Mencari Naurah (Bab 78)
Saturday, January 19, 2013
Novel | Mencari Naurah
‘Ya,
Allah. Berilah aku kekuatan untuk menempuh segala dugaan-Mu. Sesungguhnya aku
tidak berdaya tanpa nusrah-Mu,’ aku merintih sendiri. Buku tentang Ahmadinejad
aku belek setiap helaian. Sang Presiden yang tidak pernah kenal erti takut.
Takutkan
siapa? Siapa lagi kalau bukan Amerika Syarikat yang merasakan diri begitu
berkuasa. Merekalah penyelamat, merekalah pejuang keamanan sehingga
tindak-tanduknya tidak mampu dihalangi sesiapa. Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) pula hanya mampu membisu melihat kezalimannya.
Tiba-tiba,
air mataku mengalir. Aku begitu lemah mengharungi ujian-Nya sedang dugaan itu
pasti. Hadirnya ujian, dapatlah dikenalpasti siapakah yang berjihad di
jalan-Nya dan siapa pula yang tidak mengambil teman setia melainkan Allah,
Rasul-Nya serta orang yang beriman.
‘Ya,
Allah. Ampunilah dosa-dosaku,’ semakin deras air mataku mengalir. Begitu laju
seperti tidak mahu berhenti. ‘Mak...’ aku terkenangkan ibu di kampung.
Tok,
tok... pintu bilik diketuk. Aku segera mengesat air mata di pipi. Khuatir
disedari doktor mahupun jururawat yang merawat. Yang paling merisaukan aku,
andai mereka mengadu kepada suamiku. Ah, biarlah aku sendiri yang merasai
keperitan ini.
“Assalammualaikum,
Sayang,” Asyraf mencium perlahan pipiku. Aku tersenyum manis. Terasa tenang
tatkala memandang wajahnya yang semakin tampan sehari-hari pada kaca mataku.
“Untuk
Asha,” katanya lagi lantas menghulurkan sejambak ros buatku. Cantik...
jambangan ros merah aku kucup perlahan. Ada dua belas kuntum semuanya. Mata
Asyraf kurenung dengan penuh kasih sayang.
“Waalaikumussalam.
Bila Abang sampai? Abang dari mana?” Sebenarnya, aku khuatir kalau-kalau Asyraf
ternampak aku menangis. Aku masih belum bersedia untuk berkongsi cerita
dengannya.
“Baru
sahaja, Yang. Abang dari rumah tadi,” ia menjawab sambil tersenyum. Jawapannya
melegakanku. Ringan sedikit bebanku. Tidak perlu memerah otak mencari alasan
yang munasabah sekiranya aku tertangkap... tertangkap kerana menangis.
“Asha
O.K.?” soalan pertama yang terpacul dari bibirnya. Soalan lazim yang menjadi
kemestian. Mungkin sudah disetkan di dalam minda.
“Alhamdulillah,”
jawabku pendek sambil memerhatikan jam yang terletak di atas meja, berhampiran
dengan katilku. Jam pemberian Dr. Rashidah. Ia merupakan doktor yang merawatku
merangkap senior Asyraf di fakultinya dahulu.
“Awal
Abang balik kerja?” aku memandang tepat anak matanya. Diam...
“Asha
buat apa hari ini?” Asyraf mengambil bunga yang kupegang lalu meletakkannya di
atas meja. Kemudian, ia memegang tanganku erat. Ya, terlalu erat seolah-olah
tidak mahu dilepaskan lagi.
“Baca
buku ini,” kataku sambil menunjukkan buku mengenai Ahmadinejad kepadanya.
“Oh,
pemimpin negeri kaum Mullah,” tanganku dilepaskan perlahan. Ia membelek-belek
buku tersebut dengan penuh teliti.
“Mama
datang?” soal Asyraf lagi.
“Mama
sibuk agaknya,” balasku dengar tidak dengar. Mana mungkin ibu mertuaku datang.
