Mencari Naurah (Bab 38)

Novel | Mencari Naurah



Malam yang cukup mendamaikan. Aku duduk bersimpuh di atas lantai marmar sambil membelek buku Cinta Sufi tulisan penulis kegemaranku, Ramlee Awang Murshid. Mataku tidak berkelip memandang gadis berpurdah hitam pada muka hadapan novel tersebut. Alis matanya tampak sungguh menawan. Kemudian, mataku berkalih pula kepada lelaki yang turut sama menutup hidung dan mulutnya dengan kain berwarna merah. Mungkin Laksamana Sunan. Wajah Asyraf tiba-tiba hadir dalam benakku…

“Kenapa Asha nampak lain macam sahaja?” tanya Azmar, rakan serumahku. Dia bekerja sebagai Ketua Program Asas Sains, merangkap pensyarah di Universiti Industri Selangor (UNISEL). Meskipun baru sebulan duduk bersamanya, kami sudah menjadi teman akrab. ‘Dia sangat baik...’

“Entahlah. Sudah jatuh cinta kepada seseorang agaknya,” ujarku tanpa berselindung.

“Ooo... budak baru di pejabat Asha?” Azmar memandangku tanpa berkelip.

“Macam bukan,” jawabku pendek. Diam...

“Siapa?” Azmar menyentuh bahuku.

“Entahlah. Senior UM dahulu agaknya,” aku menjawab teragak-agak.

“Macam mana tiba-tiba boleh jatuh cinta padanya?” Dahi Azmar berkerut.

“Entahlah. Sudah lama agaknya cuma sekarang baru ketara,” aku berkata sejujurnya.

“Jadi, apa yang Asha hendak buat sekarang?” tanya Azmar ingin tahu. Dia berjalan perlahan ke sofa. Peti televisyen dibuka, Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) sedang berlangsung.

Aduhai, pakaian... mataku terbeliak. “Entahlah.” Aku menjawab. Benar! Aku benar-benar buntu dalam mencari penyelesaian.

“Dah buat solat istikharah ke?” Azmar menyoal lagi.

“Alhamdulillah, sudah.” Aku mengambil majalah Impiana yang terletak di atas permaidani. Majalah itu aku belek perlahan-lahan.

“Jawapannya?” tanya Azmar lagi. lagaknya seperti polis sedang menyoal siasat pesalah.
Adakah Azmar mahu menjadi seperti Kogoru Mouri? ‘Tidak henti-henti bertanya,’ bisik hatiku sambil tersenyum. Aku tahu dia prihatin terhadap permasalahan besar yang aku hadapi. “Entahlah...”

“Luahkan perasaan itu kepadanya.” Azmar memberi cadangan.

“Malu,” aku berterus-terang. Seakan berbisik.

“Kalau begitu, Asha hendak tunggu dia masuk meminang dahulu?”

Alahai, butir katanya agak pedas. Lebih ‘panas’ daripada wartawan rancangan Melodi, Micheal. “Tidak tahu macam mana perasaan dia...” Aku diam sejenak. “Takut bertepuk sebelah tangan,” tambahku lagi.

“Kalau melepas?” Azmar memulakan perang psikonya terhadapku.

“Sudah tidak ada jodoh, hendak buat macam mana.” Suaraku berubah, mungkin aku kecewa.

“Zaman sekarang, bukan macam zaman dahulu. Perempuan duduk rumah, tunggu orang datang melamar. Apabila orang tanya, diam... bukankah diam itu tandanya setuju?” Dahi Azmar berkerut lagi. “Tidak salah perigi mencari timba. Tidak berdosa pun. Lebih-lebih lagi perempuan zaman sekarang lebih ramai daripada lelaki. Bagaimana perangai budak itu? Baik tak?” Dia menyambung butir bicaranya.

“Entahlah. Baik agaknya.” Aku menjawab dengar tidak dengar.

“Lor, tidak tahu tetapi jatuh cinta. Betul-betul tidak tahu atau tidak mahu beritahu? Tenang, Asha. Apa gunanya kawan kalau hendak main sorok-sorok macam ini. Sekurang-kurangnya, kita berkongsi cerita. Manalah tahu, boleh tolong. Kalaupun idea tidak bernas, boleh juga perah otak sama-sama. Tidak pening kepala seorang diri,”  khutbah Azmar panjang lebar.

“Tidak kenal sangat. Tengok dari jauh sahaja tetapi dia memang memiliki akhlak dan peribadi yang bagus. Ambil perubatan, umur 26 tahun... aktif aktiviti kolej semasa belajar dahulu, selalu jadi imam di surau dan menyampaikan kuliah maghrib serta subuh...” Aku diam sebentar. “Prihatin, penyabar, pemaaf, tersusun dan bla bla bla,” aku menambah.

“Terperinci lagi... betul-betul angaulah kawan aku yang seorang ini? Tidak pasti konon.” Azmar tersenyum sinis.

“Entahlah...” Jawabku ringkas.

Azmar ketawa. “Dengarlah cakap orang yang banyak pengalaman ini. Lebih baik luahkan sahaja daripada pendam dan sakit seorang diri. Berjaya tidak berjaya, dapat ke tak, belakang kira. Malu tidak malu pun belakang kira. Yang penting, usaha dulu. Bukankah usaha itu tangga kejayaan?” Dia mengemukakan cadangan dengan penuh semangat.

“Tengoklah...” jawabku tidak bermaya.

~bersambung~

0 Responses