Dakwah dengan… (i)
Friday, July 10, 2009
Salam. Hari ini, seawal 8.15 pagi Muthiah sudah masuk ‘pejabat’. Biasanya, waktu pejabat Muthiah bermula 9.00 pagi tetapi sejak pulang dari kampung, sudah diawalkan. Hehe… hendak siapkan P-FC. Jam 1.25 petang, belum siap lagi. Kepala pula sudah tepu dan teramat tepu. Ikutkan, satu hari buat dua. Nampaknya, hari ini tidak sempat. Lepas ini, hendak sambung kerja tadi, insya-Allah.
Hendak bercoret tentang apa ya? Hmmm… ya! Tentang dakwah…
Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 104 yang bermaksud, “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”
Juga, ada disebut di dalam surah Al-Imran ayat 110 yang bermaksud, “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah…”
Adoi! Tepu daaa… Hendak tulis apa ya? Tentang dakwah dan peranan kita untuk berdakwah. Setiap kita adalah khalifah dan sebagai khalifatullah, kita mempunyai tanggungjawab untuk mengajak manusia lainnya kepada Tuhan (selain mengabdikan diri kepada Allah dan memakmurkan alam). Namun, bagaimana hendak berdakwah?
Muthiah ingin berkongsi peristiwa yang boleh difikirkan bersama. Peristiwa 12 tahun sudah. Muthiah meletakkan diri Muthiah sebagai ‘subjek’ yang boleh didakwahi…
*****
Fail (1)
Setiap manusia, pasti mahukan yang cantik dan indah. Hakikatnya, Islam itu sendiri sudah comel lagi menawan dan secara fitrahnya, Muthiah kira kita tidak dapat menolak keindahan Islam itu sendiri walaupun secara lahirnya, kita belum benar-benar mengamalkan Islam. Hati tetap mengakui keelokan Islam.
Lihat sahaja peristiwa perjumpaan Walid bin Mughirah dengan Muhammad SAW. Selepas bertemu nabi, apakah reaksinya? Ia mengiktiraf Al-Quran. Bilamana orang yang paling fasih berbahasa di kalangan bangsa Arab serta menjadi rujukan para penyair Arab mengiyakan ayat Allah, menjadi bukti kepada seluruh umat manusia bahawa Islam itu BENAR! Namun, apakah ungkapan Walid akhirnya?... “ Kalau begitu, kita kata dia (Muhammad) ahli sihir…” ~ Selepas itu, turun ayat tentang Walid dalam surah Al-Muddathir ayat 11-26). Hmmm… begitu juga dengan Abu Jahal.
Faham apa yang Muthiah maksudkan? Fikir-fikirkan.
Berbalik kepada contoh semasa… sewaktu Muthiah berada di tingkatan tiga, Muthiah tidaklah berperwatakan atau berpenampilan seperti seorang Muslimah. Muthiah biasa-biasa sahaja (seperti yang pernah Muthiah coretkan sebelum ini). Muthiah selesa dengan seluar jeans dan baju T ‘No Fear’ yang Muthiah pakai. Bagi Muthiah, baju kurung atau baju yang berbunga-bunga… ‘Macam baju orang perempuan!’ Huhu… hahaha….
Satu hari, Muthiah berjumpa dengan seseorang yang nampak cantik dari segi penampilannya. Seorang gadis bertudung labuh, nampak manis sekali. Mungkin pelajar dari sekolah agama atau budak KUSZA. Secara peribadi, jauh di sudut hati… sejuk mata memandang. Rasa teruja dengan penampilan gadis tersebut cuma… MALUlah hendak berubah.
Lantas, dengan kebrutalan Muthiah yang tidak berapa brutal, Muthiah pun mendekatinya.. entah. Hati hendak mendekati dia walaupun tanpa sebab yang munasabah. Hehe… Muthiah tidak ingat bagaimana Muthiah bertegur-sapa dengan gadis itu tetapi…telah berlaku satu peristiwa yang menyebabkan Muthiah hilang hormat kepadanya.
Kata Muthiah, “ Cantik akak.” Gadis tersebut hanya memandang Muthiah atas bawah.
