Konsep Sabar

Bersabarlah dan bertawakallah
Dalam kehidupan ini
Sesuatu yang terjadi itu
Tentu ada hikmahnya…
(Lagu : Sabar Kumpulan: Warisan ~ Rock kapak)



Sabar…

Teman Muthiah pernah berkata, “Kau mudahlah nak suruh sabar tetapi yang tanggung… aku!!!”

Ya! S.A.B.A.R… Mudah untuk diungkapkan namun bagi mereka yang ditimpa ujian… keperitan yang dialami tidak mampu diluahkan dengan kata-kata. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai pembantumu. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.”

Sabar dan solat! Kenapa kita perlu sabar? Sabar bererti menahan diri… menahan diri daripada perasaan marah, benci, kecewa, putus asa dan banyak lagi. Mengapa sabar dikatakan boleh menjadi pembantu? Hmmm…

Sabar mendekatkan kita kepada Allah.

Tatkala dirundung duka, carilah Allah. Merintihlah… merayulah… berdoalah kepada Dia dengan penuh harap. Hanya Dia yang boleh memberi ketenangan kepada kita, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati kan menjadi tenteram,” Ar-Ra’d ayat 28.

Hal ini, secara tidak langsung membuatkan kita semakin hampir dengan Pencipta. Mungkin tanpa sedar, kita semakin jauh daripada Dia. Boleh jadi kita sudah hampir melalaikan-Nya. Kita lupa bahawa Allahlah yang selayaknya dicintai sepenuh hati. Kita mungkin teralapa… hanya Allah tempat kita berharap dan memohon pertolongan.

Berjayanya kita di atas muka bumi ini bukan atas kehebatan diri kita tetapi semua itu perlu dikembalikan kepada Allah. SEGALANYA ADALAH MILIK ALLAH.

Para sahabat berasa pelik tatkala melihat Abdullah bin Mas’ud yang kurus dan kecil berjaya menawan Abbas bin Abdul Muttalib yang berbadan sasa. Kemudian, berkatalah Nabi SAW, “ Wahai Abdullah, janganlah kamu merasa bahawa kamu yang kuat. Yang membantu kamu tadi (dalam peperangan Badar) adalah malaikat.” Jadi, malaikatlah yang menawan Abbas dan pastinya, yang lebih hebat daripada malaikat adalah Pencipta malaikat itu sendiri…

Kedua… solat.
Apakah yang kita faham tentang solat? Pertama, solatlah yang membezakan orang Islam dengan bukan Islam. Dengan solat, kita mampu berinteraksi dengan Tuhan melalui bacaan yang kita ungkapkan di dalam solat kita. Dengan solat, kita mampu menenangkan diri yang sedang gundah-gulana. Dengan solat, kita mampu merehatkan diri yang sedang keletihan…

Namun, sejauh mana kita khusyuk dalam solat?

Sejauh mana kita memahami bacaan dalam solat? Tepuk dada, tanya iman. Adakah kita memahami maksud bacaan yang kita ungkapkan sehari-hari. Paling kurang pun, surah Al-Fatihah…

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam…
Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang…
Yang menguasai hari pembalasan…
Hanya Engkau kami sembah (mengabdikan diri), dan hanya Engkau kami memohon pertolongan…
Tunjuki kami jalan yang lurus…
Iaitu jalan-jalan yang Engkau beri nikmat kepada mereka; bukan mereka yang Kau murkai dan bukan mereka yang sesat… (Al-Fatihah : 1-7)

Renung-renungkan maksud Al-Fatihah yang kita baca… biasa-biasa sahaja? Cuba baca lagi. Baca dan terus baca… masih biasa-biasa? Hmmm.. keras sungguh hati kita. Baca lagi… baca dari dalam hati. Sukarnya untuk mengalirkan air mata demi Tuhan…

Sejauh mana kita memelihara solat?



Awal waktu?
Tergesa-gesa atau dengan tenang? Banyak lagi urusan yang belum selesai.
Khusyuk atau … hanya khusyuk sewaktu ditimpa bencana dan mahu mengadu kepada-Nya.

Sebagai manusia yang banyak melakukan kesalahan dan kesilapan, kadang-kadang kita turut teralpa dalam solat kita. Kita lupa, bahawasanya waktu itu kita sebenarnya sedang berhadapan dengan Raja segala Raja. Astaghfirullah ya Allah…

Alamak! Lari tajuk daaa… Muthiah mahu berkongsi ilmu tentang konsep sabar sebenarnya. Hehehe…

1- Dalam ibadah (dalam melakukan suruhan Allah)
Ia merangkumi segala ketetapan Tuhan; fardhu ain/ kifayah dan… ibadah itu sendiri merupakan segala apa yang dilakukan kerana Allah; mengikut syariat; perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

2- Dalam menghadapi musibah
Sesungguhnya, kita bukanlah siapa-siapa. Kita hanyalah makhluk Allah yang lemah lagi kerdil. Daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita kan kembali. Jadi… kembalilah kepada-Nya. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya.”

3- Dengan dunia
Jangan sampai kehidupan dunia melalaikan kita daripada Allah. Tidak salah memiliki rumah yang besar, kereta besar asal… kita sedar siapa kita. Kita hanyalah hamba Allah dan mempunyai peranan di atas muka bumi ini. Apakah peranan kita? Ya! Kita adalah khalifah. Apa pula tanggungjawab seorang khalifah? Benar… kita perlu mengabdikan diri kepada Allah(“Katakanlah, ‘ Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah…” Al-An’am ayat 162), mengajak manusia kepada Allah ( “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan; mengajak kepada ma’ruf dan mencegah kemungkaran…” Al-Imran ayat 104) serta memakmurkan alam ini.

4- Daripada maksiat
Maksiat adalah sesuatu yang mendatangkan kemurkaan Allah. Pastinya, ada hikmah di sebalik larangan Allah itu dan sebagai manusia yang terbatas akal pemikirannya, kadang-kadang kita tidak nampak. Kalau nampak sekalipun, tanpa iman dan taqwa, kita seolah-olah buta dengan segalanya. Firman Allah dalam surah Al-Qiyamah ayat 5, “Bahkan manusia itu membuat maksiat terus menerus…”

5- Sabar dalam perjuangan
Apa yang kita perjuangkan dalam hidup ini? Mahu menjadi jutawan? Atau… mahu mati syahid di medan perang. Semua ini kembali kepada iman dan taqwa…

Berkata Khabab bin Al-Arat kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, Quraisy menyeksa kami. Berdoalah kepada Allah… mohonlah bantuan dan kemenangan buat kita.” Berkata Muhammad bin Abdullah, “Wahai Khabab, pejuang sebelum kita ditanam hidup-hidup… digergaji… namun semua itu tidak menyebabkan ia berganjak daripada agama dan keyakinannya…”

Muthiah : Allah itu dekat dengan kita. Allah Maha Melihat dan Mendengar setiap saat dan ketika. Renung-renungkan…
Labels: | edit post
0 Responses