Mencari Naurah (Bab 36)
Saturday, May 19, 2012
Novel | Mencari Naurah
‘ADAKAH aku tersalah cakap?’ aku tertanya-tanya sendiri. Sudah dua hari
aku tidak menerima sebarang e-mel daripada Asyraf, berbual apatah lagi. ‘Ada
apa-apa yang tidak kena ke?’ aku masih belum berpuas hati. Entahlah...
|
“Assalammualaikum,
cik adik. Kenapa nampak tak ceria? Kurang comellah kalau ci adik bermuram durja ni,” tegur
Anuar.
“Tak
ada apa-apa. Biasa-biasa sahaja,” balasku. Khuatir Anuar perasan dengan
perubahanku.
“Adakah
anda berkata benar?” Anuar tersenyum. “Dari tadi, saya tengok awak asyik
pandang inbox e-mail tu aje. Awak menantikan e-mel daripada sesiapa?”
terjahnya.
“Tak
ada apa-apa. Rasa bosan pula. Sebab itu tengok-tengok e-mel ni. Manalah tahu...
ada e-mel daripada teman-teman lama,” aku berdalih.
“Bukankah
saya dah dekat. Kenapa nak buka e-mel lagi? Saya tak ada e-mel apa-apa pun pada
awak. Sebarang luahan dan kemusykilan
akan saya bicarakan secara terus. Tidak ada belok-belok,” ujar Anuar.
Dia
mahu berjenaka tetapi tidak mampu membuatkan aku tersenyum. Ketawa apatah lagi.
“Baiklah,
Natasha. Saya kena jumpa Puan Regina. Jumpa lagi. Kalau ada apa-apa, hantarlah
SMS. Insya-ALLAH, telefon bimbit saya tidak punya birokrasi. Setiap mesej akan
diterima, terutamanya daripada awak.” Anuar terus berjalan perlahan ke tempat duduknya. Dia
lantas mengambil fail hijau yang terletak di atas buku-buku yang tersusun rapi.
“Jaga
diri baik-baik, Sha. Apa-apa, jangan lupa hantar mesej.” Dia mengingatkan.
Aku
hanya terdiam. Selepas Anuar berlalu pergi, aku menoleh ke belakng mencari
Hilda, kerani am yang duduk betul-betul di belakang mejaku. “Hilda, saya hendak
ke tandas sebentar. Sekiranya ada panggilan masuk, tolong angkat dan minta
telefon balik dalam sepuluh minit.”
“Baiklah.
Asha sihat?” Dahi Hilda nampak berkerut.
“Insya-ALLAH.
Alhamdulillah...” jawabku ringkas sambil tersenyum manis.
Perlahan-perlahan
aku melangkah ke dalam tandas. Entahlah, fikiranku buntu tetapi tidak tahu apa
yang aku fikirkan. Hatiku bergelora tetapi tidak pasti apa yang aku risaukan.
Aku betul-betul tidak dapat fokus dengan kerjaku. Terasa kosong... semua ada.
Asyraf...
dia datang dan pergi. Kenapa dia mahu hadir sekiranya dia punya niat untuk
meninggalkan aku terkapai-kapai sendiri? Argh... astaghfirullah! Syaitan yang
dilaknat ALLAH begitu hebat memainkan peranannya.
Baru
minggu lepas aku mendengar ceramah di Masjid As-Syakirin, Pusat Konvensyen
Kuala Lumpur (KLCC). Teringin rasanya melihat pemandangan indah di taman
berhampiran. Boleh tahan banyak juga orang yang mengunjunginya. Ada yang datang
bersama keluarga dan ada juga yang datang berpasangan. Pasangan? Aku tidak
pasti sama ada pasangan muda yang kulihat itu merupakan suami isteri atau sebaliknya.
Entahlah... macam-macam.
Menurut
Ustaz Shahrul Zaman dalam ceramahnya... “Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak,
saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu
usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang
kamu sukai; lebih kamu cintai daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan berjihad di
jalan-NYA, maka tunggulah ALLAH mendatangkan keputusan-NYA...”
Ya,
aku semakin leka. Begitu asyik melayan gelora di dalam hati. Rasa cinta
terhadap makhluk yang bernama manusia. Benarkah aku sudah jatuh cinta? Argh,
mustahil aku menyukai seseorang yang pernah memarahiku di khalayak ramai. Mana
mungkin aku melupakan saat itu.
‘Jamku mati, TUAN!!!’
Cinta
atau tidak?
Suka
atau tidak?
