Dakwah dengan… (iii)
Saturday, July 25, 2009
Salam ukhwah fillah… Muthiah baru makan ubat selsema sebenarnya… mengantuk tetapi hendak siapkan juga blog untuk hari ini. Lagipun, kita tidak tahu bukan? Bilakah masanya kita akan dipanggil kembali… kembali bertemu Ilahi dan entah bagaimana keadaan kita waktu itu. Jadi, sampaikanlah… sampaikan sentiasa walau seayat. Meski hanya seorang yang membacanya, moga-moga dapat menolong Muthiah di hadapan Allah kelak.
Jom kita selusuri Perjanjian Hudaibiah… Perjanjian di antara umat Islam dengan Quraisy. Perjanjian yang dilihat lebih memihak kepada pihak Quraisy sehingga Sayidina Umar Al-Khattab mengungkapkan, “Bukankah kita di pihak yang benar dan mereka di pihak yang salah? Bagaimana bisa berlaku perjanjian damai yang menguntungkan pihak mereka?” (Boleh rujuk lanjut tentang perjanjian ini dalam mana-mana buku sirah).
Namun, di sebalik perjanjian yang dilihat ‘berat sebelah’ ini… sebenarnya telah memberi keuntungan yang amat besar kepada umat Islam sehingga membawa kemenangan kepadanya (peristiwa antara keturunan Khuzaah dengan keturunan Bakar)…
Hmmm.. sebenarnya, Muthiah tidak mahu berkongsi lanjut tentang sirah ini tetapi Muthiah ingin bercerita tentang… hmmm… detik awal Muthiah jatuh cinta dengan Islam. Ya! Hikmah di sebalik kejadian yang telah membawa Muthiah untuk melihat keindahan Islam…
Bertempat di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) sesi 1998 -1999.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
“…Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya,” Al-Kahfi ayat 17.
*****
Fail (3)
Masuk KISAS! Stres… seolah-olah berlaku kejutan budaya dalam diri Muthiah. Ini tidak boleh dan itu tidak boleh. Namun… di sebalik kejutan tersebut, Muthiah kira ada sesuatu yang istimewa di situ. Hati rasa terisi… dengan apa? Entahlah, sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Seperti anak kecil yang baru belajar tentang agamanya… Muthiah merangkak dari bawah. Waktu itu, sahabat yang paling Muthiah kagumi ialah A. Walaupun boleh jadi pada kaca matanya, Muthiah bukanlah siapa-siapa (setiap kali Muthiah ingin bersamanya, acap kali dia hendak bersama temannya yang lain HH & NA)… tetapi bagi Muthiah, Muthiah suka berkawan dengannya. Entahlah… mungkin dek kelembutan dalam ketegasannya.
Akan tetapi… banyak juga cabaran yang mendatang. Mungkin salah Muthiah juga. Tidak seperti muslimah lain yang jalannya penuh tertib… bicaranya tersusun (terutama di hadapan pelajar putera… hahaha… )… Manakan tidak! Kawan-kawan Muthiah sebelum ini bukanlah terdiri daripada mereka yang tahu ilmu agama. Bertutur pun… kalau penuh tertib… rasa macam mengada-ngada pula. Kalau ‘control’ pun sama, rasa macam mengada-ngada. Jadi, BE YOURSELF…
Hendak dijadikan cerita… Muthiah menerima sekeping surat layang daripada seseorang. Ayatnya lebih kurang… ‘ Hindari muzik… hindari bola sepak… berdosa…” Waduh… terasa seperti dipanah halilitar. Muthiah tidak tahu siapa pengirimnya tetapi mungkin dia adalah orang yang tidak mahu melihat Muthiah ‘terpesong’ mungkin.
