Apabila ALLAH mengkehendaki
Wednesday, January 23, 2013
SALMAH menelan air liur sekali. Matanya tidak berkedip
memandang Zafira yang hitam manis dengan jerawat batu di pipi kiri. Salmah
menggeleng laju. Dia menghembus nafasnya perlahan.
Wajah bakal isteri anak
saudaranya itu dilihat bersilih ganti dengan Mastura yang duduk bersimpuh di tepi.
Senyum Salmah melebar. Hatinya berbunga-bunga. Belum ada yang mampu menandingi anak
menantunya. Serba-serbi sempurna. Ada
rupa. Cukup harta. Cucu pun dekat sedozen. Memang dasar keturunan Che Wan Ali, tiada
cacat celanya.
“Nak pula si Danish menikah dengan anak Pak
Selamat tu?” ujarnya separa berbisik.
Kamsiah yang begitu ralit merenung wajah
pengantin perempuan tersentak kecil. Dia terus menoleh ke arah Salmah. Dahinya
berkerut. “Kenapa pula?” Kamsiah bertanya pendek. Bukan dia tidak kenal dengan
Salmah, bininya Che Wan Ali ini. Kritikannya mengalahkah juri Maharaja Lawak
Mega peringkat akhir. Ada sahaja yang salah. Banyak benda yang tidak kena.
Hanya dia dan anak-beranaknya yang sempurna.
Salmah mengangguk-angguk. “Iyalah. Si Danish tu,
putih melepak… segak macam anak mat salih. Isterinya pula… “ kata-kata Salmah
terhenti di situ.
Dia berpaling memandang Mastura semula. Menawan
sungguh menantunya ini. Pandai Haiqal mencari isteri. Tidak payah diajar.
Kempang-kempis hidung Salmah memikirkannya.
“Kenapa dengan Zafira? Sudahlah belajar tinggi,
berbudi bahasa juga. Payah nak cari anak dara yang berjurus macam anak si
Selamat tu,” bangkang Kamsiah bersahaja.
Wajahnya mencuka. Gusar benar dia kalau-kalau
Salmah mula membuka cerita. Kamsiah tidak rela makan daging sesama manusia.
Orang sekampung pula. Lainlah kalau mengutuk makhluk yang zalim. Puas hati!
“Alah, Siah. Belajar tinggi pun kena duduk di
ceruk dapur juga. Tak ke mana akhirnya. Paling tidak kalau ada rupa, suami tak
cari yang lain,” Salmah tetap bertegas mempertahankan pendiriannya. Kamsiah apa
tahu? Dia sendiri seorang janda yang ditinggalkan suami kerana mengikut amah
warga Indonesia.
Kamsiah menghembus nafasnya perlahan. Anak mata
Salmah dipandang sekilas sebelum berpaling ke arah Zafira yang sedang
bersalaman dengan para tetamu dekat dan jauh. Alhamdulillah. Dengan sekali
lafaz, dia sudah menjadi isteri buat Danish. Senyum Kamsiah terukir nipis. Lupa
seketika dengan kata-kata Salmah seketika tadi. Biarkan… tidak untung baginya
untuk ambil peduli.
“Siah, oh Siah…” Salmah menepuk belakang Kamsiah kuat
menyebabkan dia tersentak kecil.
Dahi Kamsiah berkerut. Matanya mengecil, tidak
berkedip memandang Salmah. “Apa lagi?” soalnya keras.
Mulut Salmah serta-merta memuncung. “Hisy, kamu
ni. Janganlah terasa. Aku bukan mengata kamu. Si Riduan tu yang buta. Kalau nak
banding kamu dengan bini dia orang Indonesia tu, macam langit dengan bumi…”
“Mak Long…” Zafira yang sudah berada di hadapan
Salmah menegurnya lembut menyebabkan wanita itu terkesima seketika. Matanya
membulat. Dia memandang sekeliling. Semua yang berada di situ tidak berkedip
melihatnya. Salmah terus mencari-cari Kamsiah. Tidak ada! Merajuk agaknya dia.
Tidak padan dengan orang tua.
Salmah terus mengukir senyum manis. Dia menengok
kedua mempelai bersilih ganti. Tangan Zafira digenggam erat. Jerawat batu di
pipinya diperhati sinis. “Lain kali, pakai gincu bagi terang. Baru nampak
cantik…” Salmah terdiam sejenak. “Lagi satu, tepek bedak kasi tebal sikit.
Tutup jerawat batu tu. Baru Anish tak pandang perempuan lain. Kalau kamu nak
belajar, boleh tanya Kak Tuya,” tambah Salmah lagi bersahaja.
