya kepada-Mu. Aku letakkan cintaku buatnya kepada-Mu. Hanya Engkau yang mengerti sesuatu yang tersurat dan tersirat. Engkau jua yang lebih tahu manakah yang terbaik buatku. Penyerahanku ini total buat-Mu ya Allah. Aku sudah tidak punya daya untuk membuat apa-apa.

“Anis, balik kampung minggu ni,” kata ibu suatu hari.
“Kenapa ibu?” Tanyaku.
“Anis, masih ingat apa yang Anis katakan pada ibu dahulu? Jika ada yang masuk meminang, lihat kepada agamanya. Sekiranya agamanya elok pada kaca mata ibu, Anis minta ibu menerimanya dan menetapkan tarikh pernikahan,” ibu menerangkan panjang lebar. Aku terdiam namun itulah yang aku panjatkan di dalam doaku sehari-hari. Aku mahu segera nikah tanpa berlama-lamaan berkenalan.

Tinggal sebulan aku akan bergelar isteri. Perasaanku? Aku redha meskipun tidak pernah bersua muka dengan bakal suamiku. Kami sekadar bertaaruf melalui emel. Gambarnya pula aku peroleh daripada ibu. Walaupun gambar yang diberikan agak kabur, aku menerimanya dengan hati terbuka. Mulai saat aku bersetuju menerima lamarannya, aku sudah berdikit-dikit melupakan Sufyan. Hatiku semakin tenang.

Sememangnya dialah pilihanku. Tanpa aku pinta, ia begitu menjaga tatasusila pergaulan. Dia tidak pernah bercakap meleret-leret tatkala sesi perkenalan berlangsung. Dia hanya bertanya sesuatu yang perlu. Tindakannya membuatkan aku sendiri malu untuk bertanya lebih-lebih meskipun banyak sebenarnya yang ingin aku kemukakan. Atas sebab itulah hatiku dapat menerima kehadirannya. Terdetik… adakah dia sebenarnya begitu hampir denganku? Lintasan hati itu hadir kerana ia seolah-olah tidak mahu berkenalan denganku, seperti sudah sedia kenal.

“Assalammualaikum…” Aku kaget mendengar suara ini. Macam kenal. Lantas aku mendongakkan kepalaku ke atas. Tanpa dapat dikawal, aku terus bangkit daripada dudukku dan memeluknya. Ya, aku kini sudah menjadi milik dia yang aku cintai dan kasihi. Dia yang suatu ketika dahulu acap kali mengganggu tidurku.

Aku kelu… tidak mampu berkata apa-apa. Benarkah aku tidak bermimpi?

“Kenapa susah sangat??” Sufyan bertanya tatkala melihat aku sepi seribu bahasa.
“Abang bukan ada niat jahat pun,” tambahnya.
“Insya-Allah, selagimana hayat di kandung badan, syariat Allah tidak abang abaikan. Anis tak perlu bimbang sebenarnya,” katanya lagi.
“Kerana Anis…” aku cuba menjawab soalannya tetapi terdiam seketika…
“Kerana Anis MUSLIMAH!”
Labels: | edit post
0 Responses