Mencari Naurah (Bab 81)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan.


Awal-awal lagi, Datin Khatty sudah meminta Dewi membelikannya roti canai di kedai mamak. “Aku mengidam hendak makan roti canai mamak,” ia memberi alasan. Maka, peluang yang ada akan digunakan sebaiknya untuk meneruskan misi jahatnya. Ah, syaitan betul-betul telah menguasai.

Tok, tok, tok... pintu bilik diketuk.

“Mama ada buatkan air untuk Asha,” ujar Datin Khatty lembut.

“Mama tahu, Mama ada banyak buat salah pada Asha,” suaranya tersekat-sekat.

“Maafkan, Mama. Mama tidak bermaksud untuk melukai hati Asha,” Datin Khatty tunduk menghadap lantai. Dalam kesayuan suaranya, ia sebenarnya sedang tersenyum.

“Tidak apa, Ma. Lagipun, Asha sudah semakin pulih.” Sebenarnya, aku masih ragu-ragu dengan keikhlasannya. Namun, aku cuba untuk bersangka baik. Bukankah serendah-rendah persaudaraan itu adalah bersangka baik terhadap temannya? Mana tahu ibu mertuaku ini benar-benar berubah.

Sekembalinya aku dari hospital, Datin Khatty sememangnya sudah banyak berubah. Ia tidak lagi menengkingku. Kerja-kerjaku juga telah diambil-alih oleh Dewi. Teman akrabku itu melarang keras aku membantunya. Akan tetapi, aku tetap bertegas untuk menyediakan makanan buat seisi keluarga. Aku bahagia apabila Asyraf tampak begitu berselera menikmati air tanganku.

“Tadi, Mama minta Dewi belikan roti canai. Menantu yang mengandung, Mama pula yang mengidam,” Datin Khatty memberitahu sambil menghulurkan minuman kepadaku.
“Terima kasih, Ma.” Cawan bertukar tangan.

“Mama tidak minum sekali?” aku memandang tepat anak matanya.

“Ya, Mama temankan,” katanya perlahan. Dahinya berkerut. Kemudian, ia pun mencapai cawan yang terletak di hadapanku lalu kami pun minum bersama.

Tidak sampai lima minit...

Tubuh ibu mertuaku tiba-tiba kekejangan.

“Mama!!!” jeritku.

“Mama!!!” aku menjerit lagi.

“Dewi!!!” aku menjerit dari tingkat atas. Ah, Dewi keluar. Hanya aku dan Datin Khatty yang berada di rumah.

Kugagahkan diri untuk bangkit. Aku harus segera menelefon ambulan. ‘Ya, Allah. Battery low,’ rungutku. Aku lupa untuk mengecas telefon bimbitku malam tadi. Apa yang harus aku lakukan? Kulihat muka Datin Khatty semakin pucat. Mulutnya berbuih. Habis terkena bajunya. Baunya yang masam membuatkan aku hendak termuntah.  Matanya terbeliak. Takut aku dibuatnya. Aku memegang tubuhnya... masih lagi kejang.

“Pak Alias!!!” aku menjerit lagi. Aku tidak cukup kuat untuk bangun. Tidak ada apa yang mampu aku lakukan melainkan mengharapkan bantuan orang lain. Dewi dan Pak Alias pula tidak ada.

Uwek... tiba-tiba aku termuntah.

Uwek... keluar lagi. Mungkin dek bau hanyir cairan putih yang keluar dari mulut Datin Khatty. Habis muntahku terkena mukanya. Aku menjadi semakin kelam-kabut. Aku memandang wajah ibu mertuaku itu dengan penuh simpati. ‘Maafkan Asha, Mama,’ aku berkata perlahan. Muntahku pada wajahnya kukesat dengan penuh teliti.

Baru semalam aku boleh bergerak ke sana ke mari. Hari ini, tiba-tiba tubuhku menjadi lemah dan tiba-tiba juga aku tidak boleh bangun. Bukan itu sahaja, tanpa aku duga telefon bimbitku pula buat hal. ‘Astaghfirullah...’

“Sabar, Ma. Sabar, Ma,” aku menenangkannya. Tidak tahu sama ada ia masih terjaga atau sudah tidak sedarkan diri. Air mataku mengalir perlahan.

‘Ya, Allah. Selamatkan ibu mertuaku ini,’ aku berdoa kepada Tuhan dengan penuh harapan. Aku cuba membetulkan kedudukan Datin Khatty tetapi tidak berjaya.

“Dewi!!!” aku cuba menjerit lagi. Nah, suaraku pula tidak ada. Ya, Allah. Ya, Allah...

‘Abang...’ air mataku mengalir lagi. Pilu melihat keadaan Datin Khatty. Aku hanya mampu mengusap rambutnya yang keperangan.

Tok, tok, tok...

Hah! Ada orang. ‘Masuklah cepat,’ aku melolong sendiri. Aku betul-betul tidak mampu bersuara.

“Ibunya Asha!!!” jerit Dewi lantas berlari ke mendapatkanku.

“Panggil Pak Alias cepat. Hantar mama ke hospital.” Aku tahu, suaraku tidak dapat didengari. Namun, aku berharap agar Dewi faham apa yang kucuba perkatakan. Ia masih buntu. Matanya dibulatkan. Ia berdiri kaku di hadapanku. Ya, Allah...

