Mencari Naurah (Bab 7)

APA khabar, wahai saudari?

Mataku tertumpu pada skrin telefon bimbit jenama Nokia milikku. Meskipun kelihatan agak uzur, ia sebenarnya telah banyak berbakti kepadaku. Insya-ALLAH, selagi hayatnya masih ada, aku akan tetap setia bersamanya. Mana mungkin aku mencari pengganti sedang aku amat mengasihinya. ‘Oh, Nokia,’ aku tergelak sendiri.

Hadiah pemberian mak ini akan aku jaga dan pelihara dengan baik. Terubat sedikit rasa rindu pada mak. Walaupun mak jauh di mata, hatiku begitu dekat dengannya. Dia tetap berada dalam jiwa dan doaku.

Ya! Wajah mak sentiasa mekar dalam hatiku. Senyum dan tawanya membuatkan aku tenang dan lapang. Namun, tatkala terkenangkan air mata mak, jiwaku resah dan tidak menentu. Hatiku meronta-ronta untuk berada di samping mak. Menemaninya setiap saat dan waktu.

Anuar... entah apa yang diingininya.

Tidak bosankah dia menghantar SMS tanpa menerima sebarang balasan? Aku sendiri kadang-kadang naik muak serta hilang rasa hormat terhadapnya.

Masakan tidak! Dia menasihati junior untuk sentiasa memelihara hati daripada maksiat yang tidak dapat dilihat oleh mata, namun memberi kesan mendalam ke atas jiwa. Sebaliknya, dia sendiri menjerumuskan diri kepadanya. Mungkin dia lupa atau boleh jadi dia tidak sedar. Argh! Mustahil Anuar lupa. Berkali-kali dia katakan kepada adik-adik junior untuk menghindarkan diri daripada zina hati...

Asha, saya ikhlas nak mengenali Asha dengan lebih dekat.

Diam... walaupun sudah berpuluh SMS yang dikirimkan, aku bertekad untuk tidak membalasnya. Aku bukanlah insan yang paling baik tetapi aku tetap mahu menjadi yang terbaik. Aku tidak mampu menjadi sesuci Siti Fatimah, setulus Siti Khadijah. Justeru, aku mendambakan pemeliharaan ALLAH yang Maha Esa.

Aku sama sekali tidak akan membuka ruang buatnya. Ruang yang aku kira kecil, tidak mustahil menjadi besar andai tidak diawasi sebaiknya. Sebagai manusia, aku khuatir kealpaan diri menyebabkan aku terjerumus ke dalam lembah. Lembah yang kubenci, namun kakiku tetap berjalan kepadanya.

Saya harap Asha dapat memberi saya peluang. Saya serius... Saya tidak berniat untuk main-main. Jika diberi ruang, saya mahu menjadikan Asha sebagai suri di hati saya. Semoga Asha tidak menghampakan saya. Saya tidak mampu menjadi sehebat Sayidina Ali R.A., namun saya tetap inginkan wanita setelus Sayidatina Fatimah. Saya kira, Ashalah muslimah itu. Asha menepati ciri-ciri muslimah yang saya cari...

~bersambung~

0 Responses