Doa Nabi Daud A.S.


Assalammualaikum. Di kesempatan ini, Muthiah dan suami ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA. Moga-moga, kehidupan hari ini dan akan datang akan lebih baik dan bermakna untuk diri kita.

Pesan Muthiah buat rakan-rakan, juga diri Muthiah sendiri (khususnya) ~ Dalam membuat sesuatu tindakan atau keputusan, letaklah ALLAH di hadapan. Tanyakan pada diri. ALLAH suka atau ALLAH murka? Kemudian, tepuklah dada... tanyalah iman ;)

Baiklah. Hari ini, sedikit perkongsian tentang doa ... Jom layan - Macam Fafau pula. Ehe...

Nabi Daud A.S dalam doanya ada menyebut, "Ya, ALLAH. Aku pohon kepada-MU 4 perkara dan jauhi aku daripada 4 perkara. Aku meminta lidah yang sentiasa berzikir; hati yang selalu bersyukur kepada-MU; jasmani yang sentiasa bersabar atas cubaan; dan seorang isteri yang bisa membantuku dalam urusan agama dan dunia. Hindari aku daripada anak-anak yang derhaka terhadap orang tuanya; harta yang menjadi bencana bagiku dan orang lain; tetangga yang buruk sifatnya (Jika ia melihat kebaikan, dia memfitnah. Jika ia melihat keburukan, ia menyebarluaskan; dan isteri yang menyusahkan (membuatkan aku beruban sebelum waktunya)."

Ringkasan doa Nabi Daud :

Yang dipohon ~

1- Lidah yang sentiasa berzikir;
2- Hati yang selalu bersyukur kepada-MU;
3- Jasmani yang sentiasa bersabar atas cubaan;
4- Seorang isteri yang bisa membantuku dalam urusan agama dan dunia.

Yang diminta untuk dihindari :

1- Anak-anak yang derhaka terhadap orang tuanya;
2- Harta yang menjadi bencana bagiku dan orang lain;
3- Tetangga yang buruk sifatnya (Jika ia melihat kebaikan, dia memfitnah. Jika ia melihat keburukan, ia menyebarluaskan;
4- Isteri yang menyusahkan (membuatkan aku beruban sebelum waktunya).

Kuliah hari ini : Kelebihan suami yang bersabar ;)

Muthiah : Ya, ALLAH. Peliharalah diriku, suamiku... mereka yang aku kasih dan sayang daripada azab api neraka.
Labels: 0 comments | | edit post

Selamat Hari Raya Aidiladha


Assalammualaikum. Di kesempatan ini, Muthiah dan suami ingin mengucapkan ...

  • Selamat hari raya Aidiladha buat semua.
  • Jangan lupa ziarah-menziarahi dan kunjung mengunjung.
  • Moga kita kan lebih menyelami erti pengorbanan. Berkorbanlah demi ISLAM. Awas! Usah silap korban. Takut nanti terkorban.
  • Maaf atas kekasaran bahasa dan tingkahlaku Muthiah.
  • Moga ukhwah yang terjalin(meski walau hanya di alam maya) kan lestari selamanya.
  • Moga hidup kita akan menjadi lebih badik daripada semalam.
Okey. Bagi yang berperjalanan jauh... Selamat memandu dengan hati-hati.

Muthiah : Korban, berkorban, mengorbankan diri, terkorban...
Labels: 0 comments | | edit post

Calon isteri pilihan (vi)


Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Hmmm... otak semakin tepu untuk berfikir namun, insya-ALLAH cuba juga mencoretkan sesuatu untuk teman-teman yang Muthiah kasihi fillah. Iyalah. Selaku manusia, kita hanya mampu menyampaikan. Yang menjentik dan memberi hidayah kepada manusia lainnya adalah ALLAH yang Maha ESA.

Hari ini, Muthiah ingin berbicara terus ke entri terakhir - Calon isteri pilihan - Ehe. Orang putih kata, last but not least, maybe...

Keenam, nikahilah wanita yang jauh ~

Yang dimaksudkan dengan jauh di sini ialah jauh jaraknya serta jauh perhubungan keluarga. Kenapa? Kerana... berkahwin dengan 'orang jauh' (bukan dari kalangan ahli keluarga) boleh menghindarkan diri daripada penyakit keturunan (yang biasa terjadi kepada pasangan suami isteri yang terdiri daripada keluarga dekat). Di samping itu, jika memilih untuk menikahi wanita jauh, dapat juga melebarkan sayap persaudaraan dan kekeluargaan. Iyalah. Perkahwinan tidak terhad kepada sesama ahli keluarga sahaja ;)

Hmmm... tips sudah Muthiah kongsikan. Moga-moga, sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada rakan-rakan semua. Muthiah... bukanlah seorang yang arif untuk berbicara tentang ini. Garam dan gula tidak cukup banyak lagi masuk dalam badan. Namun, apa-apa yang Muthiah tahu daripada halakah ilmu, pembacaan dan lain-lain, insya-ALLAH, Muthiah akan cuba untuk kongsikan bersama. Kalau ada penambahan, 'Kecil tapak tangan, nyiru Muthiah tadahkan,'

Selamat mengisi hati dengan sesuatu yang bermanfaat ;) Kitalah yang membuat pilihan...

;) Nantikan entri CALON SUAMI PILIHAN... Bila? Entahlah... Tungguuu....

Kuliah hari ini : Wajib taat suami!

Akhbar hari ini : Negeri termiskin?

Muthiah : Ya, ALLAH. Biarlah kebahagiaan ini akan berkekalan sampai bila-bila.

Calon isteri pilihan ... (v)


Assalammualaikum. Ehe. Ada dua lagi entri tentang calon isteri pilihan. Baik, terus kepada isinya :

- Nikahilah wanita yang subur-

Dengan kata lain, yang bisa melahirkan anak untuk menambahkan keturunan. Bagaimana pula hendak mengenalpastikannya? Caranya... lihatlah kepada kesihatan jasmaninya dan juga keadaan ibunya, saudara perempuannya yang telah bernikah serta emak saudara dari belah ayah dan ibunya. Jika mereka termasuk dalam golongan yang banyak melahirkan anak, maka suburlah wanita itu.

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah. Dia lalu bertanya, "Wahai Rasulullah. Saya menyukai seorang wanita yang baik akhlaknya, berkedudukan tinggi dan kaya tetapi tidak boleh melahirkan anak. Adakah boleh saya menikahinya?"

Nabi SAW pun bersabda, "Nikahilah wanita yang subur, yang boleh melahirkan anak. Sesungguhnya, aku akan berbangga dengan umat yang banyak pada hari kiamat nanti."

Bagaimana pula halnya jika sudah bernikah bertahun-tahun lamanya tetapi masih belum dikurniakan anak? Bukan setahun dua tetapi sudah lebih lima enam tahun! 'Sudah buat medical check up, doktor kata, semua okey.' ~ Seperti apa yang telah diluahkan oleh seorang teman kepada Muthiah. Huhu... Silap luah kot.