Aku
masih mahu berdolak-dalik. Tidak mahu mengaku yang sebenarnya aku menaruh
harapan terhadap Asyraf. Lebih tepat...
Jatuh cinta, betul?
C.I.N.T.A!
Salahkah untuk jatuh cinta? Bukankah untuk merasai kemanisan iman perlu
mencintai seseorang kerana ALLAH? ‘Natasha!’ Aku memarahi diriku sendiri. Itu
sahajakah syarat-syarat merasai kemanisan iman? Atau engkau berpura-pura tidak
ingat?
‘Bagaimana
pula dengan keutamaan cinta terhadap ALLAH dan Rasul-NYA? Dia perlu mendahului
cinta selainnya!’ Kata-kata hati menempelak diriku.
Aku
cintakan ALLAH dan Rasul mendahului segalanya...
‘Kamu
pasti?’ hatiku masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang kuberi.
Insya-ALLAH,
aku pasti. Aku cintakan ALLAH lebih daripada yang selainnya.
‘Kamu
berbohong! Kamu kata kamu cintakan ALLAH tetapi kamu lalai dalam solatmu, kamu
alpa dalam kebergantunganmu terhadap DIA yang kamu akui kamu cintai sepenuh
hati. Kamu sebenarnya meronta-ronta inginkan cinta manusia yang tidak pasti,’
hatiku seolah-olah mahu berperang dengan jasadku, namun sebenarnya jawapan itu
turut hadir dari dalam hatiku sendiri. Aku hanya punya satu hati...
‘Kamu
kata kamu khusyuk tetapi sebenarnya kamu tidak menghadirkan diri dalam
pengabdianmu kepada ALLAH.’ Dia menambah.
Aku
insan biasa... lidahku kelu untuk berlawan kata dengan hatiku.
‘Kamu
kata mahu merasai kemanisan iman tetapi kamu tidak takut untuk kembali kepada
kekufuran sebagaimana takutnya kamu dilemparkan ke dalam api neraka..’
Aku takut...
‘Kamu
bohong lagi! Bukankah bohong itu merupakan ciri-ciri orang munafik? Bila mana
kamu menjerumuskan dirimu menjadi seorang munafik, kamu tidak layak untuk
mencium syurga ALLAH. Memasukinya apatah lagi. Maka, nerakalah tempatmu,’
pergelutan perasaan berlaku.
Aku
tidak berbohong dan aku benar-benar takutkan neraka ALLAH...
‘Natasha,
muhasabahlah sendiri. Sejauh mana kamu menutup ruang hati kamu daripada
mendekati zina hati yang boleh menjuruskan kamu ke dalam neraka ALLAH...’
Diam...
aku tidak mampu lagi untuk mempertahankan diriku terhadap hatiku sendiri. Aku
mengaku kalah.
Aku
kira, rasa cinta ini lahir kerana ALLAH dan tidak lebih daripada cintaku
terhadap-NYA, namun kenapa hatiku begitu berkecamuk? Bukankah dengan mengingati
ALLAH itu hati akan tenang?
Pili
air kupusing perlahan lalu kubasahkan kedua belah telapak tanganku. Aku segera
membasuh muka yang nampak berserabut. Air basuhan mukaku menitik ke dalam
sinki. Cermin di dalam tandas kurenung tajam. Air mataku turut jatuh menyembah
bumi.
Aku
sudah menemui jawapan. Aku sebenarnya masih jauh daripada cinta ALLAH... ‘Dan
hanya kepunyaan ALLAH kerajaan langit dan bumi. DIA memberikan keampunan kepada
sesiapa yang dikehendaki-NYA dan mengazab sesiapa yang dikehendaki-NYA. Dan
sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang...’
“Asha
tak apa-apa?” Tegur Hilda.
“Hmm...
Alhamdulillah, okey.” bohongku.
“Asha
nampak pucat. Baik Asha ambil cuti separuh hari. Lagipun, sudah tiga hari
berturut-turut Asha, Ying Pei, Prehsnan dan Sook Kuan bertungkus-lumus untuk
acara tersebut,” ujar Hilda lagi. “Ying Pei pun cuti sakit hari ini.” Dia
menambah.
“Terima
kasih, Hilda,” ucapku lalu membetulkan tudung yang kupakai. Ya, aku perlu ambil
cuti separuh hari. Hatiku berkecamuk dan aku perlu mencari ketenangan.
‘Begitu
hebat penangan cinta,’ bisik hatiku.
~bersambung~