Berlapang dada
Friday, July 24, 2009
Salam ukhwah fillah. Sebetulnya, hari ini Muthiah kurang sihat. P-FC pun tertangguh pagi tadi…. Jadi kabur, berpinar-pinar. Tidak dapat berfikir dengan baik. Kemudian, Muthiah rehat seketika dan Alhamdulillah, untuk target hari ini, sudah diselesaikan.
Hmmm… entah kenapa hari ini Muthiah rasa sedikit pilu… sedikit sedih dan sedikit dukacita (benarlah… bilamana ada sesuatu yang menggangu jiwa, pasti tidak dapat melakukan kerja sebaiknya).
Entah kenapa… ungkapan ‘bertimbang rasa’ sering sahaja berlegar-legar dalam kotak pemikiran Muthiah meskipun Muthiah cuba untuk menghilangkannya. Untuk hilangkan tidak boleh, menghindari apatah lagi. Entahlah… hanya Muthiah yang dapat menyelaminya.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana menganugerahi Muthiah seorang suami yang memahami, mengambil berat dan kasihkan Muthiah. Sekurang-kurangnya, Muthiah berasa sedikit tenteram tatkala mengenangkan…. Begitu juga dengan keluarga di kampung… walau apapun yang Muthiah putuskan, keluarga selalu sahaja berada di belakang Muthiah meski Muthiah tahu… mungkin (dan persoalan mungkin itu sebenarnya tidak elok diungkapkan) sisi-sisi kurang bersetuju tetapi bilamana ia baik untuk Muthiah dan suami… mereka redha dan menyokong Muthiah.
Juga… syukur kerana hakikatnya, Muthiah tidak berseorangan. Muthiah ada Allah yang sentiasa dekat dengan Muthiah. Dia tahu dan maklum atas segala sesuatu. Justeru, Muthiah serahkan 200% kepada-Nya. Sukar tetapi Muthiah akan cuba… tidak mahu mengeruhkan keadaan… merintihlah, merayulah kepada Allah kerana itu adalah jalan yang paling baik.
Hmmm… Manusia ini, banyak fiilnya. Ada yang baik… ada juga yang kurang baik… dan pasti! Ada yang sekejap-sekejap baik dan sekejap-sekejap tidak (Muthiah juga tidak terkecuali kerana Muthiah juga seorang manusia). Itu lumrah dan sesungguhnya, tidak ada seorang manusia pun di atas muka bumi ini sepi daripada melakukan kesalahan.. kesilapan dan kekhilafan. Ia bukan nabi yang maksum dan bukan juga malaikat yang hanya patuh atas suruhan dan arahan Allah.
Boleh jadi manusia ini terlupa… boleh jadi ia teralpa dan boleh jadi nafsunya telah dikuasai dengan sesuatu yang tidak baik. Syaitan laknatullah banyak menyumbang membusukkan hatinya yang sedia jernih. Ia tetap mahu berburuk sangka meski bersangka baik itu sudah jelas lagi terang lebih baik… Ia tetap mahu cemburu dan hasad sedang setiap manusia itu telah ditentukan/ ditetapkan oleh Allah bahagian masing-masing.
Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 37 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.” Namun, manusia itu tetap engkar dan tidak berpuas hati dengan apa-apa yang berada di hadapannya. Ada sahaja yang tidak elok dan ada sahaja yang tidak berkenan di matanya. Hmmm…Inilah manusia… inilah manusia yang sering kali lalai daripada amaran Tuhannya.
Ya Allah… “Jika Engkau menyeksa mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana,” Al-Maidah ayat 118. Moga-moga hidayah dan petunjuk daripada Allah datang kepadanya… agar dia sedar daripada lena. Khuatir… lena itu kan menjadi lena yang begitu panjang sebelum sempat ia kembali mengharapkan keampunannya.
Bagaimana pula dengan diri kita? Sejauh mana kita mampu/ boleh berlapang dada dengan apa yang berlaku? Hmmm… sukar tetapi cubalah letakkan kaki kita di dalam kasut insan itu… manusia yang lupa, alpa dan boleh jadi masih jahil. Bilamana ia tersedar akan silapnya, pasti ada terdetik rasa bersalah dalam diri namun keegoan telah mengatasi segalanya. Sukar benar mahu MENGUNGKAP MAAF… payah benar untuk menyatakan kekhilafan yang dibuat oleh badan sendiri.
Ia mungkin lupa… disebabkan ego dan tinggi diri itulah telah menyungkurkan iblis dari syurga Allah. Ia berasa dirinya besar berbanding Adam AS yang hanya dijadikan daripada tanah yang kotor lagi jelik (Boleh rujuk surah Al-A’raf ayat 11 hingga 16 – ada cerita tentang kesombongan Iblis yang tidak mahu bersujud (bukan bermakna menyembah tetapi patuh kepada Allah) kepada Adam AS).