;) Bersabarlah. Insya-ALLAH, apabila sampai ketentuan ALLAH untuk memberi dan mengurniakan, setiap pasangan yang berumah tangga pasti akan memilikinya. Apa yang penting, peliharalah keharmonian keluarga bersama. Amalkan ISLAM dan cara hidup yang telah digariskan ALLAH di dalamnya. Kita tidak mahu...anak ada berbelas-belas,

Suami dan isteri acap kali bertelagah...
Isteri tidak menghormati suami...
Suami tidak menjalankan amanah yang berada di bahunya sebaik mungkin.
Suami pening kepala dengan karenah isteri....
Anak-anak, ada yang jadi perompak, penagih dadah dan pencuri... Nauzubillah...

Justeru... huhu..idea tidak ada..boleh sambung?

Kuliah hari ini :Memilih sahabat (ii)

Akhbar hari ini : Sultan Kedah dukacita.



Muthiah : Percaya kepada ketetapan TUHAN dan yakin pada-NYA.

Calon isteri pilihan ... (iv)


Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Sedang sibuk mengejar target ;)

Sambungan entri - Calon isteri pilihan yang keempat : Mengutamakan wanita yang masih perawan (dara).

Mengapa? Dari apa yang Muthiah baca, sebab yang diberikan ialah kerana wanita itu masih suci serta tidak punya kisah lalu bersama lelaki lain.

Terdapat satu cerita di mana Jabir bin Abdullah hendak bernikah dengan seorang janda. Nabi SAW lantas bersabda, "Pilihlah yang belum pernah bernikah. Kalian akan dapat saling bermanja."

Kemudian, Jabir mengkhabarkan kepada Rasulullah bahawa ayahnya sudah meninggal dunia. Kini, dia mengambil tanggungjawab menjaga adik-adik perempuannya. Jadi, dengan menikahi seorang janda, sudah tentu dapat membantunya mengendalikan urusan sebegini (mendidik anak-anak yang masih kecil).

Nabi SAW menambah, "Pilihlah yang masih gadis kerana lebih manis mulutnya (baik ucapannya), lebih dalam kasih sayangnya (banyak melahirkan anak dan suci) serta lebih menginginka kemudahan."

Persoalannya, salahkah menikahi janda/ duda? Tepuk dada, tanya iman.

Baik janda mahupun anak dara... yang diimpi dan dinanti adalah seorang wanita yang tinggi keperibadiannya, cantik akhlaknya, terjaga maruahnya dan terpelihara agamanya.

Kitalah yang membuat pilihan. Soallah kepada diri sendiri. Mengapakah kita membuat pilihan itu?

Kuliah hari ini : Kebinasaan bagi suami (v)

Akhbar hari ini : Laporan tidak tepat. Agak-agakkah atau fitnah?

Muthiah : Yang paling mulia di sisi ALLAH adalah yang bertakwa.

Siapa yang tidak ada kawan baik?


Assalammualaikum. Bagaimana dengan permulaan hidup kita pada hari ini? Ada baik? Ehe... Apa punya tajuk entri daaa... Bukan apa, Muthiah terfikir sesuatu yang entahlah; Ada atau tidak sahabat-sahabat di luar sana yang tidak memiliki kawan baik. Kalau ada, kenapa, ya? Atau mungkin... SEMUA TEMAN SAYA ADALAH KAWAN BAIK SAYA... Wah! Tahniah...

Hmmm... Satu persoalan mudah; Siapakah kawan baik sahabat-sahabat sekalian?


Kawan baik?
~ Saya tidak ada kawan baiklah, Muthiah. Tidak pernah terfikir pun dengan istilah ini.

Kenapa?
~ Sebab... entahlah. Saya terlalu sibuk. Tidak punya ruang untuk memiliki kawan baik. Kawan biasa-biasa, adalah. Lagipun, bukan mudah hendak mencari kawan yang boleh ketawa dan menangis bersama. Payah, beb! Zaman muda-muda dahulu, bolehlah... adalah juga seorang dua. Sudah tua, tidak berkesempatan untuk berfikir tentang kawan baik.

Tambahan lagi, saya bukanlah jenis manusia yang mudah percayakan orang. One more... orang cakap, mulut saya laser... tidak peka... cakap lepas... suka berfikiran negatif... bersangka-sangka. Jadi, tidak ada yang sudi menjadi kawan baik saya. Kasihan, bukan? Bukan saya hendak bersikap begitu. Memang sudah ditakdirkan saya begini. Ditakdirkan?

Kalau ada masalah? Kepada siapa hendak bercerita?
~ Saya lebih senang memendam perasaan saya sendiri. Saya tidak suka menyusahkan orang dan saya tidak mahu disusahkan orang. Paling koman, saya menulis di blog. Tidak pun, saya shout di wall facebook. Banyak juga yang merespons. Entahlah... saya bercerita kepada sesiapa sahaja yang sanggup mendengar luahan hati saya.

Hahaha... apa yang Muthiah karutkan ini? Hmmm... mungkin dek ketandusan idea membuatkan Muthiah merapu di sini. Namun, andai ada 'sesuatu', fikir dan renung-renungkanlah ya.

Kuliah hari ini : Memilih sahabat (i)...

Akhbar hari ini : Undi pos... Hmmmm... Muthiah kurang yakin ketelusannya - (secara peribadi).

Satu hadis tentang sahabat ~ Daripada Abu Hamzah, Anas bin Malik R.A., khadam kepada Rasulullah; Nabi SAW bersabda, "Tidak beriman seseorang di antara kamu, sehinggalah ia mencintai saudaranya sama sepertimana ia mencintai dirinya sendiri."

Labels: 2 comments | | edit post

Berbaloikah sebuah pengorbanan? - Paksi.net







Kuliah hari ini : Dosa membunuh 100 orang...

Akhbar hari ini : Kaji semula pengharaman seni budaya.

Muthiah : Terrrr...

Calon isteri pilihan ... (iii)


Assalammualaikum. Apa khabar? Lagi tentang calon isteri pilihan.

Ketiga ~ Cantik.

Namun, sebelum Muthiah bercerita panjang, Muthiah ingin berkongsi satu cerita tentang sesuatu...

Kisah ini berlaku sewaktu Muthiah tinggal di rumah sewa di Setapak. Muthiah mempunyai seorang teman (berpangkat adik) yang Muthiah kira... cantik akhlak dan keperibadiaannya. Namun, satu hari... dia meluahkan rasa kepada Muthiah.

Katanya, "Kak Deq, saya redha kalau satu hari nanti tidak ada ikhwah yang hendak menikahi saya."

Mata Muthiah membulat. Bagi Muthiah... beruntunglah sesiapa sahaja yang dapat memperisterikannya. Sebab... dia baik bangat dan rajin juga. Pandai memasak pula. Jadi, apa lagi yang hendak diragukan?

"Kenapa pula, sayang?" Balas Muthiah pendek sambil memandang tepat wajahnya.

Teman Muthiah ini terdiam sejenak. Dia semacam ragu-ragu untuk berterus-terang. Kemudian, dia menambah. "Sebab saya tahu saya tidak cantik macam akhuwat lain. Ikhwah pun, pilih yang cantik-cantik sahaja. Saya sedar diri saya, Kak Deq..."

Hmmm... sebak Muthiah mendengar luahan hatinya. Bagi Muthiah... dia cantik. Sungguh cantik. Cantik budi bahasa. Cantik tingkah laku. Tidak suka berbicara keburukan orang lain. Tidak berkira bahkan, Muthiah sendiri 'cemburu' dengan kecantikannya ini. Muthiah mahu menjadi se'cantik'nya.

