Mencari Naurah (Bab 5 - Samb.)
“Alah, mak! Bukannya banyak pun! Arul nak minta RM50 sahaja!”
Tersentak aku daripada lamunan tatkala mendengar suara keras Nasrul, adikku. Hanya dia yang tidak ke mana-mana, setia menemani mak di rumah kami.
“Mak tak cukup duit,” kedengaran suara mak sayup-sayup.
“Mak asyik beri alasan aje. Untuk Ady, Ila... mak tak berkira pun. Arul tahu semalam Mak Cik Munah bayar duit kuih. Bagilah sikit, mak. Arul betul-betul nak guna duit tu,” pujuk Nasrul tetapi dalam intonasi yang dikeraskan.
“Tak boleh, sayang. Mak kena hantar sedikit kepada Ila. Ila nak pakai duit,” mak memandang Nasrul, mengharapkan pengertian.
Hatiku menggelegak mendengar perbualan Nasrul dan mak. Tidakkah dia sedar bahawa dia sedang berbicara dengan seorang mak? Insan yang telah mengandungkannya selama 9 bulan 10 hari dan melahirkannya ke dunia ini.
“Mak... Ini kali terakhir Arul minta. Mak nak bagi atau tidak?” Nasrul seolah-olah memberi amaran kepada mak.
“Mak tak cukup duit, sayang. Insya-ALLAH... minggu hadapan mak bagi. Mak kena kumpul duit dahulu,” mak masih tidak berputus asa memujuk Nasrul.
“Ah, sudahlah! Aku tahu Mak ada duit...”
Panggggg.... tidak dapat sabar dengan Nasrul yang semakin keterlaluan, aku menampar pipi kanannya.
Kaget dengan tindakan di luar kawalanku, mak segera menghampiri kami. Dipegang dadaku dan dicium pipiku bertalu-talu. Kulihat titik-titik jernih mengalir dari kelopak matanya. Mak tidak berkata apa-apa pun.
“Hah! Kau jangan masuk campur. Buat apa kau balik hah? Menyusahkan orang aje!” Nasrul menengkingku pula.
“Kau...” Nasrul menghala jari telunjuknya ke arah mukaku. “Sudah tahu mak tak ada duit, nak masuk universiti juga. Berilah peluang kepada adik-adik yang lain. Dasar perempuan yang pentingkan diri sendiri. Cepat! Bagi aku duit.” sambungnya lagi dalam nada sinis.
Panggg.... kali ini, mak pula menampar pipi kiri Nasrul. Kedengaran jantungnya berdegup kencang. Mungkin terlalu marah dengan sikap Nasrul yang keterlaluan terhadapku. Itulah mak! Seringkali mampu bersabar tatkala Nasrul bersikap biadap terhadapnya tetapi kesabaran itu hilang sekiranya Nasrul semakin melampau terhadap orang lain.
“Anak derhaka!” ungkapku dengar tidak dengar.
“Apa kau cakap?” Nasrul bertanya.
“Anak derhaka! Jangan harap kau dapat bau syurga apabila buat mak macam ini,” aku menambah.
“Kau ingat kau dah cukup baik? Sudahlah...kau kan dah jadi orang KL.” Nasrul membalas, tidak mahu mengalah.
“Sekurang-kurangnya, aku tak lawan cakap mak.” Aku masih mahu melawan.
“Sudah, sudah. Jangan bergaduh! Arul ambil duit ini. Pergilah Arul hendak pergi mana,”
Mak segera mematikan pertelingkahan kami sambil menghulurkan not RM50 seperti mana yang diminta oleh Nasrul.
Segera Nasrul beredar sambil menjeling tajam ke arahku.
“Pirah...” Nasrul menjerit perlahan.
“Sudah besar panjang hendak minta duit mak lagi. Tak tahu malu,” aku tetap tidak berpuas hati. “Tak ke manalah diri awak, Rul. Baik jadi anak dara, tunggu orang masuk meminang,” tambahku lagi. Kali ini, nafsu amarah telah menguasai diri. Syaitan laknatullah begitu setia memainkan peranannya. ‘Bagus... hebat, Natasha! Luahkan api kemarahanmu.’ Mungkin itulah yang dibisikkan musuh umat manusia ini.
“Sabar, sayang.” mak memujukku lembut. Dia menyapu air mata yang mengalir di pipiku dengan jemarinya yang kasar.
“Arul dah keterlaluan, mak,” ucapku teresak-esak. Air mataku mengalir deras. Umpama air bah di Sungai Nerus, Hulu Terengganu. Semakin kutahan, semakin laju alirannya.
“Menangislah, sayang,” mak bersuara lagi sambil mengusap rambutku yang panjang mengurai. Dia mencium pipiku berkali-kali. Aku tahu, dia cuba menenangkanku.
~bersambung~
menarik lah kak...cam susah ja nak tulis novel kan. Tahniah kak :)
terima kasih, dik... hmmm... nak kata susah tidak juga..nak kata senang pun, tidak..apapun, usaha dan terus usaha... belajar dan terus belajar... jom tulis novel ;)