Mencari Naurah (Bab 80)

Novel | Mencari Naurah 


Foto : Sekadar gambar hiasan.


‘Sampai hati Mama memperlakukan Natasha begitu. Asyraf amat sayangkannya...’

Pesanan ringkas itu dihantar kepada Datin Khatty melalui telefon bimbitnya. Asyraf tidak sanggup untuk berbicara sendiri dengan mamanya. Ia tidak mahu menjadi anak derhaka tetapi ia juga tidak berupaya menerima berita yang telah sampai kepada pengetahuannya. Asyraf merasakan dirinya gagal dalam menjalankan tanggungjawab sebagai suami terbaik buat Natasha.

Wajah Anuar kemudian berlegar-legar di dalam kotak fikirannya. Janjinya kepada teman akrabnya itu telah dimungkiri. Sudah tentu lelaki yang pernah mencintai isterinya itu berasa kecewa.  Ia berharap agar Natasha tidak dipersia tetapi...

‘Maafkan aku, War kerana tidak mengotakan kata-kataku,’ bisik Asyraf sendiri.

Sesampainya di  hospital, Asyraf segera melangkah menuju ke bilik isterinya. Mahu lihat apa yang dilakukan Natasha. Dari celah pintu, Asyraf memerhati...

Natasha sudah terlena. Pada kelopak matanya, masih ada sisa-sisa air mata yang berbaki. Ia sedang memeluk erat bunga ros pemberiannya. Perlahan-lahan Asyraf memasuki bilik itu. Kemudian, pipi Natasha dicium dengan penuh kasih sayang. Tidak mahu mengganggu tidur Natasha. Biarlah ia merehatkan fikiran. 

“Maafkan Abang, Sayang,” bisik Asyraf di telinga Natasha.

Selepas itu, Asyraf terus melangkah keluar dari bilik tersebut. Ia belum punch card lagi. Cepat-cepat ia berjalan. Kakinya bergerak pantas tetapi hatinya sebenarnya masih setia di samping Natasha. 

‘Abang sayang Asha,” ia berkata sendiri.

Kring, kring... terpapar nama Datin Khatty pada skrin telefon. Diam... Asyraf membiarkannya. Rasa marah terhadap mamanya sendiri masih belum padam.

Kring, kring... Datin Khatty masih lagi cuba menghubungi anak terunanya. Ia yakin Asyraf sedang marah tetapi sebagai ibu, ia tahu bagaimana hendak melembutkan hati puteranya itu. 

‘Angkatlah telefon, Sayang,’ desis hati kecil Datin Khatty.

Asyraf terus mendiamkan diri. Tunggulah pabila marahnya reda. Ia sama sekali tidak menyangka bahawa mamanya akan bertindak sehingga ke tahap itu. Apalah salah Natasha? Gadis itu manis, berbudi bahasa serta memiliki ilmu agama di dada. 

‘APA lagi yang mama mahukan?’ bentak Asyraf sendiri.

“Aku betul-betul bencikannya,” luah Datin Khatty. Waktu itu, ia dan teman-temannya sedang melakukan rawatan badan di Spa Hazreen.

“Siapa?” Datin Rosnah memandang wajah rakannya itu tanpa berkelip. Marah benar bini Dato’ Ghazali ini. Menakutkan...

“Siapa lagi? Menantu akulah,” balas Datin Khatty dengan suara yang agak kasar.

“Kenapa pula?” Datin Noraini mencelah.

“Dia ambil segalanya,” nada suaranya ditinggikan.

“Apa yang Datin maksudkan dengan mengambil segalanya?”

 “Bukankah Melissa yang rampas suami Datin?” sampuk Datin Rosnah kembali.

“Budak kampung tidak malu itu bukan sahaja merampas anak lelaki aku bahkan suami aku juga. Tamak!!! Betul-betul tidak tahu malu.” Nampaknya, Datin Khatty betul-betul sedang marah.

“Wow, gadis yang istimewa. Mungkin...”

“Kalah Qistina dalam SpaQ. Bukan sahaja Zafrul, Fahmy pun syok padanya. Macam bidadari, kononnya,” Datin Noraini tergelak kecil. Ketawa yang dibuat-buat. Membikin hati Datin Khatty yang sedia menggelegak bertambah panas.

“Aku betul-betul serius,” wajah Datin Khatty masam mencuka.

“Bukan sahaja anak aku sayangkannya. Suami aku pun sama. Tidak, tidak. Bibik dan pemandu aku pun mengambil berat terhadapnya. Aku betul-betul meluat dan menyampah,” Datin Khatty terdiam sejenak.

“Auch... jangan picit kuat sangat!” tengkingnya pula kepada gadis warga Thailand yang sedang memicit dahinya.

“Kalaupun Datin marahkan budak kampung itu, janganlah sampai hendak menengking sembarangan,” tegur Datin Rosnah bersahaja.

“Ada cadangan?” Datin Khatty separuh berbisik.

“Cadangan? Untuk apa?” sampuk Datin Noraini.

“Macam mana aku hendak halau dia dari rumah aku? Bukan, bukan itu sahaja bahkan aku tidak mahu melihat mukanya yang tidak tahu malu itu. Bukan, bukan. Aku tidak mahu mendengar apa-apa langsung tentangnya,” Datin Khatty berterus-terang.

“Hmmm...”

“Aku sudah buat macam-macam tetapi GAGAL!!!” ia meninggikan suaranya.

“Haha... bunuh sahaja,” selamba Datin Rosnah mencadangkan.

“Bunuh???” Datin Khatty dan Datin Noraini saling berpandangan.

“Aku tidak mahu jadi pembunuh dan aku tidak sanggup meringkuk di dalam penjara,” Datin Khatty membelek-belek mukanya pada cermin yang tergantung di hadapannya.

“Alah... Datin ada duit. Tidak payah risau. Lagipun, Datin ada kuasa,” Datin Noraini menjeling Datin Khatty penuh makna.

‘Faham-faham sendirilah,’ bisik hatinya.

“Hmmm...”

“Faham...” Datin Khatty mula tersenyum sendiri.

“O.K...” Senyumnya semakin melebar.

“Datin cemburukan budak itu?” Datin Rosnah memandang tepat anak mata Datin Khatty. 
“Adalah sedikit-sedikit,” jawabnya pendek.

“Oooo...” ...

Disebabkan hawa nafsu, Qabil sanggup membunuh saudaranya, Habil. Disebabkan rasa cemburu dan merasakan haknya dirampas, ia tidak gusar melakukan sesuatu yang bertentangan dengan Tuhannya. Akhirnya, termasuklah ia bersama-sama orang yang rugi. Bagaimana pula dengan Datin Khatty???

~bersambung

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

0 Responses