Baiklah, berbalik kepada persoalan faktor kecantikan dalam memilih isteri.

Islam sebenarnya tidak memandang kriteria ini secara mutlak. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa (terkadang), kecenderungan memilih isteri yang cantik bisa menambah kadar cinta sang suami, memberi ketenangan jiwa dan menjadikan perasaan terbuai-buai. Dengan lain perkataan, dapat menggembirakan hati. Betul, begitu?

Bagaimana halnya pula dengan isteri yang cantik tetapi...

Buruk tingkah laku...
Suka meninggikan suara...
Cakapnya tidak berlapik...
Pemalas...
Suka mengumpat dan mengata...
Suka bersangka-sangka...
Suka memandang negatif terhadap orang lain...

Bahagiakah sang suami beristerikan wanita sebegitu? Kalau si isteri itu cantik tetapi banyak melakukan kemungkaran pula??? Huhu... kasihan sang suami yang tidak 'berani' menegur dan menasihati. Iyalah... Bukankah seorang suami itu bertanggungjawab ke atas isterinya?

Hmmmm....

Lelaki :Mahu pilih yang cantik rupa dan elok akhlaknya.

Andai ketemu, Alhamdulillah. Kalau tidak??? Kitalah (sang lelaki) yang membuat pilihan. Tepuk dada, tanya iman.

Nabi SAW bersabda, "Sebaik-baik wanita ialah yang membuatkan kamu bahagia tatkala dipandang, menurut jika diperintah, jika kamu menyatakan dia membenarkan, berasa adil jika kamu memberi dan sekiranya kamu tidak ada, dia mampu menjaga kesucian dirinya dan hartamu."

*** Tidak cantik pada kaca mata seorang lelaki, boleh jadi cantik pada kaca mata lelaki lainnya. Kecantikan itu sendiri sebenarnya satu perkara yang subjektif. Sedap mata memandang, insya-ALLAH cantiklah tu. Wanita yang cantik akan bertambah menawan dengan keelokan akhlaknya. Justeru para wanita... percantikkanlah keduanya... ***

Kuliah hari ini : Kebinasaan bagi suami (iv)

Akhbar hari ini : BERSIH kembali.

Muthiah : Hmmm... cantik akhlak, nampak bertambah cantiklah rupa. Buruk akhlak, bertambah buruklah rupa. Betul?

Calon isteri pilihan ... (ii)


Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah… Hmmm…. Tengah berfikir, esok nak mula di mana, ya? Mula apa? Ehe… Mula re-kemas rumah. Kenapa? Owh. Hari ini, ada orang datang buat ‘operasi’ di rumah. Dengan kata lain, sesi pembaik pulihan rumah. Wah… rumah pun kena baik pulih. Hahaha…

Okey-okey. Kita sambung terus kepada isi kedua, ciri-ciri calon isteri pilihan :


KETURUNAN/ ASAL USUL YANG BAIK/ MULIA.


Dengan lain perkataan, isteri berasal daripada keluarga yang dikenal dengan sikap baik, berakhlak mulia, dan berbudi luhur.


Kenapa? Kerana...


Sikap inilah yang akan menenangkan hati yang sedang lara.

Sikap sebegini juga bisa dicontohi oleh zuriat yang bakal dilahirkan kelak.

Bukan itu sahaja, orang yang berada di sekelilingnya juga berasa senang dengan fiil dan tingkahlaku.


Nabi SAW bersabda, "Manusia itu adalah sumber kejahatan dan kebaikan. Ada yang memilih kebodohan dan ada juga yang memilih sebaliknya. Jika mereka bijak, mereka pasti memilih ISLAM."


Jadi, tepuk dada... tanya iman. Kitalah yang membuat pilihan, wahai lelaki yang bakal menjadi pemimpin rumah tangga.


Hadis Nabi SAW ada menyebut, "Pilihlah yang tepat untuk tempat benihmu sebab asal keturunan itu bisa membawa pengaruh."


Tidak... tidak!!! Calon isteriku ~ Ibunda dan ayahandanya tidak mengikut jalan ISLAM. Hmmm... Dia pula bagaimana?


Andai kita memilih untuk menikahi seorang perempuan, jangan lupa untuk bersiap sedia membimbingnya ke jalan yang diredhai ALLAH. Jangan lupa juga untuk mengajaknya mendekatkan diri kepada PENCIPTA. Pokok pangkalnya, adalah ~lelaki/ suami!


Tepuk dada, tanya iman....


Kuliah hari ini : Kebinasaan bagi suami (iii)


Akhbar hari ini :Isu FELCRA di SPRM.


Muthiah : Serah segalanya kepada ALLAH ~ Titipan buat mereka yang suka bersangka-sangka dan menghina.

Titanic

Assalammualaikum. Apa khabar? Bagaimana halnya dengan iman dan amal? Ayuh... sentiasalah kita memperbaharui niat. Agar tidak terpesong daripada sesuatu yang telah ditetapkan ALLAH. Khuatir... silap langkah, kita bisa tersungkur. Silap penghitungan, bisa membuatkan kita jauh daripada PENCIPTA. Sayang... tidak mampu pula untuk bangkit kembali. Nauzubillah...


Ehe. Jom luangkan sedikit masa membaca artikel tentang RMS Titanic. Kemudian, renung dan fikirkan kembali. Apakah iktibar yang boleh diambil daripada peristiwa kapal karam ini? Iyalah. Kapal ini, bukanlah calang-calang kapal. Bahkan banyak yang percaya bahawa kapal ini tidak akan tenggelam. Namun, akhirnya telah mengorban 1,517 nyawa. Siapa sangka, siapa menduga?

Ibrahnya ~ Tidak ada yang lebih hebat daripada ALLAH. Jika kita (manusia) merasakan diri kita berkuasa... kaya... tidak ada yang mampu mengapa-apakan kita (undang-undang dunia, kita yang punya)... dapat membuat apa sahaja. Kita silap!!! Apabila sampai ketentuan TUHAN, tidak mustahil kita yang selalu alpa dan lupa ini bisa tersungkur. Tidak mustahil kita yang berada di atas terjatuh jauh ke bawah. Fikir renung-renungkan...

Kuliah hari ini : Kebinasaan bagi suami (ii)

Akhbar hari ini : Penilaian 'Tangan Syaitan' - Dr. Asri.

Muthiah : Ya, ALLAH. Peliharalah aku, suamiku, mereka yang aku sayang daripada azab api neraka-MU... kemurkaan-MU...

Labels: 0 comments | | edit post

Lambaian kasih duka

“Mak tetap tidak suka!” Mak Limah meninggikan suara. Raut muka puteri bongsunya direnung tajam. Semacam hendak diterkam gadis bertubuh gempal yang sedang mencangkung itu. Fatin pula hanya tunduk membisu. Sama sekali tidak berani memandang wajah emaknya.

“Fatin bukannya betul-betul mengenali budak itu. Kita tidak tahu asal usulnya. Fatin tidak dapat menyelami apa-apa yang tersirat dan tersembunyi di dalam hatinya. Entahkan ikhlas, entahkan tidak,” ada sedikit getar pada suaranya. Mak Limah tetap tidak mengalihkan pandangan pada anak gadisnya yang tetap membatu.