Zafira menelan air liur sekali. Terasa pipinya berubah
kemerahan. Malu diperkata sebegitu di khalayak ramai. Bertambah segan tatkala mengenangkan
suami yang berada di sisi. Apa kata Danish nanti? Zafira hanya mampu menunduk,
tidak tahu hendak bereaksi bagaimana.
“Comel dah macam ni. Tak payah pakai apa-apa.
Jadi macam opera Cina pula,” Kamsiah yang muncul dengan tiba-tiba menyampuk.
Halus nada suaranya tetapi berdesing juga telinga
Salmah mendengarnya. Kamsiah memandang Salmah sekejap, kemudian terus berlalu
dari situ… tidak mahu berlama-lamaan dekat wanita itu. Silap hari bulan, boleh
cetus perang dingin. Salmah tidak mahu merosakkan majlis orang meski yang
menjadi raja sehari itu bukanlah anak saudaranya, bau-bau bacang pun tidak ada.
Namun perlu diingat, mereka adalah saudara seagama.
Bukankah Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud,
‘Tidak dikatakan beriman seorang manusia selagimana dia tidak mengasihi
saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri,’? (H.R. Bukhari dan
Muslim)
“Terima kasih atas doa Mak Long selama ini,”
Danish bersuara lembut.
Salmah mengangguk-angguk. “Ya…” kata-katanya terhenti
di situ. Dia menepuk-nepuk bahu Danish perlahan, kemudian berkalih ke arah
Zafira seraya berkata, “Kamu pun, beranak awal-awal. Jangan jadi macam si Fiona
tu. Kahwin sepuluh tahun, habuk pun tak ada. Sia-sia bercucuk tanam di atas
tanah yang tak subur. Habis duit. Habis tenaga.”
Semua yang berada di situ saling berpandangan. Che
Wan Ali yang berdiri beberapa langkah dari Salmah berdehem perlahan. Dia
menggeleng laju. Penat sudah Che Wan Ali mendidik dan mengasuh Salmah tetapi
hasilnya tetap mengecewakan. Malu benar dia mengenangkan sikap sang isteri yang
sebegini. Hendak kahwin satu lagi, Che Wan Ali tidak mampu. Dia hanya meniaga
kecil-kecilan di Pasar Pasir Mas. Mahu melafaz talak, Che Wan Ali tidak
sanggup. Walaupun halal, ALLAH tetap membenci. Lagipun, anak-anaknya berderet.
Tambah seorang, cukup satu pasukan bola sepak. Boleh mewakili Kampung Bayu
Lalang.
“Ira, salam dengan Mak Ngah pula,” tegur Zainah,
ibunya Danish.
Zafira tersentak kecil. Cepat-cepat dia berjalan
menghampiri Hasmah yang tengah berdiri tidak jauh dari situ. “Mak Ngah,” ucap
Zafira lembut.
Hasmah mengusap kepala Zafira perlahan. Suaranya
terlekat di kerongkong. Hatinya terguris mendengar kata-kata spontan Salmah.
Tidakkah wanita itu sedar… yang diperkatanya sebentar tadi bukannya orang lain.
Anak kandung Hasmah sendiri, merangkap anak saudara Salmah juga tetapi
entahlah. Memang begitu sikap kakak sulungnya sejak dari dahulu. Setiap bait
kata yang terpacul dari bibirnya, pasti menyakitkan hati. Lebih parah, apabila
sesama adik-beradik bermasam muka. Anak-anak saudara pula tidak senang dengan
sikap mak cik sendiri.
“Jadi isteri solehah. Kehidupan di dunia ni
adalah sementera. Segala sesuatu di atas muka bumi adalah pinjaman daripada
ALLAH. Usah mendabik dada atas kenikmatan yang diperoleh tetapi bersyukurlah
atas kurniaan-NYA,” Hasmah akhirnya bersuara. Tersirat kata-katanya namun tidak
pula Salmah terasa apa-apa.
Zafira mengangguk-angguk. Dia mula menapak untuk
bersalaman dengan tetamu lain namun dengan tidak semena-mena, langkah Zafira
terhenti. Matanya membulat. Baru dia menyedari, empunya diri yang diperkata
ibunda saudara suaminya ada di sisi Hasmah. Kelihatan Fiona memandang tepat ke
arahnya dengan mata memerah. Zafira pasti, wanita itu sedang rawan dan malu.
Sekiranya dia berada di tempat Fiona, dia juga akan berasa begitu bahkan boleh
jadi lebih teruk. Histeria mungkin, nauzubillah.
“Sabarlah, Kak Fie. ALLAH lebih tahu mana-mana
yang terbaik untuk kita,” ujar Zafira separuh berbisik sambil memegang erat
lengan Fiona. Renungan wanita itu dibalas dengan senyum nipis. Timbul rasa
simpati di hati Zafira. Wajah Fiona tampak pucat dan tidak bermaya.