Iyalah… kalau di meja-meja puteri, rata-rata meletakkan senikata lagu nasyid dan sesuatu yang boleh membangun jiwa tetapi Muthiah… letak senikata lagu XPDC… letak gambar motosikal dan pemain bola sepak (Muthiah suka bangat Ronaldo-Brazil-Jersi 9). Jadi, macam mana tidak menjadi ‘insan terpilih’ untuk dibasuh? Hehe…
Seperti yang Muthiah pernah ceritakan sebelum ini… meskipun dari sudut fizikal, boleh jadi kita nampak seseorang itu jauh daripada Islam/ kehendak Islam itu sendiri. Namun, bilamana ia bernama AGAMA ISLAM… pasti ada kelebihan dan keistimewaannya. Tetap dengan ego Muthiah dan perangai Muthiah yang kuat memberontak… tetapi dari satu sisi, Muthiah sebenarnya belajar untuk mendekati Tuhan….
Bermula dengan solat taubat, tadarus, qiam dan banyak lagi. Muthiah merasai sesuatu yang sama sekali tidak dapat diungkap dengan kata-kata tetapi entahlah…Sebab itulah muncul trademark ‘TIDAK ADA YANG LEBIH MANIS DALAM KEHIDUPAN INI MELAINKAN APABILA KITA BERJAYA MEMPEROLEH KEMANISAN IMAN DAN MENGECAP CINTA ILAHI’ ~ Muthiah Habibatullah…
Kenapa Muthiah? Entah… Muthiah tidak cukup kuat untuk memilih srikandi lain sebagai idola dan kenapa Habibatullah? Layakkah menjadi KEKASIH ALLAH??? Hmmm… sebenarnya, Muthiah pernah terbaca… kekasih Allah ialah hamba Allah yang banyak bertaubat. Oleh sebab merasakan dosa Muthiah lebih banyak daripada orang lain, Muthiah perlu lebih banyak bertaubat dan terus bertaubat.
Kakak-kakak yang Muthiah kagumi tidak pula mahu mendekati Muthiah sepertimana mereka mendekati adik-adik lainnya (ini yang Muthiah rasalah) dan kadang-kadang begitu ketara. Pernah sekali, Muthiah rasa tersisih dengan seorang kakak sampaikan Muthiah terfikir… adakah hanya mereka yang mempunyai sejarah yang baik/ ilmu agama yang mantap sahaja berhak berkawan dengan orang yang baik? Membuatkan Muthiah lebih suka membuat hal sendiri (tetapi Muthiah tetap berkawan dengan sesiapa yang sudi berteman dengan Muthiah).
Hikmahnya? Bilamana kita merasakan kita KESEORANGAN, kita akan lebih berusaha untuk mencari ALLAH. Ya! Sebelum memasuki KISAS… Muthiah punya geng dan sahabat-sahabat yang begitu akrab dengan Muthiah. Muthiah bahagia dengan kehidupan Muthiah dan rasa tenang bersama teman-teman. Akan tetapi, di KISAS… teman-teman Muthiah sudah tidak berada di sisi, mereka jauh di mata tetapi begitu dekat dalam hati.
Ada juga Muthiah terima surat daripada Meri (sepupu Azmar) yang poskan gambar Siti Nurhaliza buat Muthiah, Sani (kawan setingkatan) yang tuliskan senikata lagu ‘Miss you like crazy’ bersama-sama gambar Ronaldo [Ada lagi teman-teman lain tetapi Muthiah lupa]. Tetapi… sampai bila Muthiah hendak berharap kepada mereka yang punya komitmen sendiri. Akhirnya, kawan-kawan lama pun membisu. Jadi… sejak itu Muthiah mencari Tuhan.
Ya! Tuhan sama sekali tidak akan meninggalkan Muthiah kesepian dan bersedih hati sendiri (Walaupun nampak kasar, setiap manusia itu tetap memiliki hati dan perasaan). Waktu itu Muthiah belajar untuk berkomunikasi dengan lebih baik dengan Tuhan (kalau waktu sekolah dahulu, Muthiah tidak pernah tinggal solat tetapi solat Muthiah selalu diiringi lagu-lagu XPDC. Huhu…).. Dan akhirnya… Muthiah temui CINTA yang betul-betul tidak dapat ditandingi sesiapa walau Rubar (kawan baik lelaki Muthiah sewaktu dalam kelas) dan geng Muthiah sendiri (Azmar, Kamariah, Yani dan Suria).