Katanya, melihat wajahku sahaja sudah membuatkan dirinya berasa rimas dan
meluat.
“Ada
apa-apa yang Asha hendak kongsi dengan Abang?” Asyraf seolah-olah mahu mengorek
sesuatu. Tanganku dipegang kembali. Mataku direnung tajam.
“Asha
rindu Abang... Asha cinta Abang... Asha kasih Abang...” ujarku sambil
tersenyum. Entah mengapa hatiku sebak tatkala mengungkapkan kata-kata itu. Ya,
aku sentiasa merinduinya. Aku mahu ia selalu dekat denganku. Aku tidak sanggup
berpisah dengannya. Macam-macam persoalan yang bermain di fikiranku. Adakah
jodoh kami pendek?
“Abang
pun rindu Asha. Lama sudah tidak dakap Asha. Abang cinta Asha sepenuh jiwa raga
Abang. Ashalah permata hati Abang...” Asyraf terdiam. Ia menoleh ke arah bunga
yang telah dihadiahinya kepadaku.
“Ashalah
umi kepada anak-anak Abang,” tambahnya sambil mengusap perutku.
“Ashalah
yang bakal melahirkan cucu buat mama dan papa Abang,” sambung Asyraf lagi.
Sambil
mendekatkan bibirnya pada perutku, Asyraf berkata lembut, “Anak Abi jangan
nakal-nakal. Umi kurang sihat. Sudah besar, jaga umi baik-baik.”
“Malam
ini, Abang tidak dapat temankan Asha. Abang bertugas tetapi kalau ada ruang,
Abang datang berziarah. Insya-Allah,” Asyraf kelihatan serba salah. Baru aku
teringat.
Rupa-rupanya, Asyraf juga bertugas di hospital ini.
‘Adakah
patut boleh lupa?’ aku tersenyum sendiri.
“Abang
minta mama temankan, mahu?” sambungnya.
“Tidak
perlu! Mama tidak perlu temankan,” tanpa sedar aku membantah cadangannya.
Mungkin terkejut dengan cadangan Asyraf. Terngiang-ngiang bicara Datin Khatty
baru-baru ini, “Aku ingat kau sudah mati. Hidup lagi rupanya...”
“Asha?”
Asyraf seperti ragu-ragu dengan reaksi spontanku. Dahinya dikerutkan, tidak
berkelip memandang wajahku.
“Mama
sudah tua, tidak sesuai berjaga malam. Patutnya, orang muda yang jaga orang
tua. Ini, sudah terbalik,” kataku sambil ketawa. Bukan... aku hanya
berpura-pura ketawa. Gelak yang dibuat-buat.
“Abang,
Asha letih... Asha lelap dahulu, boleh?”
Sebenarnya, hatiku begitu pilu tatkala
nama mama disebut. Mahu menangis tetapi tidak sanggup mengalirkan air mata di
hadapan Asyraf. Aku tidak mahu Asyraf tahu bahawa mamanya yang cuba untuk
membunuh zuriatnya. Mamanya juga yang telah memperlakukanku seperti seorang
abdi.
“Tidurlah,
Sayang. Lagipun, Abang ada hal sekejap. Sayang bini Abang,” Asyraf segera
mencium pipiku. Agak lama kucupannya. Kemudian, beralih pula ciuman itu ke
tanganku.
Aku
cepat-cepat memejamkan mata. Aku mahu Asyraf segera beredar kerana air mataku
sudah hampir jatuh ke bumi. Aku sebak sebenarnya. Sebak mengenangkan
kepura-puraan ibu mertuaku yang bijak melakonkan wataknya. Ia selayaknya
diiktiraf sebagai pelakon wanita terbaik. ‘Ah, begitu banyak aku mengeluh...
Astaghfirullah,’ aku terlalu lemah. Ya, Allah. Ampunilah dosa-dosaku. Dan...
aku kemudiannya menangis sendiri... lagi....
~bersambung
Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.