Mencari Naurah (Bab 77)

Novel | Mencari Naurah



“Dewi, buatkan saya steak,” pinta Datin Khatty suatu hari.

“Lagi satu, kenapa Milo yang kau buat lain macam? Apa hendak jadi dengan kau, Dewi?” nada suaranya ditinggikan.

Dewi menjadi serba tidak kena. ‘Salahku juga kerana tidak mahu belajar,’ Dewi memarahi dirinya sendiri..

“Dewi!!!” jerit Datin Khatty.

“Ya, Bu...” Ia segera mendapatkan Datin Khatty yang sedang duduk di ruang tamu. Hatinya gelisah.

“Ibu...” takut-takut Dewi bersuara.

“Ya!” jawab Datin Khatty kasar. Rancangan Wanita Hari Ini (WHI) ditonton dengan penuh bersemangat. Ia begitu gemar melihat gelagat Iffa Raziah dalam rancangan tersebut. ‘Lebih sesuai jadi pelakon. Pegang watak perempuan gedik,’ desis hatinya sambil tersenyum tawar.

“Ibunya Khatty, saya enggak pandai buat steak. Semuanya dibikin ibunya Asha,” Dewi berterus-terang dengan suara yang terketar-ketar. Walaupun sudah bersedia untuk dimaki-hamun dan dicerca, gadis Indonesia ini tetap berasa takut. Sangat takut terhadap tuannya yang cengil ini.

“Ah, jangan sebut nama budak kampung itu...” Datin Khatty terdiam. Mukanya masam mencuka. Benci....

“Baik, aku hendak makan nasi dagang,” ia merenung  tajam anak mata pembantu rumahnya. Macam hendak diterkamnya...

“Enggak pandai, Bu...”

“Nasi beriani?”

“Juga enggak tahu...”

“Kalau begitu, kau masak chicken chop. Aku hendak makan makanan barat tengah hari ini,” begitu mudah Datin Khatty mengubah selera makannya. Diam...

“Boleh?” soalnya lagi.

“Maaf, Bu. Saya enggak pandai. Semua ibunya Asha yang buat,” Dewi semacam hendak menangis. Permaisuri di hadapannya ini lebih bengis daripada Mak Bawang Putih.

“Ah, macam-macam. Apa yang kau boleh buat? Menyusahkan aku betul. Tidak payah masak. Aku makan di luar...”

“Alias!!! Hantarkan aku ke Restoren Cheng Ho,” Datin Khatty berkalih ke arah  pemandunya yang tetap setia berdiri di muka pintu. Pak Alias melopong. Restoren Cheng Ho?

“Restoren Amy Search. Lembab betullah orang tua ini,” rungutnya. Pak Alias hanya mendiamkan diri. Mungkin ia sudah tidak kuasa melayan karenah majikannya yang seorang ini.

‘Bodoh. Teringin pula makan steak budak kampung itu,’ Datin Khatty bersungut sendiri. Wajah Natasha berlegar-legar di dalam kepalanya. Sebelum ini, budak kampung itulah yang menjaga keperluannya. Makannya, pakainya... meskipun ia sedang sarat mengandung.

“Ah, lupakan budak kampung itu,” ujarnya  perlahan.

“Apa, Datin?” Pak Alias memandang tuannya melalui cermin pandang belakang. “Aku tidak cakap dengan kau,” balas Datin Khatty kasar. Ia segera melelapkan mata. Tidak mahu berfikir lagi. Membuatkan hatinya bertambah sakit. Keegoannya menghalang segalanya. Ia mungkin lupa dengan Firaun dan bala tenteranya...

‘Dan sesungguhnya Kami telah wahyukan kepada Musa, “Pergilah kamu bersama hamba-hamba-Ku (Bani Israil) pada malam hari. Buatlah untuk mereka jalan yang kering di lautan itu. Usahlah kamu khuatir dan takut (akan tenggelam)” ...’ Lantas, Firaun dan bala tenteranya ditenggelami laut tanpa boleh diselamatkan lagi.

~bersambung

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.
0 Responses