OK… berbalik kepada satu peristiwa yang menyebabkan Muthiah mula rapat dengan kakak-kakak BADAR (Badan Dakwah dan Rohani) dan sahabat-sahabat yang Muthiah kategorikan sebagai ‘budak baik’.
Ceritanya begini… satu hari, Muthiah telah dipanggil oleh seorang ustaz. Namanya USS… Muthiah tidak ingat ayat panjangnya tetapi ungkapan yang tidak dapat Muthiah lupakan ialah, “Biasanya… orang yang jalan laju adalah PEROSAK TARBIYAH di sini (KISAS)..”
Nah! Kali ini, Muthiah memang terkesan yang amat sangat… menyebabkan Muthiah merasakan bahawa Allah itu tidak adil pada diri Muthiah (sedang Dia tahu bahawa Muthiah sudah berusaha keras untuk mendekatkan diri dengan-Nya dan agama-Nya)… Muthiah terfikir… ‘Kawan-kawan lama Muthiah, walaupun tidak punya ilmu agama.. tidak pernah hina Muthiah begitu…’ (ada kawan yang panggil lembu/ rimau tetapi bagi Muthiah, sekadar gurauan)…
Ustaz ini nampak wara’ dan selalu berbicara tentang agama. Pada peringkat awal, Muthiah memang hormat dia. Muthiah cuba untuk mendekatinya (untuk belajar atau mencontohi sesuatu yang baik pada dirinya). Namun, apa yang dilakukan menyebabkan tanggapan Muthiah terhadapnya berputar 360 darjah. Bahkan sejak peristiwa itu, Muthiah sering sahaja menunjukkan protes terhadapnya (jelingan menyampah contohnya)…
Bukan itu sahaja… Muthiah juga mula menjauhkan diri daripada Tuhan… Kalau sebelum ini, Muthiah kira, Muthiahlah orang pertama yang menjejakkan kali ke surau (setiap kali solat fardhu) tetapi tidak selepas peristiwa tersebut. Walaupun hati meronta-ronta untuk menjadi yang terbaik di kalangan muslimah yang terbaik.. Muthiah paksa diri untuk TIDAK berbuat demikian.
Apabila boleh keluar ‘outing’, Muthiah keluar Klang dan lepak di kedai-kedai yang menjual kaset (tidak ingat waktu itu sudah ada CD/ VCD atau tidak). Muthiah layan lagu-lagu tersebut. Muthiah sangat kecewa dan kata-kata ustaz tersebut sentiasa terngiang-ngiang.. Sedih! Kecewa! Sangat kecewa!
Kalau dahulu… Muthiah mahu menjadi orang yang paling banyak mengaji. Bilamana Muthiah tahu ada yang mengaji satu juz sehari, Muthiah akan baca dua, tiga atau empat juz. Yang pasti, Muthiah mahu jadi yang paling baik! Namun, selepas peristiwa itu juga, Muthiah memaksa diri untuk tidak melihat ayat-ayat Allah.
Tetapi… sungguh besar kasih sayang Allah. Jauh dari sudut hati… Muthiah meronta-ronta sebenarnya. Muthiah mahu buat tetapi disebabkan ‘protes’ Muthiah membiarkan diri dikuasai nafsu. Oleh sebab tidak dapat menahan diri daripada kesedihan yang melampau, Muthiah pun menghubungi guru kelas Muthiah, Cikgu Ainon namanya. Muthiah luahkan apa yang terpendam… tentang kata-kata ustaz tersebut (tetapi Muthiah tidak cerita perihal ustaz yang berkata sedemikian… Muthiah hanya katakan… seseorang)…
Alhamdulillah, selepas luahan tersebut… Muthiah menjadi lebih tenang dan yang paling menggembirakan Muthiah… Muthiah menerima hadiah daripada seseorang… Siapa? Penasihat BADAR iaitu Ustazah Mumtamah dan ustazah memanggil Muthiah ke biliknya. Pertama, beliau memberi buku Imam Al-Ghazali kepada Muthiah dan yang kedua, Muthiah diambilnya sebagai anak angkat. Tengok! Muthiah tidak seorang lagi….
