Mencari Naurah (Bab 6)
“ABANG Asyraf... macam mana nak hilangkan rasa benci pada seseorang?” soal seorang junior. |
“Aik, adik abang ada benci sesiapakah? Harap-harap, insan malang itu bukannya abang,” Anuar menyampuk. Aku tersenyum sendiri. Anuar begitu digeruni para junior kerana ketegasannya. Maka, tidak mustahil jika ada orang yang membenci atau meluat kepadanya.
“Sebab apa kita benci orang itu?” Asyraf bertanya tanpa menjawab persoalan yang dikemukakan.
“Sebab dia jahat gila. Bukan itu sahaja... pentingkan diri sendiri, suka mengambil kesempatan, tidak ada hati perut...” pelajar itu meluahkan apa yang terbuku di dalam hatinya. Ada sedikit emosi pada riak wajahnya.
Asyraf senyum sejenak lantas berkata, “Sudahlah jahat, gila pula. Kasihan kasihan...” Argh! Senyuman itulah yang bisa membuatkan hati wanitaku cair.
“Abang yakin rasa benci itu hadir bila mana kita disakiti. Kita akan rasa dizalimi,” ia menambah.
“Kenalkah adik-adik dengan Nadr bin Harith?” Asyraf bertanya lagi. Diam...
“Siapa boleh jawab, abang belanja aiskrim,” dia mula memancing hadirin yang mengikuti majlis ilmu di surau Umar Al-Khattab ini. Sudah tercatat dalam jadual aktiviti surau, Asyraf akan mengemudi kuliah maghrib pada setiap hari Selasa. Setiap kali giliran Asyraf, surau pasti penuh. Entah apa kelebihannya, aku sendiri tidak tahu. Mungkin kerana akhlaknya... mungkin juga kerana dia begitu petah berbicara.
“Quraisy memintanya mengikuti Nabi Muhammad SAW berdakwah. Namun, apabila Muhammad mula mengajak manusia kepada Islam, dia pun mereka cerita karut. Katanya, Muhammad itu sama sepertiku dan dia punya cerita dongeng dan khurafat sebagaimana diriku. Perancangan ini berjaya pada awalnya.”
Asyraf diam seketika. “Terima kasih, Natasha,” sambungnya lagi.
‘Mana aiskrim... kata nak belanja?’ aku bertanya nakal di dalam hati.
“Insya-ALLAH, saya belanja aiskrim lain kali. Jangan lupa tuntut,” seloroh Asyraf. Para hadirin ketawa, tidak terkecuali Anuar yang gelak tawanya yang terlalu melampau.
Beep... ada sistem pesanan ringkas rupanya. Aku segera membuka peti mesej. Tertera nama Anuar, ‘Tidak salah pun perempuan bercakap di khalayak umum dalam menuntut ilmu...’ Aku segera mematikan telefon bimbitku. Tidak mahu fokusku terganggu dengan sistem pesanan ringkas yang tidak sepatutnya.
“Siapa lagi tahu tentang sirah perjuangan Nabi yang menyerlahkan kesabarannya?” ia melontarkan persoalan kedua. Aku tahu, Asyraf tidak mahu orang mengantuk mendengar kuliahnya.
“Natasha??” Suara itu lagi. Argh! Aku tahu Anuar mahu mengenakanku.
“Baiklah, Anuar. Ada idea?” Tersentak Anuar apabila ditanya Asyraf begitu. Aku menundukkan kepala namun dalam diam, aku sebenarnya sedang tersenyum puas. Aku kemudiannya mendongak semula, masih setia mengukir senyuman.
“Em...” dahi Anuar kulihat berkerut-kerut mencari jawapan. ‘Susah?’ tanya hatiku.
“Dalam siri peperangan Uhud, salah seorang Quraisy telah menetak Muhammad SAW sehingga terjatuh ke dalam lubang. Tetakan yang begitu kuat menyebabkan topi besi Rasulullah mengenai isi kepalanya. Selain itu, gigi baginda turut patah. Muka dan kepalanya berdarah,” jelas Anuar panjang lebar. Penerangannya betul-betul mengikut skema jawapan peperiksaan. Aku tersenyum lagi.
“Akan tetapi, setelah umat Islam berjaya membuka kota Mekah, Muhammad memaafkan mereka. Terima kasih, War,” sambung Asyraf sambil melirikkan matanya ke arah Anuar. Anuar hanya menganggukkan kepalanya.
Betul kata Asyraf. Membenci tidak menyelesaikan masalah bahkan menjadikannya sebagai satu beban dalam diri. Kebencian membuatkan hati tidak tenang. Diri akan cepat merasa marah dan tidak berpuas hati terhadap orang lain. Akibatnya, diri sendiri yang merana.
Pesuruh ALLAH sendiri diuji dengan hebatnya. Namun, dia tetap sabar dan tidak sekali-kali melatah. Dia kembali kepada ALLAH untuk membuat perhitungan. ALLAH itu Maha Tahu serta Maha Adil atas segala sesuatu. Mana mungkin ALLAH menzalimi hamba-NYA yang dicipta. Semua yang berlaku pasti ada hikmah tersendiri dan tersembunyi. Justeru, sebagai manusia yang mengungkapkan, Tiada TUHAN yang diabdikan diri melainkan ALLAH dan sesungguhnya Nabi Muhammad itu persuruh ALLAH, perlu meneladani sisi peribadi yang dimiliki kekasih ALLAH itu.
Terkenang peristiwa ketika aku bertengkar dengan Nasrul. Marah, sakit hati... semuanya hadir. Entah-entah sudah sampai tahap membenci. Bukan setakat bencikan perbuatannya, bahkan dirinya yang tidak pernah mahu insaf itu.
Menggelegak hatiku mengenangkan mak yang tidak kering air mata dengan sikap dan perangai Nasrul yang kadang-kadang lebih teruk daripada... aku tidak berani meneruskan kata-kata. Khuatir menjadi doa. Aku mengangkat tangan.
~bersambung~