Keperluan apabila berperjalanan

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan mengingati ALLAH. Apa khabar? Moga baik-baik hendaknya.
  • Baik jiwa.
  • Baik jasad.
  • Baik minda.
  • Baik tingkahlaku.
Jika merasakan diri punya kelompangan yang ketara, yuk kita sama-sama memperbaikinya.

Okey. Topik hari ini ialah tentang berperjalanan. Hahaha... mentang-mentanglah Muthiah ni kuat juga berjalan. 

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Di sini, Muthiah bukanlah mahu berkongsi pasal belanjawan sebelum berperjalanan... bukan juga mahu berbicara tentang tempat yang menarik untuk dikunjungi tetapi berkenaan...


Barang yang perlu dibawa ketika hendak berperjalanan

1. Pakaian yang mencukupi - Dalam hal ini, jumlah pakaian yang hendak dibawa bergantung kepada individu. Lain orang, lain jumlah pakaian yang diperlukan. Ada orang, boleh pakai sehelai baju selama seminggu. Ada juga yang tidak boleh. Sehelai baju untuk satu sesi (Ehem, ehem). Tepuk dada, tanya selera. Selain itu, sahabat-sahabat bolehlah mengenalpasti...


Foto : Sekadar gambar hiasan.
  • Berapa hari dan berapa malam hendak berperjalanan? 
  • Majlis apa yang hendak dihadiri? - Kalau hendak berpiknik, bawalah baju lengan panjang (bagi wanita) dan seluar trek. Kalau menghadiri majlis perkahwinan, bawalah baju kurung atau pakaian yang sesuai.
2- Beg yang sesuai - Hmm... ikut orang juga. Ada orang, suka bawa beg sandang (sesuai untuk mereka yang bawa pakaian yang sedikit). Mudah hendak disandang ke mana-mana. Ada orang suka bawa beg besar gedabak. Boleh muat banyak pakaian. Bak kata suami Muthiah setiap kali balik ke kampung, "Nak balik kampung ke, nak pergi BUAT haji?" Apapun, tengoklah keselesaan diri masing-masing.

3- Peralatan mandi/ rias (bagi wanita) - Biasanya, orang bawa berus gigi, pencuci muka, pisau cukur, gunting. Hendak bawa pengetip kuku pun bagus. Bagi wanita yang boleh agak bilakah waktunya dia mamnu', boleh bawa pad siap-siap.  Lain-lain barang macam syampu, sabun, ubat gigi... biasanya sudah tersedia. Tidak kiralah sama ada kita duduk di hotel ataupun menumpang di rumah orang... kebiasaannya ada. Cuma mengikut pengalaman Muthiah, tidak semua hotel menyediakan ubat gigi. Jadi, baik bawa ubat gigi bersaiz kecil siap-siap. Untuk rias wajah pula, basic; bedak muka, ubat ketiak, pelembap wajah, pelembab bibir. Lain-lain mahu tambah, terpulang kepada diri sendiri.


Foto : Sekadar gambar hiasan.

4- Tuala mandi - Sekiranya kita bermalam di hotel, insya-ALLAH tidak ada masalah. Namun jika kita bermalam di rumah orang (tidak kira sahabat, saudara-mara dll), ada tuan rumah yang sudah sediakan tuala siap-siap untuk kita. Ada juga yang kita kena minta. Bagi diri Muthiah... perkara asas yang Muthiah sediakan untuk tetamu yang bertandang ialah tuala mandi, kain sarung untuk solat (bagi lelaki) serta sejadah. Lain-lain keperluan, Muthiah akan beri apabila diminta. 

Persoalan; kenapa Muthiah sarankan bawa kain tuala sendiri? 

Okey. Sebab utama ialah untuk tidak menyusahkan tuan rumah (tetapi percayalah, kebanyakan tuan rumah tidak rasa terbeban dengan perkara ini). Cuma itulah... sekadar budi bicara kita selaku tetamu untuk meringankan kerja tuan rumah. Tidak perlulalah mereka membasuh tuala yang kita gunakan hanya sekali itu. 

Muthiah pun... kadang-kadang, terlupa bawa tuala sendiri. Iyalah. Hari pertama dan kedua duduk di hotel. Hari ketiga, bermalam di rumah saudara. Jadi, terpaksalah. Namun secara peribadi, Muthiah cuba untuk tidak membebankan. Biasanya, Muthiah tengok juga. Tuan rumah guna mesin basuh apa. Kalau mesin basuh automatik, insya-ALLAH kuranglah rasa bersalah. Kalau mesin basuh manual... setidak-tidaknya, ada juga mesin basuh. Bagi yang tidak memiliki mesin basuh? Jadi, baik kita basuhkan sebelum melangkah pergi.

Nota :

a) Sekali lagi Muthiah ingatkan, rata-rata tuan rumah tidaklah berkira dengan tetamu yang menggunakan barang di rumahnya. Pinjam itu dan ini tidaklah sampai membebankan bahkan memberi peluang kepada tuan rumah untuk mendapat pahala daripada ALLAH.

b) Huhu... jangan pula kita intai jenis mesin basuh yang digunakan di rumah orang yang kita tumpang. Tidak elok bermata liar di rumah orang. Dalam kes Muthiah... Muthiah tengok rumah orang yang sangat dekat dengan Muthiah. Rumahnya pun sudah menjadi bagai rumah kedua Muthiah.

5- Kain telekung solat - Elakkan daripada menanam niat untuk meminjam kain telekung daripada orang lain tanpa mahu membawanya bersama setiap kali hendak ke mana-mana. Bukan tidak boleh. Tidak salah pun. Tidak berdosa juga tetapi Muthiah kira... baik bawa sendiri punya. Paling selamat... pakailah pakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Jadi, boleh solat di mana-mana dan pada bila-bila masa. 

Jom renung...

Kalaulah kita tertinggal telefon bimbit... diri terus jadi tak keruan; takut orang telefon... takut ada kecemasan. Kenapa tidak ketika tertinggal kain telekung solat? Boleh pinjam daripada siapa-siapa? Iyalah. Di surau pun ada. Akan tetapi perlu diingat, tidak semua surau ada menyediakan kain telekung solat. Kalau ada sekalipun, tidak terjamin kebersihannya (kalau yakin, pakai sahaja).  Saiznya pula, belum tentu padan dengan kita. Silap-silap, waktu solat boleh nampak kaki. Kalau di pusat membeli-belah, terpaksa berebut kain telekung dengan orang lain. Hendak solat pun tidak khusyuk sebab ramai sudah menunggu di belakang.

Hmm... apa lagi ya?
  • Al-Quran.
  • Al-Mathurat.
  • _________________.
Sekadar perkongsian daripada pengalaman Muthiah. 

Setuju? Bolehlah digunapakai. 
Tidak bersetuju? Ikutlah kebiasaan kita. 

Untuk diri Muthiah sendiri, sepanjang berperjalanan... ada benda yang Muthiah terlepas pandang dan Muthiah kira, ia sangat diperlukan. Apabila tidak ada (perkara di atas), mulalah kelam-kabut. Cari kedai hendak beli yang baharu. Kos perjalanan jadi meningkat. Masa dan tenaga pun terbazir sama. 

Moga kehidupan dan diri kita hari ini menjadi lebih baik daripada semalam, insya-ALLAH.
Labels: | edit post
0 Responses