Barang FREE
Tuesday, July 28, 2009
Salam. Waktu mula-mula berkahwin, suami selalu tinggalkan Muthiah di pasaraya (suami pula masuk pejabat. Jam 5.00 petang, suami akan ambil Muthiah kembali) tetapi sejak akhir-akhir ini, kami sentiasa membeli-belah bersama.
Suami bertanggungjawab membawa troli dan membacakan senarai barang yang hendak dibeli manakala Muthiah akan memilih barangan (kecuali buah-buahan kerana suami lebih arif dalam bab memilih buah terutamanya tembikai).
Hendak dijadikan cerita…. semasa sedang mencari sos tiram, Muthiah terpandang ‘hadiah percuma’ yang diletakkan bersama sos tiram jenama X. Apa lagi, Muthiah segera memanggil suami yang berjalan lambat-lambat di belakang.
“Hendak beli sos tiram ini boleh?” Tanya Muthiah.
“Hmmm… sos tiram jenama ini tidak sedap. Cari jenama lainlah,” suami memberi cadangan.
“Tetapi….” Muthiah mengerling ‘hadiah percuma’ yang diletakkan sekali dengan sos tiram berkenaan.
Menyedari hal tersebut, suami pun berkata, “ Tidak apa. Kita beli sos tiram jenama Y dan kita beli juga teh halia ini secara berasingan.” (Hadiah percuma tersebut ialah dua paket teh halia).
“Ya…” Muthiah membalas, sedikit kecewa mungkin. Kemudian, Muthiah pun mengambil sos tiram jenama Y dan bersedia untuk ke kaunter bayaran.
Apabila melalui kawasan teh, suami pun berhenti di situ. Muthiah bertanya, “ Hendak cari apa?”
“Teh halia,” kata suami. Oh ya, tadi dia berjanji untuk membeli teh halia tersebut secara berasingan.
“Tidak apalah. Tidak mahu,” Muthiah membalas.
“Tidak apa tidak apa. Sudah janji bukan?” Suami tetap bersemangat mencari teh halia sepertimana ‘hadiah percuma’ itu tadi.
“Tidak mahu…”
“Tidak apa…” Tiba-tiba, teman sepejabat suami pun lalu. Ia menegur kami, “Lamanya berbincang.” Suami dan Muthiah pun saling berpandangan dan ketawa perlahan.
“Baiklah, belilah…” akhirnya Muthiah pun mengalah….
Hari pertama… suami seorang yang minum teh halia tersebut.
Hari kedua… suami seorang yang minum…
Hari ketiga pun sama. Hanya suami yang menyentuh teh halia yang dibeli.
Hari keempat…
“Kenapa tidak minum?” Tanya suami setelah Muthiah tidak ‘sentuh’ langsung minuman tersebut.
“Tidak minat air ini…” jawab Muthiah.
“Hari itu, kenapa hendak beli?” Suami bertanya lagi.
“Hmmm… tidak mahu beli …”
“Hari itu?”
“Hari itu, bukan hendak sangat teh halia itu. Cuma hendak hadiah percuma sahaja…” Apa lagi, suami pun buat kesekian kalinya menggelengkan kepalanya, “Oh my bini…”
Muthiah : Selepas ini, hendak dapat hadiah percuma teddy bear pula…