Aku pun cuba memberi isyarat kepadanya.

“Hantar mama ke hospital.”

“Telefon Asyraf segera.”

“Panggil Pak Alias, cepat!!!” Ah, Dewi masih lagi membatu di hadapanku.

‘Ya, Allah. Ampunilah dosa mama. Sesungguhnya aku telah lama memaafkan kesalahannya terhadapku,’ aku berdoa lagi.

“Dewi,” aku cuba bersuara. Alhamdulillah, sudah kedengaran.

“Minta Pak Alias hantar mama ke hospital. Telefon Asyraf segera,” pintaku kelam-kabut.

“Baik, Bu,” Dewi seolah-olah baru tersedar daripada lamunan....

.....
.....

“Ibunya Natasha sakit,” kata Dewi kepada Asyraf apabila panggilannya sudah bersambut. Kemudian, ia segera meletakkan gagang telefon dan naik ke tingkat atas.

“Sudah beritahu Asyraf?” aku bertanya.

“Sudah, Bu.” Dewi segera mengangkatku. Perlahan-lahan, ia membawaku ke bilik air.

“Maafkan, Asha. Selalu sahaja susahkan Dewi,” ujarku dengar tidak dengar. Walaupun masih muda, keprihatinannya begitu menyerlah.

“Enggak apa, Bu. Saya sayang sama Ibu...” balasnya sambil membersihkan diriku.


‘Apa lagi yang dilakukan mama?’ bentak Asyraf sendiri. Keretanya dipecut laju. Stereng kereta dihentak-hentak. Mukanya kemerahan menahan marah.

‘Apa lagi perancangan kotor mama?’ Matanya dipejam sekejap. Asyraf menarik nafas panjang. Kelajuan keretanya kini sudah mencapai angka 120 km/jam.

‘Mama tidak pernah mahu insaf!’ Asyraf masih tidak berpuas hati. Pedal minyak ditekan kuat sehingga mencecah lantai kereta. 130... 140... 150 km/jam.

Fikiran Asyraf bercelaru. Lupa bahawa ia sebenarnya sedang memandu. 

Pon, pon... kedengaran hon kenderaan bergema. 

‘Ah, aku tidak peduli. Nyawa isteriku entah bagaimana,’ Asyraf menjeling ke arah  pemandu van yang nampaknya tidak berpuas hati dengannya. Iblis terus memainkan peranannya, ‘Hamba Tuhan ini sedang marah dan ia tidak mampu mengawal amarahnya. Inilah masaku.’

Kereta terus dipecut. Semakin lama semakin laju. Jasad Asyraf  memang berada di dalam kereta pemberian papanya tetapi hatinya bukan lagi di sini. Ia begitu risaukan Natasha.

Gedegang!!!! 

Keretanya bertembung dengan sebuah lori simen yang datang dari arah bertentangan. Tanpa memakai tali pinggang keselamatan, Asyraf kemudiannya tercampak di tengah-tengah jalan dan diseret pula oleh sebuah lori yang sedang bergerak pantas. 

‘Ya, Allah,’ kata hati kecil Asyraf. Wajah Natasha berlegar-legar di fikirannya. 

‘Maafkan Abang kerana tidak dapat menyelamatkan Asha...’

“Mamat ini hendak cuba enjin baru agaknya,” bebel seorang saksi sambil mencebikkan bibirnya.

“Lajunya bukan main,” temannya yang turut sama berada di tempat kejadian menambah. Marah sungguh mereka dengan pemandu kereta Honda City ini.

“Itulah, tali pinggang tidak pakai. Ingat ini litar Formula One??”  celah seorang lagi saksi lainnya. Banyak kereta yang berhenti. Mahu melihat kemalangan yang mungkin telah meragut nyawa. Pasti akan keluar dalam akhbar keesokannya. Boleh jadi Utusan, NST, Berita Harian, Kosmo ataupun Metro.

“Beri laluan, beri laluan,” kata seorang pegawai trafik yang baru sahaja sampai.

“Nasib baik tidak cederakan orang lain. Menyusahkan sahaja,” marah satu suara.

“Lain kali, hendak bawa laju lagi?” sampuk seorang wanita sambil memandang lelaki yang nampak lebih tua daripadanya. Mungkin ia mahu mengingatkan suaminya agar tidak memandu melebihi had laju.

Ah, manusia ini terlalu cepat menghukum. Tanpa mengetahui sebab, begitu cepat mereka membuat penilaian. Adakah mereka salah? Tidak juga kerana itulah yang mereka nampak. Seorang manusia itu sama sekali tidak dapat mengetahui isi hati manusia lainnya.

Sebujur tubuh diangkat petugas hospital. Seluruh anggota badannya dipenuhi darah merah pekat kehitaman. Kepalanya seolah-olah hendak terputus. Sah, Asyraf meninggal di tempat kejadiaan. Ia pergi dalam keadaan yang begitu menyayat hati. ‘Innalillahiwainnailahirajiun...’

Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sahaja pengetahuan tentang hari kiamat. Dan dialah yang menurunkan hujan dan mengetahui apa-apa yang ada di dalam rahim. Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui dengan pasti apa yang akan diusahakan hari esok. Dan tidak ada seorangpun yang mengetahui di bumi mana ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali... 

~bersambung

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

0 Responses