“Mak, Fatin keluar dahulu. Ada hal sekejap.” Tanpa mengendahkan bebelan emaknya, Fatin segera berlalu pergi. Ia terus berjalan laju menuju ke muka pintu. Kemudian, menuruni anak tangga dengan penuh hati-hati. Fatin ada temujanji dengan seseorang sebenarnya dan ia perlu lekas. Khuatir teman datingnya itu berkecil hati mahupun merajuk.

“Fatin hendak ke mana?” Pak Leman yang baru sahaja pulang daripada bertukang menegur anak gadisnya yang kelihatan terkocoh-kocoh meninggalkan rumah. Motosikal Honda 50cc yang ditunggangnya diletakkan betul-betul di bawah pokok rambutan tidak jauh dari teratak buruknya. Ekor matanya tetap memandang Fatin yang nampaknya sudah tidak keruan. Seperti ada sesuatu yang sedang mengejarnya. Tidak pun, semacam mengejar seseorang. Pak Leman berkalih ke atas rumah. Tidak pula kelihatan isterinya yang kuat berleter itu.

“Fatin hendak jumpa kawan, Ayah,” laung Fatin yang sudah berada di atas jalan besar. Pak Leman hanya menggeleng. Ia segera menapak ke dalam rumah.

“Limah, buatkan saya kopi…”

*****

Fatin memandang skrin telefon bimbitnya. Roman mukanya berubah. Sudah pukul 6.00 petang. Sudah tentu temannya itu sedang ternanti-nanti. ‘Emak punya pasallah semua ini,’ Fatin mendengus sendiri. Marah benar ia dengan Mak Limah. Fatin segera mempercepatkan langkahnya. Wajahnya masam mencuka.

“Maaf, Fatin terlewat. Emak tidak habis-habis mengomel. Ada sahaja yang tidak cantik pada matanya,” Fatin bersuara lembut. Ia memandang lelaki yang sedang duduk bertinggung di tepi sungai itu tanpa berkelip. Khuatir benar dia dengan rajuk pemuda berambut panjang paras bahu itu. Fatin tidak rela.

“Hanya tiga puluh minit. Saya sanggup tunggu,” ujar Sukarno perlahan. Ia membalas pandangan Fatin dengan senyum mesra. Anak mata gadis itu ditatap dalam-dalam. Fatin tertunduk sipu.

“Untuk Fatin,” tambahnya lagi. Hadiah bertukar tangan. Fatin menelek bungkusan yang siap dibalut itu dengan teliti. Ia memandang Sukarno sekilas kemudian kembali menggoncang hadiah yang baru diterimanya. Fatin tersenyum gembira.

“Apa di dalamnya?” Dahi Fatin berkerut. Ia merenung tajam mata lelaki yang sudah berdiri di hadapannya.

“Bukalah,” Sukarno kembali memandang arus sungai yang mengalir. Wajahnya berubah kemerahan.

“Istimewa buat gadis yang saya sayang. Sebagai bukti bahawa saya betul-betul mengasihi Fatin. Saya ikhlas dalam perhubungan ini. Saya tidak main-main,” sambungnya dengar tidak dengar. Fatin cepat-cepat membuka bungkusan tersebut. ‘Nah! Impianku,’ ia menjerit sendiri. Riang. Telefon bimbit berjenama Nokia itu diperhati penuh minat.

“Terima kasih. Emak pun tidak pernah belikan saya hadiah semahal ini,” luah Fatin terharu.

“Mungkin bermakna, saya menyintai Fatin melebihi sayang ibu terhadap diri Fatin sendiri. Saya mungkin baru mengenali Fatin tetapi hati saya betul-betul tertawan dengan Fatin,” Sukarno cuba memancing hati gadis itu halus. Cukup lembut dan senyumannya tidak lekang dari bibirnya yang kebiruan. Menandakan lelaki ini seorang perokok tegar. Fatin terdiam.

“Fatin tidak putih macam anak Pak Mat. Fatin juga tidak langsing macam Seripah. Fatin tidak cantik macam orang lain,” anak Mak Limah itu berbasa-basi. Ia sedar bahawa dirinya tidaklah memiliki keistimewaan yang bisa membuatkan hati seorang lelaki tertawan. Kehadiran Sukarno betul-betul mengejutkannya. Namun, ia sama sekali tidak dapat menidakkan rasa gembira yang bertandang di dalam hatinya.

Belum ada orang pernah memujinya sebagaimana yang telah dilakukan Sukarno. Bukan itu sahaja, emak dan ayahnya juga tidak pernah menghadiahinya dengan sesuatu yang mahal. Fatin sedar. Emaknya hanya pembuat kuih. Ayahnya pula seorang tukang rumah tetapi Sukarno juga bukan orang senang. Ia setakat bekerja sebagai tukang angkut kelapa sawit. Jadi…

“Minggu hadapan, saya akan kembali ke Lombok. Sudah lima tahun saya mencari rezeki di Malaysia dan saya kira tibalah masanya saya pulang ke kampung halaman,” ungkap Sukarno satu-satu. Fatin diam. Ia tunduk memandang tanah tanpa berkata sepatah pun.

“Fatin…” Sukarno memanggilnya lembut. Tetap diam.

“Fatin…” Kali ini, Sukarno menepuk bahu Fatin perlahan. Fatin terkesima. Ia memandang Sukarno dengan penuh emosi. Matanya mula berkaca. Fatin tetap membisu. Baru sebentar tadi hatinya berbunga riang menerima hadiah telefon bimbit pemberian jejaka itu tetapi khabar yang baru diterimanya ini membuatkan kegembiraannya direnggut.

“Awak tidak sayang saya?” suara Fatin terketar-ketar.

“Sayang. Saya sangat menyayangi Fatin,” Sukarno berterus-terang. Fatin berasa hiba. Belum ada orang melayannya begini. Emak dan ayah juga tidak pernah menunjukkan rasa kasih mereka sepertimana yang dipamerkan Sukarno. Fatin benar-benar pilu. Ia tidak mahu kehilangan lelaki ini.

“Jadi, kenapa awak hendak meninggalkan saya?” soal Fatin lagi.

“Hmmm…” dengus Sukarno panjang.

“Saya gembira tinggal di Malaysia. Saya senang berada di samping Fatin tetapi saya masih punya ibu serta adik-adik di kampung halaman. Malaysia bukanlah bumi kelahiran saya. Saya perlu kembali,” cowok itu merenung Fatin tajam.

“Saya???” Fatin masih tidak berpuas hati.

“Sudikah Fatin mengikut saya ke Lombok?” Sukarno masih tidak mengalihkan pandanganya pada Fatin. Fatin tertunduk malu.

“Saya berjanji tidak akan mempersiakan hidup Fatin. Saya berjanji akan membuatkan Fatin gembira dan bahagia selamanya. Saya berjanji akan memberikan kebahagiaan yang berterusan buat Fatin,” kata Sukarno sungguh-sungguh.

“Saya masih muda. Baru lima belas tahun dan saya belum habis belajar,” Fatin nampaknya masih ragu-ragu.

“Hmmm…” Sukarno mengeluh lagi.

“Adik perempuan saya bernikah pada usia empat belas tahun. Begitu juga dengan kebanyakan gadis lain di Lombok. Apa yang penting, kita bahagia dengan kehidupan yang kita pilih. Saya berjanji akan sentiasa menceriakan hidup Fatin,” lelaki itu masih sabar membujuk.

“Bagaimana dengan emak dan ayah?” terbayang-bayang pula wajah emak dan ayahnya.