Mungkin introduction Muthiah tidak kena pada tempatnya. Sepatutnya, berilah salam bukan? Tetapi Muthiah betul-betul tidak tahu bagaimana hendak memulakan sesuatu perkenalan (waktu itulah).
Oleh sebab Muthiah termasuk dalam golongan yang tidak tahu malu, Muthiah terus berbicara dengannya walaupun tidak mendapat sebarang respon positif. “Satu hari, kalau sampai SERU saya pun hendak pakai macam akak pakai.” Huhu… silapnya di sini. Muthiah tidak ada niat pun. Seperti yang Muthiah katakana, Muthiah tidak tahu bagaimana untuk memulakan bicara.
Nah! Saat itulah segalanya bermula dan gadis manis tersebut telah berkata dengan sinis, “ Kalau hendak tunggu sampai seru….” Lupa lupa… namun, kata-katanya begitu pedas dan tajam. Dush dush….
Selepas itu, dengan selamba Muthiah pun berkata, “ Hampeh!” Dush dush… Terngiang-ngiang wajah geng Muthiah yang luarannya nampak ‘buruk’ tetapi hati… senang didekati.
Moralnya peristiwa di atas :
1- Akhlak itu adalah contoh teladan yang paling baik terutamanya dalam hendak berdakwah.
2- Pandanglah orang di hadapan kita sebagai mad’u walaupun ia nampak ‘jauh’ daripada Tuhan. Lihatlah ia dengan penuh cinta dan kasih sayang kerana Allah (Betul! Sebab dengan kasih sayanglah Muthiah jatuh cinta dengan Islam). Contohi cara Abbas Assisi mencari mad’unya ~ pijak kaki sasaran mad’u sebelum memulakan perkenalan dan seterusnya berdakwah.
3- Hidayah itu hanya daripada Allah. Siapa kita untuk menilai manusia lainnya? Boleh jadi sekarang… dialah manusia yang paling ‘buruk’ tetapi tidak ada siapa yang akan tahu tentang hari mendatang. Lihatlah Sayidina Umar Al-Khattab. Begitu kuat memusuhi Islam. Bukan itu sahaja, tanpa rasa takut dan gusar, ia tidak teragak-agak hendak membunuh nabi dengan pedangnya sendiri. Namun akhirnya, dengan kuasa dan izin Allah, ia masuk Islam dan menjadi pembela agama Allah sehingga akhir hayatnya.
4- Berlapang dadalah… berlapang dada dengan sesiapa sahaja. Huhu… yang ini, payah tetapi… tidak ada yang mustahil bagi Allah. Jadi, mohonlah kekuatan daripada Allah… Katakan, “Ya Allah, tenangkan hatiku. Tabahkan aku… lapangkan dadaku…”
5- Sabar dalam menyampaikan dakwah. Kembalilah kepada Allah. Banyakkan berdoa dan berharap.
6- Berdakwahlah tanpa memilih kulit. Dengan kata lain, berdakwahlah kepada sesiapa sahaja.
7- Kalau buat silap… istighfar dan mohonlah keampunan daripada Allah. Tidak ada seorang pun manusia di atas muka bumi ini adalah sempurna. Hanya nabi yang maksum. Insya-Allah, bilamana kita sentiasa bermuhasabah, jalan keluar tentu ada tetapi …. Letakkanlah pergantungan yang sepenuhnya kepada Tuhan.
8- Apa yang kita perlu tahu tentang mad’u kita… boleh jadi :
a) Tidak tahu bahawa ia tidak tahu
b) Tidak tahu bahawa ia tahu
c) Tahu bahawa ia tidak tahu
d) Tahu bahawa ia tidak tahu
Sesuatu yang kita tahu tidak semestinya diketahui/ difahami/ dihayati oleh orang di hadapan kita. Jadi… ‘sampaikanlah walau seayat…’
9- Belajar dan terus belajar… dengan kata lain, setiap pendakwah, perlu ada ilmu… dan ilmunya itu perlu sahih.
Alohaaaa. Macam sudah bercampur aduk coretan Muthiah… Zzzzz dulu. Assalammualaikum.