Salmah yang sedari tadi hampir tersembul matanya
melihat Zafira menggeleng laju. “Sudah. Tak payah nak berdrama di sini. Ira tu
pengantin baru. Cepat. Kita ke dewan pula,” dia bersuara lantang.
Fiona terus berlalu keluar dari situ. Air matanya
sudah mengalir deras. Zafira pula cuba mengukir senyum. Entah… dirasakan hari
bahagianya dicacatkan dengan peristiwa sebegini. Zafira segera memandang
suaminya yang tampak tenang di tepi. Danish hanya mengelip matanya sekali.
Kemudian, dia pun memegang lengan Zafira lalu berjalan keluar menuju ke dewan
untuk menjamu selera.
SALMAH mendengkus kuat. Dari tadi, kakinya tidak
berhenti melangkah. Sekejap ke hulu. Sebentar-sebentar ke hilir pula. Salmah
mendongak memandang jam pada dinding rumah.
Sudah pukul 11.30 malam tetapi
batang hidung suaminya, Che Wan Ali masih belum kelihatan.
“Kenapa, mak? Macam cacing kepanasan saja,” soal
Zaihan yang sedang duduk di atas kerusi rotan di hadapan televisyen. Dia
memandang emaknya sekilas, kemudian berkalih ke arah TV yang tengah bersiaran.
Wanita itu memang selalu begitu. Tidak ada yang pelik dan mengejutkan. Luar
biasa, jauh sekali.
Salmah mendengus lagi. Dia segera meluru ke arah
anak bongsunya yang begitu ralit tengok TV. Wajahnya mencuka. Dia memandang
tepat wajah Zaihan yang tetap buat tidak endah terhadapnya. Geram melihat
perilaku sang anak dara yang tidak tahu menghormati orang tua, Salmah berjalan
laju ke arah suiz yang terletak di belakang televisyen. Tanpa memberi sebarang
amaran, Salmah terus menutup suiz yang menyambungkan kabel TV. Senyumnya
terukir nipis. Inilah pengajaran buat anak-anak yang tidak reti menghormati
orang tua. Lebih-lebih lagi… ibu!
“Alah, mak ni. Ayah kan pergi rumah Mak Ngah. Kak
Fie tak sihat. Sejak dari hari Abang Anish akad nikah lagi. Dah mak tak nak
ikut, siapa suruh? Sekarang, mulalah jadi tak tentu arah,” balas Zaihan
bersahaja. Keras. Tajam. Langsung tidak ambil pusing dengan siapa dia
berbicara.
Kemarahan Salmah semakin membara. Anak bongsunya
ini memang payah dididik. Jika dilayan, boleh jadi tinggi tekanan darahnya.
Silap hari bulan, boleh ditahan di wad lagi, buat kesekian kali.
Aduh… Salmah
menghembus nafasnya perlahan.
“Astaghfirullah…” Salmah menarik nafas
dalam-dalam, kemudian menghembusnya lagi.
“Kamu ikut perangai siapa, An? Tak reti nak
bercakap elok-elok dengan ibu sendiri? Kamu kena ingat, An. Syurga seorang anak
tu terletak di bawah telapak kaki ibu? Mak tak redha, tak akan dapat kamu…”
Belum sempat Salmah menyudahkan kata-katanya, Che
Wan Ali yang sudah berada di sisi Salmah segera menyampuk, “Apa masalah kamu
berdua anak beranak? Aku keluar sekejap saja dah jadi macam ni…” kata-katanya
terhenti di situ.
“Kamu pun Salmah, beringat sikit bila nak
bercakap tu. Mulut ibu ni masin. Jangan sesedap rasa mendoakan yang tak baik. Zaihan
tu bukan orang lain. Anak kita juga,” sambung Che Wan Ali keras.
Mulut Salmah memuncung. Zaihan pula sudah masuk
ke dalam kamar tidurnya. Dia tidak mahu jadi anak derhaka. Dalam masa yang
sama, Zaihan tidak suka dengan sikap emaknya. Bahkan, semua orang memperkatakan
tentangnya.
“Hah, Che Wan Ali? Kamu ke mana dekat pukul 12.00
baru nak tunjuk muka? Tak ingat anak bini di rumah?” balas Salmah tidak mahu
mengalah. Seperti Zaihan, Salmah langsung tidak ambil peduli dengan siapa dia
sedang berbicara.
Che Wan Ali menggeleng laju. Ikutkan rasa hati,
mahu sahaja dia menampar pipi wanita yang begitu lancang mulutnya ini. Namun
ditahan sahaja, tidak mahu suasana bertambah tegang. Lagipun, anak-anaknya ada
di rumah. Cukuplah contoh tidak elok yang ditunjuki isterinya selama ini. Tidak
mahu dia menambah perisa yang akhirnya memberi kesan terhadap mereka.