Begitu juga dengan Firaun… disebabkan rasa besarnya diri… akhirnya ia tenggelam di dalam laut sebelum sempat bertaubat. Firman Allah dalam surah Yunus ayat 90 yang bermaksud, “Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya kerana hendak menganiaya dan menindas (mereka); sehingga apabila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia, “Saya percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai Bani Israil dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” Nah! Mahukah kita menjadi manusia yang matinya dalam penyesalan sepertimana Firaun laknatullah? Justeru…
1- MAAFKANLAH kejahilan dan ketidaktahuan dia
Sukar bukan tetapi ketahuilah… maaf itu adalah sebaik-baik perbuatan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 263 yang bermaksud, “Perkataan yang baik dan pemberian MAAF adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” Kembalilah kepada sirah Rasulullah SAW… Pesuruh Allah ini amat tinggi sikap pemaafnya…
Sewaktu pembukaan Kota Mekah (futuh Makkah), Muhammad SAW telah mengumpulkan seluruh Quraisy, semua penduduk Mekah. Setelah naik ke atas Bukit Safa, berkata Muhammad, “Kamu fikir, apakah yang akan aku lakukan ke atas kamu semua?” Jawab Quraisy, “Kamu adalah saudara yang mulia dan anak kepada saudara kami yang mulia…” Kemudian, berkatalah Muhammad, “Kamu semua bebas…” Nah! Tangan-tangan itu yang telah memusuhi Islam… yang mengganggu perjuangan Islam tetapi Nabi SAW tetap sudi memaafkan mereka.
2- BERLAPANG DADA
Memaafkan itu sudah sukar, berlapang dada apatah lagi. Ketahuilah wahai teman… dosa kita yang menggunung tinggi tetap mendapat keampunan daripada-Nya. Inikan kita manusia biasa yang serupa sahaja dengan dia yang membuat salah terhadap kita (Adakah kita pasti kita tidak pernah melukakan hati insan lain, dalam sedar atau tidak?). Jadi, rendahkanlah diri di sisi Tuhan. Tetap berasa sukar dan pedih??? Jawabnya… KEMBALILAH KEPADA ALLAH.
Ya Allah, aku tidak mampu… aku tidak kuat untuk itu (berlapang dada). Hanya kepada Engkau aku berserah dan kepada-Mu jua aku memohon pertolongan dan kekuatan…
…. Setelah berlaku peristiwa fitnah ke atas Sayidatina Aisyah RA, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq yang selama ini menghulurkan bantuan kepada Mustah bersumpah untuk tidak membantunya lagi. Kemudian, turunlah teguran Allah dari surah An-Nur ayat 22 yang bermaksud, “Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka MEMAAFKAN dan BERLAPANG DADA. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Setelah itu, atas kerendahan hati kepada Tuhannya, Abu Bakar pun membayar kafarah atas sumpahnya dan menyambung bantuan yang dihulurkan kepada Mustah.
3- USAH BANYAK BERFIKIR
Hmmm… waktu inilah syaitan laknatullah memainkan peranannya. Musuh seluruh alam ini mahu sahaja berlaku pertelingkahan dan persengketaan di kalangan umat manusia. Ia pasti ketawa riang apabila objektifnya untuk menjauhkan manusia daripada Allah itu tercapai.
Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 14 yang bermaksud, “Iblis menjawab, “Berilah saya tempoh (penangguhan) sehingga sampai waktu mereka dibangkitkan,” dan Al-A’raf ayat 16 yang bermaksud, “Iblis menjawab, “Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus…”
Dalam hidup seorang manusia, kitalah yang akan membuat PILIHAN dan pilihan yang paling baik adalah sesuatu yang mendasari syariat dan ketetapan Allah. Kita berhak untuk memilih apa yang hendak kita fikirkan atau sebaliknya. Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri.
Jadikan sesuatu yang menyakitkan itu… jadikanlah sebagai wasilah bagi kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bagaimana? Tahanlah rasa marah/ benci/ kecewa/ sakit hati dengan KOMUNIKASI bersama Tuhan yang mencipta kita dan dia. Mohon kepada Tuhan agar dikurniakan kesabaran yang tinggi (kerana pasti! Kita tidak punya kekuatan sendiri). Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 66 yang bermaksud, “… sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”
4- Dekatkan diri kepada Allah dengan MUNAJAT kepada-Nya.
5- BERGEMBIRALAH dengan orang tersayang.
6- Kita sendiri perlu terlebih dahulu BERSANGKA BAIK.
7- Banyakkan MUHASABAH diri…
Lagi dan lagi…
Huh…panjang bangat… al-maklumlah, di sini… selain Allah yang Maha Esa… suami tercinta… komputer riba ini adalah teman yang paling akrab buat Muthiah. Dia dan mereka begitu dekat dengan Muthiah. Meski ‘teman bisu’ Muthiah ini sama sekali tidak bisa berbicara, Muthiah tetap merasai kepentingannya dalam hidup Muthiah… Selamat membaca dan menghisab diri…
Muthiah : Moga-moga P-FC dapat siap sebelum bulan September. Ada projek baru menyusul, insya-Allah. Doakan…