“Hmmm…” Sukarno terdiam.

“Saya pasti mereka akan faham. Kalaupun mereka marah, saya yakin tidak akan lama. Kita bukannya buat sesuatu yang salah. Saya akan mengahwini Fatin. Kita akan bina keluarga bahagia. Kita akan selalu menjenguk mereka di Malaysia. Mereka jauh di mata tetapi sentiasa dekat di dalam hati kita,” panjang lebar Sukarno menerangkan.

“Baik…” Fatin tersenyum puas. Ya! Ia tidak akan melepaskan peluang ini. Bukan mudah untuk mengasihi dan dikasihi. Lebih-lebih lagi, ia bukanlah sesempurna anak gadis lain. Badannya gempal, tidak menyelerakan mata yang memandang. Mujur ada Sukarno yang mahu menyintai dan menyayanginya.

*****

“Fatin pasti?” Mata Nabila membulat. Ia benar-benar terkejut dengan keputusan mendadak rakan akrabnya itu. Masakan ia sanggup membelakangi keluarganya demi cinta. Entah jujur, entahkan palsu tetapi nampaknya anak bongsu Pak Leman ini betul-betul tekad.

“Ya, Fatin pasti. Lusa, Fatin akan ikut Sukarno kembali ke Indonesia,” Fatin terdiam sejenak.

“Ila janji tidak maklumkan kepada siapa-siapa, boleh?” Fatin mengangkat jari kelingkingnya menghala ke arah Nabila yang ternganga luas mulutnya.

“Hmmm…” Nabila serba salah.

“Ila janji, ya. Demi persahabatan kita. Tidak ada orang yang lebih Fatin percayai melainkan diri Ila. Jadi, jangan sekali-kali mengkhianatinya,” Fatin sedikit mengugut namun ia tetap tersenyum.

“Bagaimana pula dengan emak dan ayah?” soal Nabila lagi.

“Hmmm…” riak wajah Fatin berubah. Ia sayangkan keluarganya tetapi ia tidak sanggup kehilangan seorang lelaki yang amat mengasihinya. Fatin keliru.

“Mereka akan faham,” jawabnya ringkas dan bersahaja. Fatin sebenarnya cuba menenangkan dirinya sendiri.

“Fatin…” Nabila merenung tajam anak mata sahabat karibnya.

“Hanya ada satu emak dalam dunia ini. Begitu juga dengan ayah. Hanya ada satu bapa. Tidak ada yang mampu melangkaui kasih seorang ibu dan ayah. Mereka kasihkan anak-anak mereka melebihi diri mereka sendiri. Mungkin mereka tidak pandai mempamerkan rasa cinta tersebut namun hakikatnya, sayang mereka tidak berbelah bahagia. Marah dan bebelan mereka adalah tanda cinta yang mendalam…” sambungnya cuba menasihati.

“Fatin tekad!”

*****

Tok tok tok…

“Assalammualaikum,” pintu rumah Pak Said diketuk.

“Waalaikumussalam. Eh, Mak Limah. Masuklah,” pelawa Mak Munah yang masih lagi mengenakan telekung sembahyang. Mereka pun sama-sama melangkah ke ruang tamu.

“Nabila ada?” Mak Limah mencari-cari kelibat anak Mak Munah yang nombor tiga itu. Wanita berusia lebih separuh abad ini nampaknya tidak senang duduk.

“Ila… Mak Limah datang,” jerit Mak Munah perlahan.

“Ila…” panggil Mak Munah lagi.

“Ya, Mak,” jawab Nabila. Ia segera mendapatkan ibunya. Tiba-tiba, langkahnya terhenti. Kehadiran Mak Limah betul-betul memeranjatkannya. Mukanya berubah pucat.

“Ila ada nampak Fatin? Dari pagi ia keluar, tidak balik-balik sampai sekarang,” suara Mak Limah tersekat-sekat. Nabila hanya diam. Ia teringat janjinya pada Fatin. Tidak memberitahu sesiapa perihal pemergiaanya ke negara seberang untuk mengikut kekasih hati.

“Ila…” Kali ini, Mak Munah menyebut nama anaknya keras. Ia pasti ada sesuatu yang sedang disembunyikan Nabila.

“Hmmm…” Nabila mengeluh perlahan.

“Fatin ikut Sukarno balik Indonesia,” jawabnya takut-takut.

“Apa???” Mak Limah dan Mak Munah menjerit serentak. Tidak semena-mena, air mata Mak Limah gugur ke bumi. Semakin lama, esakannya semakin kuat. Tidak ia duga anak gadis kesayangannya itu akan bertindak sehingga ke tahap ini.

“Fatin…” sayu-sayu suara Mak Limah kedengaran.

“Sampai hati Fatin tinggalkan Mak. Mak sayang Fatin. Melebihi nyawa Mak sendiri,” bahu Mak Limah terhinggut-hinggut.

“Fatin…” jerit Mak Limah lagi. Tiba-tiba, ia jatuh terjelepok di atas lantai. Mak Munah dan Nabila kaget.

“Kalau Ila tahu, kenapa tidak maklumkan kepada kami. Tengok…” Mak Munah memarahi anak gadisnya sungguh-sungguh. Nabila hanya diam. Ia mengakui kesalahannya.

“Maafkan Ila, Mak. Maafkan Ila, Mak Limah,” Nabila akhirnya turut sama mengalirkan air mata. Ia betul-betul menyesal. Ia sayangkan Fatin tetapi silap membuat pertimbangan dalam mempamerkan rasa kasihnya kepada gadis itu.

*****

Lima tahun kemudian…

“Bagaimanalah agaknya keadaan Fatin sekarang?” Mak Limah tertanya-tanya sendiri.

“Bagaimanalah agaknya keadaan anak Emak sekarang? Apapun keadaannya, Emak sudah memaafkan segala kesalahan Fatin. Ketahuilah, doa Emak tidak pernah putus buat Fatin,” air matanya gugur lagi.

Begitulah sehari-hari. Sejak Fatin meninggalkan rumah dan mengikut lelaki pilihan hatinya, Mak Limah tidak pernah putus menyebut namanya. Mak Limah benar-benar merindui anak bongsunya itu tetapi ia tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Ia sudah melakukan apa sahaja untuk menjejaki anak gadisnya tetapi tetap tidak berjaya. Laporan polis sudah dibuat namun masih tidak membuahkan sebarang hasil. Mak Limah cukup kecewa.

Air matanya mengalir semakin deras. Tiba-tiba…

Kring kring…

Kring kring… telefon rumahnya berdering. Mak Limah segera berlari ke arah telefon. Mana tahu ada berita daripada Kedutaan Malaysia di Indonesia.

“Hello,” ucap Mak Limah perlahan.

“Mak…” kedengaran suara Fatin dari corong telefon.

“Fatin!!!” Mak Limah terkesima.

“Fatinkah ini?” Mak Limah nampaknya masih tidak percaya.

“Ya, Mak. Fatin yang bercakap,” balas Fatin. Suaranya terketar-ketar.

“Fatin… Fatin di mana, Sayang?” Cepat-cepat Mak Limah bertanya.

“Fatin hendak balik, Mak,” esakan Fatin sudah mula kedengaran.

