Mencari Naurah (Bab79)
Sunday, January 20, 2013
Novel | Mencari Naurah
“Dewi
ada rahsiakan sesuatu daripada saya?” Asyraf bertanya lembut tetapi tetap
tegas. Dahi pembantu rumahnya itu berkerut.
‘Mesti
ada yang tidak kena,’ desis hati kecil Asyraf.
‘Ada
sesuatu yang disembunyikannya. Aku pasti!’ ia menambah.
Asyraf
masih lagi tidak berganjak dari tempat duduknya. Ikutkan hati, ia tidak mahu meninggalkan
isterinya keseorangan tetapi apakan daya, ada amanah yang menantinya di
hadapan. Mujur Natasha ditempatkan di sini. Paling tidak, masih dekat dengannya...
Tatkala
Asyraf sampai di bilik No. 295, ia mendapati Natasha sedang menangis. Wajahnya
suram, senyumnya dalam paksa. Kemudian, kedengaran pula bunyi esakan. Semakin
lama, tangisan itu semakin kuat. Isterinya itu seolah-olah sedang memikul satu
bebanan yang sangat berat. Ya, Natasha sedang merahsiakan sesuatu. Kalau tidak,
masakan Dr. Rashidah boleh bertanya sedemikian, “Isteri Asyraf ada mengalami
tekanan?”
Asyraf
akui, kesibukannya di hospital menyebabkan isterinya itu sedikit terabai.
Natasha dibiarkan sendiri bersama keluarganya. Asyraf yakin Natasha mampu
berdikari dan boleh membawa diri.
Papa...
Acap kali papa tidak ada di rumah. Ia lebih senang bersama dengan isteri
mudanya. Mungkin papanya selesa di situ. Mama Melissa menjalankan tanggungjawab
sebagai isteri sebaiknya. Itu tidak dapat Asyraf nafikan.
Bagaimana
pula dengan mama? Pada kaca mata Asyraf, mamanya sudah dapat menerima kehadiran
Natasha. Layanannya baik dan Natasha sudah dianggap seperti anak sendiri.
Apatah lagi ia bakal menimang cucu. Bukan seorang bahkan dua sekaligus,
insya-Allah. Pasti mama gembira bahkan terlalu suka.
‘Astaghfirullah. Sukarnya untuk memahami isi
hatimu,’ Asyraf berkata sendiri.
Natasha
binti Zulkarnain... Isterinya ini memang kuat berahsia. Asyraf tahu, Natasha
tidak mahu menyusahkannya tetapi tahukah Natasha bahawa sikapnya itu membuatkan
dirinya semakin risau dan khuatir. Asyraf tidak mahu Natasha berduka sendiri
sedang ia sebenarnya begitu dekat dengannya. Bukankah suami itu merupakan
tulang belakang bagi si isteri?
“Assalammualaikum.
Pak Alias di mana?” tanya Asyraf dari corong telefon bimbitnya.
“Saya
baru hantar datin ke salun,” jawab Pak Alias.
‘Mama,
mama... salun, salun, salun,’ Asyraf mengomel sendiri.
“Saya
di hospital. Boleh Pak Alias jumpa saya sekejap? Saya tunggu di lobi,” ujar
Asyraf penuh harapan.
“Insya-Allah,
tuan. Dalam lima belas minit saya sampai,” balas Pak Alias.
Wajah
Natasha masih lagi berlegar-legar di fikiran. Sewaktu ia keluar dari bilik No.
295 tadi pun, Natasha masih mahu menangis. Mengapa? Apakah yang telah
mengganggu fikirannya? Natasha mungkin tidak sedar bahawasanya ia hanya
berpura-pura beredar walhal ia sebenarnya sedang bersembunyi di celah-celah
pintu. Ia mahu melihat sendiri. Apakah yang dilakukan isterinya. Nah! Ia
menangis lagi.
“Bagaimana
Natasha di rumah?” soal Asyraf serius. Ia membawa Pak Alias ke kafetaria
hospital. Diam... tidak ada bibit bicara yang keluar dari mulut lelaki yang
berusia separuh abad itu.
“Bagaimana
mama melayan Natasha?” Asyraf bertanya lagi. Ia perlu membongkar segalanya.
Tidak sanggup melihat Natasha menempuh kesulitan itu, andai benar ia sedang
menderita. Pak Alias masih lagi membisu.
‘Ah,
begitu kuat lelaki ini menyimpan rahsia,’ Asyraf membentak sendiri.
“Tadi,
waktu saya sampai ke bilik Natasha, ia sedang menangis. Akan tetapi, apabila
saya berada di hadapannya, ia berlagak biasa. Kemudian, sewaktu saya keluar
dari biliknya, ia menangis lagi. Apa yang berlaku sebenarnya? Apa yang saya
tidak tahu dan orang lain tahu?” panjang lebar Asyraf mengajukan soalannya.
Mulut Pak Alias nampaknya sudah terkunci.
“Hantar
saya balik tetapi saya perlu kembali ke hospital jam 8.00 malam. Mama pulang
jam berapa?” Tanpa memandang wajah Pak Alias, Asyraf bangkit daripada kerusi
yang didudukinya.
