Dengarkan rintihanku wahai…



Salam ukhwah. Sebenarnya, Muthiah baru sahaja selesai P-FC. Jadi, mahu merehatkan minda seketika dengan menulis blog. Hmmm… hendak tulis apa ya?

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka, hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran.”

Hehe… isunya ialah ‘calon pasangan hidup tidak direstui ibu atau bapa,’. Umur sudah meningkat tetapi tidak menikah lagi. Pertama, kerana tidak punya calon. Hmmm… tidak mahu Muthiah bercoret panjang tentang ini. Kedua, sudah ada calon pilihan hati tetapi dibantah keras oleh ibu atau bapa…

Apapun keadaannya… ketahuilah bahawa jodoh itu adalah ketentuan Tuhan (namun…jangan lupa berusaha ya)... Dari Abu Abdul Rahman Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Rasulullah yang jujur dan terpercaya ucapannya memberitahu kami, “Sesungguhnya setiap kalian dikumpulkan penciptaannya dalam rahim ibu selama 40 hari berupa nuthfah (sperma), kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah yang menggantung) selama itu juga, kemudian menjadi mudhgah (segumpal daging) selama itu pula, kemudian diutuskan malaikat untuk meniupkan roh kepadanya dan menyampaikan empat perkara; menulis rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya dan menjadi orang sengsara atau bahagia…’ (HR Bukhari dan Muslim).

Banyak juga teman-teman Muthiah yang mahu menikah tetapi calon pilihannya tidak mendapat restu ibu atau bapanya. Akhirnya, ia menjadi kecewa dan dukacita. Ia menjadi cepat marah, moody, stres dan emosinya seringkali tidak stabil. Maklumlah, fitrahnya ia mahu menikah tetapi terdapat halangan di hadapan. Jadi, apa yang harus dilakukan?

Pertama sekali… ketahuilah bahawa tidak ada ibu atau bapa yang mahukan yang tidak baik untuk anak-anak mereka. Bayangkan… si ibu atau bapa sudah membesarkan si anak selama lebih 20 tahun. Kemudian, ingin ‘menyerahkan’ pujaan hati mereka kepada seseorang yang tidak dikenal hati budinya. Kadang-kadang, timbul rasa khuatir… timbul rasa ragu-ragu… Perlu diingat! Ibu atau bapa tidak kenal dengan calon pilihan kita. Hanya kita yang lebih mengenalinya. Sebab itu kita jatuh cinta :)

Contoh mudah… calon pasangan hidup itu tidak tinggal satu negeri dengan kita. ‘Jauh bangat..’… atau pekerjaan calon pasangan hidup itu masih tidak stabil dan diragui… atau calon kita itu sebenarnya sudah punya isteri, bahkan bakal menerima menantu. Maknanya, kita hendak jadi isteri nombor dua. Salahkah menjadi isteri nombor dua? Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat tiga yang bermaksud, “… maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian, jika kamu takut tidak AKAN DAPAT BERLAKU ADIL, maka (kahwinilah) SEORANG SAHAJA..” atau calon kita tidak cantik atau kacak.

Alasan yang sukar untuk kita terima kerana hati sudah sayang. Menyebabkan kita memberontak. Kita tidak mahu berbicara dengan ibu atau ayah. Kita mahu protes… kita tidak sudi lagi menjenguk keluarga di kampung. Kita mahu ibu atau ayah memahami hati kita. Akibatnya, hubungan yang sedia rapat menjadi semakin renggang.

Namun, selesaikah masalah jika kita berterusan ‘bermasam muka’ begitu? Mungkin, ada yang selesai. Ibu atau ayah mana yang mahu ‘perang dingin’ dengan anak-anak. Kalau adapun, mungkin kerana ingin menyedarkan. Mungkin juga kerana ego dalam diri tetapi ketahuilah…sesuatu yang mungkin itu belum tentu benar.

Pertama, dari sisi kita… sejauh mana kita sudah BERISTIKHARAH kepada Tuhan? Kita manusia biasa yang terbatas akal dan jangkauannya. Kita tidak dapat menjangka apa yang bakal berlaku esok hari…tahun hadapan atau bertahun-tahun lagi. Jadi, tanyakan pada diri dahulu… sejauh mana kita sudah minta petunjuk daripada Allah?

Kita mungkin mengenali pasangan kita secara luaran tetapi dalamannya, hanya Allah yang tahu. Dia mungkin sekali baik tetapi mungkin tidak sesuai untuk kita. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “ … Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

Jadi, hendak tidak hendak… kita perlu istikharah dan BERDOA kepada Allah. Berdoa sehingga ditunjukkan jalan. Kalau tetap tidak nampak jalan, teruskan berdoa. Secara tidak langsung, kita sedang mendekatkan diri dengan Allah sebenarnya.

Seterusnya, setelah dinilai dari sudut akhlak, agama dan lain-lain…memang pasti DIA ADALAH PILIHAN HATI kita. Kita tidak mahu orang lain dan hanya dia. Kita sudah istikharah. Keputusan kita adalah muktamad! Tetapi… ibu dan ayah masih menolak :(

1- Teruskan berbuat baik dengan mereka. Jangan disebabkan pilihan hati kita ditolak, kita mahu jadi anak derhaka. Ingatlah… firman Allah dalam surah Al-Israk ayat 23 yang bermaksud, “ Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain daripada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan dengan keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.”

2- Tunjukkan contoh yang baik di hadapan mereka. Buktikan kepada mereka bahawa calon pilihan kita bukanlah orang yang salah. Dia bukanlah seorang yang tidak bertanggungjawab. Jika bersedia, pertemukanlah calon hati kita dengan ibu bapa kita (sebaik-baiknya disertai orang tengah).

3- Bagi si lelaki… tunjukkanlah kesungguhan untuk bernikah. Kalau kita bersungguh-sungguh meyakinkan ibu bapa calon isteri kita, tidak mustahil hati mereka boleh tertambat dengan kita. Kalau belum bekerja, cepat-cepat cari kerja. Kalau belum cukup duit, kumpullah duit… Kalau kita ego… susahlah.

4- Paling utama…berdoalah kepada Allah agar dilembutkan hati ibu dan bapa kita. Perlu diingat! Allah memegang hati setiap manusia termasuk ibu dan ayah kita. Jadi, tidak ada yang mustahil bagi Allah untuk melembutkan hati mereka. Allah tahu apa yang terpendam di dalam hati kita dan Allah lebih tahu apa-apa yang terbaik untuk kita. Serahkan segalanya kepada Allah (setelah kita berusaha keras).

Apa lagi ya? Hmmm… Muthiah sudah tepu… Dush dush… Moga-moga yang sedikit ini boleh difikir-fikirkan. Kenapa fikir? Kerana Muthiah bukanlah arif dalam bidang ini cuma ingin berkongsi. Apapun keadaannya, KEMBALILAH KEPADA ALLAH … Hehe..
Labels: | edit post
0 Responses