Just married!

Assalammualaikum. Apa khabar? Moga kita semua dirahmati ALLAH selalu, insya-ALLAH. 


Foto : Sekadar gambar hiasan.
Rungutan...

  • Rumah dia, ada itu ini... suami dia beli keperluan rumah serba lengkap. Rumah kita, baju pun kena basuh guna tangan.
  • Polan binti Polan tu, lepas kawin terus dapat naik kereta besar. Senang nak ke sana dan ke mari. Kita, naik motosikal cabuk sahaja. Itu pun guna motosikal yang suami pakai waktu dia belajar dulu.
  • Bini orang tu, pakai gelang mak ai... berpinar mata melihatnya. Kita, ada cincin belah rotan saja.
  • _________________.
Apa lagi rungutan yang pernah/ biasa didengari, terpacul keluar dari seorang wanita yang... 
  • baru mendirikan rumah tangga. 
  • baru belajar duduk sendiri (dengan suami).
  • baru belajar urus duit sendiri (tak boleh minta dengan mak ayah dah kalau terlebih guna).
  • __________________.
Tahniah bagi yang tidak pernah merungut.

Hendak duduk dalam rumah macam ini?
Foto : Sekadar gambar hiasan.
Ada orang...

** Setelah diijab kabul, terus dapat duduk di rumah yang selesa (sewa @ sendiri), kereta (hutang ada lima tahun lagi) serta lengkap segala keperluan asas dalam rumah. Mesin basuh ada. TV ada. Katil ada. Tilam ada. Dapur ada (masak sahaja belum tentu). Boleh jadi semua itu sudah dikumpul semenjak sebelum berumah tangga (oleh suami @ isteri). Iyalah. Bekerja tiga tahun sebelum menikah, sempatlah kumpul duit. Dapatlah beli barang sikit-skit. Bolehlah menabung untuk majlis kahwin dan keperluan sesudah nikah. Boleh jadi juga semua itu (barang keperluan rumah) adalah hadiah pemberian orang tua. Ditambah dengan hadiah yang diterima sewaktu majlis kesyukuran. 

** Sekadar contoh

Ada orang...

** Perlu bermula daripada kosong. Suami baru dapat kerja. Simpanan habis untuk majlis kahwin (normallah).  Isteri pula baru berhenti kerja. Keperluan asas rumah masih belum mencukupi. TV tiada. Astro apatah lagi. Hari-hari kena basuh pakaian secara manual. Dapur pun yang single sahaja. Tidur di atas gebar. Gunakan surat khabar untuk dijadikan langsir. Kena beli lauk-pauk basah setiap hari di pasar pagi sebab peti ais masih belum ada. 

** Sekadar contoh

Foto : Sekadar gambar hiasan.
Bagi orang yang pertama...

Alhamdulillah. Dari sisi keperluan material, sudah ada di hadapan mata. Mungkin belum cukup tetapi setidak-tidaknya, ADA. Sekarang, perlu melengkapkan diri untuk menjadi isteri solehah. Selamat maju jaya.

Bagi orang yang kedua...

Alhamdulillah. Dapat kahwin juga. Jika dahulu sendirian, sekarang sudah berteman. ALLAH bagi apa yang kita perlu dan pasti! ALLAH tidak akan membebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya. Bersabarlah. Sokonglah suami dan diri sendiri untuk membina keluarga bahagia yang diredhai ALLAH. Kebahagiaan bukan terletak pada rumah, kereta serta barang-barang yang kita ada. Khuatir... sekiranya kita terlalu banyak memikirkan sesuatu yang negatif, impaknya turut sama menjadi negatif. Bukan pada orang lain tetapi diri kita sendiri. Pandanglah nikmat yang telah ALLAH beri kepada kita. Mungkin apabila kita tengok ke atas, kita berasa diri serba kekurangan. Maka, pandanglah ke bawah. 

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Pesanan (untuk pasangan yang baru berumah tangga)... 

...bagi yang tidak tahan dengan kata-kata sinis orang macam, "Hisy, TV pun tak ada (itu tak ada, ini tak ada, semua tak ada)!" 

Bersabarlah. Kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang.  Manusia sememangnya begitu. Ada sebilangan yang suka mencari kelompangan dan kelemahan orang lain (sampai lupa dengan buruk serta jelik sendiri). 

Apabila kita tidak memiliki apa-apa, mereka mencebik. Apabila kita mendapat sesuatu (mungkin bukan pada masanya), mereka berkata kita selfish, tidak bertimbangrasa (sedang mereka sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga kita). 

Maka biarkan... biarkan. Bersangka baik sahajalah - Mereka bukan mencari kelompangan. Mereka juga bukan hendak mengata. Mereka sebenarnya peka dan prihatin. Mungkin caranya sahaja yang tidak kena.

Percaya! Orang yang berkata-kata dengan niat untuk menyakiti... atau disebabkan oleh persangkaan buruknya, sesuatu yang menyakitkan itu kelak akan kembali kepadanya jua pada suatu hari nanti. Serah sahaja pada ALLAH yang Maha Teliti Penghitungan-NYA. Kan senang hati. Fikir positif!

Kata kunci...
  • Sabar.
  • Bertolak-ansur.
  • Bersyukur.
  • Susah senang bersama.
  • Kembali kepada ALLAH.
  • Bersangka baik.
  • Positif.
Moga yang sedang melalui saat sebegini kuat dan kental ya :)

Nota : Semua yang tertulis di atas sekadar contoh. Mungkin berlaku di alam nyata. Boleh jadi tidak. Moga, rakan-rakan dapat ambil yang positif sahaja. 
Labels: | edit post
0 Responses