“Baik,
Tuan. Datin pulang jam 9.00,” jawab Pak Alias. Suaranya tersekat-sekat. Asyraf
dan Pak Alias pun berjalan ke tempat parkir kereta. Pak Alias membukakan pintu
belakang buat Asyraf tetapi ia menolak.
“Saya
hendak duduk di hadapan,” ujar Asyraf perlahan.
Sepanjang
perjalanan, Asyraf hanya diam. Ia memerhatikan hiruk-pikuk kota raya. Bunyi
suara manusia dan hon kenderaan kedengaran di sana sini. Betul-betul
membingitkan suasana. Asyraf masih lagi mahu memandang ke luar walaupun
fikirannya sebenarnya sudah melayang jauh ke angkasa.
Tiba-tiba,
matanya tertumpu kepada satu sosok tubuh yang agak... macam kenal? Ya, itulah
Tengku Amalin. Siapa pula jejaka berkulit gelap di sebelahnya? Orang Negro
agaknya. Alahai, mereka sedang bercumbu-cumbuan di khalayak awam. Tidakkah
mereka berasa malu? Alangkah bagus andai mama menyaksikan drama ini sendiri.
“Pak
Alias, berhentikan kereta,” arah Asyraf. Ia mahu melihat langkah Amalin yang
seterusnya. Gadis ini begitu banyak mempengaruhi mamanya. Tangan lelaki Negro
yang berbaju singlet itu dikucup rakus. Ia mungkin tidak sedar bahawa ia sedang
diperhatikan.
“Pak
Alias, jalan.” Meluat benar Asyraf melihat gelagat isteri tidak jadinya itu.
Wajah
Natasha tiba-tiba menjelma. Senyumannya... gelak-tawanya membuatkan hati Asyraf
tenteram. Hilang rasa resah dalam jiwa. Asyraf terkenangkan saat-saat bahagia
bersama Natasha sewaktu di PCB. Ia senyum sendiri. Semakin lama, senyuman itu
semakin melebar. Hanya Asyraf yang tahu sebabnya.
“Apa
yang berlaku di dalam rumah ini sebenarnya?” Asyraf masih tidak berputus asa
mencari kebenaran. Dewi pula diam seribu bahasa. Ia membatu sepertimana
membisunya Pak Alias. Tidak berani untuk membuka rahsia. Khuatir dengan
tindakan yang bakal diambil Datin Khatty sekiranya rahsianya terbongkar.
“Dewi
tidak perlu takutkan sesiapa. Saya janji akan pertahankan Dewi kalau ada
apa-apa yang berlaku,” pujuk Asyraf lagi. Dewi masih diam. Hatinya membuak-buak
untuk membuka cerita tetapi dirinya masih khuatir. Jika menantu sendiri sanggup
ia bunuh, inikan pula dirinya. Hanyalah seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Nyawanya tentu tidak berharga.
“Mereka
yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah adalah mereka yang paling takwa,”
terngiang-ngiang ungkapan Natasha. Tanpa diminta, air mata Dewi mengalir di
pipi. Ia rindukan majikannya yang seorang itu.
“Ibunya...”
diam.
“Datin
Khatty melayan ibunya Natasha dengan kejam. Bukan lagi selaku majikan tetapi
menjadi bibik di rumah ini. Sama sahaja seperti saya bahkan lebih teruk
daripada itu,” Dewi cuba mengumpul kekuatan untuk bersuara. Apa hendak jadi,
jadilah. Yang penting, majikan yang disayanginya itu terselamat daripada terus
dizalimi.
Asyraf
terpaku. Mulutnya melopong. Matanya
hampir sahaja berkaca. Asyraf mahu berbicara tetapi kata-katanya tersekat di
kerongkong. Sudah berapa lama isterinya diperlaku sedemikian?
‘Maafkan
Abang, Sayang,’ ia berkata sendiri.
“Ibunya
Natasha jatuh angkara Datin Khatty,” cerita Dewi lagi. Nah! Terjawab semua
persoalannya. Ia tidak mahu mendengar apa-apa lagi. Cukuplah setakat itu ia
mengetahui perihal kezaliman mamanya.
“Terima
kasih, Dewi,” ucap Asyraf sambil meninggalkan pembantu rumahnya terpinga-pinga
sendiri. Ia berjalan ke arah Pak Alias yang sedang mengelap kereta. Mukanya
merah menahan rasa marah.
“Pak
Alias, hantarkan saya kembali ke hospital,” Asyraf berkata tegas.
“Baik,
Tuan...”
Wajah-wajah
Natasha hadir bersilih-ganti dalam fikirannya. Ada kalanya, ia datang sambil
tersenyum. Asyraf tahu, wajah itu adalah wajah seorang isteri yang sedang
gembira. Namun, acap kali Natasha hadir dengan wajah yang suram. Ia seolah-olah
sedang merayu meminta tolong. Namun, tiada siapa yang sudi membantunya. Di
dalam kereta, Asyraf memejamkan matanya...
~bersambung
Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.