“Macam manalah si An tu tak melawan, tak cakap
kasar dengan kamu, Mah. Kamu sendiri tunjuk contoh yang tak baik pada anak-anak
kita. Kalau syurga anak terletak di bawah telapak kaki ibu, syurga kamu atas
redha siapa? Kalau saya tak redha dengan kamu, ada jaminan nak masuk syurga?” ujar
Che Wan Ali bersahaja tetapi tajam bunyinya.
Salmah menceber. “Dah, dah. Tak payah membebel
lagi. Buat apa awak berlama-lamaan di rumah adik saya? Ke, awak nak mengurat
dengan dia. Iyalah. Hasmah kan janda?” Salmah tetap tidak mahu mengalah.
Tidak dapat menahan rasa yang tertahan lama,
akhirnya satu tamparan kuat hinggap di pipi Salmah. “Bawa mengucap, Mah. Hasmah
tu adik kandung kamu. Cakap tu, biar berlapik sikit…”
“Sudah tu, buat apa awak ke rumah dia?
Malam-malam pula,” potong Salmah sambil mengusap-ngusap pipinya yang terasa pedih.
Che Wan Ali menunduk ke lantai. “Itulah. Tadi
saya ajak kamu ikut, kamu tak mahu. Fiona sekarang mengandung tiga bulan.
Kembar tiga,” dia memberitahu.
Mulut Salmah ternganga luas. “Apa? Kembar tiga?”
soalnya bertubi-tubi.
Che Wan Ali mengangguk laju. “Iya. Kenapa? Kamu
tak gembira? Budak yang kamu cakap tak subur hari tu dapat anak kembar tiga.
Tak ada lagi keturunan kita yang dapat anak kembar…” dia terdiam sejenak. “Kamu
ingat, mengandung beranak ni kuasa kita? Semua dengan izin ALLAH. ALLAH nak
bagi, sekejap saja boleh dapat. ALLAH nak tarik, sekelip mata boleh hilang,”
tambahnya bertubi-tubi.
Salmah terus mencebik. Sakit hatinya mendengar
kata-kata Che Wan Ali yang langsung tidak mahu menyebelahinya. Dari dahulu
sampai ke hari ini, tidak ada tanda mahu berubah. Ada sahaja yang tidak kena di
mata lelaki yang sudah dinikahi lebih empat puluh tahun itu.
“Sudahlah. Malas saya bergaduh dengan awak. Tak
pasal-pasal, saya tak dapat masuk syurga. Bukan setakat masuk syurga, bau pun
tak dapat,” balas Salmah dengar tidak dengar.
Namun, baru sahaja dia hendak beredar dari situ…
“Che Wan Ali! Che Mah! Buka pintu cepat!” pintu
rumah Salmah diketuk kuat.
Salmah dan Che Wan Ali saling berpandangan.
“Siapa?” soal mereka serentak.
Ahmad terus mengetuk pintu rumah Salmah. “Akulah.
Mamat, suaminya si Zainah. Bukalah pintu ni dulu,” jawabnya dengan suara yang
menggeletar.
Che Wan Ali dan Salmah segera meluru ke pintu.
“Ada apa?” mereka bertanya serentak lagi.
Ahmad yang masih tercungap-cungap memandang Che
Wan Ali dan Salmah bersilih ganti. “Haiqal. Tuya. Cucu-cucu kamu…” Ahmad
kelihatan terkedu.
“Kenapa dengan mereka?” Jantung Salmah berdegup
kencang. Kata hatinya menyatakan sesuatu yang tidak baik telah berlaku terhadap
mereka. Ya ALLAH…
Ahmad menghembus nafas kuat. “Mereka terlibat
dalam kemalangan depan sekolah Banggol Chicha. Berkebetulan, aku baru siap
minum kopi dekat kedai pelayan. Tengok orang ramai duk kerumun. Aku pergi
dekat…”
“Bagaimana dengan anak menantu aku?” Salmah yang
sudah hilang pedoman bertanya keras. Air matanya pun turut sama mengalir laju.
Ahmad terus menunduk. Tidak sampai hati hendak
memberitahu. Anak, menantu dan cucu-cucunya telah meninggal dunia di tempat
kejadian.
“ALLAH!” Salmah menjerit lantang.
Che Wan Ali hanya terkedu di situ. Salmah pula
sudah terbaring di atas lantai. Matanya terbuka luas tetapi dayanya tiada.
Wajah Zafira, Fiona, Kamsiah hadir bersilih ganti. Membuatkan Salmah terfikir
akan peringatan ALLAH buatnya. Bukan Salmah tidak tahu…