“Fatin di Lombok…”

‘Lombok????’ Mak Limah terdiam. Tersentak dengan kata-kata anaknya, Mak Limah tiba-tiba jatuh pengsan.

“Mak… Mak… Mak…” jerit Fatin dari corong telefon tetapi tidak ada sebarang jawapan yang diterima. Fatin terkedu.

Kuliah hari ini : Bolehkah meraikan perayaan agama lain?

Akhbar hari ini : Sesungguhnya, setiap amal bermula dengan niat. Hanya ALLAH yang tahu segala apa yang tersirat dalam hati manusia.

Muthiah : Hmmm... terima kasih .... atas segalanya.

Kalau tidak malu pada.... (ii)


Assalammualaikum. Baiklah... Sambungan kisah semalam.

Macam mana, ya. Hati sudah kasih dan sayang. Cinta bangat. Mahu sehidup semati. Walaupun wanita itu tidak bagus agamanya, dia tetap baik dan memahami. Dia juga prihatin lagi peka. Tolong!!!

Kalau sudah cinta... hendak buat macam mana?

Hmmm....

LELAKI ... SUAMI... KETUA RUMAH TANGGA... KETUA KELUARGA... PEMIMPIN BAGI KAUM WANITA... Apa lagi?

Bak kata mak cik tersebut kepada Muthiah, "B kau pun satu. Memanglah bini tu tak pakai tudung tapi dah kahwin, suruhlah dia tutup aurat. Tak takut ke nak bawa dosa bini sekali? Mak cik tahu, dia takut dengan bini dia. Tu tak pernah cakap apa-apa."

Jadi....

Mainkanlah peranan SEWAJARNYA selaku seorang SUAMI.

Mahukah kalian membiarkan isteri kesayangan kalian mempamerkan aurat mereka untuk tatapan umum?

Berbanggakah kalian dengan apa yang dilakukannya?

Kalian berasa senang dengan pujian dan kata-kata manis mereka yang kagum dengan kegebuan peha isteri kalian?

Tepuk dada, tanya iman.

Jadi, kalianlah (suami) yang membuat pilihan. Kalian memilih untuk bernikah dengan dia (isteri) yang masih terdapat kekurangan dalam agamanya. Namun, sayang seribu kali sayang. Kalian membiarkan sahaja isteri kalian berterusan berada dalam kejahilan dan kemaksiatan kepada ALLAH.

Kalian tahu...

Tidak solat itu salah ~ Kalian biarkan sahaja isteri kalian melalaikan solatnya?

Mengumpat itu berdosa ~ Kalian buat endah tidak endah sahaja. Biarlah dia dengan hobinya.

Kubur lain-lain namun sedarkah kalian dengan tanggungjawab yang berada di atas pundak kalian sekarang?

Jadi...

Ayuh. Mainkan peranan sewajarnya. Tidak ada manusia yang sempurna dan tidak ada manusia yang tidak layak berubah menjadi lebih baik dari semalam.

Bimbinglah... bawalah dia (isteri) ke jalan yang diredhai ALLAH. Mahukah kalian? Kaki setapak sudah berada di dalam syurga tetapi dek kuatnya tarikan sang isteri, kalian gagal masuk ke dalamnya, menghala terus ke pintu neraka.

=) Moga titipan ringkas ini kan dapat memberi manfaat (walau sedikit) kepada semua.

Kuliah hari ini : Kebinasaan bagi suami (i)...

Muthiah : Ya, ALLAH. Jauhkan diriku... suamiku.... mereka yang aku kasih dan sayang dari azab api neraka.

Kalau tidak malu pada.... (i)


Assalammualaikum. Ehe...

Mulakan harimu dengan senyuman.
Mulakan harimu dengan berlapang dada.
Mulakan harimu dengan mengingati TUHAN.
Mulakan harimu dengan menghisab diri.
Mulakan harimu dengan segala sesuatu yang positif.


Entri semalam, Muthiah berbicara tentang calon isteri pilihan - PILIHLAH YANG BERAGAMA. Insya-ALLAH, hari ini... Muthiah ingin berkongsi satu kisah...

Sewaktu dalam perjalanan menuju ke satu destinasi bersama seorang wanita bergelar nenek yang berusia dalam lingkungan 60 tahun, tiba-tiba dia pun bersuara, "A pun satu. Dan ada anak sorang pun masih mahu pakai seluar nampak bontot. Kalau tak malu pada orang lain, malulah pada mak cik yang dah tua ni. Bukan orang lain, mak mertua dia."

Muthiah hanya diam. Tidak tahu apa yang boleh diperkatakan. Hanya mampu menjadi pendengar setia buat sang nenek.

"B kau pun satu. Memanglah bini tu tak pakai tudung tapi dah kahwin, suruhlah dia tutup aurat. Tak takut ke nak bawa dosa bini sekali? Mak cik tahu, dia takut dengan bini dia. Tu tak pernah cakap apa-apa," wanita itu menambah lagi.

Kasihan mendengar luahan wanita itu, Muthiah pun bersuara, "Insya-ALLAH, tidak lama lagi berubahlah dia. Sama-sama kita doakan."

Wanita itu mengeluh perlahan...

Apakah pengajaran yang boleh diambil? Hmmm... insya-ALLAH, esok Muthiah sambung ya. Kisah di atas, bukan sekadar cerita tetapi ada sesuatu yang boleh direnung dan difikirkan. Buat seseorang bergelar lelaki... Salahkah bernikah dengan wanita yang tidak mengendahkan agamanya??? Tepuk dada, tanya iman. Tunggu, ya.

Kuliah hari ini : Wanita akhir zaman.

Akhbar hari ini : Siasat lantai sekolah runtuh.

Muthiah : Ya, ALLAH. Peliharalah aku, suamiku, mereka yang aku sayang daripada azab api nerakamu.

Calon isteri pilihan ... (i)


Assalammualaikum. Apa khabar? Ada yang sedang berhati walang? Kenapa, ya? Muthiah?? Alhamdulillah.

Memilih untuk positif.
Memilih untuk menyerahkan segalanya kepada ALLAH.


Ehe... Dahulu, Muthiah ada bercerita tentang HIKMAH PERKAHWINAN, bukan? Hari ini, pun tentang kahwin. Jom baca...

Rasulullah SAW bersabda, “Dikahwini akan perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama. Nescaya akan selamat," Muttafaqun Alaihi.

Satu soalan ~ Mudahkah memilih isteri/ suami??? Atau... main rembat sahaja

Hmmmm... Wallahualam. ALLAH lebih tahu hari mendatang. Apa yang penting, diri tidak putus berdoa agar kehidupan yang dilalui sehari-hari menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Mohon perlindungan dan pengawasan TUHAN sentiasa. Insya-ALLAH, jiwa dan jasad akan selamat.

PERTAMA...

Pilihlah seorang wanita (untuk dijadikan isteri) kerana AGAMANYA....


Kenapa?

Apabila dia tahu agama, insya-ALLAH...

1- Dia akan sentiasa patuh kepada suaminya. Meski hartanya lebih banyak, pangkatnya lebih besar, gajinya lebih tinggi... suaminya tetap berada di atas. Dia tahu hak suami dan kedudukannya di sisi sang lelaki. Matlamatnya satu ~ Redha suami dicari dinanti. Bukankah syurga ALLAH selalu terpampang di hadapan mata. Segalanya dilakukan kerana DIA yang Maha ESA.

