Impianku...
Sunday, July 05, 2009
Muthiah kembali :) Setelah berminggu-minggu ‘bercuti’, Muthiah kini kembali… mahu menulis dan terus menulis, insya-Allah.
Hmmm… Muthiah teringat kenangan zaman kecil-kecil dahulu. Waktu belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan (2) Kelana Jaya. Cikgu Naemah bertanya kepada semua murid di dalam kelasnya (termasuk Muthiah), “Apa cita-cita kamu bila besar nanti? Tuliskan tiga impian atau cita-cita kamu.” Lalu, Muthiah pun mengambil kertas putih A4 yang diberikan cikgu lalu menulis…
1- Novelis
2- Pegawai bank
3- Pemain bola sepak
Ya! Memang ini yang Muthiah coretkan. Muthiah ingin menjadi seperti arwah mama yang bekerja sebagai Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka. Mama juga banyak menghasilkan cerpen dan novel. Seingat Muthiah, waktu kecil dulu… mama selalu mengurungkan diri di bilik komputer sementara papa sibuk … menjual kereta, menjadi pensyarah sambilan dan lain-lain. Mungkin, sebab itu Muthiah mahu jadi penulis. Lagipun, mama pernah minta Muthiah membantunya menyemak ejaan (mungkin mahu mengajar Muthiah).
Kenapa pegawai bank? Sebabnya, papa Muthiah juga merupakan seorang pegawai bank di Bank Pertanian Malaysia. Muthiah tidak jelas tentang kerja yang dilakukan papa tetapi mungkin disebabkan papa Muthiah seorang pegawai bank, Muthiah turut mahu menjadi pegawai bank.
Akhir sekali… pemain bola sepak. Hahaha… siapakah pendorong Muthiah untuk bergelar pemain bola sepak? Fandi Ahmad? Mokhtar Dahari? Bukan bukan. Orang itu adalah abang angkat Muthiah. Abang Fendi namanya. Waktu itu, ibu Abang Fendi menjadi pengasuh Muthiah. Setiap petang, Abang Fendi selalu mengajak Muthiah bermain bola sepak (menggunakan bola sepak takraw) di depan rumah. Akibatnya, mami bising-bising.
Apabila jam menunjukkan pukul 3.00 atau 4.00 petang, kami akan beransur ke padang. Huhu… sepatutnya, kelas mengaji bermula jam 5.00 tetapi ada projek yang hendak dilakukan. Apa lagi kalau bukan bermain bola sepak… bersama Abang Jaja dan lain-lain (Muthiah tidak ingat nama mereka sebenarnya).
Alhamdulillah… setelah sekian lama masa berputar, dua cita-cita Muthiah akhirnya menjadi kenyataan. Muthiah pernah bekerja di sebuah bank tempatan dan pernah juga menjadi editor / penulis / wartawan untuk sebuah majalah.
Dan kini, sejak menjadi surirumah sepenuh masa… Muthiah punya ruang untuk menulis dan terus menulis. Mungkin sahaja Muthiah tidak pandai menulis seperti mana penulis-penulis lain. Yang penting, Muthiah menulis untuk diri Muthiah sendiri… dengan sokongan padu daripada suami tercinta dan paling utama… matlamat Muthiah menulis adalah untuk mengajak manusia lainnya kepada Tuhan. Muthiah tidak pandai untuk berkata-kata tetapi mungkin Muthiah bisa menulis dengan baik.
Muthiah : Huhu… rehat tiga minggu, idea tidak muncul-muncul tetapi suami pesan, “ Jangan berputus asa.” ;)