Mencari Naurah (Bab 75)
Sunday, January 06, 2013
Novel | Mencari Naurah
“Mama,
abang nampaknya tidak berapa sihat,” kataku setelah Asyraf beredar dari
perkarangan rumah.
Apapun keadaannya, aku akan terus berusaha untuk
berbaik-baik dengan ibu mertuaku ini. Datin Khatty tidak menunjukkan sebarang
respon. Begitu khusyuk menonton rancangan Malaysia Hari Ini (MHI). Patut pun...
Ally Iskandar dan Fetri Yahaya sedang asyik berbicara.
‘Personaliti
kegemaran,’ bisikku sendiri sambil tersenyum.
“Asha,
tolong Mama ambilkan tongkat yang Mama baru beli dalam bilik,” ujar Datin
Khatty lembut.
Tongkat?
Apa yang ingin dilakukannya dengan tongkat?
Ah, biarkan... yang penting, ibu
mertuaku ini tidak lagi menjerkahku. Senyumannya juga begitu manis tatkala
memandangku. Aku segera berjalan menaiki anak tangga menuju ke biliknya. Adakah
ibu mertuaku ini sudah dapat menerimaku? Hatiku berbunga. Tidak sia-sia
pengorbananku selama ini.
Pintu
bilik Datin Khatty kubuka perlahan.
‘Mana?’ aku tertanya-tanya sendiri. Bilik
Datin Khatty yang luas itu kuterokai.
Atas
meja? Tidak ada...
Tepi
pintu? Pun tidak ada...
Mana?
Ha, itu dia! Di bawah katil rupanya.
Tongkat
yang berwarna merah itu aku capai. Sesaknya dada tatkala menundukkan kepala ke
bawah. Maklumlah, kandunganku semakin membesar. Menurut kata doktor, mungkin
bayiku kembar. Lupakan tentang anak.
Hmmm...dari
mana ibu mertuaku ini mendapatkannya? Aku kira, ia masih gagah untuk berjalan
sendiri. Ia tidak memerlukan tongkat untuk ke sana ke mari. Papa juga masih
kuat. Kalau tidak, masakan ia berani membuka cawangan baru. Ah, biarkan. Yang penting,
ia telah menerimaku. Terima kasih, Tuhan...
“Asha...”
kedengaran suara Datin Khatty memanggilku. Nada suaranya ditinggikan tetapi
masih lagi lembut. Cukup menyenangkan...
“Baik,
Ma. Asha datang...” aku segera melangkah menuruni tangga.
‘Hah!
Kenapa licin?’ aku gelabah sendiri. Gagal mengimbangi badan, aku terus jatuh
tersungkur dari atas tangga. Tongkat yang kubawa terlepas dari genggaman.
Foto : Sekadar gambar hiasan
Aduh...
“Ibu!!!”
jerit Dewi.
Mataku berpinar. Aku terhantuk rupanya. Aku cuba menggerakkan
kepalaku. Ah, tidak kuat. Aku mencari-cari Datin Khatty. Dia masih asyik
menonton televisyen. Seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Pak
Alias, tolong bawa ibu ke hospital. Darahnya banyak sekali,” Dewi semakin
panik. Pak Alias yang ketika itu sedang membasuh kereta segera mendapatkanku.
“Saya
telefon bapaknya Asyraf, Bu?” gadis Indonesia itu bingkas bangun mendapatkan
telefon.
“Diam
di situ. Biar dia bangun sendiri!” jerkah Datin Khatty sambil merenung tajam
pembantu rumahnya. Langkah Dewi terhenti.
“Pak
Alias, teruskan kerja kamu. Saya hendak keluar jam 11.00 nanti. Lap kereta
sampai berkilat,” arahnya lagi.
Aku
terkedu, terdiam dan tidak mampu berkata apa-apa. Darahku semakin banyak
mengalir. Aku cuba bangun tetapi tidak berdaya. Kudratku tidak cukup kuat...
‘Ya,
Allah. Bantulah hambamu yang lemah ini,’ aku menangis di dalam hati.
“Dewi,
siapkan saya makan tengah hari. Saya hendak makan awal hari ini.” Nah, Datin
Khatty nampaknya sengaja membiarkan aku keseorangan.
‘Ya,
Rabbi. Ampunilah segala dosaku,’ hanya itu yang mampu kuucapkan.
Pon,
pon... kedengaran bunyi hon dari luar rumah.
“Siapa
pula yang datang pagi-pagi begini?” dahi Datin Khatty berkerut. Pak Alias yang
tadinya masuk ke dalam rumah segera berlari anak ke muka pintu lalu berkata,
“Tuan Asyraf, Datin,” katanya.
“Hah?”
Terkejut dengan kata-kata pemandu peribadinya, Datin Khatty segera berjalan ke
arahku. Aku lihat Pak Alias berlari-lari mendapatkan Asyraf.
“Puan
Natasha, Tuan,” suarannya termengah-mengah. Asyraf cepat-cepat keluar dari
kereta dan berlari mendapatkanku.
“Kenapa,
Sha?” Sepenuh tenaga ia cuba mengangkatku. Aku hanya membisu.
“Kenapa
tidak telefon ambulan?” soal Asyraf lagi sambil memandang Pak Alias yang hanya
berdiri di muka pintu. Pak Alias juga
diam. Tidak berani untuk bersuara.
“Mana
Dewi? Kenapa tidak hubungi saya?” Asyraf masih tidak berpuas hati.
“Dia
baru jatuh. Cuai... Mama pun baru hendak telefon Asyraf,” Datin Khatty bersuara
perlahan. Tanpa menunggu panjang, Asyraf segera mengangkatku ke dalam kereta.
“Pak
Alias, hantar kami ke Hospital Universiti. Cepat!” arah Asyraf tegas. Kepalaku
diletakkan di atas ribanya.
“Tetapi...”
Datin Khatty terdiam. Aku tahu, ia mahu keluar jam 11.00 nanti.
“Pak
Alias...” nama Pak Alias kusebut perlahan. Ia memandangku dengan pandangan
penuh simpati. Aku mengelipkan mataku.
“Tuan,
saya sakit perut. Saya ke tandas dahulu.” Pak Alias terus berlari menghala ke
belakang rumah.
“Macam-macamlah
orang dalam rumah ini,” Asyraf merungut.
“Dewi,
ambilkan saya bantal.” Aku tahu ia panik. Diam...
“Ah...”
Asyraf meletakkan kepalaku di atas kusyen kereta.
“Maafkan
Abang, Sayang. Sebentar, Sayang ...” ia menghidupkan enjin kereta dan meluncur
keluar dari perkarangan rumah. Kereta dipecut laju...
“Patutlah
Abang rasa tidak sedap hati,” Asyraf mengeluh panjang.
“Abang
rasa tidak tenang sangat...”
“Rupa-rupanya,
Asha ditimpa musibah,” katanya lagi.
Air matanya jatuh dari kelopak mata. Aku
hanya diam. Tidak mampu untuk bersuara. Badanku sakit, hatiku juga tidak
senang. Begitu sekali Datin Khatty membenciku. Tanpa kupinta, air mataku gugur
ke bumi. Aku sedih...
~ bersambung
Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.