Waktu mustajab doa

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan mengingati ALLAH... berzikir... beristighfar. Moga ALLAH merahmati. 


Siapa kita tanpa DIA?
Jadi, hendak tidak hendak kita perlu pergi kepada-NYA.
Kepada ALLAH kita mengabdikan diri, dan kepada DIA jua kita membutuh pertolongan.
Moga kita menjadi hamba yang tidak berputus asa dalam mengharapkan-NYA.
ALLAH dekat... lebih hampir dari urat merih kita sendiri.
Yuk, hati yang selalu berputus asa.
Usahlah dikau ragu-ragu kepada-NYA.




1. Waktu sepertiga malam
'ALLAH akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir, seraya berfirman, “Sesiapa yang berdoa kepada-KU, maka AKU akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-KU, maka AKU akan mengampuninya,”.'


2. Waktu hujan turun
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, 'Berdoalah pada waktu mustajab doa iaitu sewaktu pasukan tentera bertempur, sewaktu mendirikan solat dan ketika hujan turun.' (H.R. Abu Daud)


3. Sewaktu berbuka puasa
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, 'Tiga bentuk doa yang dimakbulkan ALLAH; doa ibu bapa terhadap anak, doa orang yang berpuasa dan doa orang yang bermusafir.' (H.R. Baihaqi)


4. Pada malam lailatulqadar
Bertanya Aisyah R.A. kepada Nabi SAW, 'Sekiranya saya bertemu dengan lailatulqadar, apakah yang perlu saya baca?' Rasulullah SAW menjawab, 'Sebutlah olehmu "Ya ALLAH", sesungguhnya ENGKAU Maha Pengampun lagi Maha Mulia. ENGKAU sukakan kemaafan, justeru maafkan aku.' (H.R. at-Tirmidzi, Ibn Majah & an-Nasaie)


5. Waktu antara azan dan iqamat
Sabda Nabi SAW yang bermaksud, 'Tidaklah ditolak doa di antara azan dan iqamat.' (H.R. at-Tirmidzi)

6. Selepas solat fardhu
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, 'Doa itu mustajab pada waktu malam dan selesai solat fardhu.' (H.R. at-Tirmidzi)


7. Waktu-waktu terakhir hari Jumaat
Mafhum hadis Nabi SAW yang bermaksud, 'Pada hari Jumaat, ada padanya satu masa yang tiada bersamaannya seseorang hamba, dia sedang solat kemudian dia memohon sesuatu kepada ALLAH melainkan diberi kepadanya sambil mengisyarat dengan tangan baginda.' (Muttafaqun Ilaih)


Nabi SAW bersabda yang bermaksud, 'Carilah ia pada masa terakhir selepas Asar.' (H.R. Abu Daud)


8. Dalam sujud
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, 'Adapun pada waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah berdoa kerana saat itu sangat tepat untuk dimakbulkan.' (H.R. Muslim)


9. Pada hari Arafah
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, 'Sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah.' (H.R. at-Tirmidzi)


10. Waktu antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat
Nabi SAWbersabda yang bermaksud, 'Sesungguhnya saat yang mustajab (berdoa) itu di antara duduk imam antara dua khutbah sehingga selesai solat Jumaat.' (H.R.Muslim & Abu Daud)


11. Selepas mengucapkan 'Amin', setelah membaca al-Fatihah
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, 'Apabila imam mengatakan "Amin", maka ucapkanlah "Amin'. Sesiapa yang mengucapkan "Amin" bersama dengan para malaikat, diampunkan dosanya yang telah lalu.' (H.R. Bukhari & Muslim)

12. Ketika ayam berkokok
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, 'Apabila kamu mendengar ayam berkokok, mohonlah anugerah-NYA, kerana ayam itu melihat malaikat.' (H.R. Bukhari)  

13. Sewaktu menerima ujian
'Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila dia berdoa kepada-NYA, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu), mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang TUHAN yang lain bersama-sama ALLAH? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat ALLAH itu).(an-Naml, 27:62)

14. Ketika khatam 30 juzuk al-Quran
'Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab ALLAH dan tetap mendirikan solat serta mendermakan daripada apa yang kami kurniakan kepada mereka secara tertutup atau terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian, supaya ALLAH menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka daripada limpah kurnia-NYA. Sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang yang bersyukur kepada-NYA).' (al-Fatir, 35:29-30)

15. Sewaktu menunaikan haji dan umrah
Nabi SAW bersabda yang bermaksud, 'Orang yang berjihad pada jalan ALLAH dan orang yang mengerjakan haji serta umrah merupakan tetamu ALLAH; DIA menyeru (memerintahkan) mereka dan mereka menjawabnya (menunaikannya), mereka berdoa kepada ALLAH lalu ALLAH terimanya.' (H.R. Ibn Majah)

16. Ketika menziarahi jenazah
Berkata Ummu Salamah R.A. bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud, 'Apabila engkau menziarahi orang yang sakit atau menziarahi jenazah, berkatalah hal yang baik-baik, kerana para malaikat mengaminkan apa yang kamu katakan itu.' (H.R. Muslim)
(Hadis Riwayat Muslim)

Hmm.. Muthiah kira, ada banyak lagi perkongsian tetapi masa agak mencemburui <- Macam sewaktu masuk syarahan masa sekolah rendah pula ayat ni. Apapun, moga kita sentiasa berusaha untuk mendekat pada-NYA.

Nota : Muthiah tidaklah arif tentang hal ini. Jika ada pertanyaan lanjut (tentang hadis contohnya), bolehlah bertanya kepada yang lebih pakar. Sekiranya terdapat kesalahan, mohon tegur dengan hikmah. 
Labels: | edit post
0 Responses