…..
Entah bagaimana ia bermula, Muthiah tidak pasti tetapi Muthiah akhirnya meluahkan rasa hati ini kepada seorang kakak BADAR. Dia tenang mendengar luahan Muthiah dan yang menyebabkan Muthiah terkejut… bilamana dia memberitahu Muthiah yang BADAR dipersalahkan atas kejadian itu. BADAR dipersalah kerana memberi tekanan!
Sejak itu… barulah Muthiah rasa diri diterima. Kakak yang membuat Muthiah tersisih sebelumnya datang bertemu Muthiah dan berikan Muthiah hadiah. Dia minta maaf dan berterus-terang hal yang sebenar. Katanya, dia tidak perasan kehadiran Muthiah sebenarnya dan…ego dalam diri, rasa marah dan benci hilang. Dan yang paling utama, Muthiah kembali mengejar cinta yang pernah Muthiah abaikan seketika…
Moral :
1- Pastikan dakwah itu DISEBARLUAS kepada sesiapa sahaja. Untuk tujuan melatih mad’u menjadi pendakwah, satu cerita lain tetapi usah sekali-kali mengecilkan skop dakwah. Ajaklah sesiapa sahaja untuk mengenali Tuhan kerana bilamana ia sudah kenal..insya-Allah ia boleh jatuh cinta (dengan izin-Nya).
2- Memberi HADIAH juga sebenarnya boleh mengikat hati-hati manusia. Muthiah paling dan teramat teruja apabila mendapat hadiah daripada Pengerusi BADAR (siswi). KM berjumpa dengan Muthiah senyap-senyap dan memberikan Muthiah hadiah tersebut. Subhanallah, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan Muthiah waktu itu. Rasa disayangi dan dihargai. Tambahan pula… yang beri hadiah itu bukan calang-calang orang, Pengerusi BADAR (siswi).
3- Apapun keadaannya, ketahuilah bahawa kita TIDAK PERNAH SENDIRI (tidak kira bagi pendakwah atau mereka yang baru berjinak-jinak mendalami ilmu agama). Allah dekat dengan kita dan lebih dekat daripada manusia-manusia yang kita harapkan atau kawan karib kita. Sekiranya kita mengharapkan manusia, manusia itu tidak akan selamanya bersama kita tetapi bilamana kita mengharapkan Allah… Dia kekal abadi sehingga akhirnya.
4- Ketahuilah bahawa HIDAYAH hanya datang daripada Allah dan kita hanya mampu berusaha untuk mengajak manusia lainnya kepada Pencipta.
5- Cubalah untuk sentiasa BERSANGKA BAIK… berharap dan bermohonlah kepada Allah agar sentiasa melindungi kita daripada keburukan manusia yang mungkin masih jahil…
6- Banyakkan BERDOA… banyakkan berharap dan bermohon kepada Allah tanpa putus asa.
7- Dakwahlah dengan HIKMAH dan KASIH SAYANG…
Muthiah : Entah bila hendak menulis tentang dakwah fardhiah… Huhu… lupa isi sebenarnya… Eh bukan… ingat-ingat lupa. Insya-Allah… bilamana Muthiah sedikit lapang… Muthiah tulis tentang itu.. Selamat membaca ;)
BADAR oh BADAR, Banyak jasamu kepada warga KISAS... 1001 kisah tidak habis nak diceritakan tentang BADAR.. Apapun fastaqim kama umirta.. motto BADAR kalau tak lupa masa tu.. Tarbiyyah Rohani Wahana Penjanaan Generasi Qurani.