2- Dia akan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik untuk suaminya. Dengan lain perkataan, dia selalu mahu menyenangkan hati sang suami. Dia berhias... hanya untuk suami.Melunakkan suara pun hanya kepada dia yang halal buatnya. Dia tidak kisah mencuri masa lapangnya untuk memasak, membasuh pakaian, menggosok pakaian, membersihkan rumah meski hal ini bukanlah satu kewajiban buatnya. Dia tahu kemampuan sang suami dan dia mahu menggembirakan hati lelaki itu.

3- Amanah. Menjaga harta suaminya dengan baik. Tidak berbelanja sewenang-wenangnya. Suami bergaji RM1,000. Hendak beli kereta yang harganya RM100,000? Suami berjagi RM1,000. Hari-hari hendak makan di kedai? Seorang isteri yang baik, berusaha memahami kemampuan suaminya.

4- Membantu suami membina generasi yang akan datang. Dengan lain perkataan, mendidik anak sebaik mungkin. Perkenalkan mereka dengan ajaran ISLAM. Tunjukkan kecantikan ISLAM kepada mereka. Amalkan ISLAM dalam kehidupan berumah tangga.

Hehe... apa lagi, ya? Apapun, pilihlah seseorang yang boleh mendorong kita ke syurga. Baik bagi lelaki, mahupun perempuan.

Kitalah yang membuat pilihan. Pilihan yang baik, insya-ALLAH akan membahagiakan diri kita. Rumah tangga, ada pasang surutnya namun... apabila ALLAH diletakkan di hadapan, insya-ALLAH... kita semua akan dapat mengharunginya (cabaran dalam alam rumah tangga)/

~ Dia akan sama-sama membantu kita mencapai dan mengejar redha dan syurga-NYA. Hidup ini tidak lama. Satu masa, akan dipanggil kembali. ~


Kuliah hari ini : Hak seorang suami.

Akhbar hari ini : Wakil insuran mohon jasa baik.

Muthiah : Biar baik pada kaca suami meski ada yang tidak senang hati. Ada ke?

Sayidatina Zainab binti Khuzaimah R.H.


Assalammualaikum. Apa khabar? Apa macam? Ada baik semuanya? Muthiah... Alhamdulillah. Syukur kerana telah dikurniakan kehidupan yang baik oleh TUHAN.

Bukankah ALLAH ada berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud, "Dan (ingatlah juga); Tatkala TUHAN-mu menyatakan,' Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu; dan jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih,'."

Hmmm... lama sudah Muthiah tidak menulis kisah tokoh. Hari ini, insya-ALLAH... Muthiah sambung lagi tentang profil isteri Nabi SAW yang kelima. Siapakah gerangannya?

Betul. Isteri Nabi yang kelima namanya Zainab binti Khuzaimah R.H. Bapanya bernama Khuzaimah bin Al-Harith bin Abdullah manakala ibundanya pula Hindun binti Auf.

Zainab (berbangsa Arab) telah dilahirkan di Mekah pada tahun ke-26 sebelum Hijrah dan telah bernikah dengan Rasulullah pada penghujung 3 Hijrah/ awal 4 Hijrah di Madinah. Suaminya yang terdahulu bernama Abdullah bin Jahsy, saudara sesusu Nabi SAW.

Kerana ingin memuliakan Abdullah yang telah syahid di medan Uhud, Nabi SAW pun mengambil Zainab sebagai isteri. Tempoh perkahwinan mereka adalah selama 2 ke 3 bulan. Zainab wafat pada bulan Rabiul Akhir tahun ke-4 Hijrah, di Madinah sewaktu Nabi hayat Rasulullah.

Zainab telah mendapat gelaran Ummu Al-Masakin (Ibu kepada orang miskin) kerana sikapnya yang penyayang serta kelembutannya terhadap mereka.

** Muthiah amat alu-alukan penambahan, jika ada. **

Kuliah hari ini : Isu IFF ~

Akhbar hari ini : Zakat dikatakan rasuah. Rasuah dikatakan....

Muthiah : Gerun kepada ulama yang ....
Labels: 0 comments | | edit post

Anda ditahan atas kesalahan ... (ii)


Assalammualaikum. Apa khabar? Roh dan jasad, ada sihat? Ehe… soalan awal pagi….

1- Bangun qiam pagi tadi?
2- Solat Subuh bersendirian atau berjemaah?
3- Sudah membaca al-Quran?
4- Ada join AMT alias Ahli Mesyuarat Tingkap?


Okey.

2- Salah parkir daaaa…

Hihi… Semalam, Muthiah ada bercerita tentang reaksi awal Muthiah tatkala dihubungi suami, meminta Muthiah mengambilnya di Balai Polis Taiping. Sambungan semalam.

Al-kisah… al-tersebutlah kisah…

Sebaik sahaja sampai ke Ibu Pejabat Polis Taiping, tanpa berfikir panjang… Muthiah terus memandu masuk ke dalam kawasan balai polis (walhal, Muthiah sudah nampak kereta-kereta yang diparkir di luar). Berkebetulan pula, tidak ada polis yang bertugas di pintu pagar masuk. Apa lagi??? Muthiah jalan teruslah.

Muthiah mencari-cari tempat parkir. Nah! Ketemu. Ada banyak kereta diparkir di situ. Salah satu (yang Muthiah ingat) ialah kereta jabatan polis. Muthiah pun, memandulah ke situ. Alhamdulillah. Ada dua parkir kosong tetapi rapat-rapat pula. Oleh sebab mahu membuktikan kemampuan Muthiah memandu, Muthiah cuba juga masuk. Alhamdulillah. Boleh walaupun tidak sepakar pemandu lelaki.

Siap memarkir kereta di situ, Muthiah segera menghubungi suami. “Abe berada di mana?”

Suami lantas membalas. “Abe ada di dalam balai. Muthiah ada di mana?”

Dengan selamba Muthiah menjawab, “Dalam kawasan balai. Ada tempat parkir sebelah pondok jaga.”

“Apa?” Nampaknya, suami sedikit terkejut.

Muthiah pun ikut sama terpinga-pinga. “Kenapa, Be?” Soal Muthiah terus.

“Itu tempat parkir kereta polis.”

Adoi. Huhu… Gelabahlah juga. Cepat-cepat Muthiah berjalan mencari suami. Bertemu sahaja dengan suami, terus Muthiah menyerahkan kunci kereta kepadanya. Konon-kononnya, yang buat ‘kerja’ itu adalah suami. Bukan Muthiah!!!

Kesimpulannya… Entahlah. Mungkin….

1- Malu bertanya sesat cari jalan pulang. Ehe…
2- Belajarlah daripada kesilapan.
3- Hmmmm… Inikah Muthiah atau... perempuan memang begini? Muthiah sahaja agaknya. Hii...


Baiklah. Setakat ini perkongsian santai untuk hari ini. Sekian, terima kasih. Majulah sukan untuk negara…

Kuliah hari ini : Oh, wanita. Tolonglah....

Akhbar hari ini : 90% jemaah haji Malaysia wajib bayar dam.

Muthiah : Bercita-cita hendak menjadi detektif.
Labels: 2 comments | | edit post

Anda ditahan atas kesalahan ... (i)


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Sihat tetapi batuk sedikit. Ditambah dengan ehe... capek. Normallah. Nama lagi manusia. Manusia ini lemah... lalai... alpa... lupa. Perlu diingatkan sentiasa. Betul?

