Mencari Naurah (Bab 74)

Novel | Mencari Naurah




“Aku tidak suka tengok kau dengan Asyraf terlalu mesra...”

“Naik mual dan semakin menyampah dibuatnya,” ujar Datin Khatty apabila aku melangkah masuk ke dapur.

“Lain kali, tidak payah mesra sangat. Aku tahu kau gilakan Asyraf tetapi tidak payah hendak menunjuk-nunjuk. Kau memang keji. Sebab itu kau sanggup merampasnya daripada Amalin,” ia menambah. 

Aku hanya diam. Tidak berani untuk berkata-kata. Silap hari bulan, taringnya keluar. Matanya membulat kemerahan. Ah, tidak sanggup aku bayangkan.

“Malam ini aku keluar. Maklumkan pada Asyraf bahawa aku ada urusan penting.” 

Patutlah ibu mertuaku ini sudah bangkit dari pembaringan. Ada ‘urusan’ rupanya. Jam belum lagi menunjukkan pukul 8.00 malam.

“Insya-Allah, Mama,” balasku sambil menghulurkan tangan kepadanya.

“Tidak payah salam-salam. Kolot...” Datin Khatty menempis tanganku lantas melangkah laju menuju ke garaj. Baju kebaya yang disarungnya berkelip-kelipan.

‘Macam orang muda,’ getus hatiku.

Aku memerhatikan jam di dinding. Sudah pukul 7.30 malam. Asyraf mahu solat Maghrib di rumahkah atau di surau?

“Kita solat Maghrib sama-sama, Sha. Abang rasa tidak sedap badan hari ini,” kata Asyraf sebaik sahaja aku memasuki kamar.

“Insya-Allah. Asha ambil wuduk dahulu, Bang.” Muka Asyraf kelihatan pucat. Sakitkah?

.....
.....

Assalammualaikum warahmatullah... Assalammualaikum warahmatullah.

“Jom, makan. Abang rasa semacam hendak solat Isyak di surau,” Asyraf bersuara perlahan.

“Abang O.K.? Abang larat?” aku benar-benar risau melihat keadaannya. Asyraf memang nampak lain daripada biasa.

“Insya-Allah. Abang rasa serba salah pula. Bukan mudah ingin menjadi tetamunya. Hanya mereka yang terpilih sahaja,” balas Asyraf dengan suara yang tersekat-sekat.

“Abang turun dahulu. Asha lipat sejadah sekejap,” aku memandang Asyraf sambil tersenyum.

“Tidak apa. Abang tunggu Asha,” ia membalas senyumanku dengan senyum yang lebih lebar dan... penuh makna.

Aku segera melipat sejadah yang kami gunakan. Dari tepi katil, Asyraf merenungku dengan mesra. Ya, Asyraf nampak lain daripada biasa. Kalau sakit, sakitnya kelihatan luar biasa.

“Jom, Bang,” aku menarik tangannya dengan genggaman yang cukup erat. Asyraf hanya menurut dari belakang.

“Masak lauk apa malam ini?” soalnya lembut.

“Tekalah...”

“Hmmm... ikan bawal masam manis?” Asyraf cuba meneka.

“Salah. Abang kena bagi Asha hadiah sebab salah teka...” aku terdiam sejenak.

“Asha masak daging masak merah,” aku mengenyitkan mataku sambil tersenyum manis.

Uhuk, uhuk... Asyraf batuk.

Uhuk, uhuk, uhuk... batuknya semakin kuat.

“Abang O.K.?” aku bertanya lagi.

“Insya-Allah. Sayang bini Abang,” ujar Asyraf pendek.

“Makan, Pak... Ibu,” jemput Dewi bilamana aku dan Asyraf sudah berada di tepi meja makan.

“Dewi sudah solat?” aku memandang wajahnya yang nampak keletihan.

“Belum, Bu,” jawabnya jujur.

“Dewi pergi solat dahulu. Biar saya uruskan di sini,” arahku lembut.

“Terima kasih, Bu.” Dewi segera berlalu ke biliknya yang terletak di tepi dapur.

“Mama mana?” soal Asyraf apabila tidak nampak kelibat mamanya.

“Datin Khatty...” diam. Aku tersilap cakap!

“Mama keluar. Ada urusan penting katanya,” aku memberitahunya dengan berhati-hati. Takut tersalah ungkap lagi.

“Maghrib-maghrib pun keluar,” rungutnya. Aku sekadar membisu.

“Tadi, Abang telefon Anuar,” Asyraf membuka cerita.

“Dia sekarang bekerja dengan ayahnya. Katanya, hendak mencuba angin baru,” ia meneruskan kata-kata tanpa menunggu respon daripadaku. Aku hanya diam.

‘Betul-betul hendak mencuba angin barukah?’ aku bertanya sendiri.

“Anuar solo lagi. Tidak ada yang berkenan katanya. Lagipun, dia cakap hendak jadi jutawan dahulu. Baru fikir pasal kahwin,” Asyraf masih mahu berbicara tentang kawan baiknya itu.

“Anuar, Anuar...” Asyraf menggeleng perlahan. Aku masih lagi diam. Benarkah Anuar mahu menjadi jutawan dahulu? Anuar yang aku kenal bukan begitu orangnya. Adakah Anuar masih lagi kecewa? Aku sendiri tidak tahu dan sama sekali tidak mahu memikirkannya. Aku kini sudah bergelar isteri kepada seseorang yang amat aku cintai.

“Abang bersyukur dapat berkahwin dengan Asha...”

“Ashalah wanita paling sempurna yang Abang pernah temui,” sambungnya lagi.

“Abang sayang Asha sepenuh hati Abang,” Asyraf meneruskan kata-katanya.

“Terima kasih kerana tetap bersama Abang...”

Allahu Akbar Allahu Akbar...

Kedengaran bilal mengalunkan azan dari surau berdekatan.

“Abang pergi dahulu, Sha,” Asyraf segera menyudahkan suapannya.

“Jaga diri baik-baik, Bang,” pesanku lembut.

“Insya-Allah,” jawabnya. Aku bangun menuruti Asyraf yang berjalan ke pintu.

“Lepas Isyak Abang balik terus, insya-Allah,” ujarnya lagi.

Pintu pagar dibuka dan Asyraf berjalan cepat ke surau. Aku memandangnya dari muka pintu sehingga kelibat Asyraf hilang dari pandangan...

~bersambung

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

0 Responses