Capek? Dari 28-30 Oktober baru-baru ini, Muthiah telah pulang ke Terengganu menghadiri Fiesta Novel 1 Malaysia Terengganu yang diadakan di TTC. Berkebetulan, tidak ada bas ekspres yang turun ke Kuala Terengganu dari Taiping. Jadi, Muthiah perlu menaiki bas ke Kota Bharu dan dari sana berperjalanan pula ke ... oh, negeriku. Eh, silap. Bas dari Taiping pun tidak ada. Maka, suami menghantar Muthiah ke Kuala Kangsar. Adventure, bukan?

Hmmm... Mahu berbicara tentang apa, ya? Banyak tetapi... tidak sempat pula untuk mencoret semuanya. Apa kata Muthiah bercerita tentang pengalaman Muthiah (semalam) di Balai Polis Taiping. Huhu... BERTUAH PUNYA BINI tetapi inilah SITI MUTHIAH.

Tersebutlah kisah... Ehe. Macam syair pula.

Begini, sewaktu Muthiah sedang membeli belah (barang-barang dapur), suami telah menghubungi Muthiah. Beliau telah meminta Muthiah mengambilnya di Balai Polis Taiping.

Balai polis??? Sebenarnya, telah berlaku kecurian. Jadi, repot polis perlulah dibuat ~ Macam biasa ;)

Ada dua cerita yang boleh Muthiah kongsikan.

1- Huhu....

Serius. Akal yang waras tentu tahu. Apabila berlaku kecurian, repot polis perlu dibuat. Namun, apabila suami memberitahu Muthiah agar mengambilnya di balai polis… yang tergambar di fikiran ialah ….

Suami dan kereta sudah ditahan polis. Kesalahannya? Hmmm… otak Muthiah tidak berfikir sampai ke situ. Muthiah pun, cepat-cepat memberesi segala urusan Muthiah untuk ‘menjamin’ suami.

Setelah bertemu dengan suami, Muthiah memberitahu segala sesuatu yang berada dalam benak Muthiah. Suami tergelak. Hmmm… sememangnya Siti Muthiah. Kadang-kadang bijak. Kadang-kadang blur. Mujur bijak mengatasi ke ‘blur’an. Adoi ;) Naik lif tingkat 20, tekan sendiri.

“Jadi, Muthiah bawa berapa ringgit hendak jamin Abe?” Suami lantas bertanya.

Dengan selamba Muthiah menjawab, “RM50.”

Suami menggeleng… RM50???

Kesimpulannya… hmmm… entahlah. Apapun, setiap manusia itu lemah. Banyak khilafnya.

Kadang-kadang bijak.
Kadang-kadang blur.
Kadang-kadang rasional.
Kadang-kadang beremosi.


Jadi…

Fikir dan renung. Ehe…

Akhbar hari ini : Audit ~ tanda aras tandas RM871. Hmmm... Jadi, PILIHLAH yang telus dan tulus ;)

Kuliah hari ini : Tentang PTPTN. Sudah mula bayar? Hmmm... Muthiah tidak bayar. Ehe... Sebab????

Muthiah : Mengantuk...
Labels: 2 comments | | edit post

Epilog silam-ku

Assalammualaikum, semua. Selamat... selamat hari Jumaat. Ehe. Muthiah masih lagi berada di Kuala Terengganu. Orang kerja pejabat kata, 'Outstation,'. Muthiah pula cakap, 'Jalan-jalan cari makan. Tidak jumpa perigi Hang Tuah, perigi rumah Mak Cik Timah pun sudah memadai.' Keliru? Blur? Hehe... Hanya orang yang tertentu sahaja mengetahuinya.

Hmmm... lama sudah tidak menghisab diri. Menangis mengenang dosa pun tidak lagi. Jom hayati lagu ini. Manalah tahu...



Epilog Silam - Haikal

Dalam mengenang kisah hidup silam
Ku sedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masihkah ada ampunan buatku

TUHAN...Dalam menempuh hidup ini
Banyaknya dugaan datang menguji
TUHAN...Ada yang dapatku gagahi
Dan ada yang gagal kuhindari

TUHAN...Dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak kutepati
Tuhan...Rahmat-MU melangit luas
Terlalu sedikit kubersyukur

Kini kukembali pada-MU
Mengharap maghfirah dari-MU
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-MU
Kerna kuyakin kasih-MU
Kekal tiada sudahnya...

Moga kan mendapat manfaat daripadanya.

Akhbar hari ini : TV Al-Hijrah 1 Disember 2010.

Kuliah hari ini : Makan perut dan najis ikan (termasuk ikan bilis). Boleh?

Muthiah : Sayang selalu daripada Muthiah buat dia yang jauh di mata tetapi sentiasa dekat dalam hati dan doa... Setiap saat dan ketika, insya-ALLAH.

Istiqomah


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah… Alhamdulillah, sihat. Cuma tadi, terkejut beruk juga. Kenapa? Muthiah makan bihun sup. Tidak sangka pula makanan tersebut masih berasap (sebab tidak nampak asapnya). Tiba-tiba, rasa sesak nafas. Rasa panas dalam dada. Mujur ALLAH masih memberi peluang kepada Muthiah untuk menghirup udara-NYA. Kalau tidak, di alam barzahlah Muthiah gamaknya. Meninggalkan suami dan mereka yang Muthiah kasih dan cinta. Maaf salah dan silap, ya ;)

Hmmm… Jom baca tentang hadis (daripada hadis ke-21, hadis arbain)…

Daripada Abu Amru, dan (ada) dikatakan pula daripada Abi Amrah Sufyan bin Abdullah R.A. katanya, “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, ‘Ajarkanlah kepadaku satu ajaran mengenai Islam, yang tidak akan kutanyakan lagi daripadanya akan seorang yang selain daripada engkau.’ Bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Katakanlah, ‘Aku beriman kepada ALLAH; kemudian hendaklah engkau beristiqamah,’.”

Penerangan hadis :

1- Menurut kamus Dewan, istiqomah membawa maksud ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara terus-menerus (berterusan).

2- Berimanlah kepada ALLAH dengan sebenar-benarnya. Taat segala perintah dan tinggalkan larangan-NYA. Insya-ALLAH, hidup pasti akan bahagia. Bukan hanya di dunia bahkan akhirat jua.

3- Bukan mudah untuk istiqomah. Ia memerlukan kecekalan hati dan tekad dan tinggi. Percayalah. Kita tidak sendiri. ALLAH dekat untuk memberikan kekuatan dan melapangkan urusan.

4- Istiqomahlah dalam melakukan kebaikan dan kebajikan. Andai tersungkur, berusahalah untuk bangkit kembali. Tidak berdaya untuk berdiri??? Hmmm… wahai, teman. Bantulah aku yang lemah lagi tidak mampu ini.

Akhbar hari ini : Hutang negara pada paras tertinggi… Oh, duitku jua…

Kuliah hari ini : Benci??? Fikir dahulu. Jangan sampai memutuskan silaturrahim.

Muthiah : Moga Muthiah… suami dan mereka yang Muthiah sayang akan terus istiqomah di atas jalan yang diredhai-NYA.

Oh, tidak - Paksi.net







Muthiah : Selamat menduduki peperiksaan buat semua ;)